Sabah Tempat Bermain
Jalan licin tetapi kereta kami masih dapat mendaki bukit dengan gear biasa. Kereta itu hanya menghadapi kesukaran ketika mendaki sebuah bukit yang tinggi. Bachik memberhentikan kereta apabila tiba di puncak. Jalan di hadapan curam. Saya berdebar. Bachik dan Ahmad tenang. Saya pun menenangkan diri.
Bachik berkata, “Usah khuatir, tuan. Insya-Allah, kita selamat.”
Saya tidak pasti sistem pacuan yang digunakannya sama ada pacuan empat roda atau pacuan biasa. Walaupun menuruni bukit, bunyi enjin menderam. Sesekali kenderaan itu menggeluncur. Bachik mengendalikan stering dengan tenangnya. Tiada tanda khuatir pada wajahnya.
Sesudah menuruni bukit itu saya terlelap. Tahu-tahu kereta kami sedang menuju ke Kampung Karamuak. Ada berapa kali Bachik menggunakan pacuan empat roda ketika melalui jalan yang becak dan berselut.
Kami tiba di Kampung Karamuak ketika zuhur sudah berakhir. Bachik menurunkan barang-barang kami. Dia menyimpan barang-barang itu di sebuah rumah kampung. Kami akan menginap di situ. Saya menunaikan solat jamak takhir. Ahmad dan Bachik hilang entah ke mana. Beberapa lama setelah saya selesai menyempurnakan solat, barulah Ahmad dan guru KDC itu muncul. Guru itu memegang seekor ayam kampung.
Saya berasa sungguh lapar. Saya yakin rezeki berada di mana-mana. Benar. Tidak lama kemudian mak cik tuan rumah menatang dulang berisi teh o dan biskut tawar. Ketika kami minum, Ahmad berborak dengan pak cik tuan rumah. Mereka menggunakan bahasa sukuan. Deraian tawa kerap kedengaran. Saya tidak memahami biji butir perbualan mereka.
Maghrib bertandang. Saya segera menyambut kehadirannya dan menggabungkannya dengan isyak. Sejurus kemudian makanan malam dihidangkan.
“Masakan ayam kampung!” seru Ahmad sambil tersenyum dan ketawa.
Bachik muncul. Kami menikmati makanan itu bersama-sama. Apabila selesai makan, Bachik turun. Bunyi kenderaan menderum, menjauh dan lenyap.
“Dia pergi memburu dengan kawannya,” kata Ahmad.
Saya mengangguk dan mula menguap. Perbualan kami yang tidak rancak berakhir apabila saya terlelap dengan berbantalkan beg pakaian. Ahmad mengejutkan saya. Saya melihat jam tangan. Baru pukul dua belas suku.
“Mengapa?” saya bertanya.
“Mari kita makan sup pelanduk,” jelasnya.
Saya kurang percaya dan bertanya, “Sup pelanduk?”
“Ya. Sup pelanduk hasil buruan Bachik.”
Di Karamuak itulah kali pertama saya menikmati sup pelanduk. Rasanya sungguh enak. Ahmad, Bachik dan pak cik tuan rumah pun sama-sama menghirup kuah sup dan mengunyah daging pelanduk.
Pagi esoknya kami bersarapan ubi kayu rebus yang masih panas. Ubi rebus itu dihidangkan dengan teh o kurang manis dan sepiring kelapa muda parut bergaram. Saya dan Ahmad sahaja mengunyah ubi muda, putih dan empok. Bachik masih nyenyak mengerekot di hujung serambi. Pak cik tuan rumah sudah ke kebunnya.
Saya bertanya Ahmad tentang kecenderungan orang Karamuak mengurangkan gula dalam minuman. Mula-mula Ahad melawak dengan mengatakan orang Karamuak khususnya, suku kaum Sungai di Kinabatangan umumnya, sudah terlazim memperbanyak manis dalam senyuman. Saya bermuka selamba. Ahmad segera menjelaskan bahawa barang-barang keperluan seperti gula sukar diperoleh di kawasan itu. Pekedai runcit menjual barangan dengan harga yang mahal. Alasan mereka ialah kos pengangkutan dari Sandakan ke situ sangat tinggi.
Tanpa diminta Ahmad menambah, “Ubi menjadi makanan istimewa orang di sini. Makanan ini mengandungi gula yang tinggi. Kadang-kadang tapai ubi menjadi sarapan dengan air kosong kerana tapai sudah mengandungi gula.”
Selepas bersarapan, kami ke sekolah yang tidak jauh dari rumah tempat kami menginap. Ketika itu sesi pembelajaran sudah bermula. Ahmad menemui guru yang akan kami selia. Saya melihat zoo mini dan kawasan sekolah. Haiwan dalam zoo mini itu agak banyak. Tumbuh-tumbuhan di dalam pagar zoo itu berlabel. Kawasan sekolah luas dan bersih. Banyak pokok bunga di sekeliling sekolah.
Kami melaksanakan sesi prapemerhatian di bilik guru. Rekod pengajaran guru itu lengkap. Persediaannya untuk pengajaran hari itu cukup baik. Oleh sebab kami merancang akan bertolak ke SK Kuamut selepas bersolat zuhur, kami mencerap dua sesi pengajaran bagi mata pelajaran yang berlainan. Ahmad tidak menyertai sesi pascapemerhatian. Dia meninggalkan saya dan guru itu di bilik guru. Dia pergi untuk menempah bot yang akan membawa kami ke Kuamut.
Tanpa Ahmad, sesi pascapemerhatian mendatar. Pada masa itu belum sampai dua tahun saya bergelar pensyarah. Saya kurang arif untuk menyulam perbincangan dengan gelak ketawa. Oleh sebab ilmu kaunseling saya bagaikan setitik air di Sungai Kinabatangan. Saya banyak bercakap. Hal ini menyebabkan pelanggan saya terkedu.
Keupayaan saya mendengar dan mencungkil maklumat dan rasa hati pelanggan baru di peringkat percambahan. Semangat saya bergelojak. Saya mahu guru pelatih, termasuk guru KDC, sentiasa melakukan muhasabah dan bersungguh-sungguh untuk menggapai kecemerlangan. Beberapa orang guru pelatih sepenuh masa pernah bermata merah atau mengelap air mata; bahkan dalam satu sesi pascapemerhatian deraian air mata seorang guru pelatih wanita tidak mampu dilap lagi.
Kebanyakan guru KDC sudah berumur, berpengalaman dan matang. Guru KDC di SK Karamuak itu mempunyai ciri yang sama. Oleh itu saya berusaha mengawal rentak perbincangan. Saya mengelakkan timbulnya suasana tegang. Hal itu bukan disebabkan oleh ayam kampung atau sup pelanduk. Sebaliknya hal itu memang perlu kerana sesi itu ialah perbincangan profesional. Guru itu pula sudah menunjukkan usaha yang baik, walaupun belum sampai ke tahap cemerlang.
Pascapemerhatian selesai. Secara berterus terang, guru itu meminta agar saya menyatakan gred yang diperolehnya. Saya hanya membayangkan prestasinya dengan ayat yang berbunga-bunga. Hal itu saya lakukan kerana gred praktikum sulit dan mesti melalui prosedur tertentu sebelum keputusan rasmi dikeluarkan. Gred mungkin kekal, turun atau naik bergantung pada ketetapan mesyuarat satu lembaga khas. Hal yang terpenting, pensyarah penyelia tidak ada kuasa untuk menentukan gred. Mereka hanya mencadangkan gred kepada pihak pengurusan. Saya yakin guru itu dapat membuat rumusan sendiri tentang prestasi praktikumnya.
Seperti guru-guru KDC yang lain, guru itu ingin tahu sama ada dia akan diselia lagi atau penyeliaan sudah selesai. Jawapan saya hampir sama dengan jawapan kepada guru-guru KDC yang lain. Saya meminta agar dia terus membuat persediaan seperti yang diarahkan oleh pihak maktab sehingga tarikh akhir tempoh praktikum.
Saya berkata, “Kami sudah melihat cikgu menyampaikan pelajaran sebanyak dua kali. Namun cikgu masih perlu mematuhi semua arahan maktab. Hal itu penting kerana pensyarah kanan atau penyelia kursus akan datang untuk memantau atau melakukan penyelarasan. Jadi cikgu mesti berada dalam keadaan sedia pada setiap hari persekolahan sehingga hari terakhir praktikum.”
Guru itu mengiringi saya sehingga ke rumah penginapan kami. Setelah dia kembali ke sekolah, Ahmad pun muncul. Wajahnya ceria. Dia tersenyum simpul.
Dia berkata, “Isa, bot sudah ada. Sewanya lima puluh ringgit. Pembawa bot berpengalaman. Aki akan menemani kita.”
Bersabung: (38) Tidur di Atas Meja Murid

Tiada ulasan:
Catat Ulasan