Sabah Tempat Bermain
Setiap kali keluar untuk berburu, harapan kami adalah untuk memperoleh payau. Anggota pasukan perburuan saya tidak pernah melahirkan harapan itu secara terus. Namun saya memahami harapan mereka melalui ulasan yang menyerlahkan kegembiraan atau kekecewaan. Saya menyelami harapan mereka melalui riak wajah dan perlakuan. Saya mengerti harapan mereka melalui kebisuan sementara yang disengajakan.
Sebelum Allah menganugerahkan payau pertama yang tanduknya bercabang enam dan berkutu itu, saya mendengar ucapan seperti “Pelanduk ini sahaja rezeki kita malam ini”, “Malam ini seekor landak sahaja cikgu”, “Sudah beberapa kali kita keluar berburu, kita belum mendapat payau”, “Payau masih belum menjadi rezeki kita,” “Jikalau kita terus keluar, insya-Allah, ada juga payau nanti,” dan “Cikgu ambillah landak yang seekor sahaja itu. Apabila mendapat payau nanti, barulah kita bagi-bagi.” Ucapan-ucapan ini menggambarkan harapan rakan-rakan saya untuk memperoleh payau.
Ketika saya dan Saroh tiba di tempat payau pertama yang sudah disembelih itu terbaring, dalam kesamaran limpahan cahaya lampuh suluh, saya perasan Pak Cik Suradi dan Suratman senyum. Rasanya mereka menahan ketawa apabila melihat keghairahan saya. Sebaliknya, saya melepaskan rasa syukur dan gembira dengan tingkah laku dan kata-kata. Pak Cik Suradi dan Suratman memendamkan perasaan mereka. Saroh pura-pura bersahaja seolah-olah saya seorang yang mempunyai keinginan yang amat sangat untuk melihat payau terbaring.
Dalam perjalanan pulang setelah mendapat payau pertama itu, saya menyatakan hasrat saya kepada Pak Cik Suradi untuk menjadi tukang sembelih pula. Pernyataan hasrat itu didengar juga oleh Saroh dan Suratman. Mulai perburuan seterusnya, parang yang sesuai untuk melakukan penyembelihan sentiasa berada di bahagian kiri pinggang saya. Namun hasrat itu tidak tercapai dari satu perburuan ke perburuan seterusnya.
Ada sekali kami berburu di ladang getah terbiar dan sudah bertaraf hutan. Ladang getah terbiar itu bersempadan dengan belukar dan hutan paya. Keseluruhan ladang getah, belukar dan paya itu saya sebut hutan. Sebahagian besar hutan itu bersempadan dengan bangunan kerajaan, padang golf dan jalan raya. Sebahagian hutan itu lagi bersempadan dengan taman perumahan. Pendeknya, hutan itu sudah dikepung oleh pembangunan. Kedudukan hutan itu hanya tujuh kilometer dari maktab.
Perburuan di situ atas cadangan Saroh. Kami ke sana bersama-sama seorang anak lelakinya dan Suratman. Kereta saya ditinggalkan di tepi jalan lama kira-kira lima puluh meter dari jalan raya. Kami berjalan kaki dan melakukan suluhan dengan menggunakan dua buah lampu suluh. Satu suluhan mengenai sepasang mata. Suratman membidik. Saroh meminta Suratman memastikan pemilik mata itu benar-benar binatang buruan. Oleh sebab hutan itu berada di dalam kawasan bandar dan dikelilingi oleh pembangunan, ada kemungkinan binatang ternakan atau orang masuk ke dalam hutan.
Suratman yakin mata itu milik binatang buruan. Dia pun melepaskan tembakan. Terdengar bunyi sesuatu bergerak dari arah sasaran tembakan. Darah saya berderau. Terfikir pula saya akan makhluk malam menyatakan amarah. Saroh berbincang dengan Suratman. Mereka memutuskan agar kami pergi ke tempatan sasaran tembakan. Saroh di hadapan, diikuti oleh Suratman. Saya berkedudukan di antara Suratman dengan anak Saroh.
Kami menyuluh ke sana ke mari hampir di segenap tempat. Tapak kaki binatang buruan ada tetapi titisan darah tidak dapat dikesan. Saya terfikir ada sesuatu yang tidak kena tetapi hanya mendiamkan diri. Setelah beberapa lama melakukan suluhan dan pengesanan, kami tidak menemukan binatang buruan itu. Saroh memutuskan agar kami menghentikan perburuan dan pulang.
Esoknya hari minggu. Pagi-pagi lagi saya ke rumah Saroh dan mengajak anak lelakinya pergi ke tempat kami berburu pada malam itu. Saya kerap mencari pucuk paku di hutan itu. Ada beberapa kali saya menjala udang galah di sebatang sungai di situ. Jadi, saya sudah biasa dengan semak dan latisan di dalam hutan itu. Oleh sebab itu pergerakan kami pantas.
Belum sampai sepuluh minit kami berjalan dan mencari-cari, anak lelaki Saroh ternampak seekor payau muda yang belum bertanduk terbaring kira-kira dua langkah dari latisan. Kami yakin, itulah payau yang ditembak oleh Suratman. Kami gagal mengesannya kerana tempat payau itu tumbang lebih seratus meter dari sasaran tembakan. Perkara bukan-bukan yang saya fikirkan pada malam itu nyata perasaan takut tanpa asas.
Payau itu sudah kaku. Keempat-empat kakinya terjulur dan kejang. Saya menyembelih payau itu sebagai latihan. Masih ada sedikit darah mengalir. Oleh sebab saya yakin payau itu sudah lama mati, kami meninggalkan tempat itu tanpa mengambil sedikit pun bahagian tubuhnya.
Latihan penyembelihan itu meninggalkan kesan pada diri saya. Keinginan saya untuk menyembelih payau meningkat. Sekali lagi keinginan itu saya luahkan kepada Pak Cik Suradi dan Saroh. Saya sangat berharap mereka memberikan peluang kepada saya untuk menyembelih payau apabila saat yang dinanti-nantikan itu tiba.
Pada suatu malam, selepas bersolat maghrib, kami memulakan perburuan di satu kawasan pemulihan hutan oleh pihak berkuasa perhutanan Sabah. Tempat tujuan kami ialah hutan yang bersempadan dengan kawasan itu. Saroh mencuba-cuba nasib. Dia menyuluh kawasan curam di antara pokok-pokok tanaman semula yang perdunya sudah hampir sepemeluk. Tuan Syed Mokhtar hanya memegang lampu tumpu yang belum dinyalakan. Tiba-tiba terdengar bunyi ketukan. Saya nampak sinar sepasang mata.
Segala-galanya berjalan lancar. Tembakan kedengaran. Senyap.
Terdengar suara Pak Cik Suradi, “Cikgu, apalagi!”
Saya faham maksud seruan itu. Saya mencapai lampu suluh dari tangan Pak Cik Suradi dan meluru ke arah sasaran tembakan. Saroh mengiringi saya. Saya berasa pergerakan ke tempat yang dituju sangat mudah kerana kawasan di bawah naungan pokok-pokok dalam rancangan pemulihan hutan itu hanya rumput dan anak-anak kayu. Kami menemukan seekor payau muda yang belum bertanduk terbaring di atas rumput.
Payau itu masih bernafas dan menjeling. Saya tidak menghiraukan jelingannya. Setelah Saroh memegang kepalanya dan memberikan isyarat yang bermaksud “boleh”, saya membaca bismillah dan melakukan sembelihan dengan penuh kesyukuran sambil melafazkan Allahuakbar dalam hati. Kaki dan badan payau itu masih bergerak. Gerakan itu menunjukkan bahawa nyawanya masih ada. Kaki belakangnya terangkat tetapi tidak mampu menerjang.
Pak Cik Suradi dan Tuan Syed Mokhtar tiba setelah saya menyempurnakan sembelihan dan payau itu benar-benar mati. Oleh sebab tubuh payau itu tidak berapa besar dan laluan ke kereta mudah, kami berempat mengangkat payau itu bulat-bulat dan memasukkannya ke dalam ruang simpan barang kereta. Kami melakukan pelapahan di rumah Pak Chik Suradi. Sebelum kami balik, kami sempat menikmati sup payau segar.
Latihan menyembelih payau yang sudah tidak bernyawa dan payau yang masih bernyawa tetapi sudah kehilangan tenaga, mempengaruhi hidup saya. Selepas peristiwa itu, saya memberanikan diri untuk menyembelih lembu sebelum hari raya Aidilfitri. Pengurusan hal ehwal pembelian lembu, pelapahan dan penjualan daging saya lakukan bersama-sama Saroh dan dua orang anak lelakinya.
Bersambung: Pelanduk Goreng, Kari Napuh

Tiada ulasan:
Catat Ulasan