14 September 2012

Catatan tentang Pelian, Ketutu dan Lain-lain Mendapat Sambutan

Kelah (pelian) Sabah jenis keperakan.
Hari ini saya berasa gembira kerana status buku wajah saya tentang ikan air tawar/darat mendapat sambutan rakan-rakan. Dua orang rakan, Cikgu Azlee Makibin dan Cikgu Salehuddin Siman, memberikan sambutan yang rinci dan bernilai ilmu. Sambutan mereka menyerlahkan minat, pengalaman dan pemerhatian guru di kawasan pedalaman yang akrab dengan alam sekitar.

Cikgu Azlee sedang menyempurnakan tahun kelapan perkhidmatannya di Sekolah Kebangsaan Abuan, Beluran, iaitu sekolah terjauh dan tersukar perhubungannya di Beluran. Cikgu Salehuddin Siman pernah berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Karagasan, iaitu antara sekolah di kawasan pedalaman Ranau. Sungai utama dan cabang sungai di tempat mereka berkhidmat menjadi habitat ikan sungai kelas pertama seperti kelah (Tordouronensis tambroide, pelian, garap) dan ikan ubi (ketutu, Oxyeleotris marmoratus).

Jelawat (Lembungau)

Hal yang paling menggembirakan saya ialah pernyataan Cikgu Azlee bahawa dia berhasrat untuk membuat catatan tentang ikan air tawar di Sabah. Catatannya itu dijangka mengandungi gambar, nama ikan dan butiran ringkas ikan yang berkenaan. Saya memberikan sambutan seperti yang berikut:

Saya mengucapkan syabas kepada Cikgu Azlee kerana sudah menyimpan cita-cita untuk menyediakan gambar, nama dan butiran ringkas ikan air tawar di Sabah. Hal ini bermakna cikgu bersedia untuk menjadi pengkaji ikan air tawar/darat. Ada beberapa pandangan saya:

Ikan Ubi (Ketutu)

(1) Usaha itu perlu tersusun dan dilakukan secara berterusan. Tumpukan usaha awal pada ikan yang ditemukan di sungai-sungai di Abuan. Lakukan penentusahan nama tempatan/suku kaum, nama baku, nama saintifik, habitat dan sebagainya. Manfaatkan perpustakaan Universiti Malaysia Sabah. Saya yakin ada kajian/tesis tentang ikan air tawar Sabah di perpustakaan itu selain buku tentang ikan. (Pastikan usaha ini tidak menjejaskan proses pembelajaran cikgu.)

(2) Usaha itu dapat dikaitkan dengan pelestarian kosa kata suku kaum dan pengambilan kosa kata yang sesuai untuk bahasa Melayu baku. Usaha itu dapat juga dikaitkan dengan pendokumentasian budaya suku kaum seperti peralatan menangkap ikan, jenis masakan dan kepercayaan yang berkaitan dengan ikan/sungai. Saya yakin hal ini adalah sebahagian daripada tugas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah (DBPCS). Oleh itu, apabila usaha awal sudah dimulakan, cikgu wajar menghubungi DBPCS dan berbincang tentang hal ini. Saya percaya perbincangan itu akan menatijahkan penyelidikan yang lebih terarah, terbimbing, tertanggung sebahagian kosnya dan berkemungkinan untuk diterbitkan atau sekurang-kurangnya didokumentasikan di Pusat Dokumentasi Melayu DBPCS.

(3) Usaha itu dapat dilihat dari segi pelestarian alam sekitar, khususnya flora dan fauna. Saya yakin, ada jabatan kerajaan seperti Jabatan Perikanan dan Pejabat Daerah, berminat dengan usaha cikgu itu. Apabila usaha awal sudah dimulakan dan kertas cadangan untuk usaha lanjutan disiapkan, kertas cadangan itu wajar dikemukakan kepada pihak yang berkenaan selain DBPCS. Percayalah, mereka akan membantu cikgu. Jika mereka “liat”, nanti kita bincangkan cara untuk melentur keliatan itu.

(4) Cikgu Salehuddin juga wajar melakukan usaha yang sama. Apabila usaha awal sudah berjaya, panel penyelidik/penulis dapat dibentuk bagi melakukan usaha lanjutan.

Selain itu, saya juga memberikan sambutan seperti yang berikut:

Sebarau
Kelah (Tordouronensis tambroides) ialah ikan utama dalam sistem tagal di Sungai Moroli, Kampung Launti. Nama popular kelah di Sabah ialah pelian dan di Sarawak emperau. Persoalannya, adakah pelian dan emperau bahasa suku kaum atau dialek umum Sabah/Sarawak? Hal yang sudah hampir pasti, garap ialah bahasa Dusun bagi kelah, Walau bagaimanapun, spesies kelah kelihatan seakan-akan sama dengan sebarau dan jelawat (lembungau/lembungou). Ada kemungkinan hal ini menyebabkan berlakunya pertindihan.

Perkara ini dapat menjadi renungan pengkaji/peminat etnik Dusun, Puan Jurry Foo; penulis yang kerap menjadikan ehwal suku kaum sebagai latar karyanya, Puan Azmah Nordin dan wartawan yang mengumpul kosa kata suku kaum, Tuan Abd Naddin Haji Shaiddin. Perkara ini wajar juga menjadi renungan pegawai penyelidik DBPCS, khususnya mereka yang menggerakkan usaha pengumpulan/pemurnian kosa kata suku kaum, dan para penulis. (Rujukan Tuan Rusdi Awang, Puan Neetah Noordin, Puan Nelawati Ngadul, Puan Kasima Salinri Abdullah, Tuan Mohd Saidi Lampoh dan Tuan R Hamzah Dua.)

Pelian: Nama dan Harga
Ikan Puyu Si Ikan Karuk, Dipindang Kering

Tiada ulasan: