Sabah Tempat Bermain
Dalam perburuan, pelanduklah yang terkerap kami peroleh. Hasil buruan itu lazimnya seekor. Sesekali ada dua ekor tetapi tidak pernah tiga ekor. Jikalau pelanduk yang kami peroleh seekor cuma, hasil buruan itu bukan milik saya dan bukan juga milik Tuan Syed Mokhtar. Si kecil itu milik Saroh atau Pak Cik Suradi.
Ada sekali, selepas larut malam baru kami mendapat seekor pelanduk. Pak Cik Suradi mengajak kami untuk meneruskan perburuan di hutan bakau yang bersempadan dengan kebunnya. Di situ kami berjalan kaki. Usaha kami tidak berhasil. Kami kepenatan. Pak Cik Suradi mengajak kami singgah di pondoknya dalam kebun itu.
Pondok kayu itu beratap zink. Binaannya menyerupai rumah kecil. Ada dapur, ruang tengah, bilik dan sengkuap. Di bawah sengkuap itu ada pangkin yang diperbuat daripada kayu bulat. Kedudukan lantai dapur hanya paras lutut. Tiada tangga. Pintu dapur terletak di bawah binaan sengkuap. Bunyi pintu itu berkeriut apabila ditolak oleh Pak Cik Suradi. Dia dan Saroh naik ke atas rumah.
Sebentar kemudian rumah itu diterangi oleh dua buah lampu ayam. Sebuah lampu disangkutkan pada tiang yang berhampiran dengan dapur kayu. Sebuah lampu lagi diletakkan di atas lantai yang berhampiran dengan pintu. Tuan Syed Mokhtar duduk berjuntai kaki di bawah ambang pintu. Saya duduk di atas pangkin di hadapannya.
Terdengar debusan api menyenggau minyak tanah. Serentak dengan senggauan itu, cahaya menerangi ruang dapur. Kedengaran bunyi air dituangkan ke dalam bekas. Kemudian terdengar bunyi ketuk-ketak diikuti bunyi orang menumbuk sesuatu dengan menggunakan lesung batu. Minyak berdesir. Bau bawang dan halia semerbak.
Tuan Syed Mokhtar menyuluh dinding bilik. Dia meminta saya melihat benda yang disuluhnya. Kelihatan sepasang tanduk melengkung, besar dan panjang macam tanduk kerbau. Tengkorak tanduk itu terpaku di dinding.
Saya bertanya, “Tanduk apa itu, Tuan Syed? Besar betul!”
“Tanduk tembadau,” jawab Tuan Syed.
Saya pernah melihat tanduk seperti itu di Muzium Negara. Saya bertanya lagi, “Dibeli atau hasil perburuan?”
“Eh, beli apa!” seru Tuan Syed. “Itu bukti abang pernah mendapat tembadau.”
Saya bertanya, “Kerbau besar?”
Tuan Syed ketawa. Dia menjelaskan bahawa tembadau ialah nama tempatan bagi seladang di Sabah. Rupanya hampir sama dengan kerbau tetapi tubuhnya lebih besar daripada kerbau.
Kami meneruskan perbualan. Antara perkara yang kami bualkan termasuklah kemungkinan kami berburu di kawasan yang dikenal pasti ada tembadau. Kami meneruskan perbualan dari satu perkara ke satu perkara lain yang ada kaitan dengan perburuan.
Pak Cik Suradi menghidangkan kopi o dan sepinggan daging pelanduk goreng. Warna hirisan daging pelanduk itu hitam. Saya menyangka gorengan itu hangus. Setelah saya mengunyah dan menelan hirisan pertama, sangkaan saya meleset. Gorengan itu empuk.
Warna hitam itu ialah gabungan kicap, gula dan asam jawa. Rasa manis, masam, masin bersatu dengan rasa kunyit, halia, bawang putih dan bawang merah. Gabungan rasa itu mesra dan harum. Pak Cik Suradi menyatakan bahawa kuali ditutup ketika penggorengan dilakukan dengan api yang sederhana nyalaannya. Penutupan kuali itu menghasilkan daging yang empuk.
Sehiris demi sehiris gorengan hitam dan berminyak itu saya kunyah dan telan diselang dengan hirupan kopi o panas. Sungguh enak! Entah berapa kali saya memuji keenakan air tangan Pak Cik Suradi, saya tidak pasti. Saya juga tidak pasti sama ada Pak Cik Suradi, Saroh dan Tuan Syed Mokhtar sengaja melambatkan kunyahan mereka agar saya mendapat bahagian yang lebih banyak.
*******
Pada suatu hari Sabtu kami berburu di Segaliud. Kami tiba di Kampung Segaliud kira-kira sejam sebelum maghrib. Tuan Syed Mokhtar menguruskan perahu untuk ke hulu. Lebih kurang dua puluh minit, urusan itu selesai. Seorang lelaki yang berusia empat puluhan sudah bersedia di tambatan. Perahunya besar. Saya menjangka perahu itu dapat memuat lebih lima belas orang. Enjin sangkutnya kecil. Namun enjin sangkut yang kecil itu mampu menggerakkan perahu besar itu dan kami berlima menuju ke hulu.
Perjalanan mudik melalui kawasan kampung, ladang koko, semak samun dan kemudian hutan. Di suatu tempat, di atas tebing sungai ada satu kawasan lapang yang ditumbuhi oleh rumput dan pokok-pokok kecil. Kami menunggu ketibaan maghrib di situ. Setelah menunaikan solat maghrib, kami meneruskan perjalanan.
Kami berhenti di beberapa tempat. Di setiap tempat, Pak Cik Suradi dan Saroh naik ke atas tebing. Mereka menyuluh binatang buruan. Saya, Tuan Syed Mokhtar dan jurumudi berehat di dalam perahu.
Semua usaha Pak Cik Suradi dan Saroh tidak berhasil. Kami ke hulu lagi. Kami terdengar tempikan nenek beberapa kali. Jurumudi melabuhkan perahu. Kami mendiamkan diri. Setelah tempikan itu menjauh dan hilang, kami mudik semula.
Apabila kami tiba di sebuah ladang koko, saya menemani Pak Cik Suradi dan Saroh naik ke darat. Hanya beberapa langkah dari tebing sungai, Saroh mencuit saya. Suluhannya menyeluruhi tubuh seekor pelanduk besar di bawah rimbunan pokok koko. Sebelah mata pelanduk besar itu menentang cahaya lampu. Bunyi tembakan memecah kesunyian malam.
Setelah Saroh menyembelih pelanduk itu, saya berkata, “Besar betul pelanduk ini!”
Saroh memberikan sambutan, “Ini, napuh, cikgu. Rupanya macam pelanduk tetapi napuh memang lebih besar daripada pelanduk.”
Kami pulang dan bermalam di kampung jurumudi itu. Saya tidur di sebuah balai-balai. Sebelum subuh saya terbangun dan terus ke masjid. Kemudian saya menunggu rakan-rakan seperburuan di balai-balai itu. Saroh muncul setelah matahari hampir terbit. Dia mengajak saya ke sebuah balai-balai lain di hadapan sebuah rumah kampung. Pak Cik Suradi dan Tuan Syed Mokhtar sedang menghadapi hidangan nasi berlaukkan kari daging. Kedua-duanya masih panas.
Saya dan Saroh menyertai mereka untuk menikmati hidangan itu. Nasinya sedap, lauknya enak.
Saya bertanya, “Daging apa ini?”
Ketiga-tiga rakan seperburuan saya buat-buat tidak dengar. Beberapa ketika kemudian Tuan Syed bersuara, “Daging napuh yang awak dapatlah malam tadi!”
Saya bersyukur kepada Allah yang menganugerahkan rezeki yang sangat lazat. Saya bersyukur kepada Allah kerana ada orang kampung yang baik hati untuk memasak dan menghidangkan nasi dan lauk yang lazat itu. Sehingga kini saya masih dapat membayangkan warna dan bau pelanduk goreng dan kari napuh itu.
Bersambung: Dua Das Tembakan

Tiada ulasan:
Catat Ulasan