07 November 2012

Pensyarah Permulaan

Sabah Tempat Bermain
Di Sandakan, saya, Mohamad Daud, Melah dan Abdul Jabar tinggal di hotel yang sama. Saya sebilik sendirian. Mohamad dan keluarga sebilik pula. Petang itu kami bersiar-siar di bandar. Keesokannya, hari Ahad. Kami melawati rakan kami di Sekolah Menengah Kebangsaan Tiong Hua. Kami makan tengah hari di rumahnya.

Pada hari Isnin, Mohamad dan keluarganya mengikut saya ke Maktab Perguruan Sandakan. Pemandu teksi memberitahu bahawa jalan yang kami lalui ialah Jalan Labuk. Katanya, jalan itu menuju ke Lapangan Terbang Sandakan dan boleh sampai ke Batu 32. Di sana ada simpang untuk ke Telupid dan Tawau.

Kira-kira dua kilometer dari bandar, kelihatan papan tanda maktab. Anak panah pada tanda itu menghala ke kiri. Sebentar kemudian, teksi itu memasuki simpang. Jalan mulai simpang itu mendaki dan berliku. Kami tiba di puncak bukit. Di atas tebing bukit itu ada sebuah rumah besar. Di kiri, ada simpang menurun. Teksi memasuki simpang itu. Di kiri jalan, kawasannya curam dan berhutan. Di kanan jalan, ada sebuah rumah. Kata pemandu teksi, itu rumah pengetua.

Maktab Perguruan Sandakan ditubuhkan pada tahun 1974, ialah maktab perguruan ketiga di Sabah. Maktab pertama ialah Maktab Perguruan Kent yang ditubuhkan pada tahun 1952. Maktab kedua ialah Maktab Perguruan Gaya yang ditubuhkan pada tahun 1963.

Kawasan maktab itu terdiri daripada lima aras. Aras tertinggi, curam, sempit dan berhampiran dengan pintu masuk. Di situ terletak rumah pengetua. Aras kedua ialah bahagian bukit yang sudah diratakan. Di situ terdapat empat buah bangunan dua tingkat yang menjadi pusat kegiatan akademik dan pejabat. Di sebelah kelompok bangunan itu terletak dewan. Di hujung dewan terdapat sederet rumah pekerja. Sebuah bangunan dua tingkat lagi terletak di sebelah dewan. Bangunan itu ialah asrama wanita.

Aras ketiga terletak kira-kira sepuluh kaki di bawah aras kedua dan dipisahkan oleh tembok penahan. Di aras ketiga itu terbina dua buah pangsapuri empat tingkat. Sebuah pangsapuri itu milik maktab dan sebuah lagi milik Sekolah Menengah Kebangsaan Sandakan.

Aras keempat jauh di bawah. Dari aras kedua, hanya bumbung tiga blok bangunan kelihatan. Sebuah bangunan dua tingkat ialah asrama wanita. Di sebelah pagar asrama wanita itu terdapat dua blok bangunan tiga tingkat yang digunakan sebagai asrama lelaki. Tangga untuk turun ke asrama lelaki berasingan daripada tangga untuk ke kawasan asrama wanita. Aras bawah sebuah bangunan tiga tingkat itu digunakan sebagai surau.

Aras kelima terpencil dan jauh ke bawah, iaitu di sebelah kanan tapak aras kedua. Di situ terdapat sebuah bangunan setingkat rumah artisan.

Mohamad Daud berkata, “Bangunan maktab ini macam sekolah.”

“Mungkin padang dan gelanggang di tempat lain,” kata saya.

Kata Mohamad lagi, “Mungkin juga. Kawasan yang di sini lebih kurang suku kawasan sekolah kita.”

Mohamad, Melah dan anak mereka berjalan-jalan dalam kawasan maktab. Saya menuju ke pejabat am. Pengetua lama sudah berpindah. Pengetua baharu belum tiba. Pada masa itu belum ada timbalan pengetua. Pengurusan maktab itu diketuai oleh seorang pensyarah kanan. Saya melaporkan diri kepada beliau. Seorang kerani membuat catatan.

Dua unit kediaman di pangsapuri kosong. Satu unit dikhaskan untuk pensyarah yang sudah berkeluarga. Pihak pengurusan menawarkan kediaman di aras keempat kepada saya. Saya menduduki aras itu keesokannya, 1 Januari 1980. Dalam kenyataan perkhidmatan, tarikh itu juga ialah tarikh permulaan saya menjadi pensyarah. Oleh sebab hari itu cuti tahun baharu, saya bertugas keesokannya.

*******
Maktab Perguruan Sandakan mengendalikan dua jenis kursus perguruan dua tahun, iaitu Program Pendidikan Awal Kanak-kanak (PPAK) dan Program Pendidikan Awal Remaja (PPAR). Ungkapan “awal kanak-kanak” pada masa itu bermaksud kanak-kanak di sekolah rendah dari darjah satu hingga darjah enam. Ertinya, guru pelatih PPAK akan mengajar di sekolah rendah. Ada tiga jenis PPAK, iaitu PPAK Am, PPAK Pengajian Inggeris dan PPAK Pengajian Cina. Guru pelatih PPAK Am ialah bakal guru berbagai-bagai mata pelajaran seperti Bahasa Melayu, Sejarah dan Seni Lukis. Guru Pelatih PPAK Pengajian Inggeris ialah bakal guru Bahasa Inggeris dan guru pelatih Pengajian Cina ialah bakal guru di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina. Guru pelatih PPAR pula akan mengajar di sekolah menengah.

Kelayakan asas untuk mengikuti kedua-dua program itu ialah SPM atau yang setaraf dengannya. Walau bagaimanapun, pada tahun 1980 itu ada dua kumpulan yang berkelayakan asas Sijil Rendah Pelajaran (SRP) atau setaraf dengannya. Kumpulan itu mengikuti kursus PPAK Am tiga tahun. Satu kumpulan berada dalam tahun kedua dan satu kumpulan lagi berada dalam tahun ketiga. Selain mata pelajaran keguruan, mereka juga mempelajari mata pelajaran akademik SPM dan menduduki peperiksaan SPM pada tahun ketiga. Pada tahun 1981 pentadbiran maktab-maktab perguruan di Sabah diambil alih oleh Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia. Tiada lagi ambilan kursus tiga tahun dengan kelayakan asas SRP.

Pada setiap cuti penggal maktab mengendalikan kursus PPAK Am mod dalam cuti. Ungkapan popular yang digunakan ialah Kursus Dalam Cuti (KDC). Kursus itu dihadiri oleh guru-guru sandaran tidak terlatih dari seluruh Sabah, termasuk dari kawasan pedalaman Sandakan, Beluran, Tawau, Semporna, Ranau, Kudat dan Pitas. Sebutan popular untuk peserta kursus itu ialah guru KDC. Pengelola KDC ialah Tuan Haji Husain bin Puteh. Beliau berasal dari Melaka dan sudah menghampiri usia persaraan.

Pada minggu pertama tahun 1980 hanya saya dan Tuan Haji Mohd. Naim menganggotai Unit Bahasa Melayu. Tuan Haji Mohamad Naim berasal dari Sipitang dan berusia empat puluhan. Selain memiliki sijil perguruan asas, dia juga memiliki sijil perguruan khas dan sudah lama bertugas di maktab itu. Dia masih bujang dan tinggal di bahagian A aras pertama pangsapuri maktab. Pada minggu pertama itu hanya kumpulan tahun dua dan tahun tiga ada kuliah. Kumpulan tahun satu masih berada dalam minggu pendaftaran dan pengurusan pelajar baharu. Beban kuliah saya dan Tuan Haji Mohd. Naim saya anggap sederhana.

Pada minggu kedua, seorang lagi pensyarah, Encik Ramli bin Yusop melaporkan diri. Dia orang Melaka, lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim dan memiliki STP. Dia sebaya dengan saya dan sudah mempunyai pengalaman mengajar di sekolah menengah di Tenom selama lima tahun. Dia sudah beristeri tetapi isterinya masih bertugas di Tenom. Kami bertiga sahaja di unit itu selama lebih setahun. Saya mengetuai unit itu sehingga dinaik taraf menjadi jabatan pada tahun 1981. Encik Abu Bakar bin Mohamad dari Kelantan menjadi ketua jabatan yang pertama. Dua orang pensyarah dari jabatan lain, membantu jabatan kami.

Pada tahun 1980 saya mengajarkan kursus akademik sahaja, iaitu Bahasa Melayu Teras (BMT) dan Kesusasteraan Melayu SPM untuk kumpulan tahun kedua. Semua guru pelatih mesti lulus peperiksaan BMT. Kandungan kurikulum BMT ialah ilmu bunyi bahasa dan sistem bahasa. Dalam kurikulum itu terdapat juga aspek tulisan Jawi. Dalam peperiksaan BMT ada soalan menukarkan tulisan Jawi kepada tulisan Rumi dan sebaliknya yang bernilai lima belas peratus daripada markah keseluruhan.

Pengalaman mengajar pelajar tingkatan enam dan guru yang mengikuti kelas lanjutan di SMK Majakir membantu saya berhadapan dengan pelajar maktab. Memang ada rasa gugup pada minggu pertama dan beberapa minggu seterusnya. Kegugupan itu hilang sedikit demi sedikit. Namun, dalam bulan pertama dan beberapa bulan seterusnya saya masih berasa kurang selesa apabila berada dalam kelas PPAK Am tahun ketiga. Tumpuan perhatian pelajar kelas itu rendah. Ada antara mereka berkelakuan lencongan.

Pada suatu hari, sesudah saya berada di dalam kelas, beberapa orang pelajar bukan sahaja belum bersedia untuk mengikuti pelajaran bahkan menyanyi-nyanyi. Seorang daripada mereka bermain gitar. Sebelah kakinya diletakkan di atas kerusi. Tapak kasut di kakinya itu menghala saya.

Saya merenung bakal guru itu dan rakan-rakannya dengan harapan mereka memahami maksud renungan saya. Mereka berdegil. Sebagai orang muda yang berdarah panas, saya berang. Saya menegur perlakuan mereka dengan suara yang lantang dan perkataan yang keras bagi menunjukkan bahawa saya bukanlah orang yang sepatutnya mereka perlekeh. Mereka mematuhi teguran saya dan kembali memperlihatkan diri sebagai guru pelatih tanpa tindak balas yang tidak diingini.

Perkara itu saya sampaikan kepada pensyarah terkanan dan ketua warden, Tuan Haji Husain bin Puteh. Saya tidak tahu tindakan beliau. Saya juga tidak pasti sama ada perkara itu sampai atau tidak ke pengetahuan Tuan Pengetua, Encik Abdul Manaf bin Jaafar. Namun, selepas kejadian itu, perlakuan guru pelatih kumpulan itu berubah.

Selain saya, pada tahun 1980 itu ada lima orang lagi pensyarah siswazah. Dua orang pensyarah wanita dan dua orang pensyarah lelaki. Mereka lebih kanan daripada saya. Seorang pensyarah wanita berasal dari Semenanjung berpangkal nama Syarifah dan seorang lagi anak jati Sabah berketurunan Kadazan. Suami mereka berjawatan tinggi. Seorang pensyarah lelaki berbangsa Cina melepaskan jawatannya beberapa bulan setelah saya bertugas di maktab itu. Ada rakan memberitahu bahawa pensyarah itu mendapat kerja dengan pihak swasta. Pensyarah siswazah yang seorang lagi Cina juga. Walaupun dia senior tetapi gred jawatannya rendah sedikit daripada gred jawatan saya.

Sebelum Encik Abdul Manaf melakukan lantikan dalaman bagi jawatan Timbalan Pengetua, beliau kerap melantik saya untuk menjalankan tugas sebagai pengetua apabila dia melaksanakan tugas rasmi di luar. Bahkan saya menjadi pembantu beliau untuk merangka belanjawan tahunan dan mengiringi beliau melalukan pembentangan di Kota Kinabalu.

Masa saya sebagai pensyarah permulaan pada tahun 1980 itu padat. Selain berkuliah, termasuk kuliah KDC, dan menjadi penasihat kegiatan kokurikulum, saya juga memegang tiga jawatan setiausaha. Sebagai Ketua Unit Bahasa Melayu, saya mewakili maktab untuk menghadiri beberapa mesyuarat dan kursus di Kota Kinabalu dan di Kuala Lumpur. Mesyuarat yang serius dan memerlukan persediaan rapi sebagai pengerusi zon Sabah ialah mesyuarat penggubalan beberapa kertas peperiksaan. Nyatalah bahawa masa lapang saya sebagai guru di sekolah jauh lebih banyak berbanding dengan masa senggang pensyarah permulaan maktab perguruan, walaupun tiada sesiapa yang menggelari saya sebagai penyapu baharu.

Citra berjanggut dan berketayap yang saya mulakan di USM dan saya teruskan di SMK Majakir, saya kekalkan di maktab. Kebiasaan ke surau dan berdampingan dengan pemimpin persatuan pelajar, khususnya Persatuan Guru Pelatih Islam (PGPI) sejak di universiti dan diteruskan di SMK Majakir, saya tingkatkan. Dalam masa yang sama saya merapatkan diri dengan Warna-warni Sandakan (WARISAN), iaitu pertubuhan kesusasteraan dan kebudayaan yang giat di Sandakan pada masa itu. Atas pengaruh anak nelayan Terengganu yang bernama Shamad @Ahmad Nurawi Abas, saya mula ke laut. Atas pengaruh beliau juga, kami sempat ke Lembah Ranau untuk kegiatan ke arah mendirikan sebuah masjid.

Bersambung: (28) Menandatangani Perjanjian

Tiada ulasan: