04 Mei 2009

Sukar untuk Bernafas

“Sesetengah penggunaan kata atau ungkapan yang betul dikatakan salah hingga kadang-kadang kita berasa agar sukar untuk ‘bernafas’,” keluh Puan Aziah Tajudin dalam ruangan “Soal Jawab Bahasa”, majalah Pelita Bahasa keluaran Disember 2008.

Puan Aziah menyisipkan keluhannya itu dalam jawapan tentang penggunaan ungkapan “di kalangan" dan “dalam kalangan” yang menjadi kekeliruan pengguna bahasa Melayu.

Menurut Puan Aziah, “Ungkapan di kalangan dan dalam kalangan memang sering digunakan. Pada suatu ketika dahulu, perkara itu bukanlah masalah atau kekeliruan, tetapi akhir-akhir ini, penggunaannya merupakan masalah atau kekeliruan yang agak merimaskan.”

Menurut karyawan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu, pihak yang mengetengahkan penggunaan ungkapan “dalam kalangan” memang mempunyai hujah tetapi hujah itu seperti dibuat-buat atau terlalu tegar.

“Penggunaan bahasa sepatutnya tidak terlalu tegar selagi tidak melanggar peraturan bahasa,” katanya.

Puan Aziah menyatakan, mengikut kajian korpus, kedua-dua ungkapan itu baku.

“Ungkapan di kalangan betul kerana kata nama kalangan membawa makna golongan atau lingkaran,” katanya.

Dengan perkataan lain, kalangan membawa maksud konsep tempat. Jadi, kata sendi nama di boleh berada sebelum perkataan kalangan.

“Mengikut data korpus, penggunaan ungkapan di kalangan jauh lebih banyak berbanding dengan penggunaan ungkapan dalam kalangan,” tegas Puan Aziah.

Rumusannya, ungkapan lama “di kalangan” boleh terus digunakan bersama-sama dengan ungkapan “dalam kalangan". Namun, Puan Aziah belum boleh menarik nafas lega kerana ungkapan “di kalangan" sukar ditemukan dalam komunikasi kini, terutamanya dalam komunikasi bertulis.

4 ulasan:

HBM Consultant berkata...

Dahulu, saya menggunakan 'di kalangan'... Sekarang, saya menggunakan 'dalam kalangan'...

Saya mengubahnya selepas menghadiri seminar di DBP berkaitan penggunaan morfologi dan sintaksis terkini dalam bahasa Melayu (saya sudah lupa tajuk seminar tersebut).

Kesimpulannya mudah, DBP sendiri keliru dan pengguna bahasa semakin keliru.

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Prof. Emeritus Dato’ Dr. Asmah Haji Omar dalam buku terbaharunya menggunakan “di kalangan". Saya sendiri sudah biasa menggunakan “dalam kalangan”.

HBM Consultant berkata...

Boleh tuan berikan tajuk buku tersebut? Saya ingin membuat beberapa semakan dan perbandingan.

Mungkin saya akan temui beberapa 'mazhab' penggunaan bahasa Melayu pula selepas ini. Hehee..

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Nahu Kemas Kini, Panduan Bahasa yang Baik dan Betul (2009), PTS Profesional. “Mazhab” beliau jelas. Dalam prakata, beliau menulis, “Kaedah yang digunakan dalam memaparkan nahu Melayu dalam buku ini ialah yang berdasarkan teori sistemik-fungsional, dari aliran Linguistik London atau aliran Linguistik British.”