04 September 2012

Dilambung Ombak

Catatan ini dikemas kini pada 13 November 2012 sebagai siri ke-32 "Sabah Tempat Bermain".


Alunan ombak semakan tinggi dan beberapa kali menjulang bot. Mulut guru itu dan isterinya kumat-kamit. Saya yakin mereka berdoa agar Allah melindungi kami sepanjang baki perjalanan.

Sebentar kemudian angin bertiup kencang. Bot melambung. Kedengaran bunyi yang aneh di buritan. Rasanya itu bunyi kipas enjin sangkut dua puluh lima kuasa kuda apabila berada di atas air. Pergerakan bot terhenti. Air di kiri dan kanan bot jauh ke bawah. Bot kami sedang berada di atas gelombang!

Saya dan Shamad menoleh ke buritan. Jurumudi memberi isyarat agar kami bertenang. Di haluan, guru itu berdiri. Dia melaungkan azan. Saya mengukuhkan pegangan pada birai bot. Saya berdoa agar Allah menyelamatkan kami. Saya membaca ayat-ayat al-Quran. Saya teringat akan ibu di Negeri Sembilan. Saya teringat akan tunang saya di Libang. Saya memejamkan mata. Lama saya menunduk. Lama saya menyepi.

Saya membuka mata apabila olengan bot berkurangan. Ketika itu kawasan bertebing tinggi sudah ditinggalkan. Bot sedang menuju ke perkampungan. Apabila bot menghampiri muara sungai, alunan ombak semakin lembut. Haluan bot membelah air dengan lancar. Sebentar kemudian bot menghampiri pelantar pendaratan yang mengunjur ke laut lebih kurang lima puluh meter panjangnya.

Sebelum kami menaiki pelantar itu, pak cik bot berkata, “Tuan, kita berehat di sini.”

Saya, Shamad dan pak cik bot berehat di sebuah kedai di tepi muara sungai. Guru itu dan isterinya tidak kelihatan. Kemudian pak cik bot bermohon diri. Mujurlah lelaki yang menjaga kedai itu peramah. Pelanggan pun tiada. Kami berborak tentang hal kampung itu. Daripadanya kami mengetahui bahawa nama kampung itu ialah Telaga. Muara sungai di sebelah kedainya berhulu di Pekan Pitas. Kampung Malubang masih jauh. Perjalanan dengan bot pada bulan Oktober hingga Disember memang mencabar. Ada laluan untuk berjalan kaki di perbukitan. Orang yang berjalan kaki dari situ ke Malubang biasanya mengambil masa lebih kurang tiga jam.

Dia memberitahu kami bahawa pada zaman British penduduk kampung itu mengamalkan undang-undang Islam. Antara undang-undang yang dilaksanakan bagi kesalahan tertentu termasuklah hukuman sebat. Di kampung itu pernah ada seorang wanita gagah yang mampu memikul beberapa batang kayu bakau besar dan mahir menangkap buaya. Pada masa dahulu buaya banyak di sungai itu. Beberapa orang kampung dan wanita itu memperoleh pendapatan yang lumayan hasil jualan kulit buaya. Mereka suka akan buaya yang giat dan ganas kerana buaya yang giat dan ganas mudah ditangkap.

Shamad mencelah sekali-sekala. Saya hanya memasang telinga, mengiakan, mengangguk, berkata “oh begitu!” dan sebagainya. Sepatutnya saya melakukan pencungkilan agar cerita itu lengkap. Saya tidak berminat untuk berbuat begitu. Saya keletihan. Saya masih terkenang akan perjalanan yang kami tempuhi sebentar tadi. Saya risau kerana guru itu, isterinya dan pak cik bot tidak kelihatan. Saya rasa masa kami berada di kedai itu terlalu lama.

Waktu zuhur masuk. Saya mencuit Shamad. Kami mengucapkan terima kasih kepada penjaga kedai itu atas cerita dan layanan mesranya. Kami mematuhi kelaziman orang Sabah, iaitu meminta maaf dan kemudian meminta diri untuk ke masjid yang kelihatan dari kedai itu. Sesudah kami menunaikan solat jamak zuhur dengan asar, kami berehat di masjid itu.

Sesudah beberapa ketika kami berehat, guru yang akan kami selia datang. Dia memohon maaf kerana membiarkan kami menunggu di masjid. Dia mengajak kami ke rumah seorang orang kampung yang letaknya kira-kira sepelaung dari masjid. Tuan rumah dan pak cik bot menyabut kedatangan kami. Kami naik ke atas rumah. Makanan sudah terhidang!

Selepas mengucapkan syukur kepada Allah Pemberi Rezeki, kami mengucapkan terima kasih berkali-kali kepada tuan rumah. Rupa-rupanya dia saudara pak cik bot dan saudara juga kepada guru yang akan kami selia.

Ketika mengatur langkah di pelantar, degupan jantung saya bertambah kencang. Persoalan timbul. Perjalanan yang akan kami tempuhi lebih tenang atau lebih mencabar? Saya berasa pelik kerana pak cik bot yang berjalan di hadapan terus menuju ke hujung pelantar. Bot kecil dengan enjin sangkut dua puluh lima kuasa kuda dibiarkan beroleng-oleng. Rupa-rupanya kami akan meneruskan perjalanan dengan menggunakan bot yang lebih besar. Bahagian tengah bot itu beratap kajang. Enjin bot itu lima puluh kuasa kuda. Saya berasa amat lega!

Perjalanan ke Malubang masih mencabar tetapi tidaklah merisaukan. Pergerakan bot mantap. Saya berasa perjalanan itu tidak lama. Bot berlabuh di tepi pantai yang putih bersih. Ombak di situ lembut. Kami turun dari bot dan mengharung air laut yang bermula dengan kedalaman pada paras pinggang. Guru itu membawa kami ke sebuah rumah kampung kira-kira seratus meter dari pantai. Kemudian pak cik bot datang. Dia membawa barang-barang kami.

*******
Hidangan malam itu sungguh enak. Semasa menikmati hidangan, tuan rumah memberitahu bahawa perjalanan dengan bot kecil ke Kudat tidak sesuai pada masa itu. Ada perkhidmatan bot besar tetapi sekali atau dua kali seminggu. Bot besar boleh disewa tetapi sewanya amat tinggi. Orang kampung tidak berkemampuan untuk menyewa bot besar kecuali sesekali dan secara berkumpulan.

Keesokannya, kami menyelia pada waktu kedua. Guru itu demam sejak malam. Namun dia tetap melaksanakan pengajaran. Buku rekod pengajarannya belum lengkap. Mutu rancangan pengajaran hariannya untuk hari itu amat sederhana.

Dia memulakan pengajaran. Induksi setnya menarik. Namun kesihatannya yang kurang baik sejak beberapa hari yang lalu dan demamnya sejak malam tadi menyebabkan penyampaiannya kurang berkesan. Ketika kami melakukan pemerhatian, kami sempat berbincang. Sesungguhnya, orang sakit mesti bercuti. Tidak mungkin kami menunggu demamnya sembuh untuk meneruskan penyeliaan. Kami mesti pulang untuk berkuliah. Kami memutuskan untuk keluar daripada kelas itu. Kami minta dia berikan kerja  kepada murid-murid. Kami katakan bahawa kami perlu berbincang dengannya dan dengan pihak di sekolah itu.

Hasil perbincangan kami dengannya, guru besar dan beberapa orang rakannya, kami merumuskan bahawa dia tidak mempunyai masalah disiplin. Dia bukan pencuri tulang. Kami memberitahunya bahawa kami berhasrat untuk pulang awal. Apabila dia memberitahu bahawa pak cik bot juga demam, kami risau. Dia mengatakan bahawa pak cik bot tetap akan mengiringi kami. Dia memohon maaf kepada kami kerana tidak dapat mengiringi kami.

Saya berkata, “Tidak mengapa. Cikgu sakit. Berehatlah!”

Sebelum kami melangkah untuk memulakan perjalanan pulang, dia berkata, “Tuan, maafkan saya. Benarkah penyeliaan minimum ialah dua kali? Jikalau benar, adakah tuan akan datang lagi?”

Saya menjawab, “Benar, cikgu. Oleh sebab itu cikgu mesti sentiasa bersedia dengan persediaan pengajaran yang lengkap sepanjang tempoh praktikum. Pensyarah boleh datang untuk melakukan pemerhatian bila-bila masa sahaja. Walau bagaimanapun, pensyarah yang datang itu tidak semestinya kami. Satu lagi, lengkapkan buku rekod, cikgu. Buku itu akan disemak dalam penyeliaan seterusnya.”

Guru itu mengangguk dan mengucapkan terima kasih. Dia menambah, “Jalan baik-baik, ya tuan!”

Pagi itu ombak lebih besar daripada kelmarin. Pak cik bot melaksanakan rancangan pilihan. Dia, saya dan Shamad menaiki sampan untuk ke hulu melalui sebatang sungai kecil. Tidak berapa lama kemudian kami mendarat di suatu tempat yang bernama Liu. Sewa sampan kecil diuruskan oleh pak cik bot.

Kemudian dia berkata, “Kita akan berjalan kaki ke Telaga.”

Dia memikul bekas plastik besar yang berisi petrol. Saya dan Shamad membawa beg masing-masing. Laluan agak lebar tetapi tiada sebarang tanda yang menunjukkan laluan itu pernah digunakan oleh kereta. Di beberapa tempat ada anak sungai atau parit. Sahlah bahawa laluan itu tidak sesuai untuk kereta walaupun kereta pacuan empat roda. Namun ada tanda bahawa laluan itu menjadi tempat pemanduan bukan atas jalan raya (off road) motosikal jenis pengarau (scrambler).

Awan tebal. Cuaca redup. Suria tersembunyi. Namun cahayanya tetap menerangi alam, termasuk padang lalang yang sedang kami rentasi. Dari kawasan yang tinggi, keluasan padang lalang itu saujana mata memandang. Di beberapa tempat ada tumbuhan renek dan pokok yang berdaun halus. Pak cik bot memberitahu kami bahawa di padang lalang itu ada tembadau (seladang, Bos javanicus lowi). Di beberapa tempat, dari jauh kelihatan sulap dan sebuah rumah panjang yang kami jangka sudah ditinggalkan. Dalam perjalanan selama lebih kurang tiga jam itu, hanya dua kali kami berselisih dengan keluarga kaum Rungus. Wanita Rungus yang berpapasan dengan kami itu memakai gelang leher. Leher mereka panjang.

Di Kampung Telaga, selepas menjamakkan solat zuhur dengan asar, saya dan Shamad berehat di masjid. Pak cik bot tidak kelihatan. Kami bersangka baik bahawa dia menguruskan sesuatu. Sangkaan kami tepat. Lebih kurang sejam setengah kemudian, dia datang ke masjid. Dia meminta kami menikmati hidangan di rumah saudaranya. Selepas itu kami mudik ke Pekan Pitas dengan botnya.

Sebentar kemudian kami tiba di Pekan Pitas. Zuhur sudah berakhir. Pak cik bot menghilang. Beberapa orang lelaki dewasa bertegur sapa dengan kami. Seorang daripada mereka mengajak kami untuk menikmati ketam yang tidak bergigi pada malam itu. Caranya bercakap agak sinis sambil tersengeh-sengeh. Sebagai siswazah kesusasteraan, saya faham maksudnya. Saya berhelah dengan penuh hormat.

Tidak lama kemudian pak cik bot muncul dengan pikap buruk. Dia memberitahu kami bahawa pikap itu akan menghantar kami ke Kampung Rosob. Dia akan pulang ke Telaga untuk menguruskan bot besar yang ditinggalkan di Malubang. Sesudah berkira bicara sedikit dengannya, kami melunaskan sewa bot dan sagu hati. Dia menganggap pemberian kami lebih daripada mencukupi. Sesudah kami memohon maaf dan mengucapkan terima kasih kepadanya, pikap itu bergerak.

Mak cik dan pak cik beria-ia meminta kami agar bermalam di kampungnya sekali lagi. Kami menolak pelawaan mereka dengan alasan yang sesuai. Kami hendak segera ke Ranau. Kami menjangka kami akan tiba di Ranau sebelum pukul sebelas malam. Pada saya, meredah malam berskuter lebih meyakinkan berbanding dengan dilambung ombak walaupun hanya sebentar.

Bersambung: (33) Urusan Rasmi dalam Bahasa Melayu

Tiada ulasan: