12 Oktober 2012

Azam di SMK Majakir

Sabah Tempat Bermain

Pekan Papar terletak kira-kira 50 kilometer dari Kota Kinabalu. Pada tahun 1975, jalan raya ke Papar hanya satu, iaitu jalan yang kini dinamakan Jalan Papar Lama. Jalan baharu melalui Beringis belum ada. Jalan utama dari Kota Kinabalu ke Papar ialah melalui Kepayan, Putatan, Kem Lok Kawi dan seterusnya melintasi rel kereta api. Jalan di kiri selepas lintasan itu menuju ke Kota Kinabalu, iaitu melalui Kampung Limbanak, tempat saya mengajar pada tahun 1972, dan Donggongon. Jalan itu kini dinamakan Jalan Pintas Penampang.


Selepas lintasan itu, jalan ke Papar di kanan. Apabila kita meneruskan perjalanan dari situ kita akan bertemu dengan simpang ke Kinarut di sebelah kanan, simpang ke Kampung Mook di sebelah kiri dan seterusnya simpang ke Universiti Kebangsaan Malaysia Kampus Sabah, Limauan atau nama asalnya Kebun Kawang Batu 14. Dari situ kita melintasi Kampung Kawang dan beberapa buah kampung lagi hingga ke Kampung Manggis dan jambatan Simpudu.

Dari lintasan hingga ke simpang Kampung Mook, jalan rata. Ada sawah dan paya di kiri dan kanan jalan. Selepas itu hingga ke Simpudu, sebahagian jalan berbukit. Di kiri dan kanan jalan ada kebun buah-buahan, ladang getah, sawah, belukar dan hutan. Dari Simpudu hingga ke Kampung Surati, keseluruhan jalan rata. Di kiri dan kanan jalan ialah sawah padi yang luas terbentang. Pekan Papar terletak selepas Kampung Surati.

Kita boleh menggunakan bas atau teksi untuk ke Papar. Kita juga boleh menaiki kereta api dari Stesen Tanjung Aru. Orang Papar menyebut kereta api sebagai enjin. Apabila kita mendengar seseorang berkata “Kami datang naik enjin”, enjin itu bermaksud kereta api. Kebanyakan penduduk Kawang dan Bongawan ke Papar dengan menaiki kereta api.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Majakir terletak kira-kira sekilometer dari Bandar Papar. Ketika saya melaporkan diri di sekolah itu pada 6 Januari 1975, namanya masih SMK Papar. Orang Papar menyebutnya SMK sahaja. Sebutan ringkas itu kekal apabila sekolah itu dinamakan SMK Majakir mulai 1 Ogos 1975. Majakir ialah kebiasaan sebutan orang tempatan terhadap nama Orang Kaya-kaya (OKK) Mohd. Zakir bin Awang, iaitu Ketua Daerah Papar.

Seorang lagi lepasan Maktab Perguruan Gaya yang melaporkan diri pada hari itu ialah Hasnah binti Jelani. Gadis putih dan comel dari Johor itu berkawan dengan rakan karib saya dari Kedah, iaitu Yusof bin Sharif. Pada hari yang sama Yusof melaporkan diri di SMK Bongawan. Hasnah tinggal di sebuah rumah kampung di Kampung Berundung kira-kira dua kilometer dari SMK. Dia ke sekolah menaiki basikal.

Turut melaporkan diri di SMK pada hari itu ialah Nordin Naim dari Selangor. Dia lepasan Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bahru. Dia mencari rumah sewa bersama-sama saya. Sebelum tengah hari kami sudah mendapat rumah yang dikira sesuai sebagai tempat tinggal sementara orang bujang. Kami bersetuju untuk tinggal bersama-sama.

Rumah sewa itu terletak belakang sebuah rumah dua tingkat. Kawasan rumah dua tingkat itu sudah ditambak kira-kira tiga kaki dari paras asal. Rumah sewa kami hanya setingkat dan terletak di kawasan asal yang rendah. Tebing Sungai Papar kira-kira dua puluh meter dari belakang rumah itu. Saya menjangka banjir sampai ke kawasan kami, termasuk di bawah rumah. Mustahil air banjir mencecah lantai kerana tiang rumah itu tinggi, iaitu lebih tinggi daripada saya.

Bilik air dan tandas dibina berasingan. Lantai kedua-dua binaan kecil itu ditinggikan. Tuan rumah membina titi daripada kayu dan sekeping papan tebal, dari tangga belakang rumah hingga ke pintu bilik air dan pintu tandas. Laluan ke rumah itu becak apabila hari hujan. Tuan rumah meletakkan kayu dan papan di laluan itu untuk memudahkan pergerakan kami.

Rumah beratap zink itu sama panjang dan lebarnya, dan saya anggarkan dua puluh kaki kali dua puluh kaki. Ruang tengahnya disekat dengan dinding papan lapis untuk membentuk dua unit rumah sewa. Setiap unit mempunyai tangga dan pintu yang berasingan. Di hadapan ada dua tangga dan dua pintu. Demikian juga halnya di belakang.

Keseluruhan rumah itu berdinding dan ada tiga ruang. Ruang hadapan selebar lima kaki dan panjangnya sepuluh kaki dapat dianggap sebagai ruang rehat. Dapur sama lebar dan panjangnya dengan ruang hadapan. Bilik tidur terletak di antara ruang hadapan dengan ruang tengah. Ada laluan tiga kaki yang menghubungkan ruang hadapan dengan dapur. Satu unit rumah itu dihuni oleh dua orang tukang masak SMK. Mereka wanita tempatan. Kami berkongsi bilik air dan tandas.

Jikalau rumah itu dua kilometer dari SMK, kami tidak akan menyewanya. Kami tetap menyewa rumah yang memang ada kekurangan itu kerana letaknya kira-kira dua puluh meter dari pintu pagar sekolah. Selain kekurangan itu, ada pula kekurangan lain. Atap zinknya yang rendah dan tanpa siling, menyebabkan suhu dalam rumah itu tinggi pada waktu panas dan bunyi bising berlebihan apabila hari hujan. Bunyi tapak kaki dan suara orang sebelah pula boleh didengar. Oleh hal yang demikian, pada bulan April Nordin berpindah ke rumah Cikgu Said Bakar dalam kawasan sekolah. Saya tinggal bersendirian. Tidak lama kemudian, saya juga meninggalkan rumah itu. Saya menyewa tingkat bawah rumah dua tingkat di tepi jalan dan menghadap sawah di Kampung Sungai Padang, kira-kira sekilometer dari SMK.

SMK Majakir ialah sekolah menengah terbesar di Papar. Kawasannya luas dan ada yang masih belum dibangunkan. Bangunannya banyak dan kebanyakannya dua tingkat. Semua kemudahan yang biasa bagi sekolah menengah terdapat di sekolah itu. Kemudahan itu termasuklah pejabat, bilik guru yang luasnya seperti dewan, bilik darjah, perpustakaan, dewan pelbagai guna, asrama lelaki, asrama wanita, makmal sains, bilik urusan rumah tangga, bilik seni, bengkel seni perusahaan, kantin, padang dan gelanggang bola tampar. Terdapat lebih sepuluh buah rumah guru dalam kawasan sekolah itu.

Pelajar SMK banyak. Dua sesi persekolahan diadakan. Sebahagian pelajar datang dari jauh seperti Kawang, Manggis, Kimanis dan Bongawan. Oleh sebab asrama hanya dapat menampung sebahagian kecil pelajar, mereka dari tempat-tempat yang jauh terpaksa berulang dengan berbagai-bagai cara, terutamanya dengan menaiki kereta api. Terdapat dua tingkatan peralihan dan beberapa banyak tingkatan satu hingga tingkatan lima. Pada tahun pertama di sekolah itu, saya mengajarkan mata pelajaran Bahasa Malaysia kelas peralihan dan Seni Perusahaan tingkatan dua.

Guru sekolah itu juga banyak dan kebanyakannya guru muda dari Semenanjung lepasan Maktab Perguruan Gaya. Antara guru sesi pagi termasuklah Cikgu Chin Ah Tau, Cikgu Wu, Cikgu Shim, Cikgu Abdul Wahab, Cikgu Faridah, Cikgu Abdul Rahim, Cikgu Lim Chin Tong, Cikgu Nazmi, Cikgu Said Bakar, Cikgu Mohd. Salleh Lebar dan Cikgu Mohd Nor Long. Antara guru sesi petang bersama-sama saya termasuklah Cikgu Awang Fauzi selaku penyelia petang, Cikgu Awang Piut, Cikgu Awang Mahmun, Cikgu Hussin, Cikgu Pardhan Singh, Cikgu Norhashimah dan Ustaz Hasbi Sain.

Pekerja sekolah itu juga banyak. Mereka terdiri daripada pekerja am, tukang masak, pembantu pejabat, pembantu makmal, penyelia asrama dan kerani. Pekerja pejabat yang masih muda, rajin, baik biasa bertegur sapa dan membantu saya ialah Encik Hamdan. Dua orang kerani ialah Puan Salmiah dan Puan Maznah. Mereka pandai melayan karenah guru termasuk saya. Saya juga biasa bertegur sapa dengan penyelia asrama, Encik Talib, tukang masak dan pekerja am.

Pembantu makmal SMK bernama Easter Martindas. Dia berketurunan Kadazan. Usianya akhir belasan. Dia gadis lumrah Kadazan Papar, berkulit putih, sopan, bersuara lembut dan tidak kedekut untuk mengagihkan senyuman. Dia rapat dengan Cikgu Said Bakar, iaitu guru Sains tingkatan empat dan tingkatan lima. Cikgu Said sudah lama berkahwin dengan Kak Azmah tetapi belum mempunyai anak. Oleh sebab saya rapat dengan Cikgu Said, saya rapat juga dengan Easter.

Ada beberapa kali saya menjenguk Easter di makmal sains. Ada sekali saya dan Cikgu Said pergi ke rumahnya di Kampung Manggis untuk membeli durian. Kami mendapat durian percuma! Pada pertengahan tahun 1975, Easter meninggalkan kami. Dia menerima tawaran sebagai jururawat pelatih di Pulau Pinang.

Saya berada di SMK Majakir dengan azam yang pasti dan kukuh. Saya berazam untuk menjadi guru yang baik. Walaupun guru bukanlah pekerjaan yang saya cita-citakan, tetapi sesudah menjadi guru sandaran selama setahun di Limbanak dan menamatkan latihan perguruan dua tahun di Maktab Perguruan Gaya, saya mesti meneruskan kerjaya bukan pilihan saya itu. Nampaknya, itulah kerjaya yang ditakdirkan untuk saya. Saya mesti menjiwai kerjaya itu.

Sementelahan, kerja saya diperhatikan oleh pihak sekolah selama setahun sebagai syarat tambahan sebelum sijil guru dianugerahkan. Pengetua sudah membuat ketetapan bahawa saya mesti menyediakan rancangan pelajaran harian yang lengkap seperti guru pelatih maktab selama enam bulan. Saya mematuhi arahannya. Dia menyemak rancangan pelajaran itu pada awal minggu.

Satu lagi azam saya adalah untuk memiliki Sijil Tinggi Pelajaran (STP). Keputusan STP itu mestilah baik agar saya layak bergelar mahasiswa. Oleh sebab itu, dan serentak dengan usaha penyediaan rekod pengajaran, rancangan pelajaran harian dan persediaan pengajaran yang lain, saya juga menyiapkan diri untuk mengambil peperiksaan itu.

Satu sudut ruang rumah sewa itu saya jadikan tempat untuk melakukan persediaan pengajaran dan pembacaan buku teks STP. Di situ ada meja daripada kotak untuk menulis latihan rancangan pelajaran harian dan nota. Bidang kewartawanan dan penulisan kreatif saya lupakan buat sementara waktu.

Bersambung: (16) Penyapu Baharu

Nota
Perenggan terakhir dipinda/dimurnikan pada 14 Oktober 2012.



Tiada ulasan: