Sambungan kisah Batang Gaharu Buruk
Saya perasan Tuan Haji Liwangsa kurang senang dengan tingkah laku kami. Sesudah kami diam agak lama, dia mengajak kami pulang. Dia mengepalai barisan. Shamad paling belakang. Saya di hadapan Shamad. Pada suatu ketika, semasa kami meranduk air separas betis, saya menoleh. Shamad tidak kelihatan. Saya berpatah beberapa langkah dan memanggil namanya.
Shamad menyahut, “Tunggu! Saya mengambil periuk kera!”
Saya nampak belakang Shamad. Saya menunggunya di situ. Sejurus kemudian dia tiba. Kayu gaharu hitam masih terkepit di ketiaknya. Dia menunjukkan periuk kera yang besar kepada saya. Dia pensyarah sains. Dia meminati tumbuh-tumbuhan. Dia hendak menunjukkan periuk kera besar itu kepada anak-anaknya.
Saya melihat ke hadapan. Kelibat Tuan Haji Liwangsa dan lain-lain sudah hilang. Kami meneruskan perjalanan. Shamad mengekori saya. Sebentar kemudian kami melalui rintisan di kawasan yang tinggi. Saya berasa rintisan itu menghala ke tasik. Mungkin saya keliru apabila berpatah dan menyusul Shamad ketika dia mengambil periuk kera. Hal itu saya nyatakan kepadanya. Dia meminta saya duduk sebentar dan berfikir. Selepas bertenang dan berfikir, kami berpatah.
Hujung rintisan itu ialah paya. Saya yakin, itulah laluan kami sebentar tadi. Shamad mengekori saya. Kami meranduk air. Sebentar kemudian kami sampai di rintisan darat. Shamad memintas saya.
“Isa, kita salah jalan. Jalan tadi betul,” katanya.
Kami berhenti. Tiba-tiba perut saya memulas. Saya memberitahu Shamad hajat saya dan meminta dia menunggu saya di situ. Saya menyusup ke dalam semak. Apabila saya tiba di suatu tempat yang terlindung daripada penglihatannya, saya membuka seluar dan melepaskan hajat. Pada masa yang sama, saya mendongak sedikit. Penglihatan saya bertumpu pada celah dahan sebatang pohon yang besar dan tinggi.
Mata saya mengikut rasa hati. Penglihatan saya beralih dari cabang pokok itu ke cabang pokok di sebelahnya dan seterusnya ke cabang pokok-pokok yang lain sehinggalah saya selesai menunaikan hajat. Seluar dalam dan seluar yang basah saya sangkutkan dicelah ranting pokok. Saya bersuci di dalam paya.
Apabila saya kembali di tempat Shamad, dia mengatakan ada pacat di belakang saya. Dia membiarkan pacat itu naik ke atas ranting yang dihulurkannya. Kemudian dia menunjukkan pacat itu kepada saya. Saya memang biasa dengan pacat sejak kecil. Berpuluh-puluh ekor pacat pernah saya buang kerana belum sempat menghisap darah atau saya potong kerana sudah gemuk, semuanya berwarna coklat kehitaman dan kecil. Pacat pada ranting kayu yang dipegang oleh Shamad berwarna hijau dan besar, empat atau lima kali lebih besar daripada pacat biasa.
Saya berkata, “Ini pacat daun. Nampaknya pacat daun di sini besar dan hijau.”
“Buang?” soal Shamad
“Ya, buang sahajalah,” kata saya.
Selepas Shamad melontarkan ranting bersama-sama pacat hijau Kinabatangan itu, kami berbincang. Shamad beria-ia mengatakan laluan kami silap.
Dia berkata, “Bulu roma saya meremanglah, Isa. Kita sesat …!”
Saya mendiamkan diri. Shamad termenung. Saya tahu dia ada ilmu. Sudah beberapa kali dia menceritakan peristiwa pelik yang dialaminya. Dalam peristiwa-peristiwa itu dia tercabar. Dia menggunakan ilmunya untuk mengatasi cabaran-cabaran itu. Kini saya berasa keyakinannya untuk mengamalkan ilmu merudum.
Sejak kecil hingga remaja persekitaran saya hutan. Ayah saya pencari rotan, damar, palas, pelepah bertam, kayu jirak untuk kayu api, batang tempoyan untuk pagar, buah kembang semangkuk dan pelbagai jenis buah hutan. Dia juga pencari ikan yang handal dengan cara memasang lukah jalinannya sendiri, menjala dengan jala yang disiratnya sendiri, memancing dan menajur. Ada beberapa tujuan lagi dia ke hutan, sungai, lubuk dan paya. Dia membawa saya dalam hampir semua kegiatan itu.
Hanya sekali kami sesat. Pada masa itu emak saya ikut serta. Kami berpusing di tempat yang sama tiga kali. Ayah berhenti. Dia melihat sekeliling dan kemudian ke arah dahan-dahan pokok. Mungkin dia membaca sesuatu sama ada dalam hati atau perlahan-lahan. Kemudian dia mengambil sehelai daun. Daun itu disisipkannya di telinga kanannya. Dia memulakan langkah setelah membaca bismillah. Dia menyuruh emak dan saya mengekorinya. Alhamdulillah, kami selamat keluar dari hutan itu.
“Bagaimana?” soal Shamad. “Mari kita berpatah. Jalan yang awal tadi sudah betul,” dia menambah kata tanpa menunggu saya memberikan jawapan.
“Tunggu. Kita bertenang,” kata saya.
Saya risau. Pada masa itu anak sulung saya baru berusia beberapa bulan. Bayi itu dan ibunya sangat memerlukan saya. Saya memujuk diri agar menerima ketentuan takdir sekiranya kami gagal keluar dan terpaksa bermalam di hutan paya itu. Namun saya masih belum berputus asa. Saya terus berfikir sambil berdoa dalam hati agar Allah melindungi kami dan membantu kami untuk keluar sebelum malam tiba.
Saya berasa petang sedang mengejar senja. Sinar matahari tidak kelihatan. Kecerahan petang semakin kurang. Kami terus membisu. Dalam kesunyian diri, telinga saya semakin peka dan menangkap pelbagai bunyi. Ada bunyi mergastua, ada bunyi ranting gugur, ada bunyi derik-derak dan berbagai-bagai bunyi lagi. Hidung saya juga semakin perasa dan terhidu bau masam lumpur paya. Perasaan saya hidup.
Saya teringat berita radio awal tahun itu. Pembaca berita melaporkan bahawa seorang orang putih hilang di hutan Kinabatangan. Tiada berita susulan tentang kejayaan usaha mencarinya. Saya teringat pula cerita rakan-rakan bahawa sebelum itu memang ada orang putih hilang terus di hutan Kinabatangan. Cerita yang tidak bersumber itu sukar saya percayai.
Shamad berseru, “Isa, mari ikut saya!”
Shamad lebih tua daripada saya. Saya memohon maaf kepadanya. Saya bermohon agar dia mengizinkan saya menjadi ketua dan membuat keputusan. Saya memohon agar dia tidak menyalahkan saya sekiranya keputusan saya silap.
Dia berkata, “Bulu tengkuk saya meremang. Baiklah. Saya, ikut Isa.”
Saya mengajak dia mengaminkan doa saya. Saya berdoa mengikut tatacara yang saya ketahui. Antara kandungan doa itu, saya menyebut perbuatan baik yang sudah saya lakukan. Shamad mengaminkan doa saya dengan penuh perasaan. Air jernih meleleh di pipi kami.
Kami bangun. Saya mengingatkan Shamad agar sentiasa sedar bahawa mulai saat itu saya mengetuai perjalanan. Setelah membaca beberapa ayat al-Quran dan bismillah, saya memulakan langkah dengan kaki kanan. Shamad mengekori saya. Kami tidak berbual.
Saya bersuara apabila rintisan semakin mendaki dan cahaya terang di kebun buah-buahan kelihatan di hadapan. Saya berkata, “Alhamdulillah! Kita berada di laluan yang betul.”
Tanalol dan Ramli kelihatan begitu terharu menerima kepulangan kami. Tanalol berkata, “Ayah saya susah hati. Dia sudah pergi untuk berurusan dengan orang kampung.”
Allah menyayangi kami. Asar masih ada. Kami segera menunaikan solat.
Tuan Haji Liwangsa kembali ke rumah itu sejurus sebelum maghrib. Dia kelihatan terkejut tetapi gembira. Dia menyatakan bahawa orang-orang kampung sudah diberitahu tentang kehilangan kami. Mereka akan berkumpul pada malam itu untuk melakukan gerakan mencari kami.
Kami sampai di Sandakan selepas pukul sepuluh malam. Di rumah, Shamad bercerita tentang periuk kera besar dan batang gaharu buruk kepada anak-anaknya. Saya masuk ke bilik air untuk mandi. Ketika mandi saya terpegang pacat hijau Kinabatangan di pinggang saya. Saya masukkan pacat itu ke dalam mangkuk tandas.
Keesokannya dan beberapa hari berikutnya, saya nampak batang gaharu buruk itu tersandar di suatu sudut di bilik anak Shamad. Seminggu kemudian batang gaharu itu tidak kelihatan. Saya bertanya Shamad. Dia menyatakan bahawa batang gaharu buruk itu sudah dibuangnya.
Dengan nada yang sedih dia berkata, “Isa, saya juga sudah membuang ilmu saya.”
Saya mendapat tahu daripada rakan bahawa seorang pekerja maktab kami membantu Shamad. Pekerja itu membawa Shamad untuk bertemu dengan seseorang di sebuah kampung. Orang itulah melakukan pembuangan ilmunya.
Peristiwa itu tidak menoktahkan pengembaraan saya dengan Shamad. Lebih kurang sebulan kemudian kami membuat keputusan untuk meredah Laut Sulu dengan bot kecil berenjin lapan kuasa kuda milik saya. Perjalanan itu, insya-Allah, akan saya nukilkan tidak lama lagi.
Wallahuaklam. Wassalam.
Ayam Putih, Terbanglah!
Jalan Sa…na!
Azan Bergema Kembali
Tidur Duduk
Nota 1
Tuan Haji Liwangsa kembali ke rahmatullah pada 5 Oktober 2010. Al-Fatihah!
Nota 2
“Orang kampung dihimpun untuk mencari dua orang rakan yang sesat. Lampu pam serta gong siap sedia dibawa bersama-sama. Rombongan seramai 10 orang kampung siap siaga untuk berjalan mencari. Tiba-tiba muncul pula kawan yang hendak dicari itu. Bayangkan betapa gembiranya aku!” – Haji Tanalol bin Haji Liwangsa, 10 Mac 2010.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan