Sabah Tempat Bermain
(1) Turun ke Gelanggang
Saya menjadi buruh binaan dari awal bulan Oktober 1971 hingga minggu kedua bulan Januari 1972 di syarikat yang sama. Hampir sepanjang bulan Oktober itu, pihak syarikat menguji kesungguhan, keupayaan dan kejujuran saya. Saya dikehendaki melaksanakan tugas berat bersama-sama buruh lain yang umumnya bertubuh sasa dan berlengan besar. Jalur otot dan urat lengan mereka jelas kelihatan. Tapak tangan mereka berkematu.
Dalam kalangan mereka, saya terendah, paling kecil dan kurus. Namun saya tetap memikul simen dari stor ke mesin pengadun konkrit atau dari lori ke stor. Saya juga melakukan kerja angkat-mengangkat yang lain seperti mengangkat bekas yang mengandungi pasir atau batu dan menuangkan bahan itu ke dalam mulut mesin pengadun yang ternganga dan berpusing. Saya membantu buruh-buruh lain mengangkat besi, beroti dan papan. Adakalanya saya mendapat giliran untuk menolak kereta sorong yang sarat dengan muatan konkrit basah ke tempat yang ditetapkan.
Pada permulaannya saya berasa kandungan sekampit simen terlalu berat. Setelah beberapa hari, saya dapat membiasakan diri. Mujurnya pula, jarak stor dengan mesin pengadun atau jarak lori dengan stor tidak jauh.
Hari berganti hari dan menjadi minggu. Minggu pertama bergerak pantas ke minggu kedua dan seterusnya. Tahu-tahu sudah hampir sebulan saya bergelar buruh binaan. Dalam tempoh itu ada dua kali saya menghadapi ujian yang tidak padan dengan kudrat saya.
Ujian pertama, seorang rakan sekerja sengaja meletakkan dua kampit simen di atas bahu kiri saya. Saya berjaya membawa beban itu dari stor ke mesin pengadun. Mujurlah ujian itu hanya sekali. Saya tidak pasti sebab ujian itu dihentikan sedangkan memang ada beberapa orang pekerja memikul dua kampit simen sekali gus, kecuali Abang Hashim.
Abang Hashim berasal dari Melaka. Dia sudah lama bekerja sebagai buruh binaan di Sabah. Dia tinggal di bangsal dalam kawasan tapak binaan itu. Dia masih bujang walaupun usianya sudah menjangkau empat puluhan. Hanya dia dan saya berasal dari Semenanjung dalam kalangan buruh itu. Saya pernah menceritakan latar belakang saya kepadanya. Dia memperlihatkan simpatinya kepada saya. Walaupun badannya besar dan tegap, saya tidak pernah melihat dia memikul dua kampit simen sekali gus. Ada kemungkinan dia menegur pekerja yang menguji kekuatan saya itu.
Ujian kedua, mandur menyuruh saya menaiki lori syarikat. Seorang tukang Cina duduk di sebelah pemandu. Saya seorang diri di ruang barang yang terbuka. Dalam ruang itu ada kayu, dua kampit simen dan barang-barang binaan yang lain. Di hujung Jalan Gaya, iaitu selepas Pejabat Pos, lori itu masuk ke jalan lain di sebelah kiri. Lori berhenti di belakang sebuah bangunan kedai dua tingkat. Bahagian belakang tingkat atas bangunan itu terbuka dan sedang diubah suai.
Tukang Cina itu memanjat tangga kayu yang disandarkan pada dinding dan naik ke tingkat atas. Pemandu lori itu menyuruh saya mengangkat simen ke tingkat atas. Saya tergamam. Oleh sebab saya tahu bahawa pemandu lori itu ialah orang penting majikan saya, saya mematuhi arahannya. Dia sendiri meletakkan sekampit simen di atas bahu kiri saya.
Saya memohon perlindungan Allah. Saya menggunakan kudrat muda yang dianugerahi-Nya. Satu demi satu anak tangga kayu yang tersandar pada dinding kedai itu dapat saya pijak. Saya berasa teramat lega apabila simen di bahu saya dicapai oleh tukang Cina yang menunggu di atas. Perlakuan itu saya ulang sekali lagi.
*******
Peristiwa saya terpijak paku menjadi titik perubahan tugas sebagai buruh binaan dan perjalanan hidup saya. Perubahan perjalanan hidup, insya-Allah, akan saya nukilkan dalam siri ketiga “Abang Seman dan Kak Eton”. Penjelasan seterusnya berfokus pada peristiwa terpijak paku itu dan perubahan tugas.
Peristiwa itu berlaku pada akhir Oktober, iaitu beberapa hari sebelum bulan Ramadan. Paku berkarat itu menembusi tapak kasut dan terbenam sedalam lebih setengah inci di tapak kaki kanan saya. Seorang buruh Cina yang sudah tua dan gemuk memberikan bantuan. Dia memicit-micit kesan luka dan kemudian memukul-mukul tapak kaki saya dengan seliparnya. Mulutnya menghamburkan kata-kata dalam bahasa Cina. Saya tidak memahami biji butir pertuturannya. Abang Hasim memberitahu bahawa Cina tua yang gemuk itu baik hati tetapi tidak menguasai bahasa Melayu.
Peristiwa itu disaksikan oleh mandur. Dia meminta pemandu lori syarikat menghantar saya ke hospital. Saya pula meminta pemandu lori itu singgah di rumah sewa saya untuk menukar pakaian.
Di hospital, jururawat membersihkan tapak kaki saya, menitiskan ubat kuning pada kesan luka dan membalut luka itu dengan kain pembalut berwarna putih. Saya juga menerima satu suntikan dan dibekalkan ubat biji untuk ditelan. Selepas urusan itu selesai, saya meminta pemandu lori menghantar saya ke rumah Abang Seman di Maktab Perguruan Gaya. Malam itu saya berehat di rumah beliau dan mendengar leteran isterinya, Kak Eton. Esoknya saya tidak bekerja.
Apabila saya kembali bekerja, mandur menugaskan saya untuk bekerja di dalam rumah teres yang sudah siap tetapi masih belum sempurna kemasan dalaman dan luarannya. Tugas saya ialah menakik lantai simen dan dinding dengan menggunakan kapak. Lantai dan dinding yang ditakik itu akan dipasang dengan jubin. Tugas mudah itu perlu dilakukan dengan berhati-hati agar serpihan simen tidak mengenai biji mata. Saya menutup mulut dan hidung dengan tuala untuk mengelakkan tersedut terlalu banyak habuk.
Saya melakukan tugas itu bersendirian dengan asyiknya. Sesekali mandur menjenguk. Oleh sebab tiada apa-apa teguran daripadanya, saya meneruskan tugas itu. Saya suka melihat corak takikan. Untuk kesegaran telinga, saya mempelbagaikan rentak takikan. Sesekali saya berehat juga. Itulah kerja saya seharian.
Ramadan tiba. Mampukah saya melakukan kerja berat seperti mengangkat simen pada bulan puasa? Saya berserah kepada suratan takdir. Saya tetap berpuasa. Sesunguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Mandur menyedari bahawa saya berpuasa. Saya diminta menyambung tugas menakik lantai dan dinding. Tugas itu berterusan kira-kira dua minggu.
Tugas saya seterusnya masih ringan, dilakukan secara bersendirian dan tanpa penyeliaan. Saya mengumpulkan reja-reja kayu di suatu tempat dan sampah di tempat yang lain. Kemudian saya mengumpul dan menyusun beroti dan papan yang sudah digunakan di sebuah bangsal. Kerja yang sangat mengasyikkan ialah mencabut paku yang terlekat pada beroti dan kayu. Tugas itu saya laksanakan dengan senang hati seolah-olah beroti dan papan itu milik saya sendiri. Pencabutan paku dilakukan dengan teknik dan alatan yang sesuai agar paku tidak patah dan kayu tidak rosak.
Selepas itu saya dan seorang dua pekerja lagi kerap menaiki lori dan bertugas di tapak binaan lain. Antara kerja itu termasuklah menaikkan barang ke atas lori dan memunggah barang. Hanya sesekali saya bekerja dengan kumpulan yang membancuh simen. Sepanjang bulan Ramadan, mandur tidak menyuruh saya mengangkat simen.
Pengalaman dalam bulan pertama sebagai buruh binaan cukup mencabar. Secubit renungan pengalaman itu saya jelmakan dalam sebuah puisi seperti yang di bawah:
Buruh Binaan
Khidmatnya bermatlamat cuma
hidup sempurna bahagia
mengisi erti kesedaran bangsa
dalam pembangunan negara.
Jasanya kumpulan bangunan
kemegahan negeri lambang kemajuan
indah difotokan tanpa namanya
sahamnya hanya peluh bertempayan.
Terbina banglo dan menara
tinggal ia di bangsal jua
diterima upah tenaga berganda.
Baginya tiada pingat khidmat lama
kerana khidmatnya bermatlamat cuma
hidup sempurna bahagia
bersama semangat kemajuan negara
dalam pembangunannya.
Rasmi Safar
Kota Kinabalu.
(Daily Ekspres, 30 Oktober 1971)
Bersambung: (3) Dirancangkan Gelanggang Lain

Tiada ulasan:
Catat Ulasan