Sabah Tempat Bermain: Gelanggang Permulaan
(1) Turun ke Gelanggang | (2) Menghadapi Ujian | (3) Dirancangkan ke Gelanggang Lain | (4) Masuk ke Gelanggang Baharu (5) Di Tengah-tengah Keindahan | (6) Mengejar Impian | (7) Orang Bujang di Limbanak | (8) Menyusul: Selamat Tinggal, Rose!
Pada awal bulan Oktober 1971 Abang Seman dan Kak Eton sampai di Rumah Badan Kebajikan Islam, iaitu tempat penginapan sementara saya dan rakan-rakan apabila kami meninggalkan Apas Balung. Pada akhir bulan itu, mereka sampai pula di rumah sewa kami di tepi pantai Kampung Likas. Pada pertengahan Januari 1972, mereka menghantar saya untuk berpindah ke Sekolah Rendah Saint Aloysius, Limbanak. Mereka melihat tempat tinggal baharu saya di hujung curaman dari jauh. Saya yakin, mereka dapat membandingbezakan keistimewaan rumah guru dengan rumah musafir dan rumah sewa buruh binaan.
Pada akhir Mac, sekali lagi mereka sampai ke Kampung Limbanak. Anak mereka, Iskandar dan Azhar, ikut serta.
Kak Eton berkata, “Rumah ini dekat betul dengan sekolah. Sejak bilakah kamu pindah?”
Saya menjawab, “Saya di rumah bawah itu tiga minggu sahaja, kakak. Saya pindah ke rumah ini pada awal bulan lalu.”
Sesudah berkata, “Untunglah kamu!” dan tanpa melihat saya, dia naik ke atas rumah. Saya mengekorinya. Matanya menyeluruhi ruang tengah rumah yang kosong. Dia melihat lantai papan tanpa tikar. Dia menyoroti pintu dan tingkap tanpa langsir. Dia menjenguk ke bilik tidur. Dia melihat sebuah bantal kusam di atas cadar luntur yang menutupi sebahagian tilam nipis pudar di atas katil bujang usang. Dia melihat ke arah almari buku lama yang di atasnya ada mesin taip buruk. Di dalam almari cermin itu ada beberapa buah buku, termasuk sebuah buku rekod pengajaran guru. Dia menggeleng-geleng tanpa melihat saya.
Dia masuk ke bilik sebelah. Dia membuka almari kayu. Sedikit pakaian saya tergantung, sedikit lagi berlipat dan ada pula yang bersepah. Di dalam almari itu ada sebuah beg kembara yang sederhana besarnya. Kak Eton memegang beng itu. Jikalau dia bertanya, saya akan menyatakan bahawa beg yang saya beli di Alor Setar itu pernah berada di Seremban, Singapura, Kota Kinabalu dan Apas Balung. Beg itu sudah mengembara dengan kereta api, kapal kargo, kapal terbang, bas dan teksi. Beg itu dapat memuat semua pakaian saya. Tetapi, dia tidak bertanya. Sebaliknya, dia melihat saya tanpa senyuman. Mulutnya dimuncungkan sedikit dan hidungnya yang kembang dikembangkan sedikit lagi. Saya menyengih.
Kemudian Kak Eton melihat sejadah yang berlipat kemas di atas tikar kecil yang sudah koyak. Dia mengangguk-angguk. Dia melihat ke luar pula melalui tingkap cermin sisik yang terbuka. Saya percaya bahawa atap zink merah bangunan utama sekolah, dataran gereja yang tidak berumput, bangunan Gereja Saint Aloysius yang tersergam dan kuburan Kristian di atas bukit, menarik perhatiannya. Rasa saya, dia juga nampak nisan yang berbentuk salib dan hal itu menyebabkan dia cepat-cepat berpaling. Dengan pantas dia turun ke dapur melalui tangga kayu yang kukuh. Saya mengekorinya.
Dia menarik anak selak pintu dapur. Pintu kayu itu berkeriut dan menganga. Matanya melingas. Tiada kayu api di atas dapur simen. Yang ada hanya sebuah dapur minyak tanah. Di atas dapur minyak tanah itu tertenggek sebuah periuk kecil. Di sisi dapur minyak tanah itu terdapat sebuah cerek dan sebuah kuali.
Dia melangkah ke dalam dapur. Matanya menyoroti dua buah tin biskut, sebotol minyak kelapa, sebuah bekas yang berisi gula, lebih sepuluh tin ikan sardin, sebuah kole, beberapa biji cawan, dua biji pinggan, beberapa batang sudu, sebatang senduk nasi, sebatang senduk kuah dan sebatang sudip. Saya jua percaya dia melihat dua buah besin, sebilah pisau, sebatang pembuka tin dan sekotak mancis. Dia membuka tutup sebuah tin biskut. Di dalam tin itu ada baki biskut saya. Dia membuka tutup tin yang sebuah lagi. Di dalam tin itu ada teh, ikan bilis, beberapa ekor ikan kering, bawang merah, bawang putih, halia dan lada kering. Dia menggeleng-geleng. Kemudian dia mencapai sebuah besin kecil. Di dalam besin itu ada garam dan asam jawa.
Dia menutup pintu dapur. Dia melepaskan segumpal nafas. Saya bersandar pada tiang sengkuap dapur dan bersedia untuk mendengar hasil pemeriksaannya.
“Kamu makan kicap?”
“Makan, tetapi saya belum jumpa kicap buatan orang Islam.”
“Taucu?”
“Makan juga. Taucu saya sudah habis.”
“Kunyit?”
“Kadang-kadang saya gunakan juga. Selalunya, tidak.”
“Serbuk perasa?”
“Tiada. Masakan tanpa serbuk perasa pun sudah cukup sedap.”
“Ada lesung batu?”
“Tiada.”
“Macam mana kamu tumbuk lada kering.”
“Saya goreng atau rendam begitu-begitu sahaja dalam kuah.”
“Apakah sarapan kamu?”
“Selalunya biskut. Sesekali nasi goreng. Kalau sudah terlambat, saya makan nasi sejuk dengan ikan bilis mentah.”
“Lagi?”
Nampaknya Kak Eton betul-betul hendak tahu. Saya berkata, “Jikalau ikan bilis sudah habis, nasi sejuk saya campur dengan air panas dan sedikit gula. Jadilah bubur. Sedap!”
Kak Eton mengulum senyuman. Saya rasa dia menahan tawa. Dia berkata, “Ha, ini barulah betul-betul orang bujang. Lagi?”
Wah, bersungguh-sungguh betul Kak Eton ingin tahu! Maklumlah, dia tukang masak dan pembuat kuih yang sudah terkenal dalam kalangan warga Maktab Perguruan Gaya.
Saya menjawab dengan gaya selamba, “Ubi kayu rebus. Si Rose, anak mak cik di sana itu bagi.”
“Cantik Rose itu?”
“Tentulah. Dia comel dan keletah.”
“Kamu, biar betul!”
“Benar, kakak. Dia budak tadika. Manalah tahu malu.”
“O ho! Kakaknya ada?”
“Ada.”
“Kamu biar betul, Isa. Orang di sini kuat minum. Nanti kamu tidak balik, menangis emak kamu. Anak jantan emak kamu seorang sahaja!”
Saya hendak memberitahu Kak Eton bahawa gaji bersih saya sebagai guru sandaran hanya seratus tujuh puluh ringgit sebulan. Selain untuk kegunaan makan-pakai, sebahagian gaji itu saya gunakan untuk membayar yuran kursus kewartawanan dan tambang-menambang. Mana mungkin saya berani mengusik anak dara orang!
Hal itu saya pendamkan. Saya berkata, “Betul …! Kakak si Rose itu baru tingkatan empat agaknya. Tidak pernah saya mengacau budak itu.”
“Eloklah itu. Ada kamu ikut orang di sini minum-minum?”
“Eh, tidaklah! Saya tengok sahaja. Saya minum kopi atau oren. Saya ….” Telunjuk kanan saya halakan ke langit beberapa kali. Kemudian saya mengangkat kedua-dua belah tangan seperti orang bertakbiratulihram.
“Yalah, orang bersembahyang!” kata Kak Eton.
Rasanya itu nada perli! Saya menyengih. Saya tidak akan bermasam muka di hadapannya. Tersengih atau diamlah sambutan terbaik. Di Sabah, Kak Etonlah orang yang paling mengambil berat tentang diri saya. Dia sudah berusaha untuk mencorakkan masa hadapan saya. Sementelahan, saya pernah mendengar orang Melaka mengucapkan kata-kata yang berkemungkinan dapat menghiris tangkai jantung orang yang pertama kali mendengarnya. Kak Eton anak Melaka jati. Memang ada kemungkinan dia menghamburkan kata-kata begitu. Saya mesti berlapang dada sekiranya keadaan itu terjadi.
Kak Eton melaung, “Iskandar …! Bawa borang tadi dan bagi abang kamu ini!”
*******
Pada masa cuti penggal pertama saya dan beberapa orang lagi menghadiri temu duga sebagai penyiar di bangunan Radio Sabah, Jalan Tuaran. Selepas tempoh temu bual dan pemeriksaan dokumen, kami menjalani ujian menulis skrip rancangan. Seterusnya, seorang demi seorang calon menjalani ujian suara di dalam studio. Antara ujian itu termasuklah mengucapkan ayat, “Pukul lapan pagi. Inilah Radio Malaysia Sabah!”
Saya menunggu keputusan temu duga itu dengan penuh debar. Untuk memperoleh jawatan itu, saya tidak meletakkan harapan setinggi awan. Harapan setinggi Gunung Kinabalu pun tidak berani saya sasarkan. Saya mampu menilai diri. Bidang ujian bertulis bukannya penulisan berita atau rencana yang sudah saya kuasai tetapi penulisan skrip rancangan. Saya belum pernah melihat, membaca atau menulis skrip rancangan. Tentang ujian suara, saya tidak pasti sama ada suara saya layak ke udara ataupun tidak. Namun saya masih meletakkan sedikit harapan, sekira-kira setinggi bukit di belakang Gereja Saint Aloysius di Kampung Limbanak itu.
Surat keputusan temu duga yang saya terima beberapa minggu kemudian bermula dengan ungkapan “dukacita”. Harapan saya berkecai. Mujurlah borang permohonan untuk menjadi guru pelatih maktab perguruan di Sabah yang diberikan oleh Kak Eton sudah saya isi dan sudah saya poskan. Jikalau masih tiada pekerjaan lain, guru pun gurulah, kata hati saya.
Bersambung. (8) Selamat Tinggal, Rose!

Tiada ulasan:
Catat Ulasan