11 September 2012

Batang Gaharu Buruk

Dari kiri: (1982) Shamad, Tuan Haji Liwangsa dan MIAR.
Saya kerap melakukan pengembaraan dengan Shamad Ahmad Nurawi Abas. Beberapa peristiwa penting pengembaraan yang sudah berlalu lebih tiga puluh tahun itu masih segar dalam ingatan saya. Walau bagaimanapun saya gagal mengingat beberapa fakta seperti tarikh, nama orang dan nama tempat tertentu seperti kampung persinggahan kami yang pertama dalam perjalanan ke Sekolah Kebangsaan Malubang, Pitas.

Saya sudah menukilkan perjalanan saya bersama-sama Shamad ke Malubang pada tahun 1980. Nukilan tiga siri itu bertajuk “Ayam Putih, Terbanglah!”, “Di Atas Puncak Ombak” dan “Meredah Padang Lalang”. Pada kesempatan ini, saya nukilkan pengalaman kami di hutan paya pada awal tahun 1982. Saya mulakan nukilan ini dengan butiran diri Shamad.

Shamad orang Terengganu. Dia menamatkan latihan perguruan di sebuah maktab perguruan di Semenanjung pada pertengahan tahun 1970-an. Dia ditempatkan di Sekolah Menengah Mat Saleh dalam Daerah Ranau. Di situ dia bertemu dengan Betty, gadis Kadazan yang berasal dari Penampang dan bertugas sebagai guru sekolah rendah. Betty memeluk Islam. Shamad mengahwininya.

Pada pertengahan tahun 1980, Shamad melaporkan diri sebagai pensyarah Sains di Maktab Perguruan Sandakan. Dia datang seorang diri dan menumpang di rumah saya. Usahanya mencari rumah sewa yang sesuai tidak berhasil sedangkan dia perlu membawa Betty dan dua orang anak mereka pindah ke Sandakan secepat yang mungkin kerana Betty juga ditukarkan ke Sandakan.

Blok di tingkat empat rumah pangsa penginapan saya dalam kawasan maktab itu mempunyai tiga buah bilik. Saya bujang. Saya hanya menggunakan sebuah bilik. Shamad menerima tawaran saya untuk menjadikan rumah saya sebagai tempat penginapan sementara. Sejak pertengahan tahun 1980 hingga akhir tahun 1982, Shamad, Betty dan dua orang anak mereka, Rabiatul Adawiyah dan Luqmanul Hakim, tinggal serumah dengan saya. Hal ini adalah antara faktor kami kerap melakukan pengembaraan bersama-sama.

Antara persamaan saya dengan Shamad ialah kegemaran kami menjala dan memukat di laut. Semasa kecil dan remaja, Shamad kerap ke laut kerana suku-sakatnya di Terengganu nelayan. Dia cekap berdayung. Saya berkemahiran menebar jala dari atas perahu. Mula-mula kami mengikut seorang pekerja maktab. Kemudian kami meminjam perahu orang dan hanya menggunakan dayung. Tidak lama kemudian saya membeli sebuah bot terpakai dan enjin sangkut baharu lapan kuasa kuda. Kegiatan kami menjala dan memukat menjadi-jadi.

Banyak rakan mengetahui kegemaran kami itu. Antara mereka termasuk Tanalol bin Haji Liwangsa, pensyarah di Jabatan Ilmu Pendidikan. Pada suatu hari, dia mempelawa kami untuk memukat ikan di kampung tempat kelahirannya, iaitu Kampung Sentosa Jaya dalam Daerah Kinabatangan, kira-kira 100 kilometer dari Sandakan. Katanya, di dalam hutan paya di kampungnya itu ada sebuah tasik. Ketika banjir, air Sungai Kinabatangan melimpah dan melaut di hutan paya itu. Apabila air surut, ikan Sungai Kinabatangan terperangkap di dalam tasik itu. Usaha untuk menangkap ikan di tasik itu mudah ketika kemarau.

Pada masa itu musim kemarau. Tanalol menyatakan bahawa sudah beberapa kali ayahnya memukat ikan di tasik itu. Hasil tangkapan ayahnya banyak. Oleh sebab perjalanan meredah paya dalam hutan itu agak sukar, ayahnya hanya membawa sekarung ikan pulang ke rumah. Ramli Yusop, rakan sejabatan yang bersama-sama saya menyelia praktikum di Paus pada tahun 1980 ikut mendengar pengisahan oleh Tanalol. Dia pun ingin menyertai kami.

Pada suatu hari cuti, kami bertolak dari maktab dengan kereta salun Tanalol yang berenjin besar, agak baharu dan berhawa dingin. Keghairahan saya yang membuak menyebabkan saya berasa perjalanan lebih kurang dua jam itu singkat. Tahu-tahu, selepas bersalaman dengan Tuan Haji Liwangsa, kaki saya memijak anak tangga kayu bulat di dapurnya. Saya menjadi orang yang pertama berada di ruang dapur kayunya itu.

Saya melihat beberapa ekor ikan salai di atas palang besi dapur itu. Lebar ikan itu kira-kira sejengkal dan panjangnya lebih kurang dua kaki. Warnanya kelabu kehitaman. Aromanya yang berbaur dengan bau asap menaikkan selera. Tanalol memberitahu bahawa ikan itu ialah ikan tapah. Dia menunjukkan karung gula yang tersangkut pada dinding dapur. Katanya, ayahnya hanya mampu membawa pulang sekarung ikan setiap kali pergi memukat. Entah apalah dorongannya, tangan saya membuka tutup periuk besi. Ada baki nasi di dalam periuk itu.

Pada masa itu tengah hari sudah hampir ke sempadan petang. Keempat-empat orang pensyarah di dapur itu belum makan apa-apa sejak bersarapan di rumah. Sebentar lagi mereka akan meredah hutan paya. Mereka memerlukan tenaga. Saya yakin, Tuan Haji Liwangsa yang sudah berumur dan sudah lama menduda itu menganggap rakan-rakan Tanalol sebagai anaknya sendiri. Dia memahami hasrat tekak dan perut mereka. Hal itu terbukti apabila saya menutup kembali periuk nasi itu dia mengunjukkan empat biji pinggan kepada Tanalol. Dengan suara yang lembut dia berkata, “Makanlah (a)nak, apa-apa yang ada. Ratahlah ikan itu. Janganlah malu-malu. Buat sahaja macam rumah sendiri.”

Ketika kami menikmati ikan tapah salai dengan nasi sejuk, Tuan Haji Liwangsa membancuh kopi o. Dia kelihatan senang hati melihat keakraban dan kelakuan kami yang agak lahap macam budak sekolah rendah. Mungkin dia berasa dihargai kerana ada pensyarah maktab sudi mengunjunginya dan duduk di atas lantai di dapur rumah kampungnya sambil menikmati nasi yang ditanaknya dan ikan salai tangkapannya. Rasanya dia lebih faham daripada saya bahawa kehadiran tetamu meluaskan pintu rezeki.

Selepas bersolat zuhur, kami memulakan perjalanan. Selain kami berempat dari maktab dan ayah Tanalol, adiknya yang masih bersekolah rendah dan tinggal dengan ayahnya ikut serta. Mula-mula kami melalui kebun buah-buahan, kemudian belukar dan seterusnya masuk ke dalam hutan. Perjalanan awal itu menurun dan mudah kerana rintisannya baik. Laluan di dalam hutan kebanyakannya berair separas buku lali hingga paras betis.

Rintisan di kawasan berair tidak kelihatan. Hanya tanda lama berupa patahan anak kayu dan takikan pada pokok yang sederhana besarnya menjadi panduan.

Dari semasa ke semasa, Tuan Haji Liwangsa mematahkan batang di bahagian pucuk anak-anak kayu dan menakik beberapa batang pokok. Rintisan di kawasan kering jelas ada kesan laluan makhluk.

Lebih kurang setengah jam kemudian kami tiba di tasik itu. Oleh sebab kemarau sudah lama, tasik itu sudah dapat dianggap sebagai kolam. Bentuk tasik yang sudah turun tarafnya menjadi kolam itu bujur. Panjang kawasan berair kehitam-hitaman lebih kurang seratus meter dan lebarnya lebih kurang lima puluh meter. Jikalau airnya penuh, panjang dan lebarnya meningkat lima puluh peratus. Tuan Haji Liwangsa mengeluarkan seutas pukat daripada karung gula. Adik Tanalol dan Shamad membantunya merentang pukat bermata besar itu melintang lebar tasik.

Tuan Haji Liwangsa memegang satu hujung pukat. Shamad memegang hujung yang satu lagi. Saya dan adik Tanalol berada di antara mereka berdua dan bersedia untuk menangkap ikan yang terjerat pada mata pukat apabila pukat itu ditarik perlahan-lahan menuju ke hujung tasik. Ramli di belakang saya. Dia membawa karung. Tanalol di belakang lagi. Dia seolah-olah enggan masuk ke tengah kolam.

Saya yakin Tuan Haji Liwangsa sudah membersihkan tasik itu daripada kayu dan ranting kerana pukat itu tidak tersangkut apabila ditarik. Beberapa ekor ikan haruan yang terkejut melompati pukat yang sedang ditarik. Itu rezeki mata, kata saya dalam hati. Apabila pukat berada di tengah tasik, ikan yang kami peroleh baru dua tiga ekor. Saiz ikan-ikan itu besar kerana mata pukat kasar. Saya yakin ikan-ikan kecil dapat melepasi mata pukat itu dengan selesanya..

Bahagian tasik itu yang terdalam hanya paras dada. Hanya saya yang berada di kawasan yang terdalam itu. Tidak berapa lama kemudian proses penarikan pukat selesai. Pukat itu didaratkan tanpa seekor ikan pun. Yang banyak ialah sampah. Tuan Haji Liwangsa dan Shamad membersihkan pukat itu, menggulungnya dan memasukkannya ke dalam karung.

Kami berehat di tempat permulaan pukat diturunkan. Tuan Haji Liwangsa, saya dan Ramli duduk di atas batang pokok yang rebah. Tanalol dan adiknya bertinggung tidak jauh dari kami. Shamad merayau di tepi kolam.

Tuan Haji Liwangsa kelihatan sugul. Dia mengatakan ikan besar di tasik itu sudah berkurangan. Katanya, nasib kami kurang baik. Saya cuba menghapuskan rasa terkilannya dengan mengatakan bahawa ikan yang beberapa ekor itu pun sudah memadai. Kata saya, hal yang penting kami dapat menambah pengalaman.

Shamad datang ke tempat kami. Dia menunjukkan sebatang kayu buruk berwarna hitam yang diperoleh di tepi tasik. Kayu sebesar belantan itu keras dan berlubang-lubang. Corak lubang itu cantik. Jikalau dilicinkan dengan kertas pasir dan divarnis, kayu itu dapat dijadikan perhiasan. Itu kayu gaharu dan harum, katanya. Kami mencium kayu itu bergilir-gilir. Sungguh, bau kayu itu harum. Tuan Haji Liwangsa mengesahkan bahawa kayu itu ialah kayu gaharu.

Shamad mengatakan bahawa dia hendak menunjukkan kayu gaharu itu kepada isteri dan anak-anaknya. Kami berbual tentang kayu itu. Perbualan kami meleret kepada tasik. Saya membayangkan di situ ada tujuh buah tasik dan dinamakan Tasik Tujuh. Ramli menambah dengan mengatakan tuan puteri bertujuh turun untuk mandi di tasik itu. Shamad juga ikut menyampuk. Apabila perbualan kami melalut, baru kami sedar akan tatatertib ketika berada di hutan.

Saya berkata dengan suara yang perlahan dan nada kesal, “Eh, kita berada di dalam hutan!”

Percakapan kami yang berkemungkinan mengundang padah itu terhenti serta-merta.

Bersambung: Membuang Ilmu

Ayam Putih, Terbanglah!
Di sa…na!
Azan Bergema Kembali

Tiada ulasan: