Sabah Tempat Bermain
Kebanyakan guru pelatih kursus perguruan asas sekolah menengah berasal dari Semenanjung dan mempunyai pengalaman bekerja, terutamanya sebagai guru sandaran di Sabah selama satu hingga lima tahun. Ketika memasuki maktab, umur kami antara dua puluh hingga dua puluh tujuh tahun. Kebanyakan guru pelatih kursus perguruan asas sekolah rendah pula ialah anak tempatan berumur akhir belasan atau awal dua puluhan. Tanpa mengira jenis kursus dan wilayah asal, kami sudah dewasa. Pihak pentadbiran maktab dan para pensyarah melayan kami sebagai orang dewasa juga.
Kami maklum akan peraturan maktab. Kami mematuhi peraturan itu tanpa paksaan. Kami mengerti tanggungjawab kami sebagai bakal guru. Kami menggarap ilmu, kemahiran dan pengalaman dengan sepenuh hati. Pensyarah tidak pernah meleteri kumpulan saya tentang peraturan. Kami diberikan kebebasan dalam lingkungan peraturan itu persis sebahagian lirik lagu “Alhamdulillah” yang berbunyi “Walaupun kita semua menjadi hamba, tapi merdeka hidup ria.”
Kami bebas berpakaian tetapi mesti mengikut peraturan. Peraturan pakaian kuliah mudah. Keseragaman bukanlah perkara utama. Yang penting pakaian itu lengkap dan sesuai. Pakaian lelaki lengkap apabila berkemeja, berseluar panjang dan berkasut. Kemeja potongan biasa, sama ada berlengan panjang atau pendek, dianggap sesuai. Warna kemeja sebaik-baiknya putih. Kemeja warna lain yang tidak garang seperti kelabu, biru muda dan kuning cair juga boleh dipakai. Corak garis halus atau kotak kecil dibenarkan. Kami memahami batasan corak itu. Kami tidak memakai kemeja yang coraknya besar dan garang, apalagi corak bunga berwarna-warni seperti yang disukai oleh penyanyi pop enam puluhan.
Seluar panjang berwarna hitam atau sebarang warna gelap, potongan biasa dan bertali pinggang diutamakan. Jenis poket sebaik-baiknya kocek belah. Kocek tampal dibenarkan tetapi janganlah terlalu banyak seperti seluar pemburu atau pengembara. Jenis kain pun bebas tetapi janganlah gunakan kain berkilat atau kain nipis-licin kesukaan penyanyi. Corak garis atau kotak halus yang lembut dan tidak terlalu ketara diterima. Corak kotak-kotak besar dan bunga warna-warni bukanlah pakaian guru pelatih untuk berkuliah. Kami memahami hal itu. Kami juga faham bahawa seluar ketat dan jean tidak sesuai untuk kami.
Kasut sebaik-baiknya kasut kulit berwarna hitam atau warna yang gelap seperti coklat tua dan biru tua. Mereka yang tidak berkemampuan untuk memiliki kasut kulit tidak perlu risau. Pihak maktab tidak melarang mereka memakai kasut plastik atau kasut getah asalkan warnanya hitam atau gelap. Saya dan beberapa orang rakan pernah memakai kasut berwarna kelabu asap ke kuliah. Tiada sesiapa menegur kami. Hal itu kami anggap sebagai kelonggaran yang diberikan oleh pihak pentadbiran maktab. Hal yang penting, kami berkasut; bukannya berselipar, bersandal apalagi berkaki ayam.
Stoking pilihan dan pilihan terbaik ialah berstoking hitam atau yang berwarna gelap. Saya dan rakan-rakan memilih yang terbaik. Penggunaan tali leher juga pilihan. Namun, dalam perhimpunan rasmi penggunaan tali leher mesti. Selain itu, pakaian untuk menghadiri perhimpunan rasmi hendaklah lebih baik dan lebih sempurna daripada pakaian ke kuliah. Penggunaan kot atau blazer belum menjadi kebiasaan. Namun pemimpin pelajar digalakkan untuk memakai blazer semasa perhimpunan rasmi.
Ada cara berpakaian untuk kegiatan Pendidikan Jasmani, bengkel dan aktiviti khas. Saya terkilan juga kerana kami dikehendaki berseluar pendek ketika melakukan kegiatan pendidikan jasmani. Dalam hal ini saya menyalahkan diri sendiri. Contoh sudah diberikan oleh Encik Jauhar Hoo. Saya lihat dia menggunakan seluar panjang putih ketika mengajarkan mata pelajar Pendidikan Jasmani. Sekarang baru saya bertanya diri sendiri, mengapa saya tidak mencontohi beliau?
Etika berpakaian untuk ke kuliah bagi guru pelatih wanita berasaskan prinsip lengkap dan sesuai juga. Prinsip pemilihan warna lebih kurang pakaian lelaki. Pemakaian baju kurung cekak musang, baju kurung teluk belanga dan baju kurung kedah digalakkan. Kebanyakan guru pelatih wanita yang beragama Islam berbaju kurung dan berkain sarung. Pakaian lain yang dibenarkan termasuklah kebaya, gaun dan blaus. Baju berlengan panjang dan berwarna putih pilihan terbaik dan dipakai semasa perhimpunan rasmi.
Saya tidak pasti sama kebenaran memakai skirt tercatat dalam peraturan atau tidak. Hal yang pasti, banyak guru pelatih wanita bukan Islam memakai skirt. Kelabuhan skirt mereka umumnya di bawah paras lutut. Namun ada juga beberapa orang antara mereka mengenakan skirt di atas paras lutut dan dapat memperlihatkan pangkal paha. Hal itu memang menjengkelkan tetapi hal yang lebih menjengkelkan ialah beberapa orang guru pelatih wanita Islam, termasuk dari Semenanjung, berskirt juga.
Mujurlah rakan-rakan kumpulan saya, iaitu Gayah, Kamsiah, Latifah, Noriah, Normah, Rahmah, Ramlah, Samsiah dan Siti Balkis tidak pernah berskirt di bilik kuliah. Jikalau mereka berskirt, rakan-rakan saya yang agak alim berkemungkinan lengar.
Sesungguhnya, semua guru pelatih dikehendaki berpakaian sopan. Ukuran sopan pada masa itu berbeza daripada ukuran sopan pada alaf ini. Konsep mencolok mata pada masa itu longgar berbanding dengan konsep yang sama pada dekad pertama kurun ini. Konsep aurat kabur. Rata-rata guru pelatih wanita Islam tidak bertudung kecuali apabila menghadiri acara perayaan Islam dan pada hari raya. Itu pun tudung mereka berupa selendang yang diselempangkan di bahu. Di luar bilik kuliah, lurah dan bukit bergerak. Pada akhir tahun tujuh puluhan barulah saya sedar bahawa keadaan itu bertentangan dengan firman Allah dalam surah al-Nur, ayat ke-31.
Kata orang sekarang, sesuatu yang sudah dianggap biasa dinamakan budaya. Pergaulan bebas adalah antara budaya di maktab kami. Pasangan berdua-duaan mudah dilihat. Di perpustakaan ada guru pelatih berdua-duaan, di luar dewan besar ada pasangan berdua-duaan dan di luar asrama wanita ada orang duduk berdua-duaan. Di dewan rehat asrama lelaki, tempat kami menonton televisyen, pemandangan orang berdua-duaan lumrah.
Selepas makan pada waktu petang, beberapa pasangan berjalan perlahan-lahan secara beriringan. Adakalanya tangan si lelaki merangkul pinggang pasangannya. Mereka melalui jalan di hadapan dewan ke pintu masuk utama, seterusnya ke jalan di luar pagar, masuk ke jalan pintas di sisi bilik seni dan berakhir di perkarangan asrama. Rakan-rakan saya mengatakan mereka bertawaf. Kata mereka, pergerakan itu baik untuk pencernaan makan.
Beberapa orang rakan kumpulan saya juga mempunyai pasangan. Ada pasangan berakhir di jinjang pelamin. Ada juga pasangan kecundang di tengah jalan. Pernah kedengaran ungkapan cinta kontrak. Kisah orang terlajak, saya mohon kita anggap tiada, hanya mimpi atau ilusi. Hal yang istimewa, beberapa orang rakan saya yang berpasangan, pandai menjaga diri. Hal teristimewa ialah perihal rakan karib saya. Dia lulusan empat thanawi. Ertinya dia dapat dipanggil ustaz. Dia berkawan dengan seorang guru pelatih Kedah. Mereka selalu bercakap dan bertukar-tukar bahan bacaan.
Pada suatu hari saya bertanya, “Cuh, Siti itu saudara pupu hangkah?”
Dia menjawab, “Heh, tidaklah! Kami saudara senegeri dan seislam sahaja.”
“Saya nampak, hang mesra betul dengan dia!”
“Salahkah? Kalau hang mau, habak mai. Aku beritahu dia.”
“Tidaklah. Saya bertanya sahaja.”
Pada hujung tahun 1975 saya tidur di rumahnya di Tenom. Dia menyatakan bahawa dia sudah bertunang dengan orang Kedah. Pada hujung tahun 1976, dia bercuti di Kedah. Saya menjadi pelajar Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Saya bermalam di rumahnya di Sik. Keesokannya, dia membawa saya ke rumah tunangnya. Sahlah tunangnya bukan Siti.
Saya berkata, “Kalau dulu sungguh-sungguh hang beritahu, hang tidak ada apa-apa dengan Siti ….”
“Heh, aku dah habak dulu. Sekarang sudah terlewat, Isa!”
Di dewan yang berlantai parket dan luas itu, dari semasa ke semasa berlangsung acara akademik, keagamaan dan hiburan. Acara yang paling kerap diadakan bercorak hiburan seperti pertunjukan tarian, pertandingan nyanyian, pemilihan ratu cantik dan pemilihan badang maktab. Acara yang dinanti-nantikan ialah sambutan pesta menuai. Poster ditampal di asrama dan beberapa tempat yang strategik. Ungkapan istimewa pada poster itu ialah “kehadiran wajib”.
Acara tari-menari diadakan di dewan itu juga. Kali pertama saya menyaksikan acara itu adalah pada malam penutupan minggu suai kenal. Dalam cahaya lampu yang sengaja disamarkan, guru pelatih lelaki berdakap dengan guru pelatih wanita, pensyarah lelaki berdakap dengan guru pelatih wanita dan guru pelatih lelaki berdakap dengan pensyarah wanita yang masih muda. Mereka berdansa diiringi oleh muzik berentak sederhana atau lembut. Acara tari-menari berulang beberapa kali selama dua tahun saya di maktab itu. Saya menjadi pemerhati yang keliru. Kekeliruan saya bertambah apabila diperli oleh beberapa orang rakan kerana saya tidak ikut menari.
Kebanyakan guru pelatih lelaki merokok termasuk saya. Perokok suka berkawan dengan saya kerana rokok saya berjenama dan selalu ada dalam poket baju. Lazimnya mereka meminta lima puluh, iaitu separuh rokok yang sudah saya hisap. Mereka begitu gembira apabila saya hulurkan sebatang rokok yang belum bercucuh. Kegembiraan mereka menurun apabila terdengar suara seperti, “Alias, lima puluh!” Kegembiraan orang yang menyebut lima puluh itu menurun juga pula terdengar suara seperti, “Nawi, suku!” Suku itu bermaksud sudah hampir sampai ke puntung.
Saya dan rakan-rakan faham bahawa perbuatan merokok itu makruh. Belum ada kenyataan tentang keharaman perbuatan merokok. Fatwa keharamannya itu dikeluarkan oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1995. Alhamdulillah, saya meninggalkan perbuatan merokok mulai bulan Ogos 1992, iaitu dua tahun sebelum fatwa itu dikeluarkan.
Di tangga asrama lelaki pernah saya temukan muntah yang berbau arak. Itu sahaja kisah arak yang saya tahu. Kisah yang saya dengar, anggaplah ilusi. Selain itu, ada beberapa kali warden merampas alat elektrik daripada penghuni asrama lelaki.
Pada suatu masa, perhimpunan khas diadakan. Tuan Pengetua, Encik Hashim Jasa bercakap tentang peraturan. Dia menggesa agar guru pelatih mematuhi peraturan maktab. Dia menegaskan bahawa pihak maktab tidak teraga-agak untuk mengenakan tindakan kepada mereka yang melanggar peraturan. Katanya, maktab melayan guru pelatih seperti orang dewasa. Itu adalah sebahagian daripada jelmaan konsep demokrasi. Dia berharap guru pelatih tidak menyalahgunakan kebebasan yang diberikan sesuai dengan konsep demokrasi itu. “Tetapi, jikalau kamu mahu dikerasi, pihak maktab akan menguatkuasakan peraturan!” tegas Encik Hashim.
Pada masa itu saya tidak kisah tentang ketepatan peraturan. Saya belum mengenali istilah hedonisme dan ungkapan minyak bercampur dengan air. Saya belum mendengar perkataan usrah, tazkirah, rehlah dan sebagainya. Kini, hal itu menjadi renungan saya. Saya berasa khuatir titik-titik hitam masih melekat dalam sanubari saya. Allahumma innaka ‘afuwun Karim, tuhibbu ‘afwa fa‘fuanna! (Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf dan Pemurah, suka memaafkan, maka maafkanlah kesalahan kami.)
Bersambung: (12) Wartawan Pelatih 1973

Tiada ulasan:
Catat Ulasan