11 Oktober 2012

Demi Ilmu dan Dharma

Sabah Tempat Bermain


Peristiwa yang saya nanti-nantikan dalam bidang penulisan kreatif menjadi kenyataan. Pada bulan Januari tahun 1974, saya menerima naskhah kenang-kenangan novel Serandung oleh Isa Razak daripada Pustaka Nasional. Saya juga menerima sejumlah naskhah novel itu sebagai tukaran sebahagian honorarium atas kehendak saya sendiri. Rakan sebilik saya dari Kampung Pinggan-pinggan, Pitas, (Datuk Dr.) Chua Kim Hing menguruskan penjualan novel itu. Encik Othman Razak menjadikan novel karya guru pelatih tahun kedua itu sebagai bacaan tambahan mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk guru pelatih tahun pertama kursus perguruan asas sekolah rendah.

Peristiwa yang saya tunggu dalam bidang kewartawanan juga menjadi realiti. Dalam bulan Januari juga, akhbar Berita Harian menyiarkan iklan bahawa Berita Minggu akan menerbitkan rencana tentang dakwaan bahawa orang Bajau Sabah berasal dari Semenanjung. Iklan itu diletakkan di satu sisi pada muka hadapan untuk menarik perhatian pembaca. Ternyata rencana tulisan Rasmi Safar itu dijadikan rencana tumpuan, diletakkan di bahagian atas dan menggunakan ruang hampir sepertiga halaman.

Sebagai guru pelatih tahun kedua, saya semakin sibuk menimba ilmu dan melakukan latihan untuk meningkatkan kemahiran bagi menghadapi praktikum dan kemudiannya peperiksaan akhir tahun. Saya mengurangkan masa bagi kegiatan penulisan. Saya meninggalkan bidang penulisan cerpen dan sandiwara radio. Namun saya masih terus menulis berita dan rencana. Saya memulakan pula usaha baharu, iaitu mengulas sajak yang tersiar dalam akhbar Harian Ekspres. Ulasan bulanan itu saya lakukan mulai bulan Februari dan saya hentikan apabila saya menjalani latihan mengajar.

Dalam kesibukan itu, saya tetap memberikan darma kepada maktab. Rameli Ismail yang dilantik sebagai ketua pengarang majalah maktab mempelawa saya untuk menjadi timbalannya. Saya menerima pelawaannya dengan senang hati. Kami melakukan perancangan keseluruhan, termasuk rupa bentuk halaman agar kelihatan lebih ilmiah dan terlepas daripada reka bentuk halaman majalah sekolah. Kami memperbanyak esei dan karya kreatif. Kami berulang-alik ke syarikat percetakan bagi memastikan penerbitan majalah itu lancar dan ada peningkatan mutu.

Saya juga menyertai pasukan petugas untuk mencari iklan bagi menampung kos penerbitan majalah. Saya berpasangan dengan Chua Kim Hing. Kawasan kami ialah kedai-kedai di Jalan Pantai dan Jalan Gaya. Semua peniaga di situ Cina. Sambutan mereka baik. Ada juga peniaga yang tidak menunjukkan minat. Segelintir peniaga memperlihatkan minat pada awalnya tetapi memberikan sambutan yang menghampakan kami apabila pertuturan mereka dalam bahasa Mandarin dibalas dalam bahasa Melayu oleh Chua. Ayah Chua yang berbangsa Cina beristerikan wanita peribumi Pitas. Mungkin disebabkan faktor kahwin campur itu, Chua tidak menguasai bahasa Mandarin.

Saya memang sibuk menimba ilmu di bilik kuliah, melaksanakan projek di bengkel, membuat rujukan di perpustakaan, menyiapkan tugasan di bilik asrama, melakukan kajian luar untuk mata pelajaran pengkhususan Bahasa Melayu di Penampang, menulis berita, mengarang rencana, mengulas sajak dan mengurus penerbitan majalah maktab. Kesibukan itu bertambah apabila saya berusaha untuk menjadikan Persatuan Persuratan dan Bahas sebagai persatuan yang teraktif. Saya setiausaha persatuan itu. Saya mendukung maksud setia dan usaha sesuai dengan cogan kata maktab kami “Demi Ilmu dan Dharma”. Yang Dipertua persatuan dan rakan-rakan ahli jawatankuasa memberikan kerjasama yang sangat baik.

Persatuan kami melaksanakan kegiatan biasa seperti ceramah, pertandingan syarahan dan bahas. Kami menaik taraf pertandingan bahas. Pada tahun sebelumnya pertandingan itu diadakan dalam kalangan guru pelatih maktab kami sahaja. Pada tahun 1974 diadakan pula pertandingan antara pasukan maktab kami dengan Maktab Perguruan Kent. Selain itu, kami mengadakan dua rancangan baharu iaitu bengkel trengkas dan penerbitan majalah persatuan.

Sebahagian besar pengurusan bengkel trengkas itu tanggungjawab saya. Sebelum bengkel itu dilaksanakan, kami perlu mendapatkan kelulusan pihak pentadbiran. Saya berhadapan dengan Tuan Pengetua, Encik Ahmad bin Dahan. Beliau mencabar saya agar usaha itu tidak bersifat hangat-hangat tahi ayam. Saya menyahut cabaran itu. Sambutan pelajar, terutamanya mereka yang hendak menjadi wartawan sambilan, sangat memberangsangkan. Pembimbing bengkel, Puan Kamariah, gembira.

Penerbitan majalah persatuan yang kami namakan Dharma, iaitu perkataan yang terdapat dalam cogan kata maktab, memerlukan kelulusan pihak pentadbiran juga. Sekali lagi saya berhadapan dengan Encik Ahmad Dahan. Kali ini dia mensyaratkan agar majalah itu ada kesinambungan, bukan sekali terbit sahaja. Namun urusan pada tahun seterusnya bukan urusan saya. Jadi saya berkata bahawa saya akan berusaha agar junior kami meneruskan penerbitan majalah itu.

Penerbitan Dharma memerlukan biaya. Maktab hanya menyediakan kemudahan untuk mencetak stensil. Kami perlu menyediakan kertas dan dakwat sendiri. Sebahagian hasil penulisan saya gunakan untuk membeli kertas dan dakwat serta kos percetakan kulit kad dua warna di sebuah syarikat percetakan. Urusan percetakan kulit saya lakukan sendiri. Urusan percetakan isi, penjilidan dan pengedaran dilakukan oleh rakan-rakan dalam jawatankuasa persatuan. Majalah yang mengandungi rencana ilmiah dan karya kreatif itu terbit juga akhirnya. Pada tahun yang berikutnya, junior saya berjaya menerbitkan siri kedua dan dicetak sepenuhnya oleh syarikat percetakan. Usaha itu diketuai oleh rakan saya yang menggunakan nama pena MY Anas.

Pada tahun 1974 itu maktab kami mempunyai banyak penulis kreatif. Antara nama penting yang karya mereka mendapat tempat di akhbar tempatan ialah Ramlie a.r., MY Anas dan S. Bunut. Ramli a.r. ialah nama pena Ramli bin Jusoh. Beliau anak Terengganu dan pada masa itu merindui gadis Bandau, iaitu anak seorang ternama. Saya tidak pasti sama ada sajak-sajaknya ada kaitan dengan gadis itu atau tidak. S. Bunut ialah nama pena Rameli Ismail yang menjadi ketua pengarang majalah maktab. Dia orang Kelantan. MY Anas ialah nama guru pelatih tahun pertama keturunan Dusun. Nama penuhnya ialah Muhiddin bin Yusin. Ramli a.r. mengantologikan sajaknya, Rasmi Safar, S. Bunut, MY Anas, Mahami Ghani dan lima orang yang lain dalam sebuah antologi stensilan bertajuk Gaya 10.

Bidang kebudayaan Melayu merangkumi kebudayaan suku kaum di Sabah. Tugasan utama bidang itu ialah kajian budaya. Saya memilih tema kepercayaan dan pantang larang suku kaum Kadazan. Saya menemu bual beberapa orang petani di Kampung Maang, Penampang, tidak jauh dari Kampung Limbanak, tempat saya mengajar pada tahun 1972. Rakan saya di Sekolah Kebangsaan Saint Aloysius, Cikgu James, menjadi orang perantaraan dan jurubahasa. Kesan sampingan kajian itu, minat saya memahami cara hidup suku kaum Kadazan dan Dusun bercambah.

Untuk menyuburkan minat itu, saya membaca buku karangan F.G. Whelan tentang sejarah Sabah. Dalam buku itu, antara lain F.G. Whelan yang pernah menjadi Penolong Pengarah Pelajaran Sabah pada tahun enam puluhan menjelaskan istilah Dusun dan Kadazan. Seterusnya saya membaca beberapa buah buku lagi termasuk The Native of Sarawak and British North Borneo karya Henry Ling Roth. Sayangnya minat yang sudah bercambah itu tidak tumbuh menjadi pokok kerana setelah bergelar guru terlatih saya terlalu sibuk dengan tugas dan persediaan untuk menghadapi peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran.

Sesungguhnya, latihan dua tahun yang saya terima di Maktab Perguruan Gaya berjaya membongkar keupayaan saya untuk menjadi guru. Minat itu yang tersemai dan bercambah semasa saya menjadi guru sandaran semakin subur apabila saya menjadi guru pelatih. Sepanjang tahun 1975 dan separuh tahun 1976 saya melupakan bidang penulisan dan kewartawanan. Benarkah cita-cita untuk menjadi wartawan dan penulis sudah terkubur dalam diri saya? Masa akan menentukannya.

Bersambung: (14) Cakap Kayu Semasa Praktikum

4 ulasan:

cikgu berkata...

Assalamulaikum,
Tidak dinafikan saya terdorong untuk melibatkan diri dengan penulisan setelah melihat buku serandung sewaktu saya masuk tahun pertama(1974). Saya mula berjinak-jinak menulis sajak dan cerpen dan beberapa sajak saya juga pernah disiarkan di RTM Sabah pada waktu itu. Saya juga berjinak dengan cerpen dan ada beberapa cerpen saya disiarkan dalam Daily Ekspress dan Sabah Times. Saya menggunakan nama pena as izma.

Yusabra, saya rasa satu nama batch sdr Isa (tak silap sebilik dgn sdr Isa) yang patut dikenang. Dia banyak minta saya tulis madah-madah dan kata pujangga untuk di baca ketika beliau hadir bertugas sebagai juruhebah sambilan di RTM Sabah ketika itu.

Bersama my anas saya mula berjinak dengan Kumpulan Anak Seni Kota Kinabalu dan masa itu saya mengenali Ismaily Bungsu dan Marzuki Ali.

Kegiatan saya dalam penulisan diteruskan semasa bertugas di SMK Kota Marudu dengan menubuhkan Sudut Anak Seni Kota Marudu dan bergiat dalam bidang penulisan, teater dan tarian sehingga mewakili Daerah Kudat ke pertandingan drama peringkat negeri Sabah.

Tulisan saudara ini mengamitkan kembali kenangan lama semasa di MPG yang sudah samar-samar dalam ingatan.

Wassallam
zahari baharum (as izma)

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.

Terima kasih, cikgu. Tahniah saya ucapkan atas usaha dan kejayaan cikgu. Mudah-mudahan Allah memberikan kekuatan kepada cikgu untuk terus menulis.

Nama cikgu masih saya ingat tetapi wajah cikgu sukar untuk saya bayangkan. Saya akan cuba mengesan nama cikgu di Facebook dan Google.

Yusuf Abdul Rahman (Yusabra) ketua kumpulan saya (S1D) pada tahun 1973 tetapi bukan rakan sebilik. Rakan sebilik saya pada tahun 1973 ialah Mohd Tawil Sakir, Ku Bahaudin Ku Hashim, Wan Alias Wan Hassan, Alias Kasdu dan Samsudin (melanjutkan pelajaran ke UM pada Mei/Jun 1973). Rakan sebilik pada tahun 1974 ialah Chua Kim Hing dan Ahmad Haji Salleh dan … (saya sudah lupa).

Wallahuaklam. Wassalam.

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Zahari Unczee = Zahari Baharum? Jikalau benar, kita sudah lama menjadi rakan Facebook. Wassalam.

cikgu berkata...

semasa dok kerosek FB cari rakan-rakan lama dari MPG saya dah add profil saudara.

Sekarang selepas bersama saya terus aktif menulis blog dan ada beberapa blog yang saya aktif
www.mykembara.blogspot.com
www.xperienceoflife.blogspot.com
www.mysukan.blogspot.com
www.zaharibb.com