Sabah Tempat Bermain
(1) Turun ke Gelanggang
(2) Menghadapi Ujian
(3) Dirancangkan ke Gelanggang Lain
(4) Masuk ke Gelanggang Baharu
Nama penuhnya Othman bin Razak. Saya memanggilnya abang. Apabila saya bercakap dengan orang lain tentang dirinya, saya menggunakan ungkapan Abang Seman.
Abang Seman bukanlah abang saya yang sebenar kerana ayahnya bukanlah ayah saya dan ibunya pun bukan ibu saya. Sudah suratan takdir, nama ayah kami sama. Ayahnya Cina mualaf. Ayah saya Melayu tulen. Isterinya bernama Zaiton. Saya memanggilnya Kak Eton. Mereka orang Melaka.
Abang Seman lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris dan memiliki ijazah dalam bidang bahasa dan kesusasteraan dari Universiti Indonesia. Dia bertugas sebagai pensyarah Bahasa Melayu di Maktab Perguruan Gaya. Kak Eton suri rumah sepenuh masa, Dia pandai dan rajin membuat kuih. Dia berniaga kuih secara kecil-kecilan.
Abang Seman abang sepupu saya. Apabila saya menggunakan ungkapan “abang sepupu” rakan-rakan bertanya, “Sepupu?”
Saya menjawab, “Bukan. Abang tiri sepupu saya.”
Sepupu saya ialah Selamah binti Razak. Dia pelajar tahun pertama Maktab Perguruan Gaya. Abang Seman ialah abang tiri Selamah. Ayah mereka sama tetapi ibu mereka berbeza. Ibu Selamah ialah kakak ayah saya. Saya memanggilnya Mak Ngah. Mak Ngah ialah isteri kedua Pak Ngah Razak. Emak Abang Seman isteri pertama Pak Ngah. Jadi, Abang Seman ialah abang tiri sepupu saya.
Walaupun tiada hubungan darah antara saya dengan Abang Seman, namun kami sangat akrab. Keakraban itu ada sebabnya. Yang pertama, adat orang di perantauan, asalkan senegeri atau bersebelahan negeri, dikira saudara. Yang kedua, Mak Ngah sudah menganggap saya sebagai anaknya sendiri. Jadi, Abang Seman pun macam abang saya juga. Abang Seman dan Kak Eton menyayangi saya seperti adik sendiri.
Rasanya Mak Ngah ada berpesan agar Abang Seman dan Kak Eton menjaga saya seperti dia menjaga adik sendiri. Selain itu, saya rasa Mak Ngah ada menceritakan kisah dirinya pada zaman Jepun kepada mereka. Saya mendengar kisah itu daripada emak. Kata emak, tentera Jepun hendak menangkap ayah. Ayah sempat menghilangkan diri ke dalam hutan. Jepun menangkap dan mengurung Mak Ngah. Pada masa itu Mak Ngah masih anak dara. Penangkapan Mak Ngah oleh tentera Jepun sampai ke pengetahuan ayah. Ayah menyerah diri. Mak Ngah dibebaskan. Ayah dikerjakan oleh Jepun.
Kata orang tua-tua, setinggi-tinggi terbang bangau, hinggap di belakang kerbau juga. Tiba masanya, saya pulang ke kampung. Emak bertanya, “Ada kaucari Seman dan Eton? Ada Seman dan Eton menjenguk engkau?”
Sampai ketikanya, Abang Seman dan Kak Eton balik juga. Mak Ngah menyoal, “Ada kau jumpa Isa di sana? Ada kautolong anak buah aku itu?”
Kami tidak boleh hanya diam. Pantang pula berkata tidak. Itulah amalan orang kampung, terutamanya orang Negeri Sembilan. Walaupun Mak Ngah tinggal di Melaka tetapi asalnya dari Negeri Sembilan. Keakraban hubungan kekeluargaan orang Negeri Sembilan tetap menjadi amalannya.
Pada tahun enam puluhan, perjalanan antara kampung Mak Ngah dengan kampung saya memerlukan pertukaran bas tiga kali dan kemudian berjalan kaki. Mak Ngah tetap sampai di rumah saya. Ayah, emak dan saya pula tetap sampai di rumahnya. Berkali-kali juga kami kunjung-mengunjungi. Abang Seman dan Kak Eton juga datang ke rumah kami walaupun kereta baharunya berdebu dan berkemungkinan rosak kerana beberapa kilometer jalan ke kampung kami pada masa itu ialah jalan batu kelikir tanah merah.
Sebelum pulang, Abang Seman menghulurkan wang seringgit dua kepada saya. Nilai ringgit pada tahun enam puluhan tinggi. Gula dan ikan kembung baru dua puluh lima sen sekati. Tentulah saya berasa gembira menerima pemberiannya. Ada sekali, Abang Seman menghulurkan dua helai wang kertas merah sepuluh ringgit kepada saya sambil berkata, “Belajar raja-rajin, ya!” Itulah antara bukti perhatiannya kepada saya.
Apabila saya kembali ke Kota Kinabalu dari Tawau pada akhir bulan September 1971, jikalau mahu, saya boleh pergi ke rumahnya. Namun, saya lebih suka bersama-sama Mohd Nor dan rakan-rakan walaupun kami terpaksa menumpang Rumah Kebajikan Islam. Apabila Mohd Nor menghilangkan diri, saya juga boleh meniru perlakuannya. Namun saya bukan Mohd Nor. Saya mahu susah dan senang bersama-sama Majid, Said dan dua orang rakan lagi.
Antara nukilan emak dalam surat balasan terhadap warkah pertama saya dari Sabah termasuklah gesaannya agar saya mencari Abang Seman. Gesaan emak sebenarnya arahan. Suka atau tidak, saya mesti melakukannya. Pada pertengahan minggu kedua saya menginap di Rumah Kebajikan Islam itu, saya menjenguk Abang Seman, Kak Eton dan anak-anak mereka, Iskandar, Adibah dan Azhar. Selepas makan malam, mereka menghantar saya pulang ke Kampung Likas. Kak Eton beri-ia meminta saya datang ke rumahnya lagi. “Jikalau ada masalah, beritahu kami.” Itulah antara kata-katanya.
Jadi, kehadiran saya di rumahnya dengan lori syarikat binaan pada petang sesudah saya mendapat rawatan di hospital kerana terpijak paku itu ialah kali kedua. Selepas bersolat maghrib, Iskandar mengatakan bahawa emaknya menyuruh saya ke dapur. Pada masa itu Iskandar dan Adibah murid sekolah rendah. Azhar belum bersekolah. Iskandar dan Adibah membuat kerja rumah yang diberikan oleh guru mereka. Azhar menonton televisyen.
Saya ke dapur. Makanan sudah terhidang di atas meja. Kak Eton berkata, “Isa makanlah dahulu. Abang kamu ada tugas di maktab.”
“Iskandar, Adibah dan Azhar?”
“Mereka sudah makan sebelum maghrib tadi.”
“Kakak makanlah sekali.”
“Kamu makanlah dahulu. Kakak makan selepas isyak nanti.”
Saya menikmati hidangan bersendirian sambil menjawab pertanyaan-pertanyaan Kak Eton.
Kak Eton: Kamu bekerja juga pada bulan puasa nanti?
Isa: Itu kerja saya, kakak.
Kak Eton: Sampai bila kamu hendak jadi buruh?
Isa: Entahlah. Lambat-laun dapat juga saya jadi tukang.
Kak Eton: Kamu ada SPM. Di Sabah ini ada banyak kerja yang lebih sesuai untuk kamu. Ada kamu memohon kerja lain?
Isa: Belum, kakak. Biarlah saya teruskan kerja yang ada ini dahulu.
Kak Eton: Di Sabah ini banyak kerja kosong. Abang kamu banyak kenalan. Nanti kakak suruh dia carikan kamu kerja sebagai guru sementara.
Isa: Saya ini tidak sesuai menjadi guru, kakak.
Kak Eton: Ai, belum cuba belum tahu! Apakah selama-lamanya kamu hendak menjadi buruh kontrak? Tengok itu, belum sebulan bekerja sudah terpijak paku. Kamu hendak tunggu sampai jatuh dari bangunan? Kami hendak tunggu sampai patah kaki pula? Kamu hendak ….
Isa: Entahlah, kakak.
Seterusnya Kak Eton bercakap tentang masa hadapan. Pekerjaan guru itu senang. Kerja pagi sahaja. Hari Sabtu dan Ahad cuti. Ada cuti penggal. Gajinya boleh tahan. Ada peluang untuk belajar di maktab. Abang Seman sudah menolong Selamah. Kamu cari pengalaman dahulu. Abang Seman boleh tolong kamu masuk maktab. Abang Seman banyak kawan. Nanti kakak suruh abang kamu jumpa Zakaria Idris. Kamu mesti ikut pandangan kakak demi masa depan kamu sendiri.
Kamu fikir, sekiranya sesuatu yang lebih buruk berlaku pada kamu, kami tidak kena tempiasnya? Kamu fikir, Selamah tidak bertanya? Kamu fikir sepupu-sepupu kamu, Timah, Milah, diam sahaja? Kamu fikir Mak Ngah kamu tidak menyalahkan Abang Seman dan Kak Eton? Kamu fikir emak kamu tidak bertanya mengapa abang kamu tidak menolong kamu? Kamu fikir sendiri. Kita ini sudah macam adik-beradik. Sakit kamu, sakit juga kami. Senang kamu, senang hati kami. Kamu fikirlah betul-betul, Isa! Kakak hendak menolong. Kakak bukan hendak menyusahkan kamu.
Tidak ada tengok-tengok lagi. Nanti kakak beritahu abang kamu. Jikalau sempat, besok abang kamu bawa kamu berjumpa kawannya. Jikalau tidak sempat, kamu cuti hari Sabtu hadapan. Kakak tidak main-main. Walaupun ini masa depan kamu, abang kamu dan kakak tidak boleh lepas tangan sekiranya ditanya oleh emak kamu, Mak Ngah kamu, Pak Ngah kamu, ayah kamu, Timah, Milah dan lain-lain. Ingat, menyesal kemudian tidak berguna, Isa!
Saya tidak sampai hati untuk memberitahu Kak Eton bahawa pekerjaan guru bukanlah pekerjaan idaman saya. Pekerjaan tukang kayu yang dapat membuka peluang untuk saya menjadi usahawan juga, bukan cita-cita saya. Saya masih bercita-cita untuk menjadi wartawan. Saya hendak menjadi penulis. Saya hendak melanjutkan pelajaran. Saya hendak bekerja di akhbar atau syarikat penerbitan.
Cita-cita dan hasrat saya itu tidak sesuai untuk diluahkan kepada Kak Eton. Saya tidak mahu terus dileteri, apalagi disembur dengan perkataan yang bukan-bukan. Saya faham, orang Melaka seperti Kak Eton, yang sudah empat puluhan itu, biasa mengeluarkan perkataan-perkataan yang kurang enak pada telinga orang negeri lain. Lagipun, pendapat Kak Eton tiada salahnya bahkan menyebabkan saya berfikir bahawa pekerjaan guru dapat saya jadikan batu loncatan untuk mencapai cita-cita dan idaman saya sejak di sekolah menengah dan belum berubah hingga akhir 1971 itu.
Pada suatu hari Sabtu, awal November 1971, saya mengikut Abang Seman ke bangunan Sekretariat Negeri Sabah di Sembulan. Saya berpakaian kemas dan membawa dokumen penting, iaitu kad pengenalan, pasport, Sijil Rendah Pelajaran, Sijil Pelajaran Malaysia dan surat berhenti sekolah. Kami masuk ke satu ruang pejabat di tingkat atas. Saya nampak papan tanda Unit Bahasa Malaysia, Jabatan Ketua Menteri. Abang Seman bercakap dengan seorang lelaki. Saya bersalam dengan lelaki itu sambil tersenyum dan mengangguk.
Kemudian kami masuk ke satu ruang lain. Saya tidak pasti sama ada ruang itu masih dalam unit yang sama atau unit lain. Saya tidak mengisi apa-apa borang. Saya tidak ditemu duga. Hanya dokumen saya diperiksa. Berdasarkan urusan yang singkat dan mudah itu, saya beranggapan bahawa saya akan terus menjadi buruh binaan.
Bersambung: (4) Masuk ke Gelanggang Baharu
|| Ayam Putih, Terbanglah! | Jalan Sa…na! | Azan Bergema Kembali | Tidur Duduk | Dua Das Tembakan | Batang Gaharu Buruk | Diserang oleh Nyamuk | Payau Jantan Berkutu | Payau Terbaring | Pelanduk Goreng, Kari Napuh ||

Tiada ulasan:
Catat Ulasan