24 Oktober 2012

Kembara Berskuter ke Pitas

Sabah Tempat Bermain
SRK Pinggan-pinggan
Jalan dari Kota Belud hingga ke Kota Marudu berturap tetapi ada turapan pecah dan rosak. Pemanduan skuter agak sukar tetapi tidaklah sesukar pemanduan di Jalan Tamparuli-Ranau. Kami singgah di Kota Marudu. Di situ ada beberapa buah gerai tetapi tiada orang berniaga. Kami pergi ke sebuah rumah dan bertanya seorang lelaki muda tentang kedudukan gerai yang menjual makanan di kawasan itu.


Dia menjawab, “Hari ini kedai tidak dibuka. Encik berdua hendak ke mana?”

Pertuturannya mengandungi unsur sebutan sebuah negeri di Pantai Timur Semenanjung. Hal itu mendorong saya memperkenalkan diri dan Mat. Selepas itu barulah saya menyatakan bahawa tempat tujuan kami ialah Kampung Pinggan-pinggan di Pitas. Dia juga memperkenalkan dirinya. Katanya, dia guru agama di sekolah rendah. Dia bersendirian. Rakan serumahnya pulang ke kampung. Katanya lagi, di sepanjang jalan ke Pitas, mungkin tiada gerai makanan. Dia mempelawa kami naik ke rumahnya dan menunggu dia menyediakan makanan.

Kami membantu ustaz menyediakan makanan cara orang bujang, iaitu nasi, ikan goreng dan sayur. Kami menikmati hidangan itu bersama-sama. Selepas bersolat zuhur, barulah kami bertolak ke Kampung Pinggan-pinggan melalui jalan berbatu kelikir. Kami juga menyeberangi anak sungai tanpa jambatan.

Jarak Kampung Pinggan-pinggan dari Kota Marudu kira-kira 30 kilometer. Kami mudah mengenal pasti kampung itu kerana ada papan tanda Sekolah Rendah Kebangsaan Pinggan-pinggan. Sekolah itu terletak di tepi jalan raya, iaitu di sebelah kanan apabila menghala ke Pitas. Jalan Kota Marudu-Pitas memisahkan kawasan kampung yang di sebelah pantai dengan yang di darat. Kawasan pantai ialah kebun kelapa. Kawasan di darat ialah campuran kebun kelapa dan kebun buah-buahan. Seorang pekerja kebun kelapa memberitahu kami bahawa rumah ayah Chua Kim Hing terletak di kaki bukit, iaitu di hujung kawasan sekolah.

Chua Kim Hing ialah rakan sebilik saya di Maktab Perguruan Gaya pada tahun 1974. Dia menguruskan penjualan novel saya kepada guru-guru pelatih dan dialah pasangan saya ketika mencari iklan untuk majalah maktab. Di bilik, kami bukan saya berbual tentang pelajaran tetapi juga hal peribadi. Ada beberapa kali saya melihat dia membaca surat berwarna biru. Nama penulis surat itu ialah Jennie Voo. Saya pernah berjanji untuk berkunjung ke rumahnya. Pada hari itu, janji itu saya tunaikan. Oleh sebab pada masa itu cuti, saya yakin dia berada di rumah.

Kata-kata pekerja kebun kelapa itu benar. Rumah ayah Chua terletak di hujung kawasan sekolah. Rumah kampung dalam kebun buah-buahan itu bertiang rendah dan terletak di lereng bukit. Chua, ayah, ibu dan adiknya ada di rumah. Dia agak terkejut tetapi gembira menyambut kedatangan kami. Kami berbual sambil melihat kawasan kebun.

Di belakang rumah itu, salur daripada belahan buluh yang memanjang dan mencuram dari bukit menarik perhatian saya. Salur itu terletak di atas palang buluh yang disokong oleh tiang kayu bulat. Air bukit mengalir di dalam salur itu dan bercurahan di atas papan yang dialas dengan batu. Itu tempat keluarga Chua mengambil air dan mandi. Itulah pancur asli mereka.

Saya pernah melihat pancur belahan buluh yang menyalurkan air dari bukit seperti itu di Kampung Mook, Kinarut ketika Cikgu Abdul Rahim membawa saya melawati seorang sumandak. Di situ, saya hanya melihat air mencurah dari jauh. Kini saya dan Mat berada di hadapan curahan air daripada pancuran asli di Kampung Pinggan-pinggan. Air bukit itu jernih dan sejuk. Kami mencuci muka sepuas-puasnya dan kemudian kami berwuduk. Selepas itu kami menunaikan solat asar di beranda rumah Chua.

Apabila kami kembali ke belakang rumah, ayah Chua sedang memegang seekor ayam kampung. Kepak ayam terlepas. Ayam itu mengeok dan mengepak beberapa kali. Saya sudah membuka mulut dan hampir mengeluarkan jeritan amaran agar ayah Chua berhati-hati tetapi suara itu tersekat apabila saya terfikir bahawa ayah Chua bukan budak seperti saya pada tahun enam puluhan.

Pada masa itu, saya berjaya menangkap seekor ayam dara. Ayam itu berkeok-keok sambil mengepak-ngepakkan sayapnya. Beberapa helai bulu pahatnya berterbangan. Ada antara bulu pahat itu bergesel dengan hidung, mata dan bahagian lain badan saya. Sehelai bulu yang halus hinggap di bibir saya. Saya segera menguis bulu itu dengan jari telunjuk tangan kiri. Perbuatan saya itu menyebabkan kekukuhan cengkaman tangan kanan saya pada kaki ayam berkurangan. Ayam dara itu mengeok-ngeok lagi, menggelupur lebih kuat, berjaya melepaskan diri daripada cengkaman saya dan terus berlari macam lipas kudung menuju ke dalam semak.

Saya berteriak, “Emak!”

Emak menghampiri saya. Saya memperlihatkan benda cair berwarna hitam kecoklatan di pergelangan tangan kanan saya kepadanya.

Sambil menguis-nguis beberapa helai bulu ayam di kepala dan tengkuk saya, emak berteriak kepada kakak, “Rahimah, bawakan air! Ayam sudah berakkan tangan budak ini ha.”

Saya terkejut apabila Chua memanggil nama saya dan menghulurkan sebilah pisau yang tajam. Dia meminta saya untuk menyembelih ayam itu. Mat mengambil ayam itu daripada ayah Chua. Mat memegang ayam itu. Saya menyempurnakan penyembelihan. Selepas itu, saya meminta Chua membawa peralatan memasak dan pinggan mangkuk yang akan digunakan bagi menjamu kami, untuk disamak. Saya melaksanakan tugas itu bersama-sama Mat.

Selepas itu saya mandi sepuas-puasnya di bawah curahan pancur air bukit melalui salur belahan buluh. Mat mandi kemudian. Kami menunaikan solat maghrib dan menunggu ketibaan isyak. Selepas isyak, makanan sudah dihidangkan. Saya, Mat dan Chua makan bersama-sama. Bapa, ibu dan adik Chua segan untuk bersama-sama kami.

Saya berasa sangat puas hati kerana dapat bertemu dengan ayah Chua yang fasih berbahasa Melayu dan ibunya, wanita peribumi yang tidak banyak cakap. Saya berasa terhutang budi atas layanan baik mereka. Saya berasa sungguh gembira kerana dapat mengeratkan persahabatan dengan rakan yang bukan seagama dengan saya. Kepuasan dan kegembiraan itu mungkin menyebabkan saya berasa perjalanan pulang ke Papar tidak lama.

Dari Papar ke Pinggan-pinggan,
Lihat peta di Kota Marudu;
Jikalau lapar janganlah segan,
Rakan kita tempat mengadu.

Bersambung: (22) Keputusan Peperiksaan

Tiada ulasan: