10 Mei 2009

Item Objektif Aneka Pilihan (6)

Jenis Item Objektif Aneka Pilihan 5: Cantuman
Oleh Mohd Isa bin Abd Razak

Masukan terdahulu
(1) Mukadimah dan Istilah Penting
(2) Jenis Item 1: Pernyataan Tidak Lengkap
(3) Jenis Item 2: Soalan Langsung
(4) Jenis Item 3: Negatif
(5) Jenis Item 4: Klasifikasi

Item ini mengandungi dua bahagian iaitu bahagian cantuman dan bahagian pilihan. Bahagian cantuman ditandai dengan huruf roman besar. Lazimnya jumlah unsur dalam bahagian cantuman sama dengan jumlah pilihan. Jikalau terdapat empat pilihan (A, B, C, D), maka terdapat pula empat unsur (I, II, III, V). Kelaziman ini dapat dilihat dalam kertas peperiksaan UPSR dan PMR. Kelaziman ini menjadi amalan BPG sejak beberapa tahun dahulu. Namun, mutakhir ini BPG menetapkan lima unsur cantuman bagi empat pilihan.

Bahagian cantuman ditulis ke kanan sedikit daripada bahagian pilihan. Perkataan "sahaja" ditulis di hujung pilihan jika sebahagian sahaja daripada huruf roman itu digunakan dalam pilihan. Apabila hanya sebahagian sahaja daripada huruf roman itu digunakan dalam pilihan, pastikan semua huruf digunakan sekurang-kurangnya dua kali dan sesuatu huruf tidak muncul dalam semua pilihan. Dengan kata lain elakkan pilihan semua betul dan semua salah.

Item ini sangat sesuai digunakan untuk membentuk soalan beraras tinggi. Item ini boleh bertumpang tindih dengan jenis item yang lain. Item ini wajar diletakkan di bahagian tengah dan akhir sesuatu kertas ujian.

13. Pilih ayat yang betul menggunakan perkataan kering.

-----I. Perigi itu sudah kering.
-----II. Ibu menggoreng ikan kering.
-----III. Liew kering pergi ke sekolah.
-----IV. Robert makan nasi itu hingga kering.

(A) I dan II sahaja
(B) II dan III sahaja
(C) III dan IV sahaja
(D) I, II dan IV sahaja

Item ini ialah item cantuman pilihan. Dalam pilihan, unsur I digunakan dua kali, unsur II digunakan tiga kali, unsur III digunakan dua kali dan unsur IV digunakan dua kali. Tegasnya, setiap unsur disebarkan seimbang sebagai pilihan.

14. Susunan yang baik bagi ayat-ayat di bawah ialah

-----I. Mentari mulai terbenam.
-----II. Pemuda itu masih termenung di tebing Sungai Pegalan.
-----III. Ayam dan itik sudah masuk ke reban.
-----IV. Penduduk Kampung Feri mulai memenuhi surau.
-----V. Bencana banjir lumpur beberapa tahun lalu kembali dalam ingatannya.

(A) I, II, III, V, IV
(B) I, III, IV, II, V
(C) II, V, III, I, IV
(D) IV, II, V, I, III

Item ini ialah item cantuman susunan terbaik. Semua unsur terdapat dalam setiap pilihan, cuma susunannya berbeza. Contoh ini mempunyai lima unsur.

Tiada ulasan: