30 November 2012

Puisi: Sabah Tempat Bermain

Sabah Tempat Bermain

1
Sabah Negeri di Bawah Bayu
pepohon hijau berdaun rimbun
berpasak bumi Gunung Kinabalu
turus belianmu tahan beratus tahun.

Oh Labuan tempat kumulakan langkah!
Dikau kini sebuah wilayah, pernah aku singgah
kemudian aku berdiri di pelabuhan Api-api
itulah Kota Kinabalu tempat remajaku diwarnai.

Oh Apas Balung di hujung Sabah!
Sejenak cuma aku singgah
kutinggalkan dikau bukannya marah
demi cita-cita, masa hadapan yang cerah.

Oh rumah kebajikan di Jalan Saga!
Melindungi kami musafir kelana
arena ujian setia kawan
kesejahteraan untuk insan budiman.

Oh rakan buruh penghulur kasihan!
Mandur Tionghua berperikemanusiaan
meringankan bebanku sepanjang Ramadan
semoga beroleh rahmat, hidayah Tuhan.

Sabah Negeri di Bawah Bayu
negeri kasih mengarak awan putih
sayang melayah di perbukitan dan sawah ladang
mendidik diri berendah hati tegar berjuang.

Oh Limbanak kampung Kadazan!
Petani rajin keluarga berbudi terpahat dalam ingatan
bunyi khinzir dan pemabuk montoku mengusik perasaan
demi imanku kita berpisah tanpa kebencian.

Oh Maktab Gaya seerti universiti tempatan!
Abang Seman dan Kak Eton perintis jalan
memudahkan daku melalui laluan yang disuratkan
menjadi cikgu mengamalkan ilmu kewartawanan.

Oh tanah datar Papar, Pantai Manismu gah!
Ada penyapu baharu di sebuah sekolah menengah
maafkan dia jikalau kerananya puteramu disesah
demi ilmu, ke luar daerahmu dia melangkah.

Oh SMK Majakir, aku kembali untuk berbakti!
Dengan tubuh dan hati yang berjati diri
kurang semusim aku mengepak pergi
membawa lara tanpa berkecil hati
ke daerah terluas yang disuratkan Ilahi.

Sabah Negeri di Bawah Bayu
negeri sungai berjeram kediaman sebarau dan kelah
negeri beribu sungai berlenggang di lembah
Sungai Kinabatangan lubuk ketutu dan udang galah.

Oh Sandakan daerah matahari terbit!
Kutelan yang manis kumamah yang pahit
kuramu pengalaman di lembah dan bukit
jasamu padaku bukan sedikit.

Oh Libang, Lembah Ranau!
Kumeterai perjanjian pemilikan kebun hijau
benihku cambah, subur dan rimbun
itulah hartaku sesejuk salju sejernih embun.

Oh Shamad, Betty dan putera puterimu!
Susah senang engkau tetap setia membantu
bertemu dan berpisah sering bertamu
hilang di mata, di hati tetap bersatu.

Oh Tuan Syed, Saroh dan rakan seperburuan!
Pak Cik Suradi pembidik tepat berkemahiran
rimas, cemas, ceria, suka tetap kita raikan
pelanduk, napuh, kijang, landak, rusa, sama dirasa
hanya tembadau belum rezeki kita.

Oh kampus kecil Maktab Perguruan Sandakan!
Pangsapurimu akhirnya aku tinggalkan
belum tentu aku menamatkan perantauan
kutinggalkan sementara padang permainan.

Sabah Negeri di Bawah Bayu
pencipta peristiwa penyaksi cebisan riwayatku
sungguh mesra gelombang lautmu
sungguh berbudi Sungai Batang dan Sungai Kayu.

2
Kukagumi kerajinan kaum Dusun
untuk mereka syair kususun
tentang tumbuh-tumbuhan di hutan dan kebun
salah dan silap harap diampun.

Timadang itu persis terap,
Nama umumnya buah tarap;
Isinya putih manis dan sedap,
Pabila makan santun beradab.

Kulit tarap persis nagka,
Banyak bujur bulat pun ada;
Elok direbus buah yang muda,
Lauk kegemaran si emak janda.

Polod adalah sejenis umbut,
Pohon palma bayas disebut;
Banyak di bukit di hutan Sugut,
Warnanya putih sangat lembut.

Polod boleh dimakan mentah,
Budak-budak suka meratah;
Dimasak lemak lebihkan kuah,
Lauk nenek di sulap sawah.

Tomborua itu umbut rotan,
Asalnya memang dari hutan;
Rasanya pahit bukan buatan,
Demi khasiat tetap dimakan.

Tomborua itu lauk pesara,
Kaum ibu dan anak dara;
Tetap ditelan tanpa bicara.
Awet muda menglipur lara.

Tuhau pula keluarga kantan,
Hidup subur di dalam hutan;
Perdu ke atas jadikan keratan,
Dibuat jeruk gaya tempatan.

Tamu tempat tuhau dijual,
Harga tetap usah disangkal;
Tiba di rumah dicecah sambal,
Selera terbuka musnahlah mual.

Bambangan pula keluarga bacang,
Isinya kuning kulitnya perang;
Kuat baunya bukan kepalang,
Penaik selera kakak dan abang.

Asal bambangan rasanya masam,
Ada yang manis pabila diperam;
Isi dan biji dibuat pekasam,
Kecur liur orang mengidam.

Tutan ialah sayur meranti,
Subur di Tenom hidup sendiri;
Di Tambunan juga mudah dicari,
Untuk hidangan keluarga sendiri.

Tutan segar di dalam raga,
Elok rebuskan untuk pak jaga;
Masakan lemak untuk bertiga,
Ketika makan terlupa mentua.

Jenis bebawang sayurnya itu,
Losun namanya sudahlah tentu;
Keluaran Kiasu sangat bermutu,
Untuk hidangan anak menantu.

Daunnya halus keras sedikit,
Bawangnya putih tidak lekit;
Hidup berumpun di atas bukit,
Penaik selera orang sakit.

3
Kepada nenek perindu cucu
terimalah pantun penglipur lara.

Pohon renek di tepi padang,
Batangnya kecil tetapi tegap;
Dahulu nenek tinggal di bendang,
Rumahnya kecil disebut sulap.

Pohon renek jenis berbuah,
Buah berzat benih seberang;
Dahulu nenek tekun bersawah,
Menyara zuriat lapan orang.

Pohon renek daunnya rimbun,
Warnanya hijau berbintik-bintik;
Dahulu nenek rajin berkebun;
Menanam tuhau, lada dan betik.

Pohon renek rapat rantingnya,
Tempat hinggap burung kedidi;
Usaha nenek berkat doanya,
Buah tarap lebat menjadi.

Pohon renek bunganya indah,
Lebah menderu bukan sedikit;
Kemudian nenek memilih pindah,
Ke rumah baharu di lereng bukit.

Pohon renek di tepi padang,
Daunnya layu kemarau tiba;
Terus nenek menatap pandang,
Teringat cucu berasa hiba.

Pohon renek sudah berbuah,
Dipetik Timah sebagai lalap;
Penantian nenek lama sudah,
Di anjung rumah dia terlelap.

Pohon renek meranting juga,
Musim beralih ranggas daunnya;
Pabila nenek tersedar jaga,
Tepak sirih terus dicapainya.

Pohon renek benih seberang,
Patah rantingnya hari kelapan;
Ada nenek hanya seorang,
Keletah cucunya itulah harapan.

4
Sabah Negeri di Bawah Bayu
pepohon hijau berdaun rimbun
berpasak bumi Gunung Kinabalu
turus belianmu tahan beratus tahun.

Sabah Negeri di Bawah Bayu
negeri kasih mengarak awan putih
sayang melayah di perbukitan dan sawah ladang
mendidik diri berendah hati tegar berjuang.

Sabah Negeri di Bawah Bayu
negeri sungai berjeram kediaman sebarau dan kelah
negeri beribu sungai berlenggang di lembah
Sungai Kinabatangan lubuk ketutu dan udang galah.

Sabah Negeri di Bawah Bayu
pencipta peristiwa penyaksi cebisan riwayatku
sungguh mesra gelombang lautmu
sungguh berbudi Sungai Batang dan Sungai Kayu.

Sabah Negeri di Bawah Bayu
aku hanya bersandar pada pohon balakmu
aku pencari rezeki bukan penjarah isi bumi
jikalau aku terkasar, maafkan diri ini.

Sabah Negeri di Bawah Bayu
jikalau engkau Hawa akulah Adam
aku mendekatimu dengan niat suci
tiada kuusik melainkan sesudah bergelar isteri
jikalau aku terkasar dan keterlaluan
kupohonkan kemaafanmu dan keampunan Tuhan.

Sabah Negeri di Bawah Bayu
aku mengambil khazanahmu sekadar keperluan
hanya dengan tenaga dua kerat tangan
peluh bertitisan pada malam gelap di hutan
terima kasih kerana kerelaanmu memberikan bahagian.

Sabah Negeri di Bawah Bayu
universiti hakiki hidup sementara ini
aku tidak mengikuti kursus sarjana
walaupun berkali-kali engkau menggesa
aku hanya mahu menjadi pelajar sepanjang hayat
pelajar berdaftar seumur hidup
hutanmu dewan kuliah
tasikmu khutub khanah
sungaimu tempat mindaku berehlah.

Sabah Negeri di Bawah Bayu
negeri berpasak Gunung Kinabalu
negeri kasih mengarak awan putih
negeri sungai berlenggang juga berjeram
negeri pencipta peristiwa penyaksi suka duka
negeri berharuman tempat aku bermain
negeri bertasik ladam tempat aku bercermin
negeri bersungai sejuk tempat aku berendam
negeri yang kutinggalkan dalam diam
negeri yang kutinggalkan serasa baru semalam
negeri yang hidup dalam ingatan
negeri yang jauh di mata dekat di hati
kerana seorang puterimu berada di sisi!

TAMAT.

4 ulasan:

etuza berkata...

Asalamualaikum ya tuan Haji. Rasa terharu paparan di laman Hanya Sulap banyak berkisar tentang Sabah. Banyak perkara unik dan budaya Sabah Tuan Haji paparkan..kami di Sabah amat menghargainya. Teruskan ya...

etuza berkata...

Taipkan dua perkataan itu:

Tuan haji bila nak komen kena ikut dua perkataan untuk disahkan dalam blog Tn Haji. Kadang kabur, jadi ada cara nak buang pengesahan tu supaya komen membina mudah dan lancar terus kita klik (terbitkan ulasan anda )
Tuan haji kalau nak buang tu pengesahan ni blog yang sediakan tutoral tu..cuba klik ya..

http://www.lyssasecret.com/2012/10/please-remove-word-verification-for.html#.ULk4O-QUtl4
cuba ya..apapun kalau tak nak buka jg pun tak apa2.Cuma boleh kita nak mudah drop komentar ja

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih, cikgu. Puisi ini ialah catatan terakhir (ke-54) dalam siri “Sabah Tempat Berman” bagi tempoh 1971 – 1984. Catatan bagi tempoh 1989 – 2008, insya-Allah, akan saya usahakan sedikit demi sedikit pada tahun hadapan. Rancangan saya, himpunan catatan tentang pendidikan “Guru Bulan” yang kini sudah hampir separuh siap, saya dahulukan. Mudah-mudahan Allah terus memberikan kesihatan tubuh badan, kecergasan minda, kemantapan perasaan dan kesungguhan berkarya kepada kita. Wassalam.

etuza berkata...

bangga sekali dengan tuan haji...diucapkan syabas..tak kan lupa jasa mu hingga akhir hayat.
moga dimudahkan apa jua urusan..