23 September 2012

Payau Jantan Berkutu

Selepas bersolat maghrib, saya berdoa seperti biasa. Antara kandungan doa itu termasuklah permohonan agar Allah melindungi perjalanan kami dan melimpahkan rezeki kepada kami.

Sudah hampir setahun saya menyertai pasukan pemburu yang diketuai oleh Pak Cik Suradi. Hasil perburuan kali pertama ialah seekor pelanduk. Dalam perburuan kedua kami mendapat seekor kijang. Dalam beberapa perburuan seterusnya kami memperoleh sekurang-kurangnya seekor pelanduk atau landak. Selepas itu ada beberapa kali kami pulang dengan tangan kosong.

Lazimnya kami keluar berempat. Anggota tetap pasukan kami ialah saya, Pak Cik Suradi dan Saroh. Kehadiran saya mesti kerana kenderaan yang digunakan ialah kereta salun milik saya. Hanya saya menjadi pemandu. Kehadiran yang mesti juga ialah Pak Cik Suradi kerana dia pemilik senapang. Hanya dia menjadi penembak. Kehadiran Saroh juga mesti kerana dia penghubung saya dengan abangnya. Dia mahir menguliti dan melapah hasil perburuan. Anggota keempat ialah Tuan Syed Mokhtar.

Jikalau Tuan Syed Mokhtar uzur atau ada urusan lain, barulah Suratman bersama-sama kami; dan pada malam itu Suratman menyertai kami. Usia Suratman dua puluhan. Dia anak Pak Cik Suradi dan mewarisi kemahiran ayahnya menembak. Sesekali, apabila Pak Cik Suradi uzur atau ada urusan lain, kami keluar juga dengan syarat Suratman ikut serta kerana hanya dia dibenarkan membawa senapang ayahnya.

Selepas bersolat maghrib, kereta saya melalui jalan kenderaan balak yang belum lama ditinggalkan. Pemanduan di jalan yang seperti itu mudah berbanding dengan pemanduan meredah semak di jalan lama. Saya memandu kereta buatan luar negara yang tahan lasak itu perlahan-lahan. Hampir sepanjang perjalanan di dalam hutan, saya menggunakan gear dua.

Seperti biasa, Pak Cik Suradi duduk di sebelah saya. Dia tahu selok-belok jalan balak di hutan itu kerana dia pernah menjadi mekanik kenderaan berat di beberapa buah syarikat kayu balak. Selain berperanan sebagai penembak, dia juga penunjuk arah dan penentu simpang yang sesuai untuk diikuti.

Di belakang, Saroh dan Suratman bertenggek dengan gaya khas di atas pintu kereta yang cerminnya sudah diturunkan. Sebelah tangan mereka menyorotkan cahaya lampu tumpu secara teratur dan lambat-lambat ke kiri dan ke kanan. Lampu tumpu itu menggunakan kuasa bateri kereta.

Apabila mereka tersuluh mata yang dijangkakan binatang buruan, mereka akan mengetuk bumbung kereta dengan ketukan yang sederhana kuatnya antara lima hingga lapan kali. Saya akan memberhentikan kereta dan memadamkan lampu. Suluhan lampu tumpu yang satu lagi juga dipadamkan. Enjin kereta tidak dimatikan kerana lampu tumpu memerlukan kuasa bateri yang kuat. Umumnya, binatang buruan kurang kisah dengan bunyi enjin kereta.

Pada masa yang sama, Pak Cik Suradi turun dari kereta dan menghalakan laras senapang ke arah mata haiwan. Dia mempunyai kemahiran penglihatan yang istimewa. Dia dapat menentukan sama ada mata yang tertegun menentang sorotan cahaya terang itu milik rusa, kijang, pelanduk, musang atau binatang yang lain. Dia hanya melepaskan tembakan setelah benar-benar pasti jenis binatang itu.

Jikalau dia kurang pasti, dia meminta penyuluh menggerak-gerakkan lampu agar mata itu berkelip-kelip atau kedudukannya beralih sedikit. Suluhan tidak boleh dipadamkan kerana mata itu mungkin enggan menentang cahaya lagi. Lazimnya, penyuluh terperangkap dengan mata bukan binatang buruan seperti musang. Hal yang sama berlaku lagi pada malam itu.

Sesudah lebih kurang sejam saya memandu, Pak Cik Suradi meminta saya mengikut simpang di kiri. Jalan mulai simpang itu mendaki tetapi sederhana curamnya. Sebelum sampai ke puncak bukit, bahagian jalan ada yang rata. Dia meminta saya memberhentikan kereta di situ. Saya mematikan enjin dan memadamkan lampu. Suluhan kedua-dua lampu tumpu juga dipadamkan.

Kami merokok. Bulan akan keluar sebentar lagi. Apabila cahaya bulan menyinari hutan, binatang buruan tidak berminat untuk menentang cahaya lampu. Lazimnya kami pulang. Ada sesekali, dalam perjalanan pulang, kami tersuluh juga pelanduk atau landak di tepi jalan. Itulah rezeki kami.

Pak Cik mengatakan, dia akan masuk ke dalam hutan bersama-sama Suratman. Dia dan Suratman membawa sebuah lampu suluh. Saya dan Saroh tinggal di jalan itu. Kami juga mempunyai sebuah lampu Suluh.

Saroh pernah memberitahu saya bahawa abangnya itu mempunyai deria pendengaran yang istimewa. Pak Cik Suradi dapat mengecam bunyi binatang walaupun perlahan dan dapat mengagak jenis binatang itu. Antara suara bintang yang dapat dicamnya ialah desisan ular. Oleh sebab itu, saya berasa selamat apabila berburu dengannya.

Pak Cik Suradi juga penembak tepat. Sasaran tembakannya ialah bahagian kepala. Agak sukar kita mengesan tembusan peluru di kepala binatang buruan, walaupun pada kepala pelanduk kerdil.

Saya dan Saroh berbual dengan suara yang perlahan. Kami dapat melihat cahaya lampu suluh Pak Cik Suradi di dalam hutan. Lebih kurang lima minit kemudian kami terdengar bunyi tembakan. Malam yang tadinya gelap mula cerah. Tidak lama lagi bulan akan menampakkan diri. Dengan iringan bunyi mergastua yang tidak kami ketahui jenisnya, kami menunggu sesuatu dengan penuh harapan.

Harapan itu menggunung apabila kami terdengar bunyi suara sebagai isyarat agar kami pergi ke tempat suara itu. Kelihatan juga cahaya lampu suluh yang kami tafsirkan sebagai mengajak kami ke situ. Kami pun meredah semak. Kami memakai pakaian yang sesuai, khususnya kasut, untuk berburu. Setakat semak, ranting dan duri pohon menjalar, kami rempuh sahaja.

Saya sudah faham tabiat Pak Cik Suradi dan Suratman. Mereka tidak bersuara sehinggalah saya dan Saroh tiba di tempat mereka berdiri.

“Ada?” saya bertanya.

Mereka diam.

“Dapat?” Saroh menyoal.

Mereka terus diam sambil menyedut asap rokok.

Apabila kami benar-benar berada di sisi mereka, Suratman menyuluh ke tanah. Di situ terbaring seekor rusa yang sudah disembelih. Itulah rusa pertama yang saya peroleh setelah berpuluh kali saya berburu. Pak Cik Suradi, Saroh dan Suratman sudah lama berburu. Mereka bukan sahaja biasa memperoleh rusa bahkan tembadau.

Rusa itu jantan. Tanduknya setiap sebelah bercabang tiga. Pak Cik Suradi, Saroh dan Suratman menyebut cabang itu secara keseluruhan. Mereka mengatakan tanduk payau itu bercabang enam. Payau ialah perkataan tempatan bagi rusa. Antara tugas saya pada malam itu termasuklah memikul kepala payau ke kereta. Kepala itu menjadi milik saya.

Di rumah, saya menguliti tanduk itu, memisahkan daging daripada tempurung kepala dan mengeluarkan otaknya. Anak sulung saya yang pada ketika itu berumur sembilan bulan duduk di sebelah saya. Natijahnya, selain saya sebagai pemikul kepala, kutu payau sempat juga membenamkan mulutnya di kepala si kecil. Gatalnya di kepala saya terasa bertahun-tahun.

Apabila saya berpindah dari Maktab Perguruan Sandakan ke Maktab Perguruan Raja Melewar, Seremban, tanduk itu saya bawa ke Seremban. Empat tahun kemudian, saya berpindah pula ke Keningau. Rasanya tanduk itu saya bawa juga.

Di Keningau, berkali-kali saya mengesan tanduk itu. Semua usaha saya gagal. Saya terfikir, ada kemungkinan tanduk itu saya bawa ke rumah emak. Rumah itu hangus pada bulan Jun tahun 1988. Satu bukti kenang-kenangan sebagai pemburu luput di mata tetapi tetap kekal dalam ingatan.

Bersambung: Payau Terbaring

Tiada ulasan: