10 Oktober 2012

Wartawan Pelatih 1973

Sabah Tempat Bermain


Saya berasa pertukaran hari, minggu dan bulan pada tahun 1973 pantas. Jadual kuliah pagi dari hari Isnin hingga Jumaat padat. Ada juga kuliah pada waktu petang. Jikalau tiada kuliah petang, masa itu mesti diisi dengan melakukan rujukan di perpustakaan dan menyempurnakan tugasan.

Mulai penggal kedua, kuliah mata pelajaran pengkhususan bermula. Mata pelajaran pengkhususan Bahasa Melayu, terutamanya bidang kesusasteraan Melayu, memerlukan pembacaan yang luas. Projek pertukangan kayu dan logam pula hanya dapat disiapkan di luar waktu kuliah. Sekurang-kurangnya dua kali seminggu, kami berada di gelanggang atau padang. Saya memilih permainan hoki dan bola keranjang.

Penggunaan waktu malam sudah di atur. Dua malam dinamakan pembelajaran terarah sama ada di perpustakaan atau di bilik kuliah. Dua malam lagi diperuntukkan bagi kegiatan di dewan besar, atau mesyuarat persatuan, atau apa-apa latihan. Hanya satu malam dinamakan malam bebas. Kebanyakan rakan menonton televisyen atau keluar ke bandar menaiki bas. Saya memanfaatkan malam itu untuk menaip tugasan, karya kreatif, berita atau rencana.

Hari Sabtu dan Ahad sememangnya cuti. Namun maktab menggunakan sebahagian masa cuti hujung minggu itu untuk kegiatan akademik atau sukan. Saya mengikuti latihan untuk pementasan drama “Romeo dan Julia” pada hari Sabtu dan Ahad. Walaupun peranan saya terlalu kecil, namun saya dikehendaki untuk mengikuti sebahagian besar tempoh latihan. Saya mengikuti latihan nasyid pada hari Sabtu dan Ahad juga. Beberapa kali latihan diadakan di Ibu Pejabat Polis Komponen Sabah di Kepayan. Pancaragam Polis Komponen Sabah mengiringi kami dalam latihan itu. Latihan untuk menyambut kemerdekaan Sabah yang kesepuluh melalui pembentukan Malaysia secara besar-besaran juga diadakan pada cuti hujung minggu dan hari-hari biasa.

Sememangnya banyak hari Sabtu dan Ahad berlalu tanpa kegiatan anjuran maktab. Oleh itu guru pelatih tempatan pulang ke kampung, ke rumah saudara-mara atau ke rumah rakan. Saya menggunakan sebahagian besar masa itu untuk mengamalkan ilmu kewartawanan. Saya menulis berita untuk akhbar tempatan Harian Ekspres. Berita penting saya hantar juga kepada akhbar kebangsaan Berita Harian dan Berita Minggu. Satu dua berita yang sesuai saya hantar kepada akhbar Sinar USIA.

Kebanyakan punca berita saya dalam kawasan kampus. Kegiatan kokurikulum di dewan besar, sukan dan pandangan guru pelatih tentang sesuatu isu adalah antara tema yang menjadi berita atau rencana saya. Saya juga membuat liputan kursus kendalian pihak luar di dewan besar maktab kami. Beberapa berita panjang saya berserta gambar disiarkan sepenuhnya oleh Harian Ekspres. Setiap berita itu memakan ruang lebih kurang setengah halaman akhbar yang berukuran besar.

Pernah juga saya cuba-cuba mencari berita di luar kampus. Hanya satu usaha saya, iaitu berita ucapan seorang menteri Sabah, saya kemukakan kepada Harian Ekspres dan disiarkan. Saya tidak meneruskan usaha itu kerana pemberita Harian Ekspres, Ismail Amin, berada di mana-mana sahaja acara penting di Kota Kinabalu.

Dari 23 hingga 29 Julai, saya mengikuti bengkel penulisan berita dan rencana anjuran Badan Bahasa Sabah (BAHASA) di Pusat Pembangunan Masyarakat, Kota Kinabalu. Pengendali bengkel itu ialah pengarang akhbar New Straits Times, A. Samad Ismail dan pengarang akhbar Berita Harian, Ahmad Sebi. Di situ saya berkenalan dan kemudian akrab dengan Ustaz Mohd Shah yang mengajar di Sekolah Rendah Buit Hill, Putatan.

Ada beberapa kali pada hari Sabtu ustaz datang ke bilik saya. Dia meminta saya menyemak berita hasilannya. Berita yang sudah saya semak dan ditaip semula itu disiarkan oleh akhbar Harian Ekspres atas nama saya. Bayarannya pun atas nama saya tetapi saya serahkan kepada ustaz. Sesudah mutu berita ustaz mantap, saya membenarkan dia menghantar berita atas nama saya tanpa disemak. Perkara itu berlaku sehingga pertengahan tahun 1974.

Cuti hujung minggu juga saya manfaatkan untuk mengeratkan persahabatan dengan pengarang Harian Ekspres, Herman Noor Ayub, dan pembantunya Surya Irawan. Saya ke pejabat mereka di Tanjung Aru. Selalunya saya menaiki bas dan adakalanya saya berjalan kaki kerana jarak maktab dengan Tanjung Aru lebih kurang tiga kilometer. Berita baharu saya sampaikan kepada Surya. Saya juga menyaksikan Surya menyunting berita yang diterimanya melalui mesin teleprinter.

Cuti hujung minggu juga saya gunakan untuk menghadiri kegiatan luar, terutamanya anjuran BAHASA dan Jabatan Penyiaran Sabah. Sudah beberapa kali saya mengikuti diskusi di pantai Tanjung Aru. Ada sekali saya mengikuti diskusi di Pantai Manis, Papar. Melalui kegiatan itu saya berkenalan dengan banyak penulis dan penggiat sastera Sabah. Antara mereka termasuklah A.K. Aliuddin, Jamdin B., K. Bali, Mohd Ahyar, Suhaini S, Mohd. Hussain Qassau dan Mahat Jamal.

Persahabatan saya dengan Mohd Hussain Qassau mendorong saya untuk menghantar karya kepada Sinar USIA. Dua buah cerpen saya dan sebuah atau dua buah berita pernah disiarkan oleh akbar bersaiz kecil itu. Persahabatan dengan beliau juga mendorong saya mengunjunginya di bangunan United Sabah Islamic Association (USIA). Atas jasa baik beliau, saya mendapat bimbingan tentang pengumpulan sastera rakyat daripada Profesor Dr. Mohd Taib Othman dan Profesor Dr. Asmah Haji Omar, dan menghadiri ceramah oleh HAMKA di Bangunan USIA.

Cuti hujung minggu, cuti umum dan cuti penggal juga adalah masa untuk saya menulis karya kreatif. Saya berjaya menghasilkan lima buah cerpen dan dua buah sandiwara radio. Cerpen “Ibu Jari” memenangi hadiah pertama peraduan cerpen anjuran Badan Bahasa Sabah Cawangan Tawau. Sebuah sandiwara radio saya mendapat hadiah sagu hati peraduan menulis anjuran Jabatan Penyiaran Sabah. Dua buah cerpen disiarkan oleh akhbar Sinar USIA dan dua buah cerpen lagi dikeudarakan oleh Radio Malaysia Sabah. Sebuah sandiwara yang saya hantar kepada radio pada tahun itu disiarkan pada tahun 1974.

Cuti hujung minggu, cuti umum dan cuti penggal juga saya manfaatkan dengan cara yang lain. Antara cara saya memanfaatkan masa itu termasuklah mengikut seorang rakan menziarahi mantan guru besarnya pada Hari Raya Cina, mengambil gambar semasa perayaan Pesta Menuai, mengambil gambar pemandangan beberapa kawasan di Kota Kinabalu, menyertai pertandingan berjalan kaki sejauh dua belas kilometer bersempena dengan keputeraan Yang di-Pertuan Agong, berbual dengan K. Bali di kedainya di Tanjung Aru dan bersiar-siar di Taman Putera Philip di tepi pantai Tanjung Aru.

Saya tidak lupa kepada Abang Seman dan Kak Eton. Saya berusaha untuk menggunakan sebahagian cuti hujung minggu, cuti umum dan cuti penggal untuk menziarahinya. Saya ke rumah mereka bukan ziarah kosong. Kerapnya saya membantu Kak Eton melicinkan usaha niaga kuih kecil-kecilannya yang semakin membesar.

Saya membelah kayu api, memarut kelapa, mengambil daun pisang dan mengambil daun pandan. Pokok pisang dan pandan hidup subur di lereng yang sangat curam berhampiran dengan rumahnya dalam kampus itu. Sesekali Kak Eton meminta saya meletakkan inti di atas kulit karipap, melipat dan mengetip sisi atas karipap itu. Kerja saya kasar. Namun Kak Eton tetap menggoreng hasil kerja saya yang sedikit dan kasar itu untuk makanan kami dan Abang Seman serta anak-anak mereka, Iskandar, Adibah dan Azhar.

Sesungguhnya pemanfaatan masa yang maksimum menyebabkan saya berasa pertukaran hari, minggu dan bulan pada tahun 1973, pantas. Hari-hari dalam bulan Ramadan, iaitu sepanjang bulan Oktober, pun datang dan pergi dengan pantasnya. Hari Raya Aidilfitri tahun itu ialah tahun keempat saya berhari raya di rantau orang – sekali di Alor Setar dan tiga kali di Sabah. Sudah tiada ruang untuk saya melayan kenang-kenangan berhari raya di kampung semasa kanak-kanak dan awal remaja yang memungkinkan melelehnya air mata pada pagi raya. Rakan senasib banyak dan kebanyakan mereka sudah berhari raya di Sabah antara dua hingga tujuh kali. Rumah Abang Seman pula lebih kurang dua ratus meter sahaja dari asrama lelaki. Banyak masa hari raya saya habiskan bersama-sama Iskandar, Adibah dan Azhar.

Oktober pergi. November datang. Penungguan penerbitan manuskrip yang saya kirimkan kepada Pustaka Nasional, Singapura pada bulan Januari saya rasa hanya sebentar. Setelah berlaku perbincangan melalui surat-menyurat, saya menandatangani dokumen penyerahan hak cipta dengan bayaran honorarium sebanyak tiga ratus ringgit. Pada masa itu saya masih mentah dalam dunia penerbitan. Saya belum tahu maksud hak cipta, apalagi implikasi penyerahan hak cipta itu kepada penerbit. Saya belum memahami bahawa honorarium atau sagu hati dibayar sekali sahaja. Saya belum mendengar perkataan royalti. Tiga puluh tahun kemudian barulah saya tahu bahawa royalti lebih baik kerana dibayar berkali-kali. Hal yang penting pada saya hanya satu: buku sulung itu mesti diterbitkan!

Allah menganugerahi rezeki tambahan kepada saya ketika saya menjadi guru pelatih tahun pertama. Hasil penulisan saya bernilai hampir seribu lima ratus ringgit setahun. Apabila dicampur dengan elaun bersih sebanyak tiga puluh lapan ringgit sebulan, pendapat bulanan saya lebih kurang seratus lima puluh ringgit. Pendapatan itu ialah himpunan honorarium berita, rencana dan karya kreatif untuk akhbar Harian Ekspres, Berita Harian, Berita Minggu dan Sinar USIA, Radio Malaysia Sabah dan sebuah buku yang sudah dijamin penerbitannya. Jumlah itu termasuk dua hadiah peraduan menulis dan hasil jualan gambar.

Sebahagian kecil wang itu saya kirim kepada emak di kampung. Bakinya untuk kegunaan saya sendiri dan membelanja kawan-kawan. Apabila kami menaiki teksi sayalah yang membayar tambang. Selagi rokok berjenama tertentu ada dalam poket baju saya, apabila kawan-kawan meminta “lima puluh”, saya hulurkan sebatang. Dua puluh tahun kemudian barulah saya faham bahawa perbuatan merokok itu sama seperti membakar wang. Lebih tiga ratus ringgit melompat dari poket saya apabila saya silap mengoperasi kanta zum kamera rakan. Kanta zum itu jatuh, rosak dan saya terpaksa menggantinya dengan kanta zum yang baharu. Saya dapat membeli kanta zum baharu itu pada hari yang sama atas jasa baik Kak Eton. Dia mendahulukan wangnya. Saya berjaya melunaskan pinjaman itu dalam tempoh beberapa bulan.

Hakikatnya, saya guru pelatih. Namun, saya juga menganggap diri sebagai wartawan pelatih. Sesungguhnya, selain medan latihan perguruan, kampus Maktab Perguruan Gaya juga berperanan sebagai gelanggang latihan kewartawanan. Di kampus itulah ilmu kewartawanan yang saya timba di Sabah Institution, saya amalkan. Ilmu dan kemahiran itu kukuh sesudah saya mengikuti bengkel penulisan berita dan rencana selama seminggu kendalian dua orang wartawan tersohor pada hujung Julai.

Walaupun pendapatan hasil penulisan kreatif lebih banyak berbanding dengan penulisan berita dan rencana, saya menganggap hal itu sebagai titik permulaan. Sesungguhnya, dalam arena penulisan kreatif saya bertapak sejak tahun 1968, sedangkan dalam bidang kewartawanan, maktab itu ialah gelanggang latihan pertama. Pada bulan Disember saya mencipta sendiri latihan lanjutan. Saya melakukan tinjauan di Pulau Sialu, Minyak Beku Batu Pahat, Johor.

Tinjauan itu berupaya susulan kejayaan rakan saya, Yusof Sharif, dalam peraduan penulisan esei sejarah anjuran Persatuan Sejarah Malaysia. Saya menemu bual beliau dan melakukan pembacaan di Perpustakaan Negeri Sabah. Setelah saya memperoleh gambaran yang baik hasil temu bual dan pembacaan, barulah rancangan ke Pulau Sialu saya atur. Rakan saya dalam Kumpulan Eswandi, Redzuan Mohd. Senang dari Muar dan Shamsudin Melan dari Batu Pahat, mengatur perjalanan ke pulau itu.

Semasa cuti akhir tahun pada bulan Disember 1973, saya bergerak dari Negeri Sembilan ke Muar dan bermalam di rumah Redzuan. Keesokannya kami ke Batu Pahat. Samsudin menunggu di pantai Minyak Beku. Dia sudah menguruskan bot. Kami tiba di pulau itu ketika air pasang penuh. Beberapa orang kanak-kanak Orang (Asli) Kuala yang berumur antara empat hingga enam tahun berenang macam itik berhampiran tambatan.

Saya menemu bual Tuk Batin dan beberapa orang penduduk pulau itu. Redzuan mengambil gambar. Rencana tentang orang Bajau yang dikatakan berasal dari pulau itu saya hantar kepada akhbar Berita Harian pada akhir Disember. Saya berharap pada tahun 1974 nama Isa Razak dan Rasmi Safar mantap dalam arena penulisan kreatif apabila buku pertama saya diterbitkan. Saya juga berharap nama itu melonjak dalam gelanggang kewartawanan apabila rencana penyelidikan luar saya yang pertama disiarkan. Saya menunggu detik itu dengan penuh harapan dan debaran.

Wallahuaklam. Wassalam.

Bersambung: (13) Demi Ilmu dan Dharma

Tiada ulasan: