28 Mac 2009

Klitik Mengindahkan Lirik Teman Sejati

Oleh Mohd Isa bin Abd Razak @Mantan Naqib


Nasyid “Teman Sejati” oleh Brothers memang popular dalam masyarakat kita. Kepopularannya ketara dalam kalangan ahli usrah. Tidak keterlaluan jikalau dikatakan bahawa semua ahli usrah yang berusia 20-an dan 30-an biasa mendengarnya. Malah, tidak keterlaluan juga jikalau dikatakan bahawa hampir kesemua mereka pernah melagukannya.

Sejumlah video di Internet membuktikan hal ini. Apabila kita menggoogle “Nasyid Teman Sejati”, Google menayangkan hampir 2,000 pautan. Sebahagian daripada pautan itu ialah video nyanyian beramai-ramai oleh anak muda. Gerak-geri dan pakaian mereka menunjukkan bahawa mereka mungkin ahli usrah.

Mengapakah nasyid ini popular? Setiap orang mempunyai jawapan yang tersendiri. Jawapan mereka kebanyakannya berfokus pada keindahan nasyid itu. Oleh sebab orang muda memang pengagum keindahan, maka popularlah nasyid itu.

Namun itu bukanlah sebab yang jitu. Sebenarnya, nasyid ini menyerlahkan mesej, irama dan lirik yang indah. Mesejnya berfokus pada pencarian teman sejati. Iramanya bergerak perlahan-lahan, satu-satu tetapi tetap dan pasti, mendayu dan syahdu, menyerap ke dalam kalbu. Liriknya bertaraf madah insan yang pasrah.

Kini, bicara ini kita tumpukan pada lirik sahaja.

Lirik nasyid ini indah dari segi diksi. Penulis lirik memilih dan menggunakan perkataan yang mudah tetapi tepat dan berkesan untuk mengungkapkan buah fikiran. Lirik nasyid ini bertambah indah apabila penulis memanfaatkan teknik repetisi. Dia bermain dengan asonansi dan aliterasi sambil mengulang-ulang kata, ungkapan dan untaian untuk mengukuhkan makna. Lirik nasyid ini bertambah-tambah indah apabila repetisi diperkukuh dengan klitik.

Apakah itu klitik? Klitik ialah istilah linguistik. Namun, masukan kata ini terdapat juga dalam Kamus Dewan. Oleh sebab kumpulan sasar pembaca Kamus Dewan ialah orang awam, kini semua orang wajar mengetahui makna klitik. Klitik ialah “bentuk terikat yang tidak boleh dianggap sebagai morfem terikat kerana boleh berada dalam tempat frasa atau klausa tetapi tidak dianggap sebagai kata”. Misalan yang diberikan ialah “ku” dalam “kubaca” dan “mu” dalam “bukumu”.

Ada empat klitik iaitu “ku”, “mu”, “kau” dan “nya”. Kesemuanya kata ganti nama singkat. Kesemuanya dieja serangkai dengan kata sebelum atau selepasnya. Sesiapa yang ingin mendapat maklumat lanjut tentang klitik dipersilakan merujuki tulisan Muhammed Salehudin Aman yang bertajuk “Kata Ganti Nama Singkat -Ku” dalam Dewan Siswa keluaran Mac 2009.

Berbalik kepada lirik, nasyid ini kaya dengan klitik. Sebanyak 23 klitik yang terdiri daripada 12 klitik “ku”, enam klitik “mu” dan lima klitik “nya” diulang berselang-seli. Perkataan yang mengandungi klitik itu dan jumlahnya (dalam kurungan) ialah kucari (2), kumencari-cari (3), kupanjatkan (1), kupohon (2), kutemui (2), kuungkapkan (2), kepadamu (4), padamu (2), dengannya (2), segala-galanya (2) dan tandanya (1).

Seperti yang dinyatakan di tadi, klitik ini mengukuhkan teknik repetisi. Gabungan klitik dengan perkataan yang mudah difahami pula meningkatkan keberkesanan diksi. Sebanyak 18 klitik yang mengandungi vokal “u” pula mengayakan asonansi dan meningkatkan kemerduan irama yang mendayu dan syahdu.

Perkataan terpenting yang mengandungi klitik dalam lirik ini dan diulang sebanyak tiga kali ialah “kumencari-cari”. Perkataan ini terkandung dalam untaian “Kumencari-cari teman yang sejati”. Untaian ini sebenarnya ialah ayat lengkap “Aku mencari-cari teman yang sejati”. Ayat ini ialah ayat aktif. “Aku” ialah bahagian subjek dan “mencari-cari teman yang sejati” ialah bahagian predikat.

Apabila kata ganti nama “aku” disingkatkan menjadi “ku” wujudlah klitik. Ahli tatabahasa mengatakan klitik tidak boleh berada di awal ayat. Dalam komunikasi rasmi, kewujudan klitik di awal ayat dianggap tidak gramatis. Namun, ada pihak yang berpendapat bahawa klitik di awal untaian lirik dibenarkan. Pendapat ini serasi dengan kosep kebebasan berkarya atau lesen puisi.

Perkara ini kecil sahaja. Perkara kecil ini menjadi besar apabila ugkapan itu popular dan menjadi siulan harian. Maka, guru sudah menemukan ungkapan “kumencari-cari” dan yang seumpamanya di awal ayat dalam tulisan murid. Oleh hal yang demikian, perkara kecil ini perlulah dihindari oleh para penulis lirik.

Demikianlah perbincangan tentang lirik nasyid “Teman Sejati”. Perbincangan ini berfokus pada klitik dalam lirik itu. Perbincangan ini diharap bermanfaat untuk penulis lirik, penulis sajak dan penulis karya kreatif umumnya.

4 ulasan:

Suhailee Sulaiman berkata...

Assalamualaikum Encik Mohd.Isa Abd. Razak.
Apa khabar? Masihkah ingat dengan saya? Saya baharu sahaja mengikuti perkembangan blog encik kerana encik merupakan bekas pensyarah Pengajian Melayu saya di IPGM Keningau pada tahun 1996-1999 dahulu. Encik dijemput untuk melayari Laman Web Komuniti Membakut:

http://www.membakut.info

Penyertaan Encik Mohd. Isa amat dialu-alukan.
Terima kasih.

Mohd Isa bin Abd Razak berkata...

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.

Cikgu Suhailee,
Terima kasih kerana mengunjungi blog saya dan sudi meninggalkan pesanan. Tentang wajah cikgu, sukar saya gambarkan. Saya ingat-ingat lupa akan wajah. Jikalau ada gambar, insya-Allah, saya cuba mengenal pastinya. Maafkan saya.

Beberapa hari ini saya kurang sihat. Mungkin tiada masukan untuk blog sepanjang hari ini. Insya-Allah, saya akan meninjau http://www.membakut.info dari semasa ke semasa.

Wassalam.

aranam berkata...

Assalamualaikum,

Cikgu apa khabar? Semoga cepat sembuh.

Mohd Isa bin Abd Razak berkata...

Waalaikumussalam wbt.

Alhamdulillah, kesihatan saya beransur-ansur pulih. Semoga tuan dan keluarga sentiasa sihat dan gembira di negeri orang.

Wassalam