17 Januari 2009

Cenderamata, Cenderadurja dan Cenderahati

Yang berikut ialah empat soalan dan jawapan tentang cenderamata, cenderahati, cenderadurja dan cendera kenangan. Soal jawab ini dipilih daripada 11 soalan dan jawapan yang terdapat dalam arkib Khidmat Nasihat Bahasa DBP. Soal jawab ini sudah diringkaskan dan disunting.


Soalan
Cenderahati sama makna dengan cenderamata, tetapi cendera kenangan belum dirakam dalam kamus kita. Yang manakah betul untuk digunakan cenderamata atau cenderahati?


Jawapan
Cenderamata, cenderahati, cenderadurja atau tanda mata ialah perkataan yang sama maknanya. Kesemuanya betul dan boleh digunakan. Walau bagaimanapun, perkataan yang sering digunakan ialah cenderamata.


Soalan
Antara cenderamata, cenderahati dan cendera kenangan, manakah yang benar?


Jawapan
Cenderahati sama makna dengan cenderamata. Cendera kenangan belum dirakam dalam kamus kita.

Soalan
Saya mengharapkan bantuan pihak tuan agar dapat memberikan judul artikel dan tahun majalah Pelita Bahasa yang mengemukakan penggunaan cenderamata dan cenderahati.


Jawapan
Sila rujuk:
1. “Antara Cenderamata dengan Cenderahati” oleh Rizuan Atan, Pelita Bahasa, Mei 1993.
2. “Cenderahati dan Cenderamata” oleh Farid Ahmad, Pelita Bahasa, Ogos 1993.
3. “Dahulu Cenderamata, Sekarang Pun Cenderamata” oleh Asiah Idris, Pelita Bahasa, September 1994.

Soalan
Saya ada melihat teks pengacaraan satu majlis rasmi kerajaan. Perkataan yang diguna ialah “cendera kenangan”. Adakah perkataan tersebut boleh digunakan?


Jawapan
Kata "cendera" bermaksud "lena". Sebab itu timbulnya kata "cenderamata" bermaksud "lena mata". Pada suatu ketika muncul kata "cenderahati" untuk menggambarkan sesuatu yang diberi itu lebih ikhlas. Kalau hendak diterjemahkan, menjadi "lena hati". Maksudnya, apabila kita menerima sesuatu pemberian, hati menjadi suka dan tenang. Ada perkataan cenderadurja. Kata "durja" bermaksud "wajah". Jadi “cenderadurja” dapat diterjemahkan menjadi “lena wajah”. (Mungkin penerima teringat akan wajah pemberi.) Kalau cendera kenangan, terjemahannya "lena kenangan". Bagi saya, gabungan “cendera kenangan” tidak sesuai.


Rumusan

1. Perkataan cenderamata sudah mantap penggunaannya. Perkataan ini kerap dan sesuai digunakan.


2. Perkataan cenderahati muncul pada tahun 1990-an. Perkataan ini boleh digunakan dan semakin berkembang penggunaannya. Alasan utama penggunanya ialah perkataan ini menggambarkan keikhlasan hati.


3. Perkataan cenderadurja agak baru juga dicipta dan jarang digunakan.


4. Cendera kenangan baru muncul sekitar satu dua dekad ini. Makna bagi gabungan perkataan ini tidak tepat. Jadi perkataan ini tidak sesuai digunakan. Inilah jawapan Puan Zaiton Ab. Rahman, yang pernah bertugas sebagai Setiausaha Kerja Tatabahasa Dewan Edisi Pertama, kepada saya melalui e-mel pada akhir tahun 1990-an.

Masukan terdahulu: “Cenderamata dan Cenderahati

Tiada ulasan: