Sabah Tempat Bermain
Pada tahun tujuh puluhan terdapat dua buah maktab perguruan di Sabah. Maktab pertama ialah Maktab Perguruan Kent yang ditubuhkan pada tahun 1951. Pembukaan rasminya disempurnakan oleh Duchess of Kent pada 25 Oktober 1952. Maktab kedua ialah Maktab Perguruan Gaya yang dibuka secara rasmi oleh Gabenor North Borneo Colony yang terakhir, Sir William Goode, pada 4 Julai 1963. Maktab Perguruan Kent melatih bakal guru sekolah rendah sahaja. Maktab Perguruan Gaya pula melatih bakal guru sekolah menengah dan sekolah rendah.
Sebutan asal kedua-dua maktab itu tanpa perkataan perguruan dan kerap bertukar dengan sebutan bahasa Inggeris, iaitu Kent College dan Gaya College. Ketiadaan perkataan perguruan menyebabkan ada orang menganggap maktab-maktab itu ialah sekolah seperti Maktab Sabah. Kini perkataan maktab masih digunakan untuk merujuki sekolah seperti Maktab Mahmud di Alor Setar dan Maktab Adabi Gaya Pos. Perkataan maktab dalam ungkapan ini dapat digantikandengan sekolah. Bagi ungkapan tertentu seperti Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), penukaran perkataan maktab menjadi sekolah dijangka menyebabkan warga MRSM naik angin.
Ketika saya berada dalam tahun pertama, penggunaan ungkapan Maktab Perguruan Gaya belum meluas. Warga maktab itu dan masyarakat luar, seperti pemandu teksi, masih menggunakan ungkapan Maktab Gaya. Penghuni kampus seperti Abang Seman dan Kak Eton juga menggunakan ungkapan yang sama atau rujukan ringkas maktab. Kini baru saya sedar bahawa penggunaan perkataan perguruan bermula pada tahun 1973. Itulah sebabnya penggunaan ungkapan lama masih meluas ketika saya menjadi guru pelatih maktab itu. Penggunaan perkataan perguruan mantap apabila maktab-maktab perguruan di Sabah ditadbir oleh Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia mulai tahun 1981.
Ketika saya mula-mula bergelar guru pelatih, ada juga orang menyebut maktab kami Universiti of Gaya. Nama julukan itu asalnya diketengahkan oleh sebuah akhbar tempatan bagi mengukuhkan pandangan penulis akhbar itu bahawa maktab kami ialah institusi pendidikan terulung di Sabah.
Sememangnya kelayakan asas untuk menjadi guru pelatih maktab kami tinggi. Walaupun kelayakan asas guru pelatih kursus perguruan sekolah rendah ialah Sabah Junior Certificate of Education, tetapi jumlah mereka tidak banyak berbanding dengan guru pelatih kursus perguruan asas sekolah menengah yang memiliki kelayakan asas Malaysia Certificate of Education atau Sijil Pelajaran Malaysia. Segelintir guru pelatih itu memiliki Sijil Tinggi Pelajaran.
Institusi pengajian tinggi yang dinamakan Yayasan Sabah-Institut Teknologi MARA (YS-ITM) dibuka pada bulan Mac 1973. YS-ITM yang menjadi asas ITM Sabah itu belum mengeluarkan lulusan dan belum terkenal. Demikian juga halnya dengan Universiti Kebangsaan Malaysia Cawangan Sabah yang dibuka pada tahun 1974. Jadi, gelaran institusi pendidikan terulung di Sabah terus disandang oleh maktab kami Gaya sehingga YS-ITM, dan kemudiannya UKM Cawangan Sabah, mengadakan konvokesyen yang pertama.
Kampus maktab kami terletak lebih kurang dua kilometer dari pusat bandar Kota Kinabalu. Luas kawasannya hampir 20 hektar. Institusi terpenting yang berhampiran dengannya ialah Hospital Queen Elizabeth. Jarak maktab ke hospital kira-kira sekilometer melalui jalan raya dan kurang sekilometer melalui jalan pintas dengan berjalan kaki. Tambang bas ke Kota Kinabalu lima puluh sen dan tambang teksi dua ringgit.
Bangunan pentadbiran, bangunan kuliah, dewan, perpustakaan, asrama dan bengkel berjejer di atas bukit. Kediaman pensyarah dan gelanggang terpisah-pisah di lereng bukit. Padang terletak di kawasan paya yang sudah ditimbus. Pada masa itu, masjid dan beberapa bangunan tambahan seperti yang ada kini masih belum dibina. Ada beberapa kawasan berupa semak samun, termasuk gaung di hadapan bangunan asrama.
Dari pintu masuk utama, deretan bangunan maktab itu bermula dengan bangunan pentadbiran dua aras. Satu ruang di aras bawah yang terhampir dengan pintu masuk utama ialah pejabat pengetua. Ruang lain ialah pejabat am. Pejabat lain, bilik mesyuarat dan bilik-bilik pensyarah terletak di aras atas.
Bangunan itu bersambung dengan bangunan kuliah tiga aras. Aras bawah bangunan kuliah itu separas dengan aras atas bangunan pentadbiran. Dalam bangunan kuliah terdapat banyak bilik kuliah dan beberapa kemudahan lain seperti makmal sains, bilik pengajaran mikro, bilik pemerhatian latihan dan makmal bahasa. Di belakang bangunan kuliah ada dua buah bangunan searas untuk mata pelajaran tertentu seperti Sains Rumah Tangga dan Seni Lukis.
Bangunan dewan ialah bangunan terbesar dan tersendiri. Bangunan itu terdiri daripada dewan besar dan dewan makan. Dewan besar berlantai parket, cukup luas dan tinggi serta lengkap dengan pentas dan kemudahan pementasan. Aras bawah dewan makan lebih tinggi daripada lantai dewan besar. Sekatan gelongsor dewan makan dapat ditolak agar dewan makan itu dapat berfungsi sebagai kawasan tempat duduk tambahan dewan utama. Perpustakaan dan bilik tayang terletak di aras atas dewan makan.
Asrama wanita yang berupa bangunan tiga aras terletak di hujung bangunan dewan, tersendiri dan terkebawah lebih lima kaki daripada aras bawah dewan. Di hujung asrama wanita terletak bangunan asrama lelaki, tersendiri dan dipisahkan oleh jalan melalui pintu masuk kedua. Dari luar, bangunan asrama lelaki tiga aras juga tetapi sebenarnya sebahagian bangunan itu mempunyai aras bawah bahagian bawah (lower ground). Dataran sisi aras bawah bahagian bawah itu ialah tempat untuk menjemur pakaian.
Separuh aras bawah asrama lelaki digunakan sebagai dewan rehat. Di situ ada pejabat matron. Namanya Tun Maimun. Dia ialah isteri kepada pengarang sebuah akhbar tempatan, TS Hamid. Dalam dewan rehat juga terdapat kemudahan riadah seperti peti televisyen, meja pingpong dan papan karom. Dewan rehat itu dikongsi oleh guru pelatih lelaki dan wanita.
Di hujung asrama lelaki dan terpisah daripada bangunan itu ada kedai dan bangunan bengkel. Dalam bengkel kerja kayu dan logam itu terdapat bilik pensyarah, iaitu Encik Raja Indran dan Encik Vishnupathan. Curaman di sisi bengkel itu menjadi laluan guru pelatih ke jalan raya bagi menunggu kenderaan untuk ke Kota Kinabalu.
Di maktab itu kehidupan saya lebih teratur. Saya mesti mengikut jadual dan peraturan. Sistem perkuliahan sudah semestinya berjadual dan berperaturan. Waktu sarapan ada jadual dan peraturan. Waktu makan ada jadual dan peraturan. Waktu belajar terarah ada jadual dan peraturan. Kegiatan kokurikulum ada jadual dan peraturan. Waktu bebas ada jadual dan peraturan. Bahkan waktu tidur pun ada jadual ada peraturan.
“202, light off!”
Jeritan itu pasti kedengaran jikalau bilik kami masih terang benderang sedangkan waktu pemadaman lampu seperti yang tercatat dalam peraturan asrama sudah berlalu. Jikalau kami berdegil, guru pelatih yang bertugas sebagai penguat kuasa pada malam itu akan mengetuk pintu bilik dan memberikan amaran. Jikalau kami masih berdegil, perkara itu akan dimaklumkan kepada warden. Warden akan bertindak berdasarkan peraturan.
Saya menghuni bilik 202 sejak mendaftarkan diri sebagai guru pelatih. Angka dua yang pertama bermaksud tingkat kedua. Ertinya bilik saya itu di tingkat kedua. Dua angka seterusnya bermaksud bilik nombor dua. Di bilik nombor dua, tingkat kedua bangunan asrama lelaki itu, saya tinggal bersama-sama Wan Alias dari Kelantan, Shamsudin dari Selangor, Alias Kasdu dari Selangor juga, Mohd Tawil dari Johor dan Ku Bahaudin dari Kedah. Perbezaan umur antara kami setahun dua sahaja.
Bilik kami luas, lebih luas daripada rumah penginapan sementara saya di Jalan Saga, Kampung Likas pada hujung tahun 1971. Katil kami sebuah-sebuah, bukan bertingkat. Ada jarak yang sesuai antara katil. Tilam dan bantal baharu. Almari yang kami panggil locker terlekat di dinding. Almari yang dapat menjadi tempat bersembunyi dua orang dewasa itu terlalu besar untuk pakaian saya yang sedikit. Ada sebuah meja panjang dan enam buah kerusi di dalam bilik itu.
Selepas lampu dipadamkan, biasanya Wan Alias memulakan sesuatu tajuk perbualan. Ku Bahaudin, Alias Kasdu dan Samsudin suka melayan ocehannya. Saya menyampuk sesekali. Saya suka tidur awal agar dapat bangun awal juga. Mohd Tawil jarang-jarang menyampuk. Dia pun suka tidur awal kerana dia bangun sebelum waktu subuh untuk ke surau di aras bawah.
Adakalanya di dalam bilik yang gelap itu Wan Alias menceritakan kisah lamanya. Oleh sebab dia bersifat terbuka, hubungannya dengan seorang anak Cina juga dikisahkannya. Alias Kasdu dan Ku Bahaudin suka mencelah. Hal itu menyebabkan Wan Alias berceritera lebih rancak. Sesekali, Samsudin ikut memerikan kesukaran hidupnya. Mohd Tawil amat jarang bersuara. Saya pun hampir sama dengan Mohd Tawil. Namun, saya kerap memberikan penjelasan agak panjang apabila ditanya.
Saya tidak menceritakan cabaran hidup saya sebagai buruh binaan kepada mereka. Hampir semua hal itu sudah saya perikan secara rinci dan kreatif melalui media tulisan dengan menggunakan mesin taip yang dibelikan oleh emak saya secara ansuran bulanan pada awal tahun 1968. Penaipan kisah itu saya lakukan pada akhir bulan November dan sepanjang Disember tahun 1971 di Limbanak. Hasil penaipan itu sudah menjadi manuskrip.
Manuskrip itu sudah saya poskan kepada sebuah syarikat penerbitan di Singapura. Kata hati saya, apabila manuskrip itu bertukar menjadi buku nanti, buku itulah akan berkisah kepada rakan-rakan bilik 202 itu dan rakan-rakan yang lain, terutamanya kumpulan Eswandi.
Bersambung ... (10) Kumpulan Eswandi

Tiada ulasan:
Catat Ulasan