15 Oktober 2012

Pelajar Kelas Peralihan

Sabah Tempat Bermain


Pada mulanya saya berasa tugas untuk menulis rancangan pelajaran harian yang lengkap seperti yang disediakan oleh guru pelatih maktab, berat. Hari berganti hari, minggu pertama berakhir. Minggu kedua dan minggu-minggu seterusnya tiba. Pada bulan Mac, saya berasa tugas itu semakin mudah.

Rancangan pelajaran harian ialah sejenis karangan berformat. Karangan berformat yang seakan-akan rancangan pelajaran harian ialah minit mesyuarat. Apabila kita teliti, skrip sandiwara radio, berita untuk akhbar dan kertas cadangan projek juga tergolong dalam karangan berformat. Saya meminati bidang penulisan dan kewartawanan. Saya menyukai kerja karang-mengarang. Sudah tentu saya juga menyukai kerja menulis rancangan pelajaran harian. Kerja itu menyebabkan saya menjadi asyik seperti pelukis leka melakar potret, pemain badminton seronok memukul bulu tangkis dan bayi lelan dalam ayunan.

Apabila Nordin berpindah ke rumah Cikgu Said Bakar dalam kawasan sekolah mulai awal April, saya bersendirian di rumah sewa itu. Pada waktu malam saya berada berjam-jam di hujung ruang rehat tanpa gangguan. Saya menghadap meja kotak untuk menyelesaikan penulisan rancangan pelajaran harian, melengkapkan buku rekod pengajaran, membuat sedikit alat bantu pengajaran, membaca nota STP yang dikirim oleh Maktab Adabi dan menyiapkan latihan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah STP.

Ada dua hal lagi yang menyebabkan saya berasa mudah untuk menulis rancangan pelajaran harian dan persediaan pengajaran yang lain. Yang pertama, saya mengajar dua kelas peralihan. Satu rancangan pelajaran harian saya gunakan untuk dua kelas. Apa-apa perbezaan kecil saya catatkan dalam ruangan catatan. Hal itu diterima oleh Tuan Pengetua, Albert S.K. Chia.

Yang kedua, kebanyakan masa kedua-dua kelas itu bersambung dan ada gabungan tiga masa. Masa yang bersambung memerlukan satu rancangan pelajaran harian sahaja. Jadi, jumlah rancangan pelajaran harian yang perlu saya sediakan dari hari Isnin hingga Jumaat tidak banyak tetapi masih melebih jumlah minimum yang ditetapkan untuk guru pelatih maktab, iaitu enam rancangan seminggu.

Murid setiap kelas peralihan tidak banyak. Saya mudah mengingat nama mereka. Saya mengetahui agama mereka, nama sekolah rendah mereka, nama kampung mereka, pekerjaan bapa mereka dan beberapa butiran lain. Pada masa cuti umum atau cuti penggal, saya melawat beberapa buah kampung. Hal itu dan beberapa usaha lain memudahkan saya membuat perkaitan isi pelajaran dalam bilik darjah dengan latar belakang mereka.

Semua pelajar kelas peralihan pada tahun 1975 Cina. Pada tahun 1976 ada seorang pelajar Melayu Brunei dari Kampung Kelanahan. Namanya Junaidah.

Kesemua pelajar itu menguasai bahasa Melayu. Hal itu berlaku kerana orang Cina tidak banyak di Papar. Mereka dikelilingi oleh peribumi seperti Melayu Brunei, Kadazan dan Bajau. Kebanyakan peniaga ikan dan penjual sayur peribumi. Bahasa Melayu dialek umum Sabah menjadi bahasa perantaraan mereka. Namun, sebagai pewaris lidah Cina, sebutan mereka tidak tepat dan ayat-ayat yang dihasilkan tidak sempurna. Kesilapan sebutan, kecelaruan ayat, kekurangan kosa kata dan ketidakupayaan mereka menghasilkan karangan yang baik menjadikan saya sibuk berfikir dan berusaha bagi membantu mereka. Hal itu adalah antara sebab saya berasa hari, minggu dan bulan di Papar berlalu dengan pantasnya.

Umumnya, pelajar-pelajar saya rajin. Segelintir pelajar yang malas saya gerakkan supaya rajin. Beberapa orang pelajar sangat menghormati saya. Pertuturan mereka teratur dan lembut. Ada juga pelajar yang kurang sopan. Tugas saya dan rakan-rakanlah mendidik mereka. Antara nama pelajar yang masih saya ingat termasuklah Lee Ger Jeng, Yee Chan Ming, Chong Kyun Jin dan Chong Oi Lan.

Beberapa orang pelajar lelaki suka mengusik pelajar perempuan. Mereka mengambil kesempatan pada awal waktu, sebelum waktu rehat dan apabila guru lambat masuk ke dalam kelas. Ketika guru menuju ke luar, ada murid lelaki sempat menyakat pelajar perempuan. Ketika saya menuju ke dalam bilik darjah pun, sempat juga murid lelaki melepaskan kenakalan mereka.

Sebelum saya memulakan pengajaran, saya pastikan pelajar lelaki memasukkan hujung baju mereka ke dalam seluar. Saya minta semua pelajar menyimpan barang-barang yang tidak diperlukan di dalam laci meja. Saya pastikan mereka duduk dengan sopan. Saya sampaikan kata-kata nasihat. Adakalanya saya berlucu. Selepas itu barulah saya mulakan induksi set. Dalam pada itu, kadang-kadang masih ada pelajar colek-mencolek. Lazimnya saya bertenang. Namun sesekali saya berang juga. Saya tegur mereka dengan suara yang tinggi dan gaya garang.

Ada pelajar merungut dalam bahasa Cina. Rakan mereka membalas dalam bahasa Cina juga. Saya tidak memahami rungutan dan pertuturan mereka. Saya bersangka baik. Saya anggap pelajar baik menasihati pelajar nakal. Apabila pelajaran tamat, saya menutup sidang pelajaran, buku latihan dikutip dan saya melangkah ke luar kelas. Pada masa itu mereka bising lagi. Adakalanya terdengar jeritan dalam bahasa Cina. Ada beberapa kali Puan Ang keluar dari kelas di sebelah. Dia bercakap dengan pelajar-pelajar itu dalam bahasa Cina. Rasanya, Puan Ang memberikan nasihat kepada mereka.

Ada seorang pelajar perempuan. Badannya besar. Mukanya lebar. Giginya rongak. Dia selaku kena sakat. Dia suka membalas. Saya pernah melihat dia menunjukkan penumbuknya kepada seorang pelajar lelaki sambil berkata sesuatu dalam bahasa Cina. Saya menasihati mereka agar bersopan. Saya tidak pernah mengasari mereka secara fizikal. Saya hanya menggunakan kata-kata. Adakalanya suara saya meninggi. Itu sahaja.

Namun tidak dinafikan ada hal yang saya sudah lupa. Tidak dinafikan ada kemungkinan saya pernah menyuruh pelajar berdiri beberapa minit. Kemungkinan itu terhad pada berdiri biasa, iaitu tapak kaki di atas lantai, bukan berdiri di atas kerusi. Itu sahaja denda yang mereka terima. Saya rasa denda itu wajar.

Saya menyayangi mereka. Denda yang saya kenakan kepada orang yang saya sayangi tentulah sesuai dan bertujuan. Denda berdiri hanya beberapa minit saya rasa sesuai. Tujuan saya adalah untuk mendorong mereka berfikir, menyesal dan agar mereka tidak mengulangi perbuatan itu. Saya yakin mereka menerima denda ringan itu secara positif. Sesudah lebih enam bulan saya berusaha memandaikan dan membentuk tingkah laku mereka, tidak pernah mereka memberikan tindak balas yang menyakitkan hati saya. Jeritan dalam bahasa Cina dari belakang, saya anggap teguran keras pelajar baik kepada pelajar nakal.

Gaya saya di dalam bengkel Seni Perusahaan lebih tegas berbanding ketika saya berada di dalam kelas peralihan. Di dalam bengkel, tukul, gergaji, pahat dan sebagainya yang pada asasnya sebagai alat pembelajaran boleh bertukar peranan. Pada suatu hari, seorang pelajar berkelakuan yang menyalahi peraturan bengkel. Saya menegurnya dengan cara yang baik. Dia membalas dengan mengarahkan mata pahat kepada saya pada jarak sedepa. Saya memujuknya supaya bertenang dan meneruskan kerja.

Tindakan pelajar itu bertentangan dengan peraturan bengkel. Hal itu saya sampaikan kepada Encik Ang. Beliau ialah Ketua Unit Seni Perusahaan dan mengajar pada sidang pagi. Saya berharap Encik Ang memanggil pelajar itu dan memberikan nasihat. Tindakan Encik Ang melebihi harapan saya. Perkara itu disampaikannya kepada Tuan Pengetua, Encik Albert S.K. Chia. Beberapa hari kemudian, saya mendapat tahu bahawa Encik Albert S.K. Chia memanggil pelajar itu ke pejabatnya. Dia memberikan nasihat kepada pelajar itu dan mengukuhkan nasihat itu dengan beberapa kali sebatan. Itu perkara yang saya dengar.

Mula-mula saya kurang percaya bahawa Encik Albert S.K. Chia sanggup bertindak ke tahap itu. Lama-kelamaan, berdasarkan cerita rakan-rakan, saya mengerti bahawa Encik Albert S.K. Chia tegas dan berani. Tindakan beliau ada kesannya. Tingkah laku pelajar itu berubah. Saya berasa lebih aman ketika berada di dalam bengkel.

Pada suatu hari, saya meninggalkan kelas peralihan seperti biasa. Dari belakang, saya terdengar suara nyaring dalam bahasa Cina. Puan Ang keluar dari kelas di sebelah. Dia baru menyempurnakan sidang pelajaran di situ. Saya terus berjalan ke bilik guru. Puan Ang berjalan sangat pantas Sebentar sahaja dia sudah berada di sebelah saya. Kami beriringan.

Dia bertanya, “Cikgu tahu apa budak-budak itu kata tadi?”

Saya menjawab, “Tidak, puan.”

“Mereka mengeluarkan perkataan yang tidak baik.”

Saya membalas, “Budak perempuan itu mungkin menasihati budak lelaki, puan.”

“Bukan, cikgu. Mereka mengeluarkan kata-kata kesat.”

“Nampaknya mereka tidak habis-habis bergaduh. Saya selalu menasihati mereka, puan.”

“Saya tahu cikgu. Lee Ger Jeng, Yee Chan Ming dan beberapa orang murid ada beritahu saya.”

“Lee dan Yee memang baik. Saya yakin, Lee sebagai ketua kelas dapat mengawal rakan-rakannya. Bukan begitu, puan?”

“Benar, cikgu. Tetapi kadang-kadang budak itu terlebih.”

“Tidak mengapalah, puan. Mereka masih budak. Lama-lama berubah juga mereka.”

Kami tiba di bilik guru. Puan Ang menuju ke mejanya. Saya duduk di kerusi saya. Saya memeriksa buku latihan.

Pada minggu berikutnya ada perhimpunan di dewan. Tuan Pengetua, Encik Albert S.K. Chia juga hadir. Penyelia Petang, Cikgu Awang Pauzi bercakap tentang kesopanan dan kesusilaan. Panjang nasihatnya kepada para pelajar. Kemudian Encik Albert S.K. Chia berucap secara ringkas. Dia menjelaskan bahawa pada petang itu dia akan melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ketua di sekolah itu. Dia berharap pelaksanaan tanggungjawab itu menjadi iktibar kepada murid-murid. Dia tidak mahu perkara yang akan dijelaskannya berulang.

Dengan tegas dan suara keras, dia berkata, “Saya tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan tindakan seperti yang akan kamu saksikan sebentar lagi sekiranya kamu melakukan perkara yang sama, apalagi jikalau lebih buruk daripada itu!”

Encik Albert S.K. Chia menjelaskan bahawa dua orang pelajar kelas peralihan memaki seorang guru dalam bahasa Cina. Dia menyatakan tarikh, masa dan tempat kejadian itu. Saya terkejut. Adakah nama guru itu akan disebut? Encik Albert meneruskan penjelasannya. Katanya, perkara itu didengar oleh seorang guru wanita Cina. Sekali lagi saya terkejut. Adakah nama guru itu juga akan disebut. Encik Albert menyatakan bahawa dia sudah memanggil kedua-dua orang pelajar kelas peralihan itu. Mereka mengakui ada melakukan kesalahan yang dinyatakan.

Encik Albert tidak menyebut nama guru-guru yang berkenaan. Dia menyuruh kedua-dua orang pelajar itu naik ke atas pentas dan berdiri menghadap hadirin. Wajah mereka cukup saya kenal. Tingkah laku mereka memang saya ketahui. Ya, mereka nakal. Namun saya tidak bersetuju sekiranya mereka dikatakan jahat, apalagi kurang ajar. Saya tidak pernah mendengar kata-kata dari mulut mereka yang dapat saya takrifkan sebagai kurang ajar.

Sebagai guru yang paling banyak berinteraksi dengan mereka di dalam bilik darjah, saya tahu bahawa kenakalan mereka berkurangan dari semasa ke semasa. Saya menyayangi mereka sebagai manusia dan murid yang dahaga akan bimbingan. Saya berharap kata-kata dalam bahasa Cina yang ditakrifkan sebagai makian dan kurang ajar itu tidak ditujukan kepada saya.

Encik Albert S.K. Chia menyuruh pelajar lelaki itu membongkok sedikit. Kemudian dia melepaskan beberapa sebatan ke punggung pelajar itu. Pelajar perempuan yang berbadan besar, bermuka lebar dan bergigi rongak, pucat dan menangis. Bunyi lepakan rotan jelas kedengaran kerana pada masa itu dewan senyap sunyi.

Pelajar lelaki itu menahan rasa sakit dan malu tetapi dia tidak menangis. Pada ketika itu saya teringat akan diri saya sendiri. Ketika usia saya lebih kurang pelajar itu, saya pernah dirotan oleh Cikgu Ahmad Yatim. Saya berasa kekentalan semangatnya persis semangat saya pada tahun enam puluhan itu. Cebisan kisah saya dirotan itu saya lampirkan.

Pelajar perempuan itu tidak dirotan. Dia hanya dimalukan.

Pada petang itu suara pelajar dan guru ketika menyanyikan lagu “Negaraku” sebagai acara akhir perhimpunan, lantang dan sungguh bersemangat!

Lampiran
Aku Dirotan

Pada suatu hari, seorang rakan setingkatan, tetapi berlainan kelas, mengajak aku pergi ke kampungnya. Kami berbasikal ke sana. Kami melalui kebun buah-buahan milik orang Tionghua. Rakan itu mengajak aku “mengambil” jambu batu di kebun itu. Pada mulanya aku enggan. Rakanku itu berkata, “Ambil hak orang bukan Islam tidak salah.” Akhirnya kami “mengambil” dan menikmati buah jambu batu itu.

Perbuatan kami sampai ke pengetahuan guruku. Beliau ialah Cikgu Ahmad Yatim. Beliau menyuruh aku berdiri di hadapan kelas. Beliau meminta aku mengesahkan sama ada benar atau tidak aku mencuri jambu batu orang. Aku mengaku bahawa aku mencuri jambu orang tanpa menyebut bangsanya dan nama rakanku.

Dia merenung mukaku dan berkata, “Isa, cikgu tidak sangka kamu sanggup mencuri.” Lalu dia mengarahkan aku menadahkan tapak tangan kanan. Aku mematuhi arahannya. Dia merotan tapak tanganku beberapa kali. Aku menahan kesakitan. Rakan-rakan sekelas senyap. Beberapa orang pelajar perempuan menyerlahkan wajah ngeri sambil memejamkan mata. Ada antara mereka menutup muka dengan tapak tangan.

Selepas Cikgu Ahmad Yatim menyelesaikan tugasnya, aku mengucapkan terima kasih kepadanya. Aku malu tetapi sebagai anak jantan aku tidak menangis.

Aku tidak pernah berasa kecil hati, apalagi berdendam, kerana aku tahu Cikgu Ahmad Yatim menyayangiku. Selain Cikgu Ahmad Yatim, aku tahu bahawa Cikgu Hashim juga menyayangiku. Cikgu Hashim selalu mengajak aku berbual, bertanya tentang latar belakang diriku dan dua kali membawaku ke kampungnya. Ada berapa kali dia memuji kebolehan aku menulis karangan. Satu daripada tajuk karangan itu, iaitu “Peristiwa yang Tidak dapat Dilupakan” pernah disebutnya. Sebenarnya Cikgu Hasyim guru matematik. Dia ialah kawan baik Cikgu Ahmad Yatim, guru tingkatanku. Jadi, aku faham bahawa Cikgu Ahmad Yatim bukan sahaja menceritakan keistimewaan karanganku kepadanya bahkan mungkin memintanya membaca karanganku.

Antara Cikgu Hasyim dengan Cikgu Ahmad Yatim, aku lebih akrab dengan Cikgu Ahmad Yatim. Cikgu Ahmad Yatimlah yang membimbing aku menulis catatan harian dalam bahasa Inggeris. Dia mencatat maklum balas yang sangat memberangsangkan dalam buku catatan itu. Selain itu, dia mengutamakan aku dalam banyak hal. Antaranya, dia melantik aku sebagai penjaga sudut bacaan. Dia melantik aku menjadi ketua pengarang majalah sekolah. Dia membimbing aku bukan sekadar di sekolah bahkan sampai di rumahnya. Ya, seperti Cikgu Hasyim, dia pernah membawa aku ke rumahnya di bandar. Di rumahnyalah aku mendapat peluang untuk membaca majalah filem.

Sesungguhnya perbuatan Cikgu Ahmad Yatim merotanku dalam bilik darjah itu tidak pernah menyebabkan aku membenci dirinya. Bahkan, kasih sayangku kepadanya bertambah. Aku lebih menghormatinya dan pasti aku lebih berhati-hati apabila melakukan sesuatu ketika bergaul dengan rakan-rakan yang sememangnya ada yang nakal.

Seingatku, sebelum dan selepas aku dirotan, aku tidak pernah membantah suruhan Cikgu Ahmad Yatim. Bahkan, sejak aku dirotan, aku berusaha untuk tidak melanggar apa-apa larangannya. Pendeknya, selepas peristiwa itu aku lebih menyayanginya kerana peristiwa itu tidak menghalangnya daripada terus mengutamakan diriku berbanding degan rakan-rakan sekelas yang lain.

Sungguh, selepas peristiwa itu dia memberikan peluang yang istimewa kepadaku. Dia memilih aku sebagai pelakon utama drama sebabak dan aku melaksanakan tugas itu dengan jayanya. Dia melantik aku menjadi ketua rumah sukan. Hasil bimbingannya dan usahaku, rumah sukanku menjadi johan dalam temasya sukan tahunan. Hal yang paling kuhargai, jawatanku sebagai ketua pengarang majalah sekolah dikekalkannya sehingga aku berada dalam tingkatan tiga.

Bersambung: (17) Skuter Pecut Hijau

Tiada ulasan: