05 Oktober 2012

Selamat Tinggal, Rose!

Sabah Tempat Bermain: (1) Turun ke Gelanggang | (2) Menghadapi Ujian | (3) Dirancangkan ke Gelanggang Lain | (4) Masuk ke Gelanggang Baharu | (5) Di Tengah-tengah Keindahan | (6) Mengejar Impian | (7) Orang Bujang di Limbanak |

Peperiksaan kursus kewartawanan Sabah Institution dijalankan pada 14 Julai 1972. Saya berjaya dalam peperiksaan itu dan dianugerahi Sabah Institution Certificate in Six Month Journalism Course. Sayangnya sehingga akhir tahun, tiada sebarang iklan kekosongan jawatan sebagai wartawan. Sijil itu terperap dalam sampul surat besar bersama-sama sijil yang lain.

Sesudah menamatkan kursus itu, saya masih ke Perpustakaan Sabah untuk memulangkan buku dan meminjam buku baharu. Saya masih singgah di bangsal Said dan Bakar tetapi sudah jarang-jarang bermalam. Kekerapan saya singgah dan bermalam di rumah Abang Seman meningkat. Kekerapan saya mengikut Pak Cik Lawrence dan Mak Cik Magdalena memukat juga meningkat.

Pada bulan Ogos, saya menghadiri temu duga untuk mengikuti latihan perguruan. Debaran yang saya alami hebat juga. Di luar bilik temu duga di Maktab Perguruan Gaya itu, saya masih berusaha untuk mengekalkan ingatan tentang beberapa hal ehwal semasa dan nama menteri. Semua perkara itu tidak ditanya oleh penemu duga. Saya rasa mereka berbual dengan saya, bukannya menemu duga. Perbualan kami berkisar tentang hal diri dan minat saya dalam bidang perguruan. Saya berusaha untuk menjadi pelakon yang baik seperti yang pernah diajarkan oleh guru saya, Cikgu Ahmad Yatim, semasa saya di sekolah menengah rendah.

Ogos pergi. September memunculkan diri. September menghilang. Oktober datang. Anggota “keluarga” saya berubah laku. Beliling menghilangkan diri. Charles sibuk dengan tugasnya di Kota Kinabalu. Dia semakin jarang pulang ke Limbanak. Evelyn giat mengulang kaji pelajaran bagi menghadapi peperiksaan akhir tahun. Semakin jarang dia menghidangkan kopi o untuk saya ketika saya duduk-duduk di kedai runcit itu. Mak Cik Magdalena mengambil alih tugasnya. Dahulu, sebelum menikmati kopi o, saya menikmati senyuman Evelyn. Mulai akhir September, hanya senyuman Mak Cik Magdalena mengiringi cawan kopi o. Morris juga berubah. Dia semakin bersungguh-sungguh belajar dan menyiapkan kerja rumah.

Perubahan juga melanda Rose dan Ali. Mereka semakin kerap menemani saya. Mereka semakin selesa memanggil saya cikgu. Mereka semakin rajin bertanya itu dan ini. Kekerapan ucapan seperti “Cikgu, minta biskut!”, “Cikgu, ada kopi?” dan “Kelmarin cikgu ke mana?” juga meningkat.

Mulai minggu kedua bulan Oktober, saya menjalani ibadah puasa bersendirian di kampung itu. Itulah kali ketiga saya berpuasa di rantau orang. Pada tahun 1970 saya berpuasa di Alor Setar. Pelajar institut dan masyarakat di sekeliling semuanya Islam. Pada tahun 1971 saya berpuasa di Kampung Likas, Kota Kinabalu bersama-sama empat orang rakan senasib. Masyarakat di kampung dalam kawasan bandar itu juga semuanya Islam. Di Limbanak pada tahun 1972 itu, saya berpuasa seorang diri. “Keluarga” dan masyarakat yang mengelilingi saya ialah suku kaum Kadazan yang beragama Kristian.

Pada bulan Ramadan itu saya berasa waktu petang panjang. Penungguan waktu berbuka puasa terasa lama. Mujurlah Rose dan Ali tetap setia bersama-sama saya. Leka jugalah saya melayan keletah mereka. Rose hairan kerana saya tidak mengunyah biskut dan menghirup kopi bersama-samanya dan Ali.

Dia bertanya, “Mengapakah cikgu tidak makan.”

Saya menjawab, “Cikgu makan, tetapi waktu malam sahaja.”

Dia bertanya lagi, “Sebab apa, cikgu?”

“Cikgu berpuasa.”

“Puasa itu apa, cikgu?”

“Puasa itu, tidak makan dan tidak minum pada waktu siang.”

“Sebab apa cikgu?”

“Cikgu orang Islam. Orang Islam mesti berpuasa.”

“Dahulu cikgu tidak berpuasa!”

“Puasa itu sebulan sahaja. Itulah bulan puasa.”

“Bulan makan, cikgu?”

Ali menyampuk, “Mana ada bulan makan.”

Rose menyanggah, “Ada bulan puasa, adalah bulan makan!”

Hari berikutnya Rose tidak bertanya lagi. Saya percaya dia sudah faham maksud puasa tetapi bukan saya yang memahamkannya. Saya percaya, dia bertanya emak atau ayahnya. Rasanya, mereka berjaya memberikan penjelasan tentang maksud puasa kepada Rose dan Ali dengan menggunakan bahasa ibunda.

Pada bulan puasa itu saya mempunyai kesempatan yang banyak untuk bermuhasabah. Saya berasa saya semakin menyukai kanak-kanak. Panggilan cikgu dari pelbagai arah sungguh menyeronokkan.

“Cikgu kencing!”

Masakan dia nampak saya kencing. “Jikonis, cakap ‘saya hendak ke tandas’.”

“Cikgu, saya hendak pergi kencing!”

“Stephen kata begini, ya: ‘Cikgu, saya hendak pergi buang air kecil’.”

Saya semakin memahami tugas guru. Sebagai guru Bahasa Malaysia, saya bukan sekadar mengajarkan perkataan. Saya menerapkan kesantunan. Saya membaca sebuah buku kajian masalah pertuturan dalam kalangan murid. Saya faham bahawa suku kaum Kadazan sukar membunyikan huruf y dan beberapa huruf lagi. Saya sudah menyedari bahawa perbuatan melepaskan rasa geram kepada murid yang gagal menyebut perkataan seperti “payung” bukanlah cara pengajaran yang betul. Hal itu pernah saya lakukan. Saya menyesal. Saya juga mula membaca buku ilmu jiwa. Saya menyesal kerana pernah mencubit murid dan mengeluarkan perkataan “bodoh!” kepada murid nakal atau gagal memberikan jawapan yang betul untuk soalan yang mudah.

Pelbagai peristiwa yang saya alami sebagai guru meningkatkan kematangan saya. Kegagalan saya dalam temu duga untuk menjadi kakitangan Radio Sabah menambah keinsafan saya agar tidak memilih kerja. Saya mula menaruh harapan agar diterima untuk menjalani latihan perguruan walaupun harapan itu hanya setinggi bukit di belakang Gereja Saint Aloysius. Kak Eton ada menyatakan bahawa fail permohonan saya di bawah. Namun, Kak Eton juga memberikan sedikit sinar harapan. Kata-kata harapan itu terngiang-ngiang di telinga saya, “Abang kamu sudah naikkan fail kamu itu.”

Jikalau sinar harapan itu sirna, saya berharap lantikan saya sebagai guru sandaran selama setahun sahaja itu akan disambung. Saya meletakkan harapan tambahan. Saya mahu ditempatkan di sekolah yang dilingkungi oleh orang Islam. Saya hendak meninggalkan Limbanak. Saya berasa khuatir iman saya bukan sekadar calar bahkan mungkin rosak sekiranya saya terus bertugas di situ. Dua peristiwa yang saya alami benar-benar berbekas dalam jiwa saya.

Peristiwa pertama, semasa majlis perkahwinan Cikgu Linus, beberapa orang kampung menarik tangan saya untuk menari sumazau. Mahu tidak mahu, saya menari juga. Itulah kali pertama saya menari. Ketika kami menari, seorang mak cik mengilai sambil menyuakan bibir gelas yang berisi motoku ke mulut saya. Saya berasa hendak menempelaknya. Saya dapat menahan amarah. Saya mengelakkan diri daripada terteguk tapai Penampang itu. Ada seseorang melayan si mak cik yang saya jangka sudah separuh mabuk. Saya kembali ke tempat duduk.

Peristiwa kedua, saya menunaikan pelawaan Pak Cik Lawrence dan Mak Cik Magdalena untuk menghadiri satu majlis perkahwinan. Di situ ada pertunjukan tarian sumazau. Penari dan pemukul gong berpakaian lengkap. Gerak tari mereka menarik. Selepas itu ada tempoh tarian untuk awam. Saya menjadi pemerhati. Sebentar kemudian beberapa orang merangsang saya untuk menari. Seorang mak cik menarik tangan saya. Sekali lagi, mahu tidak mahu, saya pun menari. Kejadian seperti di rumah Cikgu Linus berulang. Kali ini saya meninggalkan gelanggang. Sejak peristiwa kedua itu, hati saya sudah tertutup untuk menghadiri apa-apa majlis yang ada hidangan montoku.

Selama di Limbanak juga amat jarang saya dapat bersolat Jumaat. Rasa terkilan saya tentang hal itu pernah saya luahkan dalam sebuah sajak seperti yang berikut:

Jumaat

Malam kesyukuran
mendendangkan lagu Tuhan
malam berkat
melahirkan rasa tersirat.

Majlis di rumah Tuhan
berkumpul kami meraikan
sedar teliti amanat mimbar
salam suci persaudaraan tersebar.

Di majlis ini
seorang mubaligh bersedih
menyatakan siratan hati kasih:
bukakan pintu hati mereka
paling praktik menghormati
penghulu hari ini cara
menangguhkan usaha hidup
membebaskan jentera negara
(Ahad itu mencabar ketara.)

Rasmi Safar
Likas, Jumaat, 5 November 1971
(Daily Ekspres, 10 November 1971)

Pada suatu petang hujung bulan Disember, Abang Seman dan Kak Eton datang untuk membawa saya ke Maktab Perguruan Gaya. Saya akan tinggal di rumah mereka beberapa hari sahaja. Pada awal Januari 1973 saya akan melaporkan diri sebagai guru pelatih di maktab itu.

Oleh sebab surat tawaran untuk menjadi guru pelatih itu saya terima pada masa cuti persekolahan, tiada rakan guru mengetahui kejayaan saya kecuali guru besar. Saya sudah menyerahkan buku rekod pengajaran dan beberapa buah buku teks milik sekolah kepadanya. Saya tidak perlu melakukan serah tugas kerana perkhidmatan saya sebagai Guru UTS berakhir secara automatik pada 31 Disember 1972.

Ketika kereta Abang Seman bergerak untuk meninggalkan Kampung Limbanak, tiada orang melihat saya. Guru bercuti. Sekolah kosong. Saya melihat rumah guru, sekolah, gereja dan kuburan dengan perasaan yang sayu. Dalam hati saya berkata, maafkan saya Cikgu Joanes. Maafkan saya wahai Cikgu Joshua. Maafkan saya wahai rakan-rakan, Linus, James, Betty, Winnie, Mary dan Stephanie. Terima kasih cikgu-cikgu dan selamat tinggal.

Saya menyembunyikan kejayaan saya daripada Pak Cik Lawrence dan keluarganya. Saya mahu mereka terkejut apabila secara tiba-tiba sahaja kereta Abang Seman membawa saya ke Kota Kinabalu. Sayangnya, ketika kereta Abang Seman bergerak untuk meninggalkan kampung itu, kedai runcitnya berkunci. Dia dan keluarganya mungkin ke ladang, ke bendang, ke majlis perkahwinan atau makan angin di mana-mana.

Dari tempat duduk belakang kereta Abang Seman, saya melihat kedai runcit yang berkunci itu. Di situ saya selalu duduk-duduk dan minum kopi atau oren percuma. Dalam hati, saya mengucapkan selamat tinggal kepada Pak Cik Lawrence dan Mak Cik Magdalena. Selamat tinggal Charles, Evelyn dan Morris. Kepada Rose dan Ali, terima kasih cikgu ucapkan. Kamu berdua menyerikan kebanyakan siang cikgu di Limbanak. Selamat tinggal, Ali!

Khusus untuk Rose, maafkan cikgu kerana pernah melepaskan cubitan geram ke pipimu. Selamat tinggal, Rose! Cikgu akan merinduimu dan Ali.

Tamat.

Sabah Tempat Bermain

Tiada ulasan: