Sabah Tempat Bermain
Ada orang mengatakan bahawa Mat gila-gila bahasa. Saya pula melihat dirinya sebagai insan yang istimewa. Dia lasak, pemberani dan periang. Saya mengajaknya untuk melakukan pengembaraan berskuter kerana keistimewaannya itu. Tubuh lasak dan semangat beraninya penting bagi menghadapi apa-apa cabaran di perjalanan. Sifat riangnya pula penting kerana saya suka akan orang yang riang apabila dalam keletihan atau kesusahan. Selain itu, dia boleh memandu skuter.
Mat memandu skuter pecut hijau itu dari Papar hingga ke Putatan. Dari situ saya menjadi pemandu pula. Kami melintasi Kota Kinabalu, masuk ke Jalan Tuaran dan terus ke Tamparuli. Kami berhenti sebentar di muka jambatan konkrit yang panjang dan tiada pengadang. Jambatan yang dibina oleh British pada tahun lima puluhan itu hanya boleh dilalui oleh sebuah kenderaan beroda empat pada suatu masa. Perut jabatan yang merentangi Sungai Tamparuli itu hampir mencecah air yang jernih dan mengalir deras. Selepas memastikan tiada kereta dari arah hadapan dan menarik nafas panjang, saya memandu skuter perlahan-lahan dengan gear dua. Saya berasa lega apabila kami selamat melalui jambatan istimewa itu.
Kami berehat lama di Tamparuli. Kami memenuhkan tangki minyak skuter dan memeriksa bekas minyak tambahan. Kami juga memastikan minyak pelincir tambahan tidak tumpah. Peralatan tambahan seperti tali gear, tali cekam dan palam pencucuh di dalam kebuk skuter juga kami pastikan ada dan dalam keadaan baik. Pemeriksaan itu perlu kerana kami sedar bahawa perjalanan mendaki Banjaran Crocker hingga ke kaki Gunung Kinabalu dijangka mencabar.
Jalan dari Papar hingga ke Tamparuli berturap. Jalan dari Tamparuli menuju ke Kota Belud berturap juga. Simpang ke Ranau terletak di kanan jalan itu. Mulai simpang itu jalannya berbatu kelikir, bercampur dengan batu kelabu yang agak besar. Perjalanan dari situ hingga ke Kampung Nabalu hampir kesemuanya mendaki. Saya memandu skuter dengan berhati-hati agar tayar skuter tidak tergelincir apabila melalui bahagian jalan yang batunya besar dan bergerak apabila terkena tayar.
Di Kampung Nabalu, kami berhenti sebentar. Gunung Kinabalu tidak kelihatan kerana awan merendah dan kabus tebal. Suhu yang tadinya sejuk terasa semakin sejuk. Saya memakai jaket kulit. Lapisan dalam jaket saya itu ialah bulu tebal dan lembut. Mat memakai jaket biasa. Dari situ dia menjadi pemandu pula.
Perjalanan seterusnya menurun dan agak jauh. Selepas itu jalan berliku melalui lereng bukit yang tinggi. Kecekapan Mat mengendalikan skuter teruji. Pemanduan menuruni bukit yang curam dan menempuh jalan yang batunya berselerak, lebih sukar berbanding dengan pemanduan ketika mendaki. Hujan renyai-renyai meningkatkan kesukaran ujian. Titik hujan membasahi muka Mat. Pemandangan kurang jelas kerana timpaan titik hujan dan kabus yang semakin tebal. Kesejukan mula menggigit.
Selepas satu penurunan lagi, kami mendepani sebuah bukit yang teramat tinggi. Di pertengahan curaman, pergerakan skuter semakin perlahan. Mat berjaya menukar gear dua kepada gear bebas. Dia gagal meneruskan penukaran kepada gear satu. Hujan sudah berhenti. Skuter pun terhenti tetapi enjinnya tidak mati. Saya melonjakkan diri ke belakang dan menahan skuter daripada terundur. Dengan pantas Mat mengangkang. Lantai skuter di celah kangkangnya. Tangan kirinya mencengkam pemegang brek. Saya mengambil alih bar pemegang. Dengan cekatan Mat melonjakkan dirinya ke belakang dan menahan skuter daripada terundur.
Saya bersedia. Mat membonceng. Tangan kanan saya menarik pemegang cekam dan saya putarkan ke petunjuk gear satu. Saya putar gegelung minyak sekali gus saya lepaskan pemegang cekam perlahan-lahan. Skuter itu bergerak perlahan amat. Lama kemudian barulah pergerakannya laju tetapi tetap didorong oleh gear satu. Apabila tiba di simpang Bundu Tuhan barulah saya menggunakan gear dua kerana mulai tempat itu kecuraman bukit berkurangan. Saya memandu dengan menggunakan gear dua sahaja hingga ke Taman Negara Kinabalu.
Di kiri dan kanan sepanjang jalan dari Kampung Nabalu hingga ke Taman Negara hanya bukit atau gaung. Di bukit yang tinggi hutan. Di tebing bukit pun hutan. Nun di bawah gaung hutan. Di pinggir gaung pun hutan. Di mana-mana sahaja, hutan. Di mana-mana jua, kabus kelihatan. Puncak bukit berkabus. Pucuk-pucuk kayu berkabus. Di kiri kabus. Di kanan kabus. Di hadapan kami pun kabus. Cuma tebal nipis kabus itu berbeza-beza.
Di tepi jalan, di satu dua tempat, ada pondok berdinding pelupuh dan beratap daun atau zink buruk. Pintu semua pondok itu bertutup rapat. Kemudiannya saya ketahui bahawa orang Dusun menamakan pondok yang seperti itu sulap. Sulap digunakan sebagai tempat persinggahan dan menyimpan sesuatu seperti sayur-sayuran.
Taman Negara Kinabalu yang dibuka pada tahun 1964 itu terletak dalam Daerah Ranau, lebih kurang 90 kilometer dari Kota Kinabalu. Kedudukan taman itu ialah 1,563 meter dari paras laut. Suhu di situ amat sejuk. Selepas menopang skuter di tempat yang disediakan, kami menikmati pemandangan tumbuhan-tumbuhan. Ada pohon rendah, ada juga pokok tinggi; ada jenis pain, ada juga spesies pakis; ada pokok berbatang besar, ada juga pohon berumpun; ada pokok berdaun halus, berdaun lebar, seperti daun pisang dan sebagainya. Bunga yang berwarna-warni berkembang di mana-mana. Pada masa yang sama kami sengaja menghembuskan nafas. Saya berasa seronok melihat gumpalan wap nipis keluar daripada mulut saya dan mulut Ahmad Supri.
Waktu petang belum berakhir tetapi kesuraman cahaya menjadikan suasana seperti awal senja. Lampu jalan dan di dalam bangunan sudah terpasang. Kami menempah sebuah katil dua tingkat di asrama termurah. Orang tidak banyak. Pada masa itu musim hujan. Suhu terlalu sejuk. Kabus tebal. Hanya segelintir pendaki yang sanggup menghadapi cabaran untuk mendaki gunung setinggi 4,101 meter itu. (Lebih sepuluh tahun kemudian, ketinggian gunung itu dicatatkan 4,095 meter.)
Pada malam itu hujan turun dengan lebatnya. Saya memakai tiga lapis pakaian, iaitu baju T tanpa kolar, baju tangan panjang dan jaket. Seluar saya dua lapis juga. Saya juga berstoking. Saya berasa pening. Saya telan dua biji pil yang mengandungi parasetamol. Saya bungkus diri dengan selimut. Tidak lama kemudian saya tertidur dengan nyenyaknya.
Keesokannya kami ke Pekan Ranau. Keseluruhan jalan hingga ke Kundasang menurun. Saya menggunakan gear dua dan tiga sahaja demi mengawal lajak skuter. Saya juga mengimbangkan penggunaan brek hadapan dengan brek belakang. Di Kundasang hanya ada beberapa buah gerai. Jalan ke Ranau pada masa itu ialah Jalan Mohimboyon-Kibbas. Pekan Ranau belum berkembang. Hanya ada beberapa bangunan kedai. Batu besar, licin dan pelbagai bentuk, terutamanya lonjong atau kebulatan, kelihatan di mana-mana. Ada batu setinggi budak, ada setinggi orang dewasa dan ada juga batu setinggi dan sebesar gajah. Kebanyakan batu itu menunggal. Ada beberapa buah batu berada dalam kelompok besar.
Kami pergi ke Sekolah Menengah Kebangsaan Ranau. (Mulai tahun 1977 sekolah itu dinamakan Sekolah Menengah Mat Salleh.) Oleh sebab semua rakan semaktab saya dan Mat pulang bercuti, kami berbual ringan dengan beberapa orang guru Semenanjung yang tidak pulang ke kampung. Selepas itu kami ke stesen minyak di Pekan Ranau. Kami memenuhkan tangki minyak skuter. Seterusnya kami makan di sebuah gerai. Di situ Mat menyedarkan saya bahawa dari Tamparuli hingga ke Ranau, skuter kamilah satu-satunya kenderaan beroda dua di sepanjang perjalanan.
Hari masih pagi. Sinar matahari melenyapkan usaha kabus untuk bergabung dengan awan bagi menyelubungi puncak Kinabalu. Tiupan angin yang agak kuat menggerakkan awan ke barat. Puncak Kinabalu pun kelihatan dengan jelasnya. Pada masa itu skuter kami mula bergerak ke Kundasang. Kami menyambung perjalanan ke Taman Negara. Selepas simpang Bundu Tuhan, hujan renyai-renyai. Mat menyanyi lagu-lagu popular pada masa itu seperti “Kerana Nenek”, “Cinta Hampa” dan “Curi-curi”.
Saya turut menyanyi. Daripada lagu “Kerana Nenek”, saya mengikut Mat melaungkan bait, “Kalau kau tak suka habislah perkara, janganlah nenekku yang kaubawa-bawa!” Laungan itu bukan sekali, bukan dua kali, bukan juga tiga kali tetapi lebih sepuluh kali! Daripada lagu “Cinta Hampa”, saya jeritkan lebih banyak bait termasuk “Air pun tertumpah, tercurah habis tak tinggal lagi. Begitu juga cintamu padaku: cinta hanya separuh hati….” Keseluruhan seni kata lagu “Curi-curi” yang pendek itu pula, seperti yang di bawah, kami nyanyikan bersama-sama.
Curi, curi, curi, curi hatiku
cuma, cuma, cuma, nun jauh selalu.
Kenangan lama nun jauh di sana
nun jauh di sana
aku selalu teringat padanya.
Bait kedua kami ulang lebih kurang dua puluh kali! Ketika kami mengulang-ulang seni kata lagu itu, hujan berhenti. Nyanyian pun kami hentikan. Kami memasuki simpang Jalan Pintas Ranau. Jalan kecil tanpa batu kelikir itu menuju ke Kota Belud. Hampir keseluruhan jalan itu hingga ke Narinang di Kota Belud menurun. Ada bahagian jalan beralur akibat hakisan air hujan. Mujurnya, keseluruhan jalan itu kering.
Dalam perjalanan di Jalan Pintas Ranau itu, ada dua kali kami berselisih dengan kumpulan remaja dan kanak-kanak. Mereka bersorak dan mengangkat tangan kanan sambil menjeritkan perkataan, “Berjaya!” beberapa kali. Kami membalas sambutan mereka itu dengan senyuman sambil melambai-lambaikan tangan kanan. Setelah kumpulan itu kami tinggalkan jauh di belakang, baru saya ingat bahawa pada masa itu nama Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah atau ringkasnya BERJAYA sedang meningkat naik. Mereka mungkin menganggap kami sebagai petugas parti itu.
Waktu solat zuhur sudah lama masuk. Kami singgah di sebuah rumah guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Arshad, Kota Belud untuk bersolat dan berehat. Guru itu bersendirian kerana rakan-rakannya bercuti di kampung. Nama-nama yang saya dan Mat sebut juga bercuti. Dia menyatakan bahawa Pitas jauh. Dia mempelawa kami untuk bermalam di rumahnya. Katanya, lebih baik kami bertolak ke Pitas awal pagi esok. Kami menunaikan pelawaannya.
Bersambung: (21) Kembara Berskuter ke Pitas
1980, MIAR dan Ustaz Mat Isa di Taman Negara Kinabalu |

Tiada ulasan:
Catat Ulasan