26 Oktober 2012

Keputusan Peperiksaan

Sabah Tempat Bermain
Pada tahun baharu orang mencipta azam baharu atau sekurang-kurangnya memperbaharui azam lama. Lazimnya saya mengikut aliran itu. Pada 1976 keadaan berbeza. Saya tidak mempunyai azam baharu. Azam lama yang terpenting, iaitu untuk menyerlahkan diri dalam bidang kewartawanan dan penulisan yang sudah saya tangguhkan pada tahun 1975, kekal tertangguh. Azam untuk belajar dan mengambil peperiksaan STP sudah dilaksanakan. Azam untuk menjadi guru terbaik tidak saya baharui. Saya membiarkan diri saya yang pernah digelar sebagai penyapu baharu berubah sesuai dengan keadaan semasa.

Tanpa azam, perubahan tetap berlaku. Perubahan seawal hari pertama tahun itu ialah saya menjadi pembantu Cikgu Hussin untuk menyiapkan jadual waktu induk. Beliau ialah guru senior sesi petang. Selama beberapa hari, sebelum bermulanya tempoh persekolahan, kami bekerja dari pagi hingga ke malam. Sebagai pembantu penggubal jadual waktu, saya mengetahui mata pelajaran yang akan saya ajar lebih awal. Saya kekal mengajarkan Bahasa Melayu kepada kelas peralihan tetapi hanya satu kelas. Saya kekal mengajarkan Seni Perusahaan. Di samping itu, saya diberikan tugas baharu, iaitu mengajarkan Bahasa Melayu kepada tingkatan satu dan Lukisan Teknikal kepada tingkatan dua.
Saya berasa pihak sekolah melakukan kesilapan apabila menugaskan saya untuk mengajarkan Lukisan Teknikal sebagai mata pelajaran peringkat Sijil Rendah Pelajaran. Ilmu yang saya peroleh di maktab perguruan hanya sedikit dan tidak melayakkan saya untuk mengajarkan mata pelajaran itu. Guru yang layak mengajarkannya ialah lepasan Maktab Perguruan Teknik. Hal itu saya nyatakan kepada Cikgu Hussin. Atas dorongan beliau dan kesedaran bahawa saya pernah mempelajari Lukisan Teknikal semasa di Institut Kemahiran MARA, saya menerima tugas baharu itu sebagai penghargaan dan cabaran.

Cikgu Hussin dan saya berjaya menyiapkan jadual waktu induk pada pagi Ahad, iaitu sehari sebelum sekolah dibuka. Dia menyatakan bahawa jadual waktu itu pasti berubah sedikit dalam minggu pertama persekolahan apabila ada guru baharu melaporkan diri. Guru-guru tertentu pula mempunyai kerenah yang menyebabkan masa perlu diubah suai. Kami pun mungkin terlepas pandang. Masa seseorang guru mungkin bertindih dengan masa guru yang lain. Cikgu Hussin menggunakan istilah clash untuk maksud pertindihan itu. Saya menyatakan kesediaan untuk terus membantu beliau apabila perubahan kecil itu dilakukan. Pengalaman itu penting bagi saya yang baru memasuki tahun kedua sebagai guru terlatih.

Pada petang Ahad itu saya berehat di rumah. Beberapa ketika selepas saya menunaikan solat asar, sebuah teksi berhenti di hadapan rumah. Teksi itu membunyikan hon beberapa kali. Seorang hamba Allah keluar daripada teksi. Dia adalah antara junior yang rajin membantu saya untuk menggerakkan kegiatan Persatuan Persuratan dan Bahas pada tahun 1974. Dia pernah bermalam di rumah saya pada tahun 1975. Dia menarik sebuah beg pakaian ke dataran skuter atau kolong rumah kata orang Sabah. Dia berkaca mata. Dia tersenyum simpul melihat saya yang berbaju singlet dan berkain pelekat.

Saya menjawab salamnya dengan rasa syukur dan gembira, “Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh!”

“Ambo lapor diri, esok,” katanya.

“Majakir?” tanya saya.

“Ya,” jawabnya.

“Tinggal dengan sayalah.”

“Mesti, kecuali demo yang tidak hendak.”

“Isy, mana mungkin!”

“Tetapi tidak lama,” katanya.

Saya terkejut. Saya tahu dia memiliki Sijil Tinggi Pelajaran dan ada kemungkinan diterima sebagai mahasiswa universiti.

“Kenapa? Hendak masuk universiti?”

“Tidak. Ambo sudah kahwin. Jikalau dapat rumah sewa, cuti penggal nanti ambo bawa bini ke sini.”

“Tahniah!”

Nama rakan saya itu Mohamad bin Daud. Dia periang dan kelakar. Saya memanggilnya Mat. Ahmad Supri pun saya panggil Mat juga. Seorang lagi Mat dari Langkawi. Oleh sebab kulitnya hitam dan berkilat, ada rakan memanggilnya Mat Minyak. Ada beberapa orang Mat lagi di SMK Majakir, Sekolah Menengah Saint Joseph dan Sekolah Menengah Saint Mary, Limbahau. Orang Melayu, termasuk saya pada masa itu, memang suka meringkas nama Ahmad dan Muhamad menjadi Mat. Baiknya, tiada rakan yang memanggil saya Mat. Mereka memanggil saya Isa.

Selain Mat, di tiga buah sekolah menengah itu juga ramai pok, iaitu pelat untuk pak bagi bahasa basahan bapak atau bakunya bapa. Gelaran itu khas untuk guru-guru tertentu dan digunakan sesama sendiri sebagai petunjuk keakraban. Gelaran itu juga terbatas untuk guru dari Kedah, Kelantan dan Terengganu, khususnya mereka yang sudah berumur tetapi masih bujang. Antara pok itu termasuklah Pok Cin untuk Cikgu Hussin dari Kedah, Pok Leh untuk Saleh Lebar dari Terengganu dan Pok Ya untuk Cikgu Zakaria dari Terengganu juga. Hanya seorang guru yang sudah berumah tangga dipanggil pok, iaitu Pok Id bagi Cikgu Said Bakar dari Kedah. Saya dan Mohamad Daud berkawan dengan semua Mat dan Pok itu.

Kehidupan saya lebih ceria sejak tinggal dengan Mat. Kami sama-sama mengajar waktu petang. Dia rajin memasak dan suka makan sayur. Masakan Mat yang saya anggap istimewa ialah goreng kacang panjang. Dia memotong kacang panjang itu menyerong. Itu ialah potongan berseni tukang masak kampung. Kacang yang sudah dipotong itu digaul dengan sedikit gula dan garam, diperap lebih kurang setengah jam dan digoreng dengan ramuan yang ditumbuk halus. Rasanya sungguh enak.

Kesibukan saya dalam penggal pertama masih berkaitan dengan tugas rasmi, terutamanya bagi mata pelajaran Lukisan Teknikal yang memerlukan persediaan rapi. Antara lain, saya perlu mengasah banyak pensel 2H (double hard) untuk dipinjamkan kepada murid kerana pensel jenis itu tidak terdapat di Papar. Pensel yang banyak terdapat di kedai ialah H, B (black) hingga 6B yakni amat hitam dan lembut. Saya masih menggunakan alat bantu pengajaran untuk mengajarkan Bahasa Melayu tetapi kekerapannya semakin berkurangan. Rupa-rupanya gelaran penyapu baharu yang diberikan kepada saya pada tahun 1975 tepat. Pada tahun 1976 penyapu itu sudah beransur buruk.

Aspek kesibukan saya yang meningkat ialah penggunaan hari Sabtu dan Ahad. Setiap kali cuti hujung minggu itu ada sahaja kegiatan saya dan Mat. Kami kerap ke padang sekolah, ke Pantai Manis, ke air terjun Kimanis dan ke Kota Kinabalu. Kami juga berskuter ke kampung-kampung seperti Kampung Kuala, Kampung Berundung, Kampung Kelanahan, Kampung Benoni, Kampung Kelatuan dan Kampung Kabang. Adakalanya, pada malam Sabtu atau minggu Mat mengajak saya menonton filem Indonesia di panggung wayang Pekan Papar. Kesibukan itu menyebabkan rasa berasa masa berlalu pantas. Cuti penggal pertama tiba. Pada masa cuti itu saya menerima keputusan peperiksaan STP melalui pos.

Keputusan peperiksaan itu sederhana. Saya tetap bersyukur dan gembira. Saya lulus peperiksaan itu dalam percubaan pertama sedangkan berpuluh orang rakan saya yang menduduki peperiksaan itu lebih tiga kali, tetap hampa. Saya berpuas hati kerana saya memperoleh peringkat satu bagi Kertas Am dan Sejarah Islam, dan peringkat dua bagi Bahasa Melayu Kertas Satu. Keseluruhannya saya memperoleh dua prinsipal B, iaitu bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah, dan dua subsidiari. Pada masa itu, mata pelajaran Kertas Am dikategorikan peringkat subsidiari. Di SMK Majakir, turut meraih kejayaan ialah Cikgu Mohd. Saleh Lebar atau Pok Leh.

Menurut beberapa orang rakan, keputusan peperiksaan itu membuka ruang kepada saya untuk melanjutkan pelajaran ke universiti sekiranya saya memilih universiti dan fakulti yang sesuai. Setelah membuat pertimbangan yang sebaik-baiknya, saya meletakkan Universiti Sains Malaysia (USM) dan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan sebagai pilihan pertama dalam borang permohonan. Bidang yang ditawarkan di pusat pengajian itu termasuklah Kewartawanan dan Kesusasteraan, iaitu dua bidang yang saya minati.

Pada pertengahan bulan Mei, saya menerima surat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di USM. Saya dikehendaki datang seminggu lebih awal bagi mengikuti acara suai kenal di Southeast Asian Ministers of Education Organization Regional Centre for Education in Science and Mathematics (SEAMEO RECSAM), Gelugor, Pulau Pinang.

*******
Dalam surat lantikan yang bertarikh 17 Disember 1974 dinyatakan bahawa jawatan saya adalah “untuk sementara masa dan tidak melebihi enam bulan bermula pada 6 Januari 1975”. Ertinya, lantikan saya itu tamat tempohnya pada 6 Julai 1975. Selepas itu saya bertugas tanpa surat lantikan dan tetap menerima gaji. Saya tidak pernah menerima dokumen perjanjian sebagai guru kontrak untuk ditandatangani. Namun saya faham bahawa saya mesti menyelesaikan perkhidmatan di Sabah selama lima tahun. Hal itu menjadi bahan pemikiran saya dan perbincangan dengan rakan-rakan sebelum saya meninggalkan SMK Majakir.

Hasil pemikiran dan perbincangan itu, saya menulis surat kepada Pengetua SMK Majakir. Dalam surat itu saya nyatakan bahawa saya mengambil cuti belajar mulai bulan Jun 1976 hingga saya menamatkan pengajian di USM. Surat itu berserta salinan surat tawaran USM, saya serahkan kepada kerani sekolah pada petang Jumaat, 28 Mei. Buku rekod pengajaran dan bahan-bahan yang saya pinjam daripada pihak sekolah saya serahkan kepada penyelia petang pada pagi hari itu. Hasil pemikiran dan perbincangan itu juga, saya hanya akan mengirim surat kepada Jabatan Pelajaran Sabah bahawa saya mengambil cuti belajar setelah saya sah menjadi pelajar USM. Perkara itu penting agar tiada pihak yang mengganggu saya ketika keluar dari Sabah.

Saya meninggalkan Papar dengan sebuah beg pakaian, sebuah beg sandang yang mengandungi dokumen penting dan sedikit buku, dan sebuah mesin taip yang dibelikan oleh ibu saya pada tahun 1968. Skuter pecut hijau, semua barang di dalam bilik tidur, semua barang di dapur dan seekor kucing jantan yang comel dan manja saya wariskan kepada Mohamad Daud tanpa syarat.

Pada hari Ahad, 30 Mei 1976 saya berangkat dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu, Tanjung Aru menuju ke Kuala Lumpur. Pada malamnya saya menyambung perjalanan dengan kereta api ke Pulau Pinang. Keesokannya saya melaporkan diri sebagai peserta suai kenal di RECSAM, Gelugor. Suai kenal itu ialah anjuran Unit Penyelidikan Belia, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan untuk membentuk bakal pemimpin mahasiswa. Minggu berikutnya saya mendaftarkan diri sebagai pelajar USM. Selepas itu saya mengikuti minggu suai kenal oleh pihak USM pula.

*******
Pada tahun 1981, Unit Penyelidikan Belia, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Pada tahun 1982, unit itu dinamakan Biro Tatanegara.

Bersambung: (23) Kembali ke Sabah

Tiada ulasan: