31 Mac 2009

Kesenian Rakyat: Tarian Lansaran Kaum Murut


Oleh Mohd. Shahirul Tangah, Rolentino Mawing, Norisranah Ismail dan Haslinah Sapri

Suku kaum Murut merupakan suku kaum bumiputera yang kecil bilangannya di Sabah. Kaum ini tinggal di kawasan pedalaman iaitu di Keningau, Nabawan, Sepulot dan Tenom. (Tentang jumlah suku kaum Murut, sila rujuk ruangan ulasan di bawah masukan ini. - Penyunting, 13 November 2009.)

Kuala Tomani dalam daerah Tenom merupakan perkampungan orang Murut suku Tahol dan Sumambu (berdasarkan nama Sungai Tahol dan Sungai Sumambu). Perkampungan lain yang terdapat banyak suku kaum ini ialah di Ulu Tomani, Kalamatoi, Rundum, Nabawan dan Pensiangan.

Tarian-tarian suku kaum Murut terpelihara dan kekal dalam kehidupan mereka, termasuklah tarian lansaran. Di Pensiangan, Sepulot dan Nabawan, tarian ini dikenali dengan nama memolungun da papan atau tarian papan. Di Keningau dan Tenom, tarian ini dikenali dengan nama lansaran. (lansaran ialah ejaan DBP)

Perkataan lansaran berasal daripada perkataan lumasar yang bermaksud melambung atau berayun-ayun. Hal ini sesuai dengan situasi tarian itu yang ditarikan di satu tempat khas dengan berayun-ayun dan melambung-lambungkan diri.

Pada masa dahulu tarian ini berkait rapat dengan pemujaan roh atau semangat tengkorak, khususnya pemujaan semangat kepala manusia yang diperoleh semasa ngayau. Kini tarian ini ditarikan sebagai bersuaka ria sempena keramaian seperti perkahwinan dan perpindahan ke rumah panjang yang baharu.

Sebelum majlis tarian diadakan, beberapa persediaan perlu dibuat. Yang utama, tuan rumah perlu menyediakan tapai dua minggu sebelum majlis itu berlangsung. Selain itu, beberapa makanan lain juga disediakan.

Tempat lansaran yang berukuran lapan hingga 30 kaki persegi dan dapat menampung 30 orang penari, dibina di suatu ruang di rumah panjang. Kerja pembinaannya dilakukan secara bergotong-royong. Beberapa batang kayu bulat yang keras dan liat sebesar lengan orang dewasa merupakan bahan utama binaan itu. Kayu tersebut biasanya daripada jenis selangan batu. Kayu-kayu itu diikat dengan rotan saga. Tempat tarian ini dibina sekaki terkebawah daripada paras lantai.

Penyokong binaan tempat lansaran ialah tujuh batang kayu sepanjang 35 kaki yang menjadi tempat menghentakkan kaki serta pengeluar irama tertentu. Bahan ini disokong oleh 60 batang gelegar sepanjang 20 kaki. Sejumlah kayu bulat lagi digunakan untuk menutup ruangan lantai segi empat itu.

Penari-penari lansaran terdiri daripada lelaki dan wanita. Tiada ketetapan dari segi jumlah penari, hanya bergantung pada saiz tempat lansaran. Lelaki dan wanita menari bersama-sama, iaitu melonjak-lonjakkan diri untuk mencapai singkowoton yang diletakkan di bahagian bumbung tempat lansaran.

Pada zaman dahulu, singkowoton ialah tengkorak manusia. Pada masa kini singkowoton diperbuat daripada paruh burung enggang yang dihiasi dengan manik-manik beraneka warna sebagai pengganti tengkorak.

Biasanya diadakan pertandingan antara pasukan. Setiap pasukan masuk ke tempat lansaran secara bergilir-gilir untuk menari (melonjak-lonjakkan diri) bagi mencapai singkowoton itu. Sesuatu pasukan dapat juga terdiri daripada lelaki sahaja atau wanita sahaja. Adakalanya peraduan diadakan antara kampung atau rumah panjang.

Dari segi pakaian, para penari lelaki memakai abagh dan sampayau. Abagh ialah cawat yang dibuat daripada kulit kayu. Sampayau ialah baju yang dibuat daripada kulit kayu juga. Baju itu tidak mempunyai potongan yang tertentu. Bahagian tengah baju ini dilubangkan untuk memasukkan kepala. Bahagian kanan dan kirinya dijahit dengan benang yang juga dibuat daripada urat-urat kayu yang sama.

Pada bahagian depan dan belakang sampayau dihiasi dengan siput laut atau sulau dan dinamakan sampayau sinulauan. Diceritakan, pada zaman dahulu baju yang berhias dengan siput laut itu (sampayau sinulauan) tidak terjejas oleh tetakan parang, tikaman keris, dan rejaman lembing.

Selain itu, penari lelaki juga memakai kuru, iaitu topi bulat yang kosong di bahagian atasnya hasil anyaman kulit buluh. Topi itu dihias dengan bulu burung merak, enggang atau ayam hutan. Pada zaman dahulu lelaki Murut berambut panjang. Ketika memakai kuru, rambut mereka disimpul dengan menggunakan tulang binatang seperti gading gajah dan gigi babi hutan.

Pakaian penari wanita terdiri daripada sampayau, tapi dan tadung. Sampayau wanita ditenun daripada bahan kapas, berwarna hitam dan dihiasi dengan benang yang beraneka warna, terutamanya merah. Sampayau itu dihiasi dengan manik yang beraneka warna. Sulaman benang dan susunan manik itu menghasilkan corak yang bermotifkan alam seperti bunga, pokok dan binatang.

Tapi ialah kain sarung yang lazimnya berwarna hitam hasil tenunan daripada kapas. Seperti sampayau, tapi juga disulam dengan benang dan manik yang beraneka, warna merah masih menjadi pilihan utama. Tapi dihiasi juga dengan beberapa butang Betawi, atau kaling dalam bahasa Murutnya, dan jarak antara satu kaling dengan kaling yang lain lebih kurang dua inci. Kaling ini mengeluarkan irama bunyi yang secara langsung menjadi irama pengiring terhadap tarian lansaran.

Tadung ialah sejenis pengikat kepala selebar hampir dua inci yang dibuat daripada manik-manik kecil. Di keliling pengikat kepala itu diselitkan dengan bulu burung yang beraneka warna. Sekiranya manik tidak mencukupi, tadung dapat juga diperbuat daripada batu akik yang dirangkaikan sehingga mengelilingi kepala.

Selain itu, penari-penari wanita juga memakai tali pinggang yang dibuat daripada duit syiling, khususnya mata wang pada zaman British. Mereka juga memakai perhiasan untuk leher dan tangan.

Apabila para penari telah sempurna berpakaian, mereka membentuk dua bulatan sambil berpegangan tangan. Bulatan di dalam ialah penari lelaki. Bulatan di luar ialah penari wanita. Seorang hingga tiga orang penyanyi yang dinamakan mengimun liliawa berdiri di tengah-tengah bulatan itu.

Tarian ini diselaraskan oleh seorang juruacara. Apabila diarahkan oleh pengacara, penyanyi mula menyanyi secara solo dan ditingkah oleh chorus secara beramai-ramai. Fungsi asal nyanyian itu ialah menggerakkan semangat penari. Kini, selain terus merangsang penari-penari, nyanyian itu juga digunakan untuk memuji tuan rumah dan para pemimpin selain sarat dengan nasihat dan unsur kasih sayang.

Tarian bermula dengan gerakan tangan yang lemah gemalai seperti gerakan sayap burung helang ketika terbang. Kaki penari berengsot-engsot sedikit demi sedikit mengikut irama nyanyian.

Pada masa yang sama, tempat tarian melambung-lambung dan terhentak pada batang-batang kayu yang menjadi dasarnya. Semakin lama rentak tarian bertambah rancak. Pada masa ini, para penari akan melonjak-lonjakkan diri untuk mencapai singkowoton. Singkowoton itu akan menjadi milik pasukan yang berjaya mencapainya.

Satu upacara yang amat berkaitan dengan tarian ini ialah upacara kukui atau pemujaan roh tengkorak yang diadakan sekurang-kurangnya tiga tahun sekali. Dalam upacara ini, tengkorak itu diletakkan pada sebatang tiang di tengah-tengah tempat lansaran bersama-sama empat keping lemak khinzir yang telah dikeringkan yang panjangnya dua kaki dan lebarnya dua inci.

Kemuncak upacara kukui ialah si pemenggal kepala itu memakan sepotong daripada lemak khinzir itu dan membahagi-bahagikan sebahagian daripadanya kepada para penari. Mereka percaya, roh tengkorak tidak akan mengganggu mereka yang telah memakan lemak khinzir itu.

5 ulasan:

Marniyati berkata...

Alhamdulillah, info yang sangat menarik. Kebetulan, saya sedang membuat rujukan tentang pendidikan kebudayaan di Tanah Melayu ini. Terima kasih sudi berkongsi ilmu.

Mohd Isa bin Abd Razak berkata...

Alhamdulillah, manfaatkanlah.

Tanpa Nama berkata...

maaf..kesalahan informasi yg anda berikan...saya anak jati murut' memperbetulkan kesalahan yang dilakukan... 1. murut merupakan kaum ketiga terbesar selepas kadazan dan dusun di ikuti murut..2. penempatan murut.. tenom,keningau,pensiangan, nabawan,tawau,dan sandakan. kaum murut terpelajar bukti jumlah yang menuntut di ipta dan u di luar negara..info murut banyak...buat penulisan tu...agak-agak la.. terima kasih..(heads hunter)

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Salam.

Terima kasih atas respons tuan. Saya berharap penjelasan tuan ini menjadi pembetulan bagi pihak para penulisnya. Ada antara mereka anak jati Murut juga. Namun, sebagai pelajar di bawah bimbingan saya pada suatu masa dahulu, mereka tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Saya yang menyunting tulisan ini pula mengekalkan banyak ayat dan ungkapan asal.

Sebagai peminat budaya etnik, saya menghargai pandangan tuan. Diharap tuan terus sudi memberikan pandangan sekiranya masih ada kesilapan fakta dalam blog ini, khususnya yang berkaitan dengan suku kaum Murut.

Terima kasih sekali lagi.

Tanpa Nama berkata...

demi ilmu, bagus kita kongsi maklumat. mohon sdr. anak jati murut statistik etnik sabah: kadazan, dusun, murut (no. 3), bajau, brunei dll. terima kasih.