Kegiatan awal Model Pensiangan-Salinatan 2004 - 2008. |
Kursus Pendek Kelolaan Maktab (KPKM) untuk Guru di Kawasan Terpencil bertempat di Sekolah Kebangsaan Salinatan, Pensiangan, Sabah, pada 26 Julai 2002
(Pengucap: Yang Berbahagia Tuan Haji Abu Bakar bin Bachik, Pengarah, Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia)
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat malam.
….
Tuan-tuan dan puan-puan,
Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih yang setinggi-tingginya kepada pihak Maktab Perguruan Keningau, khususnya Puan Pengetua iaitu Puan Mary Teresa Kinajil, yang telah berkali-kali mengundang saya untuk melawat kawasan terpencil di Bahagian Keningau. Setelah ditunda beberapa kali, alhamdulillah, pada kali ini, 26 Julai 2002, saya dapat menunaikan hajat Puan Mary.
Seperti yang dijadualkan, satu daripada program penting dalam lawatan ini ialah merasmikan penutupan Kursus Pendek Kelolaan Maktab untuk Guru-Guru Kawasan Terpencil di Sekolah Kebangsaan Salinatan ini, iaitu sebuah sekolah dalam Zon Pensiangan, Daerah Nabawan, yang merupakan kawasan pedalaman yang terletak di tengah-tengah Pulau Borneo, hampir dengan sempadan Indonesia.
Tidak lupa juga saya ucapkan terima kasih kepada Pegawai Pendidikan Daerah Nabawan, Encik Masly bin Wahid, kerana dengan kerjasama beliau dan kakitangannya kursus ini dapat dijalankan. Terima kasih juga diucapkan kepada guru-guru besar, para peserta dan tuan-tuan dan puan-puan kerana sudi hadir dalam majlis ini walaupun diadakan pada malam hari.
Malam di Salinatan ini sudah tentu akan menjadi kenang-kenangan kepada saya. Mudah-mudahan acara malam dengan tujuan murni seperti yang kita adakan pada malam ini akan terus berlangsung tahun demi tahun di sini dan di kawasan-kawasan lain di daerah pedalaman ini; kerana kita amat yakin kursus yang telah dilaksanakan, apabila disusuli dengan tindakan dan kursus susulan yang berterusan, insya-Allah, akan membawa sinar yang berterusan pula kepada anak-anak didik kita.
Seterusnya, saya mengucapkan syukur kepada Allah Subhanahuwataala kerana dengan izin-Nya juga dapatlah saya dan ahli rombongan menjejakkan kaki ke Kampung Salinatan ini. Sebelum saya tiba di sini saya berasa amat khuatir dengan keadaan perjalanan yang sukar dan tempat yang dituju yang entah bagaimana keadaannya. Walaupun saya ada mendapat sedikit gambaran tentang perjalanan dan keadaan di tempat ini, rasa khuatir tentang rintangan dalam perjalanan dan suasana tempat yang dituju masih berlegar-legar dalam fikiran saya.
Alhamdulillah, perjalanan kami ke sini hampir sepanjang siang tadi berjalan dengan lancar seperti yang dirancangkan. Saya mendapati perjalanan yang begitu jauh dari Keningau ke sini dengan kereta pacuan empat roda dan dengan bot begitu menyeronokkan dan penuh dengan pemandangan yang begitu indah dan peristiwa-peristiwa baharu yang kadang-kadang terasa begitu luar biasa dan mencemaskan, terutamanya ketika melakukan perjalanan dengan bot.
Syabas pula saya ucapkan kepada semua warga Maktab Perguruan Keningau, khusus Setiausaha Latihan Dalam Perkhidmatan dan para penceramah kursus kerana telah bertungkus-lumus untuk menjayakan kursus ini. Saya percaya para penceramah kursus sangat memahami keperluan anak-anak kawasan pedalaman seperti di Salinatan ini. Jadi, saya juga berkeyakinan, mereka telah berjaya memberikan panduan yang terbaik dan sesuai dengan keperluan para peserta.
Para peserta Kursus Pendek Kelolaan Maktab untuk Guru Kawasan Terpencil di Sekolah Kebangsaan Salinatan ini sepatutnya berasa bangga kerana pembimbing tuan-tuan dan puan-puan ialah anak watan negeri Sabah yang berjaya dalam bidang pendidikan. Dengan latar belakang pendidikan yang kukuh, disertai pengalaman yang luas, saya amat yakin bahawa usaha mereka mewariskan ilmu dan kemahiran, khususnya pengetahuan dan kemahiran dalam bidang pedagogi, akan dapat dimanfaatkan oleh para peserta demi faedah anak-anak tercinta di daerah pedalaman ini yang kehausan bimbingan berkualiti.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Sesungguhnya Kursus Pendek Kelolaan Maktab atau nama ringkasnya KPKM telah dikendalikan oleh semua maktab perguruan di Malaysia sejak beberapa tahun yang lalu. Namun, pada saya, kursus ini amat istimewa kerana kursus ini diadakan khusus untuk guru-guru kawasan terpencil di Pedalaman Negeri Sabah. Pemilihan Sekolah Kebangsaan Salinatan amatlah tepat kerana sekolah ini juga berada jauh di kawasan pedalaman. Hal ini benar-benar memenuhi konsep outreach, iaitu pihak penganjur datang ke tempat kumpulan sasar. Hal ini juga memudahkan guru-guru di kawasan terpencil datang ke tempat kursus.
Saya difahamkan bahawa baru pada tahun ini Maktab Perguruan Keningau mengadakan KPKM di kawasan terpencil. Saya juga difahamkan, KPKM yang pertama untuk guru-guru di kawasan terpencil telah berlangsung dengan jayanya di Sekolah Kebangsaan Saliku. Saya mendapat tahu, SK Saliku juga merupakan sebuah sekolah di kawasan pedalaman dalam tadbiran Pegawai Pendidikan Daerah Nabawan, Encik Masly bin Wahid.
Sebenarnya jadual perasmian penutupan KPKM di SK Saliku itu telah sampai di meja saya. Hanya sahaja, Allah Yang Maha Kuasa belum mengizinkan saya menjejakkan kaki ke Saliku kerana pada masa itu saya bertugas di luar negera dan seterusnya saya dikehendaki melakukan tugas rasmi lain yang lebih penting dalam negara kita. Walau bagaimanapun, saya tetap mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan KPKM di Saliku itu.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Usaha mengadakan KPKM seperti di Salinatan ini boleh juga dilihat dari perspektif pendemokrasian pendidikan. Dalam sistem demokrasi yang diamalkan oleh kerajaan kita hari ini, pendidikan yang berkualiti sepatutnya dinikmati oleh semua pihak. Seperti habuan kebendaan, habuan intelektual juga perlu diagihkan kepada pihak yang sangat memerlukannya, khususnya mereka yang sepatutnya mendapat diskriminasi positif seperti penduduk di Zon Pensiangan ini. Sekolah-sekolah yang berprestasi rendah sangat perlu mendapat perhatian kita, khususnya para intelektual Maktab Perguruan Keningau yang sebahagian besarnya mempunyai pendidikan pada peringkat sarjana seperti yang dimiliki oleh beberapa orang penceramah kursus ini.
Tidak syak lagi, usaha mengadakan Kursus Pendek Kelolaan Maktab atau KPKM seperti yang diadakan di Salinatan ini boleh dikaitkan dengan pendemokrasian pendidikan dan merupakan tindakan positif yang amat praktikal. Amat sukar menafikan manfaat KPKM kepada para guru, amat sukar menidakkan bahawa KPKM mampu meningkatkan kreativiti dan inovasi guru yang akan memberi kesan kepada murid-murid; dan sudah tentu tiada insan yang cuba memperleceh apabila kita menyatakan KPKM mampu memberi sumbangan untuk meningkatkan mutu pendidikan di kawasan pedalaman. Oleh hal yang demikian, saya ingin mencadangkan agar Maktab Perguruan Keningau di bawah pimpinan Puan Mary Teresa Kinajil meneruskan usaha seperti ini.
Program ini boleh diberi nama glamour seperti “Dari Bukit Langsat ke Lembah Pensiangan” atau “MPKS Turun ke Desa” atau “Bijak Anakku Sayang” dan sebagainya. Apakah nama glamour yang sesuai? Hal itu terpulanglah kepada Puan Mary dan warga Maktab Perguruan Keningau sendiri.
Yang penting, program KPKM di kawasan pedalaman seperti ini mesti dimasukkan dalam perancangan tahunan untuk tahun akan datang dan tahun-tahun seterusnya. Sebagai program tahunan yang lebih terancang dan dinilai prestasi atau keberkesanannya pada pertengahan dan akhir tahun, kualiti KPKM yang dipersembahkan, insya-Allah, dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa.
Apabila kita memberikan sesuatu dengan niat yang ikhlas, terancang, berkualiti, dan berterusan, barulah pendemokrasian pendidikan itu dapat diserlahkan. Dengan perkataan lain, program ad hoc atau sementara yang bersifat semasa dengan tujuan khusus pada masa itu tidak syak lagi akan dianggap program biasa. Apabila program yang dianggap biasa itu ditangani dengan cara-cara yang dinyatakan tadi, insya-Allah, program itu dapat dilihat dari sudut pendemokrasian pendidikan. Malah ada kemungkinan program itu akan merupakan satu inovasi bagi Maktab Perguruan Keningau.
Sehubungan dengan hal itu, pasukan kerja dengan Pejabat Pendidikan Bahagian Keningau dan Pejabat Pendidikan Daerah Nabawan untuk menangani program ini perlu diwujudkan. Malah, sesuai dengan konsep pendidikan komuniti, pihak-pihak tertentu dalam masyarakat setempat sebaik-baiknya dilibatkan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Saya difahamkan bahawa bilangan guru sandaran tidak terlatih, atau ringkasnya GSTT, masih banyak di Sabah, khususnya di kawasan pedalaman seperti di Zon Pensiangan ini. Gerakan bancian GSTT yang dilakukan tidak lama dahulu menatijahkan Kementerian Pendidikan di bawah kendalian Bahagian Pendidikan Guru mengadakan kursus perguruan dalam masa cuti atau KDC dan mulai akhir tahun lalu diadakan pula Kursus Diploma Perguruan Malaysia mod KDC. Peserta KDC itu rata-rata terdiri daripada mereka yang mengajar di kawasan pedalaman. Salah sebuah pusat kursus pula ialah Maktab Perguruan Keningau.
Saya mendapat tahu ramai GSTT, termasuk yang sedang berkursus di maktab, diberi tanggungjawab yang amat berat seperti mengajar kelas tahun satu. Jumlah GSTT yang mengajar kelas tahun satu di Negeri Sabah dianggarkan lebih 100 orang. Sebahagian daripada mereka mengajar di Keningau dan Nabawan, dan mungkin ada antara mereka hadir dalam acara penutupan KPKM di Salinatan ini.
Dengan mendahulukan rakaman penghargaan setinggi-tingginya kepada GSTT, sebagai Pengarah, Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia yang diberi tanggungjawab melatih guru, saya berasa amat sukar untuk memendamkan rasa terkilan dan mengkal jika tempat GSTT itu tidak mampu diambil alih oleh guru-guru terlatih, khususnya keluaran Maktab Perguruan Keningau.
Sesuai dengan tuntutan pendemokrasian pendidikan, sesuai dengan tuntutan menyebarkan pendidikan berkualiti untuk anak-anak merdeka pendukung Wawasan 2020, guru-guru pelatih Kursus Diploma Perguruan Malaysia di negara kita, khususnya di maktab-maktab perguruan di Sabah ini, mesti menyediakan diri untuk mencintai anak-anak kawasan pedalaman dan bersedia mengambil alih peranan mendidik mereka daripada GSTT. Sebaliknya, GSTT pula mesti menyiapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang mencukupi bagi menyertai saingan untuk mengikuti Kursus Diploma Perguruan Malaysia mod biasa atau mod KDC sekiranya diadakan lagi di maktab-maktab perguruan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Dengan pandangan ikhlas dan harapan itu, saya akhiri ucapan saya dalam Penutupan Rasmi Kursus Pendek Kelolaan Maktab atau KPKM untuk Guru-Guru Kawasan Terpencil pada malam ini. Maka, dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, saya dengan sukacitanya menutup dengan rasminya KPKM untuk Guru Sekolah Terpencil di Sekolah Kebangsaan Salinatan, Zon Pensiangan pada malam 26 Julai 2002 ini.
Sekian. Wa billahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Tamat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan