14 Oktober 2012

Penyapu Baharu

Sabah Tempat Bermain
Jawatan saya di SMK Majakir ialah jawatan sementara. Hal itu tercatat dalam surat pelantikan yang ditandatangani oleh Encik A. Kow Ying Kong bagi pihak Pengarah Pelajaran Sabah. Perenggan pertama surat yang bertarikh 17 Disember 1974 itu berbunyi “Saya menawarkan kepada tuan jawatan sebagai Pegawai Perkhidmatan Pelajaran untuk sementara dan tidak melebihi enam bulan dalam kategori C2 mulai 6 Januari 1975.” Kategori C2 bermaksud mereka yang mempunyai kelayakan asas Sijil Pelajaran Malaysia atau yang setaraf dengannya.


Lepasan Maktab Perguruan Gaya yang berasal dari Semenanjung dikehendaki menandatangani perjanjian untuk berkhidmat dengan kerajaan Sabah selama lima tahun. Sepatutnya perjanjian itu ditandatangani sebelum tempoh jawatan sementara tamat. Oleh sebab maktab hanya mengeluarkan sijil setelah kami “tamat mengajar setahun dengan memuaskan”, perjanjian ditandatangani selepas kami memperoleh sijil. Apabila perjanjian itu ditandatangani, kami digelar guru kontrak.

Dalam perenggan keenam surat itu dinyatakan bahawa Kerajaan Sabah boleh memberhentikan perkhidmatan guru berjawatan sementara tanpa notis. Oleh sebab itu saya tidak boleh mengikut rentak guru kontrak, apalagi guru lama yang berjawatan tetap dan berpencen. Saya mesti menyerlahkan kemampuan dan ketangkasan agar saya ditawarkan jawatan guru kontrak setelah memiliki sijil guru. Saya mesti menumpukan perhatian yang sepenuhnya kepada tugas.

Usaha saya mudah kerana rumah sewa saya dekat dengan sekolah. Saya boleh berulang-alik dari rumah ke sekolah tanpa membuang masa dan wang. Lagipun, Nordin mengajar di sebelah pagi. Saya mengajar di sebelah petang. Makanan tengah hari saya sediakan. Penyediaan makanan malam tanggungjawab Nordin. Masakan orang bujang mudah. Yang penting ada nasi dan sejenis lauk. Lauk kesukaan kami ialah ikan bawal hitam. Orang Papar menyebutnya ikan duai. Seekor duai yang beratnya kira-kira sekati dan belum kena ais hanya seringgit. Duai itu dipotong empat, digoreng dan dapat dijadikan lauk pagi dan petang. Ikan sardin, ikan masin, ikan bilis, taucu dan kicap memang sedia di dapur kami.

Gaya praktikum maktab saya terapkan di sekolah. Selain menulis rancangan pelajaran harian lengkap, saya juga menyediakan alat bantu pengajaran. Alatan itu terlalu sedikit jikalau dibandingkan dengan alatan semasa praktikum. Hal itu wajar kerana alatan yang terdapat di sekolah tidak seberapa. Sebelum menerima gaji yang pertama saya tidak mampu membeli bahan untuk membuat alat bantu pengajaran sendiri.

Saya tiba di sekolah kira-kira sejam sebelum sesi petang bermula. Sesudah bertegur sapa dengan beberapa orang guru sesi pagi, saya memeriksa buku latihan pelajar. Waktu bebas, iaitu tiada kelas, saya gunakan juga untuk memeriksa buku latihan pelajar dan mencatat pencapaian mereka dalam buku rekod pengajaran. Saya berborak juga dengan beberapa orang rakan seperti Cikgu Awang Fauzi, Cikgu Awang Piut dan Cikgu Hussin tetapi tidaklah lama. Lain halnya dengan beberapa orang guru wanita. Mereka suka berborak dan bisanya lama.

Ada beberapa kali saya berasa geli hati melihat perlakuan seorang guru wanita. Dia memeriksa buku latihan pelajar. Apabila rakan di sebelahnya mengajak dia berborak, dia seakan-akan terlupa bahawa buku latihan terdedah di hadapannya. Pen merah di tangan kanannya terhangguk-hangguk dan sesekali tercoret halaman buku itu. Keadaan itu lazimnya berlanjutan beberapa minit sebelum dia meneruskan pemeriksaan.

Tindak-tanduk saya memang mendapat perhatian rakan-rakan di bilik guru itu. Selain kesungguhan saya menggunakan masa bebas untuk memeriksa buku latihan, jumlah buku latihan yang saya bawa masuk dan keluar bilik guru itu banyak. Pada saya, hal itu bukanlah perkara luar biasa kerana pengajaran kemahiran berbahasa memang memerlukan latihan yang banyak. Lagipun, ada peperiksaan khas untuk kelas peralihan. Pelajar memerlukan latihan yang banyak bagi menjamin kejayaan dalam peperiksaan itu. Guru-guru lain kebanyakannya mengajar di tingkatan satu. Pelajar tingkatan satu hanya menghadapi peperiksaan awam pada akhir tingkatan tiga.

Hal yang lebih menarik perhatian mereka mungkin kebiasaan saya membawa alat bantu pengajaran sedangkan mereka membawa buku teks sahaja. Tumpuan perhatian istimewa saya terhadap pemeriksaan buku latihan dan kebiasaan saya membawa alat bantu pengajaran apabila ke kelas mendorong mereka mengusik saya. Antara ungkapan yang saya dengar termasuklah:

“Sibuk nampaknya, cikgu.”

“Belum habis lagi, cikgu?”

“Berehatlah dahulu, Isa. Sekarang masa rehat!”

“Rajin, nampak!”

“Memanglah, penyapu baharu!”

Ungkapan yang menyentuh perasaan saya ialah “penyapu baharu”.

Jarang-jarang saya membalas usikan itu secara lisan. Lazimnya saya hanya senyum, sengih atau diam. Balasan lisan lazimnya “Ya”, “Sedikit sahaja lagi, cikgu” dan “Begitulah nampaknya, cikgu!”

Usikan rakan-rakan saya anggap sebagai perkara biasa. Usikan yang menyentuh perasaan pula saya jadikan sebagai pembakar semangat. Semangat saya bergelojak apabila rezeki yang ditangguhkan selama dua tahun datang bergolek. Saya manfaatkan rezeki itu untuk ke Kota Kinabalu bagi meminjam alat bantu pengajaran di Pusat Alat Bantu Pengajaran, Pejabat Pelajaran Pantai Barat di Karamunsing.

Pada pertengahan bulan Mac, saya ke Pejabat Pelajaran Kota Kinabalu untuk menerima cek bernilai dua ribu seratus empat puluh dua ringgit. Sebelum cek itu diberikan,. saya dikehendaki untuk menghulurkan sumbangan kepada persatuan guru yang menaungi perkhidmatan saya sebagai guru dalam skim Unified Teaching Service (UTS) di Sekolah Saint Aloysius, Limbanak. Jumlah sumbangan itu tidak melebihi lima peratus daripada nilai cek. Saya hulurkan sumbangan itu dengan senang hati. Saya memang bersedia dengan wang tunai yang mencukupi kerana pada awal Mac saya sudah ke pejabat yang sama bagi menguruskan rezeki yang ditangguhkan itu.

Nilai cek itu ialah tunggakan gaji dan elaun kerana perubahan skim perkhidmatan perguruan. Itulah rezeki tertangguh hasil perkhidmatan saya sebagai guru sandaran. Berikutan perubahan skim perkhidmatan itu, gaji pokok saya sebanyak tiga ratus sepuluh ringgit dianjakkan ke tangga ketiga dan menjadi tiga ratus tujuh puluh ringgit. Jumlah itu ialah gaji tahun ketiga perkhidmatan guru terlatih kumpulan C2. Pada pertengahan Julai, saya menerima sepucuk surat daripada Jabatan Pelajaran Sabah. Kandungan perenggan pertama surat yang bertarikh 7 Julai 1975 dan ditandatangani oleh A. Kow Yin Kong bagi pihak Pengarah Pelajaran Sabah itu adalah seperti yang berikut:

“Dimaklumkan bahawa gaji tuan telah diubah kepada $370.00 sebulan dalam kategori C2 $310 x 30 – 370/400 x 30 – 550/580 x 30 – 700/730 x 30 – 880 mulai 6 Januari 1975. Sebagai catatan, tuan adalah dalam latihan di Maktab Perguruan Gaya, Kota Kinabalu dari 1 Januari 1973 hingga 5 Januari 1975 tanpa gaji dan perkhidmatan tuan dari 14 Januari 1972 hingga 31 Disember 1972 adalah sebagai guru pelatih dalam UTS.”

Penyesuaian gaji itu melayakkan saya menerima tunggakan gaji pokok dan elaun lebih enam puluh ringgit sebulan. Apabila tunggakan itu di bayar pada akhir bulan Ogos, saya menerima tunggakan melebihi sebulan gaji.

Rezeki yang ditangguhkan itu saya manfaatkan sebaik-baiknya. Pada akhir Mac saya mendaftarkan diri sebagai pelajar Maktab Adabi Gaya Pos bagi kursus STP. Saya memilih rancangan kursus terbaik iaitu pengiriman nota berkala oleh maktab, penghantaran latihan yang saya lakukan kepada maktab dan pengeposan latihan yang sudah disemak dan diulas oleh pihak maktab kepada saya. Pihak maktab juga membenarkan saya untuk mengemukakan pertanyaan dan jawapannya saya terima bersama-sama kiriman nota seterusnya.

Saya mengikuti tiga mata pelajaran sahaja, iaitu Kertas Am, Bahasa Melayu peringkat prinsipal dan Sejarah peringkat prinsipal juga. Bahasa Melayu peringkat prinsipal mengandungi mata pelajaran Bahasa Melayu 1, iaitu karangan, pemahaman dan terjemahan, dan Bahasa Melayu 2, iaitu Kesusasteraan Melayu. Mata pelajaran Sejarah peringkat prinsipal yang saya pilih terdiri daripada dua mata pelajaran juga, iaitu Sejarah Tanah Melayu dan Asia Tenggara, dan Sejarah Islam. Mata pelajaran Ekonomi dan Seni Lukis saya pelajari tanpa bimbingan sesiapa.

Rezeki itu saya manfaatkan juga untuk membeli buku yang berkaitan dengan STP. Selain itu, mulai bulan April, saya melanggan akbar Berita Harian dan Berita Minggu. Saya membaca akhbar setiap hari kerana mata pelajaran Kertas Am memerlukan pembacaan yang luas tentang hal ehwal semasa. Saya membaca akhbar tempatan di sekolah. Saya juga membeli radio kaset. Berita dan ulasan berita radio juga berkaitan dengan mata pelajaran Kertas Am.

Rezeki yang ditangguhkan itu saya manfaatkan juga untuk membeli pakaian. Antara pakaian itu termasuklah sepasang kasut kulit berjenama. Kasut itu berzip, warnanya coklat cerah, tingginya kira-kira empat inci dari buku lali dan tapaknya agak tebal. Itulah kasut idaman saya sejak saya menjadi pelajar Institut Kemahiran MARA di Alor Setar pada tahun 1970. Anekdot kehilangan kasut itu pernah saya siarkan di beberapa media maya termasuk di Blog Sambung-menyambung, adalah seperti yang di bawah:

Suatu hari, pada tahun 1978, aku dan Awang Hambali bersolat Subuh di Masjid Negara. Seusai solat, kami segera keluar. Awang terus menyarung kasutnya. Aku tercari-cari kasutku. Kami menunggu di pintu masuk sehingga semua jemaah meninggalkan masjid.

Sesudah agak lama menunggu, aku menyarung sepasang selipar buruk. Aku memilih selipar yang terburuk demi mengurangkan rasa bersalah.

Dari Masjid Negara kami berjalan kaki ke Pudu Raya. Kami memang berasa letih kerana semalaman kami digoncang oleh kereta api dari Butterworth ke Kuala Lumpur. Oleh sebab pada pagi-pagi buta itu kedai yang sudah dibuka hanyalah restoran dan kedai mamak surat khabar, tidaklah dapat aku membeli kasut baharu. Jadi, dengan selipar buruk di kakiku, aku dan Awang Hambali menaiki bas untuk meneruskan perjalanan ke Seremban.

Kasut yang hilang itu kubeli di Papar pada tahun 1975. Harganya lapan puluh ringgit. Lebih dua puluh tahun kemudian, aku pernah melihat kasut jenama yang sama dan yang seakan-akan kasutku yang hilang itu. Harganya lebih RM200.00. Kalau begitu, kasutku yang hilang itu merupakan kasut terbaik dan termahal pernah kupakai. Memang, sejak kehilangan kasut itu, aku berasa serik untuk membeli kasut berjenama dan mahal.

Pada awal April, seorang guru di Sekolah Menengah Saint Joseph kira-kira sekilometer sahaja dari SMK hendak menjual skuternya yang masih baharu. Dia memerlukan perbelanjaan untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains Malaysia. Harga yang ditawarkannya ialah lapan ratus ringgit. Saya membeli skuter pecut berwarna hijau itu secara tunai. Saya melengkapkan pembelian skuter itu dengan sebuah topi keledar terbaik dan jaket kulit yang ada lapisan bulu di bahagian dalamnya. Rasanya, jaket yang berwarna coklat gelap itu ialah jaket termahal yang pernah saya miliki.

Skuter pecut hijau itu saya manfaatkan sebaik-baiknya. Pada kebanyakan hari Sabtu, saya pergi ke Kota Kinabalu. Tempat pertama yang saya tuju ialah Pejabat Pelajaran Pantai Barat di Karamunsing. Saya meminjam alat bantu pengajaran. Sejak bulan April itu dapatlah dikatakan bahawa si penyapu baharu semakin menyerlahkan kebaharuannya. Oleh sebab hal itu sudah menjadi kebiasaan, ungkapan penyapu baharu sudah tidak kedengaran lagi.

Semua rakan yang bersama-sama saya di Rumah Kebajikan Islam, Kampung Likas, sudah pulang ke Semenanjung. Abang Seman, Kak Eton dan anak-anak mereka juga sudah meninggalkan Sabah. Sepupu saya, Selamah, sudah berpindah dari Kota Belud ke Kota Kinabalu. Apabila kakitangan kerajaan meninggalkan pejabat, saya bergerak ke rumahnya di Kepayan. Suaminya, Hanafi Ismail, bekerja di hospital. Saya hanya berada di rumahnya setelah Hanafi pulang. Di rumahnyalah saya makan minum, berborak, mendengar lagu daripada piring hitam dan tidur. Lazimnya saya pulang ke Papar pada petang Ahad.

Bersambung: (17) Pelajar Kelas Peralihan

Tiada ulasan: