07 Oktober 2012

Kumpulan Eswandi

Sabah Tempat Bermain


Eswandi ialah nama julukan kumpulan saya dalam tahun pertama di Maktab Perguruan Gaya. Nama sebenar yang ditetapkan oleh maktab ialah S1D. Huruf S ialah huruf pertama secondary yang bermaksud kursus perguruan asas sekolah menengah. Angka satu bermaksud tahun pertama. Angka itu menjadi angka dua apabila kami berada dalam tahun kedua. Huruf D bermaksud kelas yang keempat, iaitu kelas aliran Melayu bagi mata pelajaran bukan sains dan bukan juga matematik. Sebutan huruf S (Es), digabungkan dengan sebutan angka satu one yang dimelayukan menjadi wan dan huruf D (di) menjadi Eswandi.

Dalam Kumpulan Eswandi hanya seorang anak tempatan, iaitu (Datuk) Sapawi bin Haji Ahmad. Dia berasal dari Sipitang dan menyempurnakan pendidikan menengah di Selangor. Pada awal tahun lapan puluhan dia dikenali sebagai penggiat Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan seterusnya ahli dewan undangan negeri dan ahli parlimen parti pemerintah. Antara anggota Eswandi dari Semenanjung termasuklah Yusof Sharif dari Gurun, Redzuan Mohd Senang dari Muar, Jusoh Saad dari Sik, Samsudin Melan dari Batu Pahat, Omar Hamid Gani dari Kelantan, Gayah Saad dari Kodiang, Kamsiah Abdul Rahman dari Johor dan Shamsiah Ahmad dari Nilai. Yusuf Abdul Rahman yang selesa dipanggil YUSABRA ialah ketua Eswandi.

Anggota Eswandi berada dalam satu bilik kuliah ketika mempelajari mata pelajaran teras. Ada dua kelompok mata pelajaran teras. Kelompok pertama ialah mata pelajaran yang diajarkan dalam penggal pertama pada tahun pertama sahaja dan tidak termasuk dalam sistem penilaian. Mata pelajaran itu ialah Sejarah, Geografi, Sains, Seni Lukis dan Muzik. Kelompok kedua ialah mata pelajaran yang diajarkan secara berterusan sepanjang tahun pertama dan tahun kedua, iaitu Ilmu Pendidikan, Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Pendidikan Jasmani dan Agama Islam. Mata-mata pelajaran ini, kecuali Agama Islam, termasuk dalam sistem penilaian.

Pensyarah Geografi ialah Puan Aishah Zahir dan Puan Zaharah. Puan Aishah ialah isteri (Datuk) Omar Hashim, Pengarah Pelajaran Sabah ketika itu. Puan Zaharah ialah isteri Encik Rofli Jauhari, iaitu pensyarah Sejarah. Pensyarah Sejarah yang seorang lagi ialah Encik Richard Tonggulu. Pensyarah Sains pula ialah Encik Mustapha. Dia ialah guru saya semasa saya belajar di tingkatan empat dan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Durah, Seremban pada tahun 1968 dan 1969. Kemudian dia menjadi rakan sekerja saya di Maktab Perguruan Raja Melewar pada tahun lapan puluhan. Banyak perkara baharu saya pelajari dalam kuliahnya. Namun, perkara yang terpahat kukuh dalam ingatan saya ialah kegiatan di luar bilik kuliah.

Pada pertengahan tahun 1973, Encik Mustapha mengarahkan drama Romeo dan Julia. Dia memilih saya untuk membawakan watak tambahan, iaitu penjual ubat. Antara kata semangatnya, “Isa, sungguhpun watak kamu kecil dan mengambil masa yang singkat, namun watak kamu sangat penting. Kepentingan watak kamu sama seperti penarik tirai. Sekiranya penarik tirai tidak melakukan tugasnya, pentas tidak akan dibuka atau, apabila sudah dibuka, pentas tidak akan ditutup. Begitu juga peranan kamu. Jikalau kamu tidak melaksanakan peranan kamu, episod seterusnya tidak ada. Jadi, Isa, berlatihlah bersungguh-sungguh!”

Di sekolah menengah rendah saya pernah membawakan watak Yang di-Pertua Dewan Rakyat dalam satu drama sebabak karya dan arahan Cikgu Ahmad Yatim. Cikgu Ahmad Yatim memuji keberkesanan saya membawakan watak itu. Pada tahun 1968 saya berlakon pula dalam tablo. Kedua-dua pengalaman itu tidak mampu menjentik hati saya untuk bergelar pelakon. Jadi, saya memang boleh menganggap watak tambahan itu sebagai enteng. Namun, keberkesanan bimbingan dan dorongan Encik Mustapha menyebabkan tugas itu saya lakukan sepenuh hati.

Wira drama itu ialah rakan sebilik saya, Ku Bahaudin bin Ku Hashim. Saya berbincang dengannya agar episod kehadiran saya hidup. Semasa latihan, dalam botol ubat saya isi air kopi cair tanpa gula. Wira kepayahan untuk menelan air kopi o itu. Apabila tiba pementasan sebenar, wira meneguk ubat yang saya berikan. Dalam skrip, ubat itu sebenarnya racun. Wira begitu kepayahan untuk menelan “ubat” itu. Air hitam pekat tersembur dari mulutnya dan sebahagiannya meleleh ke dagunya. Hal itu tidak berlaku semasa latihan. Penonton berasa air hitam itu benar-benar racun. Mereka kengerian. Di bilik 202, Ku Bahaudin berkata, “Hawat hang buat aku macam itu, Isa. Macam racun sungguh!”

Pensyarah Seni Lukis kami ialah Encik (Datuk) Ahmad Yaman bin Ahmad Mus. Pensyarah Muzik ialah seorang wanita Inggeris. Saya beruntung kerana dibimbing oleh pelukis terkenal Sabah dan terkenal juga di peringkat antarabangsa. Dia membimbing kami dengan sepenuh hati. Bimbingannya rinci dan mudah diikuti. Sayang sekali, kami hanya dibenarkan untuk mengikuti dua mata pelajaran pengkhususan. Jikalau ada pengkhususan ketiga, Seni Lukislah menjadi pilihan saya. Saya berasa terkilan kerana mata pelajaran itu diajarkan sepenggal sahaja.

Pensyarah Ilmu Pendidikan ialah Encik Abdul Majid dan Encik Joginder Singh. Encik Abdul Majid mengajarkan bidang pendidikan am, ilmu kemasyarakatan dan ilmu jiwa remaja. Encik Joginder Singh mengajarkan bidang falsafah. Bagi memahamkan kami tentang kebenaran dari sudut tertentu, Encik Joginder Singh yang berserban siput pusar, bermisai, berjanggut dan berjambang itu, memperlihatkan kotak mancis.

Setelah mengikuti tunjuk caranya dan bersoal jawab dengan beliau, jelaslah bahawa bentuk dan warna kotak mancis itu berlainan dari sudut tertentu. Kata Encik Joginder, demikian jugalah halnya dengan kebenaran – dapat dipertimbangkan dari pelbagai sudut dan ada kebenarannya dari sudut itu tetapi bukanlah kebenaran sepenuhnya. Dia juga mengingatkan kami bahawa kebenaran pandangan mata adakalanya tidak tepat seperti kita melihat rel kereta api. Penglihatan kita berakhir di kejauhan pada satu titik sedangkan hakikatnya rel itu masih berada dalam keadaan selari dan tidak bercantum. Itulah yang dikatakan perspektif. Saya begitu seronok mengikuti kuliahnya.

Pensyarah Bahasa Malaysia ialah Encik Othman Razak. Dalam perhubungan biasa saya memanggilnya abang. Dalam komunikasi rasmi saya memanggilnya encik. Encik Othman pandai berlucu di dalam bilik kuliah. Pensyarah Bahasa Inggeris pula ialah warganegara asing bernama Bob Morrow. Dia mengajar kami dalam makmal bahasa tanpa menggunakan kemudahan audio. Mungkin kemudahan itu rosak. Latihan menyebut perkataan five dengan menggunakan cermin masih kukuh dalam ingatan saya hingga kini.

Pensyarah Pendidikan Jasmani ialah Encik Abdul Ghani bin Mandar. Semasa mata pelajaran itu, kami berbaju T berlengan pendek dan berkolar, berseluar pendek, berstoking dan berkasut; kesemuanya putih. Encik Abdul Ghani juga berpakaian seperti kami. Stokingnya hampir ke lutut macam gaya orang putih. Pensyarah Agama Islam ialah seorang ustaz dari Kelantan. Ada guru pelatih lambat masuk ke bilik kuliahnya kerana kuliah itu diadakan pada waktu petang dan guru pelatih yang berkenaan tertidur di asrama. Ustaz tidak marah.

Kami berpecah apabila mengikuti mata pelajaran pengkhususan. Mata pelajaran pengkhususan saya ialah Bahasa Malayu dan Seni Perusahaan. Saya meyakinkan diri saya bahawa pilihan saya tepat kerana pengkhususan Bahasa Melayu ada kena-mengena dengan bidang kewartawanan dan penulisan kreatif. Bidang utama Seni Perusahaan pula ialah kerja kayu, itu bidang yang menjadi sebab saya ke Sabah. Bidang kedua Seni Perusahaan ialah kerja logam, iaitu pembuatan barangan daripada kepingan zink, kepingan tembaga dan kerajang tembaga. Sayangnya pada masa itu kurikulum Seni Perusahaan di maktab kami tidak meliputi bidang elektrik.

Mata pelajaran pengkhususan Bahasa Melayu sebenarnya dapat dinamakan Pengajian Melayu kerana mata pelajaran itu meliputi unsur biasa dalam Pengajian Melayu, iaitu kajian bahasa Melayu, kesusasteraan Melayu dan kebudayaan Melayu. Walau bagaimanapun, di Maktab Perguruan Gaya pada masa itu, bidang kaedah pengajaran bahasa termasuk dalam pengkhususan Bahasa Melayu.

Pensyarah bidang kajian bahasa ialah Encik Othman Razak. Mungkin sejarah perkembangan bahasa Melayu tidak termasuk dalam kurikulum. Oleh sebab itu beliau tidak mengajarkannya. Tumpuan kuliah beliau ialah sistem bahasa, termasuk ejaan, tetapi tidak termasuk ilmu bunyi bahasa. Pensyarah bidang kesusasteraan Melayu ialah Puan Maimunah. Dalam kuliahnya, selain mempelajari sejarah kesusasteraan lama dan moden, kami juga mengkaji teks. Antara teks yang kami kaji termasuklah novel Layar Terkembang karya Sutan Takdir Alisjahbana. Novel itu bertemakan emansipasi yang dipelopori oleh Tuti. Perjuangannya dicabar oleh adiknya sendiri, iaitu Maria. Pengarang mematikan Maria demi memenangkan perjuangan Tuti.

Pensyarah bidang kebudayaan Melayu ialah Tuan Haji Mohd Yassin. Beliau ialah Timbalan Pengetua dan berasal dari Negeri Sembilan. Tumpuan kuliahnya ialah adat Perpatih. Sebagai anak Negeri Sembilan yang tidak mengamalkan adat Perpatih, saya mengikuti penjelasannya dengan penuh minat tetapi tidak pernah mengemukakan soalan. Pensyarah bidang perkaedahan ialah Encik Ismail bin Abas. Ketika saya dalam tahun pertama, saya belum mengetahui bahawa beliau ialah penulis. Setelah saya berada dalam tahun kedua barulah saya tahu bahawa beliau giat menulis dan bergerak dalam Badan Bahasa Sabah (BAHASA). Beliau pernah menjadikan cerpen saya yang bertajuk “Ibu Jari” sebagai bahan diskusi.

Pensyarah tetap mata pelajaran Seni Perusahaan ialah Encik Vishnupathan. Sesekali beliau dibantu oleh ketuanya, Encik Rajah Inderan. Oleh sebab saya terkehadapan dalam bidang pertukangan layu, dia memberikan kerja projek yang rumit kepada saya, termasuk membuat troli kayu untuk dihadiahkan kepada Yang Dipertua Negeri Sabah. Saya cukup gembira berada bawah bimbingannya. Adakalanya dia menegur saya tetapi saya tidak berkecil hati kerana hal yang ditegurnya demi kebaikan saya dan cara dia menegur ada unsur kecindan.

Pada masa itu kegiatan kokurikulum belum menjadi mata pelajaran. Namun, kegiatan itu tetap diadakan, bahkan semua guru pelatih mesti menghadiri kegiatan itu di dewan besar sekali seminggu. Saya menyertai Persatuan Persuratan dan Bahas. Pada tahun pertama, saya menjadi ahli biasa. Pada tahun kedua saya menjadi Setiausaha dan melakukan beberapa pembaharuan. Saya juga menyertai pasukan pengakap. Kegiatan-kegiatan itu tidak termasuk dalam sistem penilaian tetapi penting untuk melengkapkan diri kami sebagai guru.

Guru pelatih diberi elaun. Elaun itu dan nilai perkhidmatan yang diberikan oleh maktab tidak perlu dibayar. Kami cuma perlu berkhidmat sebagai guru sekurang-kurangnya lima tahun di mana-mana tempat di Sabah. Jikalau kami tidak mahu menjadi guru atau berkhidmat kurang daripada lima tahun, kami perlu membayar ganti rugi kepada Kerajaan Sabah.

Elaun bersih yang kami terima cuma $38.00. Wang itu untuk keperluan harian seperti sabun, alat tulis dan pakaian ala kadar. Makan dan minum tidak perlu dirisaukan kerana disediakan oleh maktab. Pendeknya, elaun itu mencukupi kerana harga barang murah. Mereka yang selalu kesempitan wang ialah orang yang selalu tidak sempat ke dewan makan, orang yang suka ke bandar, perokok, si mata keranjang yang diperangkap oleh pisau cukur dan peminum.

Saya rajin ke dewan, tidak menyentuh arak dan bukan mata keranjang, bahkan saya tidak pernah berdua-duaan dengan wanita selama berada di maktab itu. Namun saya suka ke bandar dan kuat merokok. Logiknya, saya juga berhadapan dengan cabaran kesempitan wang. Namun, Allah Yang Maha Pemurah mengasihi saya. Saya mempunyai pendapatan tambahan. Pendapatan itu bermula sedikit, kemudian menaik dan seterusnya dapatlah dikatakan lumayan, iaitu lebih kurang $100.00 sebulan. Punca pendapatan itu dan perkembangan manuskrip yang saya poskan kepada Penerbit Pustaka Nasional, Singapura, insya-Allah, akan saya nukilkan selepas nukilan yang bertajuk “Budaya Dahulu”.

Wallahuaklam. Wassalam.

Bersambung: (11) Budaya Dahulu

Tiada ulasan: