Sabah Tempat Bermain
(1) Turun ke Gelanggang | (2) Menghadapi Ujian | (3) Dirancangkan ke Gelanggang Lain | (4) Masuk ke Gelanggang Baharu | (5) Di Tengah-tengah Keindahan | (6) ....
Pemandangan dari rumah saya di Sekolah Saint Aloysius itu ke arah mana-mana pun, sama ada dekat atau jauh, berakhir dengan kehijauan tumbuh-tumbuhan. Pemandangan terindah ialah ke arah sawah yang luas terbentang. Pemandangan itu berakhir nun disana , di kaki bukit. Dari kejauhan deretan bukit yang berlapis-lapis, ada yang rendah dan ada yang tinggi itu, kelihatan berbalam-balam pada waktu pagi dan petang, terutamanya selepas hujan atau ketika ada kabus nipis. Kala tengah hari yang cerah pula, jelas kelihatan bukit-bukit itu diliputi oleh kebun buah-buah, ladang getah atau hutan.
Demi Kegemaran: (1) Batang Gaharu Buruk | (2) Membuang Ilmu | (3) Diserang oleh Nyamuk | (4) Mengawasi Penundaan Kolek | (5) Payau Jantan Berkutu | (6) Payau Terbaring | (7) Pelanduk Goreng, Kari Napuh | (8) ....
Demi Tugas: (1) Ayam Putih, Tebanglah! | (2) Di Atas Puncak Ombak | (3) Meredah Padang Lalang | (4) Jalan Sa...na! | (5) Azan Bergema Kembali | (6) Sup Pelanduk Karamuak | (7) Tidur di Atas Meja Murid | (8) Tidur Duduk | (9) Dua Das Tembakan | (10) ....
Si Perokok Tegar | Tumbuh-tumbuhan Sabah |
(1) Turun ke Gelanggang | (2) Menghadapi Ujian | (3) Dirancangkan ke Gelanggang Lain | (4) Masuk ke Gelanggang Baharu | (5) Di Tengah-tengah Keindahan | (6) ....
Pemandangan dari rumah saya di Sekolah Saint Aloysius itu ke arah mana-mana pun, sama ada dekat atau jauh, berakhir dengan kehijauan tumbuh-tumbuhan. Pemandangan terindah ialah ke arah sawah yang luas terbentang. Pemandangan itu berakhir nun di
Di rumah saya tidak ada kipas angin. Tanpa kipas, saya masih selesa berada di dalam rumah dengan pakaian lengkap walaupun di luar sinar suria terang dan tajam. Suhu tengah hari tetap segar kerana tumbuh-tumbuhan itu mampu menyerap haba suria. Faktor tambahan kesegaran itu ialah semua tingkap cermin sisik di rumah saya terbuka sepanjang siang. Angin dari sawah atau yang melepasi bukit bebas masuk ke rumah saya dan keluar melalui mana-mana tingkap.
Keindahan dan kehijauan itu menggambarkan keakraban penghuni daerah itu dengan alam. Kehijauan, keemasan dan warna-warni tumbuhan-tumbuhan pula mencerminkan kerajinan mereka bercucuk tanam. Amat sukar untuk mencari tanah yang tidak diliputi oleh tumbuh-tumbuhan kecuali sedikit seperti jalan batu kelikir, tapak rumah yang belum didirikan dan dataran di hadapan Gereja Saint Aloysius. Bukit gondol tidak kelihatan kecuali tanah yang baru diteroka atau ditanam semula.
Sesungguhnya, penduduk kampung di Daerah Penampang, termasuk Kampung Limbanak, yang hampir kesemuanya suku kaum Kadazan, tergolong sebagai pesawah, penanam getah dan pekebun terbaik di Sabah . Tanah sawah, ladang getah dan kebun di daerah itu adalah antara yang terluas di Negeri di Bawah Angin. Saya menyaksikan sendiri kepuk mereka besar dan penuh dengan padi. Mereka mempunyai perayaan untuk memuja semangat padi, iaitu bambazon, yang kini disambut setiap tahun dengan nama Tadau Kaamatan. Selain padi dan getah, mereka juga rajin bertanam ubi dan sayur-sayuran.
Saya mendapat manfaat daripada kerajinan mereka. Jiran terdekat saya, pasangan Pak Cik Lawrence Lajangkip dan Mak Cik Magdalena, membekalkan beras percuma kepada saya selama saya bertugas di kampung itu. Saya hanya membeli beras pada bulan pertama bertugas di situ. Beras hasil titik peluh mereka dan dikilangkan di kampung itu juga wangi, lekit dan enak. Selain itu kerap juga mereka menghantar hasil tanam-tanaman mereka kepada saya, termasuk buah tarap. Di kampung itulah kali pertama saya menikmati buah tarap yang ranum.
Sekali-sekala dua orang anak kecil mereka menghantarkan ikan segar. Ikan itu, kebanyakannya belanak dan belum kena ais, ialah hasil tangkapan ayah dan ibu mereka. Mulai bulan Julai, saya menunaikan ajakan bertalu-talu Pak Cik Lawrence dan Mak Cik Magdalena agar saya bersama-sama mereka ke laut di Kinarut, kira-kira sepuluh kilometer dari kampung itu. Merekalah guru pertama saya dalam hal memukat ikan ketika air mula pasang dan mencari ketam ketika air benar-benar surut. Mereka juga guru saya dalam hal merebus hasil tangkapan kami dan menanak nasi di pantai itu. Sudah tentu kami menikmati makanan itu bersama-sama. Sebelum makan, saya membaca bismillah. Mereka ada cara yang tersendiri.
Selama saya bertugas di kampung itu, Pak Cik Lawrence dan Mak Cik Magdalena bagaikan bapa dan ibu saya. Anak-anak mereka bagaikan adik-beradik saya. Anak perempuan mereka dua orang. Seorang bernama Evelyn. Dia anak kedua dan masih belajar di sekolah menengah. Badannya gempal dan bibirnya sentiasa menguntumkan senyuman apabila bertemu dengan saya. Namun saya jarang-jarang berbual dengannya. Berbanding dengan dirinya, saya lebih kerap berbual dengan abangnya, iaitu Charles, walaupun Charles sudah bekerja dan kami hanya bertemu pada hujung minggu atau waktu cuti.
Adik Evelyn bernama Morris. Dia pelajar darjah enam di Kota Kinabalu. Hal itu aneh kerana Sekolah Rendah Saint Aloysius lebih kurang lima puluh meter sahaja dari rumahnya. Hal yang pasti ialah Morris ke sekolah menaiki kereta ayahnya. Sekolahnya lebih kurang sekilometer dari Maktab Sabah, iaitu tempat ayahnya bertugas sebagai kerani besar.
Morrislah teman saya berjalan-jalan di Kampung Limbanak dan beberapa buah kampung lain yang berhampiran dengan kampung itu. Ada beberapa kali kami menjala di sungai dalam kawasan sawah. Pada suatu hari minggu, Morris mengikut ayah dan ibunya serta saya mencari ketam di Kinarut.
Air laut sudah surut sepenuhnya. Namun masih ada air di dalam lopak yang luas dan alur muara. Kedalaman air itu antara paras buku lali hingga ke paras pinggang. Dasar lopak dan alur itu berlumpur. Morris mengajar saya cara untuk mengesan dan menangkap ketam. Kami menapak perlahan-lahan. Apabila terpijak ketam, tubuh ketam itu tertekan di dalam lumpur. Kami menunduk atau mencangkung dan menangkap ketam itu dengan menggunakan kedua-dua belah tangan. Saya melakukan kegiatan itu dengan sangat hati-hati berbaur dengan perasaan takut.
Saya berasa gembira apabila terpijak seekor ketam besar. Ketam itu mematikan diri kerana keseluruhan badannya tertekan di dalam lumpur. Saya mencangkung dan berjaya memegang badannya dengan teknik yang diajarkan oleh Morris. Saya menjulang ketam itu dengan rasa bangga sambil memanggil nama Morris.
Adat pelajaran pertama, saya lalai. Sepit kanan ketam itu sempat mencengkam ibu jari kanan saya. Dengan pantas, kedua-dua sepit ketam itu saya ceraikan daripada badannya. Cengkaman sepit kanan masih kekal kerana kedua-dua hujungnya yang tajam sudah terbenam ke dalam daging ibu jari saya. Morris menyuruh saya menggigit hujung sepit itu. Saya berjaya melaksanakan panduan Morris. Apabila baki hujung sepit itu saya tarik, darah merah menitik daripada dua lubang cengkaman. Jikalau Evelyn ikut serta, tentu saya sudah diketawakannya! Parut luka itu ada hingga kini.
Adik Morris bernama Rose. Dia murid prasekolah di suatu tempat yang saya tidak pasti. Adik Rose bernama Ali. Dia belum masuk ke prasekolah. Selama saya bertugas di sekolah itu, Rose dan Alilah rakan yang terkerap bersama-sama saya. Kami berbual, bergurau, makan dan minum. Pernah pada suatu hari cuti, saya tidak ke mana-mana. Mereka menemani saya dari pagi hingga ke petang.
Kedua-dua orang budak itu giat dan keletah. Rose baik dan pembersih. Ali pun baik dan cergas. Kegemarannya mendukung anak anjing merimaskan saya. Saya menyuruh dia menghantar anak anjing itu ke rumahnya sebelum saya benarkan dia naik ke atas rumah atau masuk ke dalam dapur saya. Kecergasannya saya manfaatkan. Saya menyuruh dia menghalau beberapa ekor kerbau pendek peliharaan orang kampung yang kerap sesat di dapur dan di bawah rumah saya.
Rose dan Ali menjadi orang perantaraan antara ibu dan bapa mereka dengan saya. Ibu bapa mereka dan seorang pekerja kebunnya yang berbangsa Timur dan bergelar Beliling, kerap minum-minum di kedai runcit itu pada lewat petang dan adakalanya hingga larut malam. Rose dan Alilah yang datang memanggil saya.
Amat jarang saya menghampakan pelawaan Pak Cik Lawrence dan Mak Cik Magdalena. Lazimnya saya bersama-sama mereka menghadap minuman pada waktu petang. Saya merokok dan minum kopi bancuhan Evelyn. Minuman kegemaran mereka dan Beliling dinamakan montoku. Minuman itu dihasilkan daripada penapaian nasi. Itulah antara kegunaan hasil sawah mereka. Montoku itu juga buatan mereka. Kata Beliling, ubi kayu tanaman mereka juga pernah dijadikan montoku.
Warna montoku itu kekuning-kuningan. Baunya kuat. Mereka kerap mempelawa saya untuk merasai minuman itu. Saya menyentuhkan beberapa hujung jari tangan kanan kepada gelas yang diunjukkan oleh mereka. Saya mengucapkan terima kasih sambil tersengeh-sengeh. Saya yakin mereka faham bahawa saya “orang sembahyang”. Walau bagaimanapun, sesudah berpuluh-puluh kali mereka mempelawa saya, ada sekali saya cecap juga minuman itu. Baunya yang kuat dan rasanya yang masam-masam pahit menyebabkan saya hampir muntah. Sejak peristiwa itu, mereka tidak mempelawa saya untuk ikut menginum. Minuman saya ialah kopi o bancuhan Evelyn atau oren dari rak kedai. Hidangan itu percuma.
Apabila ada cerita televisyen yang sesuai, selepas menunaikan solat maghrib saya kembali ke kedai runcit di seberang jalan batu kelikir itu dan kira-kira tiga puluh meter sahaja dari rumah saya. Ada beberapa kali mereka mempelawa saya untuk menikmati makan malam. Tidak pernah saya menunaikan permintaan mereka. Juga, tidak pernah saya menemani mereka hingga larut malam. Saya juga tidak pernah berjalan-jalan di kampung itu pada waktu malam. Jadi, tidaklah pernah saya terserempak dengan orang mabuk.
Saya tidak mengetahui jumlah orang mabuk yang melalui jalan batu kelikir di sebelah rumah saya kerana saya tidak pernah melihat mereka pada waktu malam. Saya hanya mendengar bunyi tapak kaki mereka. Berdasarkan bunyi itu dan bunyi percakapan yang tidak berketentuan, saya rasa mereka berjalan huyung-hayang. Ada beberapa kali mereka mengetuk-ngetuk dinding rumah saya sambil menyebut “cikgu! cikgu!” Saya hanya mendiamkan diri.
Pada suatu pagi Sabtu, saya menunggu bas untuk ke Kota Kinabalu bagi mengikuti kursus kewartawanan di Sabah Institution. Dari tempat saya menunggu bas itu, sawah padi yang sedang menghijau kelihatan luas terbentang. Pemandangan itu sungguh indah. Sesudah puas saya menikmati keindahan sawah dan deretan bukit, saya menghalakan pandangan ke parit yang tidak berair di sisi saya. Di situ seorang lelaki terlentang. Kaku. Mukanya pucat, sembab dan kebiru-biruan. Buih meleleh di antara kedua-dua-dua bibirnya yang kembang dan biru kehitam-hitaman. Matanya yang buntang merenung langit.
Bas MARA tiba dan berhenti. Saya menaiki bas. Saya berazam untuk kembali ke Limbanak sebaik-baik selesai mengikuti kursus pada pagi itu. Mudah-mudahan saya sempat menyaksikan pengebumian si mendiang yang saya rasa masih terlentang di dalam parit itu ketika bas membawa saya ke Kota Kinabalu.
Bersambung: (6) Mengejar Impian
Bersambung: (6) Mengejar Impian
Demi Kegemaran: (1) Batang Gaharu Buruk | (2) Membuang Ilmu | (3) Diserang oleh Nyamuk | (4) Mengawasi Penundaan Kolek | (5) Payau Jantan Berkutu | (6) Payau Terbaring | (7) Pelanduk Goreng, Kari Napuh | (8) ....
Demi Tugas: (1) Ayam Putih, Tebanglah! | (2) Di Atas Puncak Ombak | (3) Meredah Padang Lalang | (4) Jalan Sa...na! | (5) Azan Bergema Kembali | (6) Sup Pelanduk Karamuak | (7) Tidur di Atas Meja Murid | (8) Tidur Duduk | (9) Dua Das Tembakan | (10) ....
Si Perokok Tegar | Tumbuh-tumbuhan Sabah |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan