05 Februari 2009

Kesenian Rakyat: Tarian Samalindang

Oleh Ashma Said, Suriani Mohd Sape, dan Syarifah Suhaini Md Sadar

Orang Brunei di Sabah ialah rakyat Brunei pada masa dahulu. Sebahagian kaum lain di Sabah juga pernah menjadi rakyat Brunei di bawah pemerintahan Kesultanan Brunei. Oleh hal yang demikian, masih dapat dikesan akan adanya pengaruh Brunei dalam kehidupan masyarakat kini, khususnya masyarakat keturunan Brunei.

Satu daripada kesenian yang berasal dari Brunei ialah tarian samalindang. Pada masa dahulu, tarian ini ialah tarian dalam istana Sultan Brunei. Pada hari ini tarian samalindang sudah menjadi tarian rakyat jelata.

Perkataan samalindang berasal daripada gabungan kata samar dan rindang. Oleh sebab kepelatan sebutan generasi sekarang, maka perkataan itu disebut samalindang.

Menurut seorang suku kaum Brunei di Sipitang, perkataan samar bermaksud kurang jelas, kabur atau tersembunyi--sama ertinya dalam bahasa Melayu. Rindang pula bermakna rindu. Jadi, perkataan samalindang bermakna rindu yang samar-samar atau rindu yang disembunyikan.

Asal Usul Tarian Samalindang

Tarian samalindang berkait dengan satu kisah. Pada zaman dahulu, Sultan Brunei menjadikan Kota Batu sebagai istananya. Baginda mempunyai seorang puteri yang baik rupa parasnya. Tuan puteri itu jatuh cinta pada seorang jejaka yang tidak setaraf dengannya. Oleh sebab perasaan cinta yang meluap-luap, tuan puteri pun gering.

Ayahandanya memanggil para bomoh untuk menilik penyakit tuan puteri. Semua bomoh itu sependapat bahawa tuan puteri gering akibat terlalu rindu terhadap seseorang. Namun, mereka tidak berani berterus terang. Mereka cuba mengubati penyakit tuan puteri tetapi gagal.

Akhirnya baginda menghebahkan kepada orang ramai bahawa sesiapa yang dapat menyembuhkan penyakit puteri, orang itu akan mendapat ganjaran. Banyak rakyat jelata yang berkepakaran mengubati penyakit mencuba nasib. Semua mereka gagal.

Pada suatu hari, biduanita yang bernama Dang Siti membawa tuan puteri bersama-sama enam orang dayangnya pergi bermain ke taman bunga. Di situ mereka menyanyi untuk menghiburkan hati tuan puteri yang rindu itu dengan berpantun dan berseloka. Mereka mengerti akan penderitaan tuan puteri. Hal itu dijelmakan melalui pantun dan seloka dalam nyanyian mereka.

Tuan puteri memahami maksud nyanyian mereka dan pasti bahawa mereka mengetahui penderitaannya. Jadi, dia pun berterus terang dengan mereka. Maka kuranglah beban cinta yang ditanggungnya. Dang Siti menyatakan simpatinya dan berjanji akan menyampaikan perkara itu kepada Sultan.

Secara kebetulan, Sultan mendengar perbualan mereka. Sultan juga faham maksud pantun dan seloka yang mereka nyanyikan. Jadi, demi mengelakkan berlakunya sesuatu yang tidak diingini, Sultan mengahwinkan sang puteri dengan jejaka yang dicintainya.

Selepas peristiwa itu, Sultan menghargai jasa Dang Siti yang mencipta lagu itu. Baginda mengarahkan lagu itu diabadikan sebagai milik istana dan dinamakan samalindang.

Kini nyanyian samalindang sudah ditambah dengan tarian dan menjadi kegemaran muda mudi suku Brunei yang mendiami pesisir pantai Teluk Brunei, terutama di Weston, Sipitang dan Sindumin.

Muzik dan Tarian

Seperti nyanyian atau tarian lain, samalindang diiringi dengan alat-alat muzik sebagai penambah gemalai gerak tarian dan suara nyanyian. Alat-alat yang digunakan ialah rebana (3-6 buah), sebuah biola, sebuah gambus, guritik yang diperbuat daripada beliung/botol dan paku sebagai pemukulnya, dan gurinding yang diperbuat daripada pelepah enau. Gabungan suara dan alat-alat muzik itu terbentuklah satu irama yang dapat menggetarkan jiwa dan perasaan pendengarnya.

Dari segi pakaian, penari wanita memakai baju kebaya panjang yang diperbuat daripada sebarang warna sutera. Putih merupakan warna pilihan utama mereka. Baju itu dipadankan dengan kain songket kebiru-biruan yang bertekat benang sutera. Rambut mereka disanggul melintang, dan dihiasi dengan bunga-bunga hutan yang berwarna putih. Mereka juga berselendang panjang serta memakai gelang kaki dan gelang tangan yang diperbuat daripada perak dan emas.

Penari-penari lelaki pula memakai seluar panjang sebarang warna, berbaju teluk belanga, berkain samping dan berdestar.

Jumlah penari yang menari sambil menyanyi biasanya enam orang. Mereka berkumpulan dalam satu bulatan mengelilingi biduanita yang mengetuai tarian itu. Sesuai dengan asal usulnya, biduanita itu dinamakan Dang Siti dan dia berpantun sepanjang tarian itu ditarikan.

Tarian samalindang biasanya diadakan pada malam berinai, selepas upacara pernikahan dan pelbagai acara keramaian yang tujuannya semata-mata memeriahkan majlis itu.

Pantun Samalindang

Samalindang lindang,*
Samanya bujang;
Samalindang Dang Siti,
Samanya bujang.

Belatuk si raya burung,
Hinggap di atas intan selasih;
Lama sudah dendam berkurung,
Baru berjumpa pada kekasih.

Ulang *

Laju-laju perahu laju,
Laju merentas Surabaya;
Lupa kain lupa baju,
Jangan lupakan pada saya.

Ulang*

Cu Pandan anak Bubunya,
Hendak menyerang panji Melaka;
Sebentuk cincin permata bunga,
Buat kekasih yang tercinta.

Ulang*

Dang Nila memangku puan,
Sayang berambang buah pedada;
Sangat gila bagimu tuan,
Burung terbang dipipiskan lada.

Sebagai kesimpulannya, tarian samalindang merupakan warisan budaya asli suku kaum Brunei di Sabah. Tarian ini dapat memperkaya khazanah budaya sukuan di Sabah dan sewajarnya mendapat perhatian generasi kini.

Sumber: Grup_PM, 2005 (disunting).

Tarian samalindang di You Tube.

2 ulasan:

Unknown berkata...

Assalamualaikum

Sila ke
http://friendismirror.blogspot.com
http://rarwrites.blogspot.com
http://skot22.blogspot.com


Hj Ramli Abdul Rahim (Rtd) TUDM
016-6220603

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Waalaikumussalam warahmatullahi Wabarakatuh.

Tuan Haji Ramli,

Saya memang mengikuti blog tuan dari semasa ke semasa. Tahniah kerana beberapa orang anak tuan bergelar al-hafiz.

Selamat berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

Wassalam.

Mohd Isa bin Abd Razak
Negeri Sembilan
(Pernah aktif dalam KMSM)