Sabah Tempat Bermain: (1) Turun ke Gelanggang | (2) Menghadapi Ujian | (3) Dirancangkan ke Gelanggang Lain | (4) Masuk ke Gelanggang Baharu | (5) (Menyusul)
Anggapan saya bahawa saya tidak akan diterima untuk menjadi guru sementara silap. Perancangan Kak Eton menjadi kenyataan. Usaha Abang Seman untuk membantu saya berhasil. Itulah suratan takdir. Tiada sebab untuk saya menolak tawaran jawatan Guru Bahasa Melayu dalam Unified Teaching Service (UTS). Pada 14 Januari 1972, saya melaporkan diri kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Saint Aloysius di Kampung Limbanak dalam Daerah Penampang.
Sekolah itu terletak di lereng bukit yang tidak berapa tinggi. Di bahagian yang lebih tinggi di hujung sekolah terdapat Gereja Saint Aloysius. Di belakang gereja itu ada kubur Kristian. Sebahagian besar kubur itu bersempadan dengan hutan atau kebun getah yang sudah bertaraf hutan. Ada kawasan rata yang luas di antara hujung bangunan utama sekolah dengan hadapan gereja. Kawasan rata itu dapat dinamakan dataran gereja.
Di satu sisi sekolah terbentang sawah padi. Kelihatan juga beberapa buah rumah kampung dan jalan raya. Pemandangan di satu sisi lagi tersekat oleh pokok dan rumah. Apabila kita bergerak ke gereja dari sisi itu, di sebelah kanan ada padang sekolah. Padang itu bersempadan dengan sawah padi, saujana mata memandang. Kira-kira sepelaung dari sekolah itu terdapat sebuah kedai runcit. Kedai runcit itu terletak di atas tebing. Di bawah tebing terdapat beberapa buah rumah kampung yang dilatari oleh pemandangan sawah yang luas.
Sekolah itu mempunyai dua buah bangunan. Bangunan utama terletak di atas tanah bukit yang sudah diratakan dan bersebelahan dengan jalan batu kelikir. Dalam bangunan yang berlantai simen itu terdapat bilik guru besar, bilik rehat guru, stor dan dua buah bilik darjah, iaitu untuk darjah lima dan enam.
Bangunan yang satu lagi ialah bangunan dua tingkat. Bangunan itu selari dengan bangunan utama dan lebih kurang separuh panjangnya daripada bangunan utama. Lantai tingkat atas bangunan itu hampir separas dengan lantai bangunan utama. Tingkat atas itu digunakan sebagai bilik darjah tiga dan darjah empat. Aras bawahnya terletak di sisi tebing bangunan utama dan digunakan sebagai bilik darjah satu dan darjah dua. Di hujung bilik darjah terdapat kawasan rata yang berumput. Kawasan itu dapat dinamakan dataran pendidikan jasmani. Dari dataran pendidikan jasmani kita boleh menuju ke dataran gereja melalui kawasan berumput selebar lebih kurang tiga puluh kaki dan sederhana curamnya.
Hanya beberapa langkah dari bangunan utama dan betul-betul di tepi jalan untuk ke sekolah terdapat sebuah rumah guru. Rumah kayu bertiang setinggi dada saya itu mempunyai dua buah bilik menghadap ke sawah. Dapurnya di bawah. Rumah itu menjadi tempat tinggal saya yang kedua bermula pada bulan Februari hingga akhir bulan Disember tahun 1972. Sebuah rumah guru lagi terletak di hujung curaman. Rumah itu juga menghadap ke sawah. Satu sisinya bersempadan dengan tebing landai kebun buah-buahan. Rumah itu menjadi tempat kediaman saya yang pertama. Rumah guru yang ketiga terletak lebih jauh di hujung curaman lain dan berhampiran dengan sawah padi. Rumah itu didiami oleh Cikgu Winnie. Ketiga-tiga buah rumah guru itu mempunyai bekalan elektrik dan air paip.
Kedua-dua buah bangunan sekolah itu beratap zing merah. Dindingnya papan lebar dan tebal dan dicat biru muda. Atap dan dinding bangunan dua tingkat jelas kelihatan dari jalan raya. Jarak sekolah itu dari jalan raya dengan melalui jalan batu kelikir lebih kurang sekilometer. Ada juga jalan pintas melalui rumah-rumah kampung.
Jarak sekolah ke Kota Kinabalu pula lebih kurang enam belas kilometer. Bas MARA yang dapat memuat lebih dua puluh orang penumpang dari Kota Kinabalu melalui jalan itu untuk ke Kinarut. Dari Kota Kinabalu, kita boleh juga menaiki bas lain yang lebih tinggi kekerapan jadual perjalanannya. Selepas perjalanan lebih kurang sebelas kilometer, kita berhenti di Pekan Donggongon. Kampung Limbanak terletak kira-kira lima kilometer dari pekan itu melalui jalan raya berturap yang keseluruhannya membelah sawah padi. Jalan itu kini dinamakan Jalan Pintas Penampang. Dari Donggongon kita boleh menaiki teksi atau kereta sewa yang dikenali sebagai prebet sapu untuk ke Kampung Limbanak dan Sekolah Kebangsaan Saint Aloysius.
Nama guru besar sekolah itu ialah Joanes Joanny. Dia lelaki Kadazan, berusia empat puluhan, berbadan gempal dan tinggi daripada saya. Kulitnya putih. Bahasa Melayunya baik. Pertuturannya lembut. Dia menerima kehadiran saya dengan senyuman. Dalam sejarah hidup saya, dialah orang pertama memanggil saya Cikgu Mohd Isa. Rumahnya terletak di lereng bukit, di seberang bendang, kira-kira dua kilometer dari sekolah. Dia berjalan kaki ke sekolah.
Selesai urusan lapor diri, Cikgu Joanes memperkenalkan saya kepada anak-anak buahnya. Pada masa itu mereka berada di bilik rehat. Mereka sedang menikmati mi goreng bungkus. Mereka kaum Kadazan Penampang. Guru penolong kanan ialah Cikgu Linus Tokuzip. Usianya akhir dua puluhan atau awal tiga puluhan tetapi masih bujang. Dia tinggal di rumahnya sendiri kira-kira tiga kilometer dari sekolah itu. Dia mempunyai motosikal. Seorang lagi guru lelaki ialah Cikgu James. Dia orang Penampang. Saya tidak tahu letak kampungnya. Hanya Cikgu James berkereta ke sekolah.
Guru tertua yang boleh saya panggil mak cik bernama Joshua. Dia guru darjah satu. Dia berjalan kaki juga ke sekolah. Guru yang sedang mengandung pada masa itu ialah Betty. Rumahnya di atas bukit dan dapat dilihat dari sekolah. Dia juga datang ke sekolah berjalan kaki. Seorang guru lagi gempal. Dia belum berkahwin. Namanya Winnie. Usianya awal dua puluhan. Dia tinggal di sebuah rumah guru dalam kawasan sekolah. Seorang guru lagi ialah Mary Masudal. Dia pun anak dara dan sebaya dengan saya. Rumahnya di sebuah kampung tidak jauh dari sekolah itu. Dia juga berjalan kaki ke sekolah.
Masih ada satu kekosongan jawatan guru di sekolah itu. Kekosongan itu kemudiannya diisi oleh Cikgu Stephanie Midi. Dia lebih muda daripada saya. Badannya besar dan tinggi. Dia dan dua orang guru wanita lagi ialah guru UTS seperti saya. Kini guru UTS disebut guru sandaran tidak terlatih. Guru-guru yang lain ialah guru terlatih lepasan Maktab Perguruan Kent atau Maktab Perguruan Gaya. Kelulusan asas mereka ialah Sabah Junior Certificate. Kelulusan itu setaraf dengan Lower Certificate of Education, yang kemudian dinamakan Sijil Rendah Pelajaran dan kini Penilaian Menengah Rendah. Hanya saya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia.
Semua guru itu memanggil saya cikgu sejak mula kami berkenalan hinggalah saya meninggalkan sekolah itu. Sesekali mereka menggabungkan panggilan cikgu itu dengan nama saya. Gabungan yang terkerap ialah Cikgu Isa. Sejak tahun 1972 hingga kini sebutan Cikgu Isa ialah sebutan terindah pada pendengaran saya. Ada satu rasa nikmat apabila seseorang memanggil saya dengan panggilan itu sedangkan kemudiannya saya mengetahui bahawa sebutan yang baik ialah rangkaian kedua-dua nama nabi, iaitu Cikgu Mohd Isa; dan sebutan terbaik ialah rangkaian nama Nabi diikuti satu asma Allah, iaitu Cikgu Mohd Isa bin Abd Razak.
Keluarga guru yang berpindah ke sekolah lain itu masih menghuni rumah guru di sebelah sekolah. Saya tinggal di rumah guru di hujung curaman. Di rumah itu, setiap malam tikus beronggeng di atas siling. Tikus-tikus itu mengongsi baki nasi saya di dapur. Saya meninggalkan tikus-tikus itu pada awal bulan Februari dan berpindah ke rumah guru di sebelah sekolah yang sudah dikosongkan.
Saya mengajarkan mata pelajaran Bahasa Malaysia kepada murid tahun tiga, empat, lima dan enam. Saya hanya menggunakan buku teks. Rancangan penggal saya buat berdasarkan buku teks itu. Rancangan pelajaran harian yang amat ringkas dan disebut lesson note saya tulis dalam buku rekod rasmi berdasarkan rancangan penggal itu. Ada juga saya merujuki Sukatan Pelajaran Bahasa Malaysia terbitan tahun 1970.
Selain itu, saya juga mengajarkan tulisan Jawi kepada murid tahun dua. Pada masa itu peruntukan satu masa seminggu untuk tulisan Jawi hanya disasarkan kepada murid tahun dua. Pengajaran Jawi itu saya sampaikan berpandukan buku teks juga. Semua murid memiliki buku teks terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Sepuluh tahun kemudian barulah saya tahu bahawa buku teks Jawi itu menggunakan gabungan kaedah abjad dan pandang-sebut.
Guru besar menugaskan saya untuk mengajarkan mata pelajaran Pendidikan Jasmani sejam seminggu kepada murid darjah satu. Pada masa itu kebanyakan murid belum mengikuti kelas prasekolah. Kosa kata bahasa Melayu semua murid Kadazan itu sangat sedikit. Saya menghadapi kesukaran untuk menyuruh mereka keluar dari bilik darjah. Seorang murid berkata, “Monongkosobu!” Saya tidak faham maksud perkataan itu. Saya buat tidak kisah. Sebentar kemudian, air seni meleleh dari dalam seluarnya dan bergenang di lantai.
Pekerja sekolah melihat kejadian itu. Dia bercakap dalam bahasa Kadazan kepada murid-murid. Barulah murid-murid itu mengikut saya ke dataran pendidikan jasmani. Di dataran itu, beberapa orang murid lelaki menunjukkan kenakalan mereka. Seorang murid pergi ke hujung bangunan. Saya pura-pura mengejarnya. Dia lari mengelilingi bangunan. Saya mengalah. Hal itu berulang lagi pada minggu seterusnya. Saya menjelaskan cabaran yang saya hadapi kepada guru besar. Saya mengucapkan terima kasih kepadanya kerana menyerahkan tugas itu kepada guru lain.
Gaji saya seratus lapan puluh ringgit. Elaun lima belas ringgit. Dua puluh lima ringgit dipotong oleh majikan sebagai sewa rumah, termasuk kemudahan elektrik dan air paip. Oleh sebab pada masa itu belum ada potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan cukai pendapatan, saya menerima pendapatan bersih seratus tujuh puluh ringgit sebulan.
Bersambung: (5) Di Tengah-tengah Keindahan
Demi Kegemaran: (1) Batang Gaharu Buruk | (2) Membuang Ilmu | (3) Diserang oleh Nyamuk | (4) Mengawasi Penundaan Kolek | (5) Payau Jantan Berkutu | (6) | Payau Terbaring | (7) Pelanduk Goreng, Kari Napuh |

Tiada ulasan:
Catat Ulasan