MIAR 1972 |
(1) Turun ke Gelanggang (2) Menghadapi Ujian | (3) Dirancangkan ke Gelanggang Lain | (4) Masuk ke Gelanggang Baharu | (5) Di Tengah-tengah Keindahan | (6) Mengejar Impian | (7) ....
Sabah Institution terletak di tingkat atas sebuah bangunan di Jalan Tugu, Kampung Air. Pada hujung minggu keempat bulan Januari 1972, saya mendaftarkan diri dan terus mengikuti kursus kewartawanan di situ. Kursus itu dikendalikan oleh Drs. Mohd Kassim pada setiap pagi Sabtu dan Ahad. Antara rakan sekursus saya termasuklah penyiar Radio Sabah, Abdul Karim Sadijo. Sejak akhir Januari hingga pertengahan Julai saya pergi ke Kota Kinabalu pada pagi Sabtu dan balik ke Limbanak pada petang Ahad. Pada bulan-bulan yang berkenaan belum ada aktiviti pada hari Sabtu di sekolah.
Di Kota Kinabalu, saya menginap di bangsal pekerja binaan di Bandaran Berjaya atau Masjid Negeri. Dua orang rakan saya yang sama-sama ke Sabah, sama-sama meninggalkan Apas Balung dan sama-sama menumpang Rumah Kebajikan Islam dahulu, bekerja sebagai tukang berkemahiran di situ. Said bekerja sebagai tukang batu di tapak binaan Bandaran Berjaya. Bakar bekerja sebagai tukang kayu di tapak binaan Masjid Negeri di Sembulan. Sesekali saya menginap di rumah Abang Seman di Maktab Perguruan Gaya.
Kebanyakan masa saya pada petang Sabtu habis di Perpustakaan Negeri Sabah di Jalan Gaya. Saya meminjam buku yang berkaitan ilmu kesusasteraan, penulisan, kewartawanan dan buku cerita. Buku-buku itu saya pulangkan pada minggu yang berikutnya. Buku yang berkaitan dengan kewartawanan dalam bahasa Inggeris saya baca di perpustakaan itu sahaja. Ada beberapa kali Said sengaja bekerja separuh hari dan mengikut saya ke perpustakaan. Said meminati buku cereka dan buku yang berkaitan dengan keusahawanan.
Pembimbing kursus kewartawanan itu tidak memberikan apa-apa tugasan. Saya melakukan latihan sendiri berpandukan notanya dan beberapa buah buku yang saya pinjam daripada perpustakaan. Saya berazam untuk melengkapkan diri bagi memohon jawatan wartawan. Saya berkeyakinan bahawa saya mampu bersaing dengan calon lain.
Selain Sijil Pelajaran Malaysia, saya berharap sijil kursus kewartawanan yang akan saya peroleh dapat membantu saya. Dari segi kedalaman minat dalam bidang penulisan, saya mempunyai sedikit bukti. Bukti itu ialah keratan akhbar dan majalah yang memaparkan karya saya. Antara karya itu termasuk sebuah sajak yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada tahun 1968, pemenang pertama pendapat pembaca akhbar Mingguan Malaysia 1968, sebuah sajak yang disiarkan oleh majalah Dewan Pelajar pada tahun 1969, sebuah sajak yang disiarkan oleh akhbar Utusan Zaman pada tahun 1970 dan tiga buah sajak yang disiarkan oleh akhbar Harian Ekspres pada tahun 1971. Sayangnya saya tidak menyimpan keratan akhbar dan majalah beberapa karya lagi yang tersiar sejak tahun 1968 hingga 1971.
Sebuah sajak itu yang ada kaitan dengan tema siri catatan ini adalah seperti yang di bawah:
Gema Cita
Apabila sekali bergema cita hati
dari himpitan bauran derita
bergema suara jiwa lantang sekali
memancar cahaya gemala gerak diri
seksa apa bisa apa segala terduga.
Dengan sebatian cita langkah bermula
menapak setapak
mara
dan mara.
Di jalan
tertumbuk
tersadur
terkulai
melukur siku
terus dan tegap.
Sekali bergema cita hati
setapak merangkak jua
bengkak-bengkak calar luka
bisa terduga
bisa diduga.
Rasmi Safar
(Utusan Zaman, Mei 1970)
Ada sesekali saya tidak menginap di Kota Kinabalu, terutamanya apabila Pak Cik Lawrence beria-ia mengajak saya untuk memukat di laut. Pada hari Sabtu ketika saya ternampak mayat di dalam parit itu pun saya membatalkan kebiasaan menginap di bangsal Said atau Bakar atau di rumah Abang Seman. Saya hendak menyaksikan upacara pengebumian mendiang.
Apabila saya tiba di rumah, orang ramai sudah berkumpul di luar Gereja Saint Aloysius. Saya ke sana. Guru besar dan beberapa orang rakan guru berada di situ. Ada juga beberapa orang kampung yang saya kenal. Saya menyapa mereka agar mereka sedar akan kehadiran saya dalam upacara itu.
Keranda mendiang terbuka. Mendiang terlentang di dalam keranda itu. Dirinya sudah dipakaikan pakaian yang lengkap, iaitu berseluar panjang hitam, berbaju lengan panjang putih, berkot hitam, berkasut hitam dan berdasi kupu-kupu merah. Rambutnya tersisir rapi. Matanya tertutup rapat. Mukanya bersih tetapi masih jelas sembab dan berwarna biru kehitam-hitaman.
Tidak lama kemudian paderi muncul. Ada sebuah buku kecil di tangannya. Orang ramai menghampiri dan mengelilingi keranda. Paderi membaca ayat-ayat yang tidak saya fahami. Orang ramai menunduk. Secara senyap-senyap, saya meninggalkan mendiang dan orang yang sedang menyembahyanginya itu.
Malam itu saya asyik memikirkan sebab kematian mendiang. Saya mengesyaki dia mabuk, terjatuh lalu mati. Mungkin juga dia sengaja berbaring di dalam parit kering di tepi jalan dan bersebelahan dengan tempat menunggu bas itu. Rasanya saya pernah melihat muka mendiang. Rasanya ada muntah tidak jauh dari tempat dia terbaring. Mungkin dia pernah mengetuk dinding rumah saya. Itulah dan berbagai-bagai perkara lagi bermain dalam fikiran saya.
Rumah yang terhampir dengan kuburan Kristian itu ialah rumah saya, kemudian rumah Pak Cik Lawrence dan seterusnya rumah seorang Cina yang berkahwin dengan orang Kadazan. Sebahagian kubur itu dapat dilihat dari sebuah bilik di rumah saya. Bilik itu bukan bilik tidur saya.
Kesemua tingkap rumah saya tidak berlangsir. Malam itu saya berasa tidak selesa. Saya sidaikan kain pelekat di tingkap bilik yang kosong dan tuala mandi di tingkap bilik tidur. Lampu saya padamkan kecuali lampu di laluan ke dapur. Saya cuba memejamkan mata. Mata saya tertutup tetapi fikiran saya menerawang.
Sejak berada di rumah itu saya sering bermimpi. Kebanyakan mimpi itu aneh dan berlatarbelakangkan alam kanak-kanak dan remaja. Saya boleh terbang. Sekejap saya ke sana, sebentar lagi saya ke sini. Tiba-tiba saya berada di suatu tempat yang sudah sangat biasa dengan saya. Tup-tup saya berada di suatu tempat yang asing. Tiba-tiba rakan-rakan lama muncul. Mereka hilang. Muncul pula orang yang macam saya kenal. Dia hilang. Wajah suram seseorang entah macam mana kelihatan di atas pelamin. Rasanya saya kenal betul wajah itu. Saya menangis. Apabila saya sedar, memang benar-benar saya menangis. Saya tidak mahu mimpi yang bukan-bukan itu berulang lagi tetapi apakah daya saya untuk menghalang kehadiran mimpi?
Fikiran tentang mimpi menghapuskan ingatan saya terhadap mendiang. Saya memikirkan masa hadapan saya pula. Pekerjaan guru bukan pilihan saya. Namun saya tetap bersyukur kerana pekerjaan itu membuka ruang bagi saya mengikuti kursus kewartawanan. Selepas itu saya bercadang untuk mengikuti kursus jurufoto. Jikalau pada tahun hadapan saya masih berada di sekolah itu lagi, saya akan berusaha untuk mengikuti kursus gaya pos tentang penulisan atau Sijil Tinggi Pelajaran atau kedua-duanya sekali.
Borang permohonan untuk jawatan penyiar di Radio Sabah sudah saya hantar. Berdasarkan perbualan dengan Karim Sadijo dan seorang rakan di Jabatan Penyiaran Sabah yang sekursus dengan saya, tugas jawatan penyiar atau penolong penerbit rencam. Antara tugas itu termasuklah mencari, menulis dan membaca berita. Saya berdoa agar permohonan saya mendapat perhatian. Saya hendak menjadikan pekerjaan itu sebagai arena latihan. Cita-cita saya hendak menjadi wartawan akhbar masih bersemarak.
Malam semakin gelap. Suhu Kampung Limbanak semakin sejuk. Fikiran saya semakin kelam. Mata saya pejam. Saya tertidur dengan nyenyaknya tanpa mimpi.
Bersambung: (7) Orang Bujang di Limbanak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan