Sabah Tempat Bermain
Saya dan Ahmad turun dari tempat penginapan selepas makan tengah hari dan bersolat jamak zuhur dengan asar. Kami menuju ke tambatan bot yang terletak kira-kira sepelaung dari tempat penginapan itu. Jurumudi berdiri berhampiran pancang tambatan. Aki tercongok di haluan bot. Bachik tidak menyertai kami. Ahmad membebaskannya untuk melakukan kegiatan yang sesuai di Karamuak.
Sungai itu lebar. Airnya keruh. Berdasarkan keadaan air dan alirannya yang lesu, sungai itu pasti dalam. Tebing di seberang sana mendatar. Pokok-pokok besar dan kecil membentuk hutan tebal di belakang barisan rerumput dan tumbuh-tumbuhan renek. Kawasan tambatan di sini ialah tanah rata yang berada di bahagian bawah tebing tinggi. Pergerakan kami menuju ke tambatan mudah kerana ada jalan berumput selebar jalan raya menuruni tebing. Cuaca petang redup. Matahari tidak kelihatan. Hanya cahayanya berbakti di kawasan pedalaman itu.
Jurumudi berbadan kecil dan kurus seperti saya. Kulitnya yang cerah sudah keperangan kerana dimamah oleh cahaya matahari. Antara kami, kulit Ahmad tercerah dan halus kerana dia kerap berada dalam bilik dan kereta berhawa dingin. Kulit saya bukan lagi sawo matang tetapi sudah hitam kerana kerap berjemur ketika memukat di laut. Kulit Aki yang tercongok tanpa baju di haluan bot cerah juga tetapi sudah kusam, berkedut-kedut dan berjeragat. Saya berasa kagum melihat perutnya yang leper dan cekang. Kemudiannya Ahmad memberitahu bahawa , Aki pernah menjalani pembedahan untuk membuang lemak, terutama di bahagian perutnya.
Jurumudi dan Aki sesuku kaum dengan Ahmad. Mereka bertiga bercakap-cakap dalam bahasa suku kaum sebelum Ahmad menaiki bot. Jurumudi meletakkan beg kami di haluan, di hadapan Aki. Ahmad menaiki bot. Dia duduk di atas papan lintang berhadapan dengan Aki. Oleh sebab badannya besar, ruang tempat duduk itu cukup untuk dirinya sahaja. Bot membenam. Jarak antara birai bot yang terhampir dengan paras air kini kira-kira enam inci. Saya melihat keadaan itu dan berfikir-fikir.
Jurumudi merapatkan haluan bot ke darat. Saya masih tercegat. Saya teringat akan perjalanan yang mencemaskan dengan bot kecil ke Malubang. Bot di hadapan saya kini lebih kecil dan sempit berbanding dengan bot yang ditinggalkan di Telaga kerana tidak diyakini untuk terus menduga gelombang. Jurumudi perasan akan rasa hati saya. Dia mendekatkan bahagian tengah bot ke daratan. Dia menuntun tangan saya untuk mempermudah saya masuk ke dalam bot. Mujurlah Ahmad terus berborak dengan Aki. Dia tidak melihat cara saya menaiki bot itu. Jikalau dilihatnya, mungkin dia membandingkan saya dengan dara pingitan yang baru kali pertama menaiki bot.
Saya mengucapkan terima kasih kepada jurumudi. Saya duduk di atas papan lintang, membelakangi Ahmad. Jurumudi bersedia di sebelah enjin sangkut. Dia menolak bot ke bahagian air yang dalam. Dia menghidupkan enjin. Saya mengagak muatan bot berlebihan. Pada saya, muatan bot dan keupayaan enjin hanya sesuai untuk tiga orang, termasuk jurumudi, Berat Ahmad hampir sama dengan berat dua orang. Jadi muatan bot itu sebenarnya bersamaan dengan berat empat orang.
Walau bagaimanapun, lama-kelamaan pergerakan bot itu semakin laju. Apabila kelajuannya mencapai tahap tertinggi, haluannya semakin menaik. Lunas haluan membelah air. Alunan terbentuk di kiri kanan bot. Alunan itu berlarian ke tebing dalam keadaan mengembang di bekang bot.
Sepanjang perjalanan Ahmad berborak dengan Aki. Saya dan jurumudi diam berterusan. Jurumudi hanya bersuara setelah bot memasuki sebatang sungai yang kelebarannya kira-kira separuh daripada sungai utama. Sungai itu ialah Sungai Kuamut. Pergerakan bot semakin perlahan. Pekikan enjin diganti oleh bunyi menggigil dan keluk-kelak.
Dia berseru, “Kita sudah sampai, tuan!”
Kampung Kuamut terletak di atas tanah tinggi dan rata di muara sungai itu. Rumah-rumah kayu yang kebanyakannya bertiang tinggi, rapat antara satu dengan yang lain, tidak teratur susunannya. Rumah-rumah kampung, kecil dan besar itu mengelilingi kawasan sekolah.
Ahmad menyuruh seorang budak pergi ke rumah Cikgu Hamzah (bukan nama sebenar) dan memberitahu kehadiran kami. Kami menunggu di luar bangunan sekolah. Jurumudi dan Aki pergi ke rumah saudara mereka. Sebentar kemudian Cikgu Hamzah muncul. Kami mengadakan perbincangan dalam sebuah bilik darjah. Selepas perbincangan singkat tentang jadual penyeliaan esok, Ahmad dan Cikgu Hamzah keluar bagi menguruskan makan minum kami. Saya berehat di bilik itu sendirian.
Sebentar kemudian Cikgu Hamzah muncul kembali. “Cikgu Ahmad berbual dengan saudara-maranya di rumah sana,” katanya sambil ibu jarinya dihalakan ke rumah kayu yang letaknya kira-kira sepelaung dari bilik darjah itu.
Usia Cikgu Hamzah awal tiga puluhan. Dia sudah mempunyai beberapa orang anak dan sudah mengajar hampir sepuluh tahun. Esok dia akan mengajar murid tahun empat. Katanya, beberapa orang muridnya belum lancar membaca. Beberapa orang murid lagi belum menghafal semua huruf abjad. Walau bagaimanapun mereka boleh mengeja suku kata atau perkataan dua suku kata yang mudah, iaitu yang menggunakan huruf yang sudah dihafal sahaja. Dia meminta saya memberikan panduan agar pengajarannya esok lancar.
Saya terkelu. Pada masa itu belum sampai dua tahun saya menjadi pensyarah. Saya tidak mengajarkan kurus perkaedahan. Kursus yang saya ajarkan di maktab ialah Kajian Bahasa, Kesusasteraan Melayu dan Kebudayaan Melayu. Selain itu, saya pernah mengajarkan tulisan Jawi kepada pelajar-pelajar Cina, iaitu pada tahun 1980 sahaja.
Semasa di Maktab Perguruan Gaya pada tahun 1973 dan 1974 pula saya mengikuti kursus sekolah menengah. Kemudian saya mengajar di sekolah menengah. Semasa saya menjadi guru sandaran tidak terlatih pada tahun 1972, saya mengajar murid darjah dua hingga darjah enam. Saya belum ada pengetahuan tentang pengajaran bacaan asas dan belum ada pengalaman mengajarkan A-B-C.
Pada tahun 1981 itu Kurikulum Baru Sekolah Rendah belum dilaksanakan. Konsep dan hal-hal yang berkaitan dengan pemulihan belum menjadi bahan perbincangan para pendidik. Pengetahuan tentang pemulihan saya peroleh hanya daripada dua buah buku. Sebuah buku itu bertajuk Pengajaran Pemulihan dalam Bahasa Malaysia karangan Koh Boh Boon terbitan Utusan Melayu pada tahun 1981.
Lama saya berfikir sambil menyedut dan menghembuskan asap rokok. Saya berfikir, alangkah baiknya jikalau Ahmad ada bersama-sama kami. Oleh sebab Ahmad berpengalaman luas menjadi guru dan guru besar sekolah rendah, pasti dia mampu memberikan panduan yang sewajarnya. Paling tidak, dia memberikan panduan umum sambil melawak.
Saya menyoal Cikgu Hamzah, “Cikgu sudah menyiapkan rancangan pengajaran harian dan alat bantu pengajaran untuk esok?”
Dia menjawab, “Belum, tuan. Malam ini saya buat.”
Saya menyoalnya lagi, “Adakah rancangan pengajaran cikgu sebelum ini lengkap?”
Dia diam. Saya menambah, “Saya mahu cikgu pastikan semua rancangan pengajaran sejak mula praktikum hingga kelmarin lengkap. Rancangan pengajaran harian penting. Ada akta yang mengatakan guru boleh didakwa sekiranya gagal mengemukakan rancangan pengajaran harian apabila diminta. Kami akan memeriksa rancangan pengajaran harian cikgu pagi esok.”
“Baiklah, tuan.” jawabnya.
Saya menambah kata, “Hal murid yang belum boleh membaca itu, kita bincangkan bersama-sama dengan Encik Ahmad selepas pemerhatian esok.”
Seterusnya saya memuji usahanya mengetahui prestasi murid. Kata saya, ada guru kurang ambil kisah prestasi murid. Atas permintaan saya, dia menyebut nama murid yang bermasalah pembelajaran itu seorang demi seorang berserta contoh kelemahan murid yang berkenaan. Saya memuji kebolehannya mengingat nama murid dan mengetahui masalah pembelajaran mereka.
Kemudian saya berkata, “Beginilah, cikgu. Cikgu buat sahaja rancangan pengajaran harian seperti biasa. Adakan sekurang-kurangnya tiga langkah. Langkah pertama ialah lisan, langkah kedua ialah bacaan dan langkah ketiga ialah penulisan. Semasa latihan membaca, berilah bahan bacaan yang bersesuaian dengan kebolehan kumpulan atau perseorangan. Semasa latihan menulis, berilah latihan yang bersesuaian juga dengan kemampuan kumpulan kecil atau perseorangan.”
Seterusnya kami berbual tentang murid. Katanya, murid dari kampung di hulu Sungai Kuamut datang ke sekolah dengan mendayung perahu. Apabila banjir, mereka tidak hadir. Perkara itu menjejaskan pembelajaran mereka.
Maghrib tiba. Cikgu Hamzah menunjukkan bilik air dan tandas. Kemudian dia beredar. Ketika saya ke bilik air, bilik darjah itu terang-benderang. Saya tidak ingat sama ada cahaya terang-benderang itu cahaya elektrik atau lampu gasolin.
Selepas isyak seorang pemuda membawa sedulang hidangan. Ahmad membawa cerek dan cawan. Kami menikmati hidangan berdua sahaja. Pemuda itu enggan makan bersama-sama kami.
Saya menolak pelawaan Ahmad untuk bermalam di rumah saudaranya kerana saya menjangka dia akan berbual hingga larut malam. Saya juga menolak ajakan pemuda itu untuk bermalam di rumahnya. Pada malam itu saya tidur di atas beberapa buah meja murid yang disusun rapat-rapat berbantalkan beg pakaian.
Keesokannya, sesi prapemerhatian berjalan lancar. Buku rekod pengajaran, termasuk rancangan pengajaran harian, Cikgu Hamzah lengkap. Alat bantu pengajarannya mencukupi dan sesuai. Proses pencerapan juga lancar. Keupayaannya menyampaikan pelajaran tinggi. Dia memberikan latihan yang sesuai untuk murid yang lemah. Kami merumuskan bahawa persediaan dan pengajarannya adalah yang terbaik apabila dibandingkan dengan tiga orang guru yang sudah kami selia. Oleh hal yang demikian, kami memendekkan perbincangan pascapemerhatian. Saya tetap menggunakan sedikit ruang untuk memberikan panduan umum tentang pengajaran pemulihan kepadanya. Wajahnya yang ceria dan ucapan terima kasih yang diulang-ulangnya menyatakan bahawa dia puas hati.
Kami tiba di Karamuak agak awal. Zuhur masih panjang. Selepas menjamakkan solat zuhur dengan asar, kami bertolak pulang.
Dalam perjalanan, Bachik menyatakan dia dan rakannya tidak memperoleh sebarang hasil buruan pada malam itu. Saya memberitahunya bahawa perjalanan itu akan menjadi kenang-kenangan. Kata saya, kenangan yang terindah ialah menikmati sup pelanduk hasil buruannya. Masa kami menikati sup itu pula pada tengah malam.
Sesungguhnya sup pelanduk dan masakan ayam kampung adalah hidangan yang terbaik sepanjang kegiatan saya sebagai pensyarah penyelia sejak tahun 1980 hingga saya bersara pada tahun 2008.
Bersambung: (39) Batang Gaharu Buruk

Tiada ulasan:
Catat Ulasan