28 Jun 2009

Analisis Kesilapan: Dari Sudut dan Lain-lain

Dalam Bonus Dewan Siswa keluaran Julai 2008 terdapat makalah yang bertajuk “Analisis Kesalahan Ayat (Siri 1)”. Makalah itu ditulis oleh Nik Nor Ahmarizam Nik Ahmad dan ditujukan kepada calon Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Calon PMR dan pengguna bahasa Melayu masih dapat memanfaatkan kandungan makalah itu.

Dalam makalah itu Nik Nor Ahmarizam menyenaraikan 20 ayat yang salah. Setiap ayat yang salah itu diikuti dengan sebab kesalahan dan ayat yang betul. Empat contohnya adalah seperti yang di bawah. Saya mengemukakan ulasan ringkas bagi dua contoh.

Contoh 1
Ayat yang Salah
Gaya bahasa pantun sudah ditinjau dari pelbagai sudut oleh pengkaji kesusasteraan.

Sebab Kesalahan
Kesalahan penggunaan kata sendi nama dari.

Ayat yang Betul
Gaya bahasa pantun sudah ditinjau daripada pelbagai sudut oleh pengkaji kesusasteraan.

Ulasan
Ini ialah ayat contoh dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Keempat (halaman 268): Mereka memulakan kerja pembersihan dari sudut kanan dewan itu. (bukan: Mereka memulakan kerja pembersihan *daripada sudut kanan dewan itu.) Perbincangan tentang perkara ini ada di sini. Kita masih boleh membincangkan lagi perkara ini.


Contoh 2
Ayat yang Salah
Hal ini kerana seseorang pemimpin mestilah dapat mengutarakan idea yang bernas untuk meyakinkan orang ramai.

Sebab Kesalahan
Ayat huraian ini tidak gramatis kerana tidak ada predikat.

Ayat yang Betul
Hal ini demikian kerana seseorang pemimpin mestilah dapat mengutarakan idea yang bernas untuk meyakinkan orang ramai.

Ulasan
(a) Kita wajar memikirkan sebab ayat ini dikatakan “salah”. (b) Sudah ada pendapat yang mengatakan ungkapan “hal ini demikian kerana” silap. Ungkapan yang dikatakan betul ialah “hal ini dikatakan (berlaku, terjadi) demikian kerana” Klik
di sini atau di sini. Namun beberapa pihak yang berwibawa masih menggunakan ungkapan ini. Klik di sini.
Contoh 3
Ayat yang Salah
Didoakan semoga anda berjaya dengan cemerlang.

Sebab Kesalahan
Ayat ini tidak gramatis kerana tidak ada subjek dan predikat.

Ayat yang Betul
Didoakan kejayaan yang cemerlang untuk anda.

UlasanSila catatkan ulasan tuan dalam ruangan ulasan.

Contoh 4

Ayat yang Salah
Kakak Liyana membantu emak menanak nasi.

Sebab Kesalahan
Ayat ini tidak gramatis kerana tidak disisipkan kata hubung pancangan komplemen untuk sebagai unsur keterangannya.

Ayat yang Betul
Kakak Liyana membantu emak untuk menanak nasi.

Ulasan
Sila catatkan ulasan tuan dalam ruangan ulasan.


Senarai yang di bawah ini pula ialah sedutan daripada makalah itu. Saya hanya menyedut frasa yang salah dan diikuti dengan frasa yang betul.

1. di atas sebab → atas sebab
2. koleksi kamus-kamus → koleksi kamus
3. mengingatkan kita terhadap kepentingan masa → mengingatkan kita tentang kepentingan masa
4. di dalam aktiviti → dalam aktiviti
5. membincangkan tentang → membincangkan
6. terlalu baik sekali → terlalu baik atau baik sekali
7. daun-daun kering berguguran → daun kering berguguran
8. ada pelajar-pelajar sekolah → ada pelajar sekolah
9. Hakimin dihadiahkan beberapa naskhah majalah → Hakimin dihadiahi beberapa naskhah majalah
10. Puan Hazama bertemu Puan Rajini → Puan Hazama bertemu dengan Puan Hazimi

3 ulasan:

HBM Consultant berkata...

Salam.

Tuan, saya ada sedikit kemusykilan apabila ayat berikut diklasifikasikan sebagai betul:

Kakak Liyana membantu emak untuk memasak nasi.

Menurut Tatabahasa Dewan, perkataan 'untuk' mesti diikuti dengan kata nama dan bukannya kata kerja. Justeru, ayat di atas seharusnya ditulis begini:

Kakak Liyana membantu emak bagi memasak nasi.

Mohon ulasan daripada tuan pula.

Terima kasih.

HBM Consultant berkata...

Maaf, Tuan.

Mungkin ini ayat yang lebih tepat dan betul dari aspek tatabahasanya:

Kakak Liyana membantu emak memasak nasi.

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Waalaikumussalam.

Terima kasih atas ulasan puan. Pandangan puan betul sekiranya benar perkataan “untuk” itu ialah kata sendi. Namun, dalam ayat itu perkataan “untuk” ialah kata hubung pancangan komplemen, atau ringkasnya kata komplemen atau pelengkap. Hal inilah yang menjadi pegangan penulis makalah itu, Nik Nor Ahmarizam Nik Ahmad.

Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (TDEK) menyentuh perkara ini pada halaman 253, 509 – 512 dan beberapa halaman yang lain. Sayangnya penjelasan TDEK sangat ringkas. Hal ini menyebabkan pembaca keliru. Cikgu Abdul Ghalib pernah membincangkan kekeliruan itu. Pautannya ialah http://www.semestian.net/ghalib/?p=13. Perkara ini juga ada kena-mengena dengan isu penggunaan istilah “kata sendi nama” yang tidak dipersetujui oleh Prof. Abdullah Hassan. Beliau membicarakan hal ini dalam buku Tatabahasa Pedagogi (2008).

Ulasan susulan daripada puan dan para pengunjung sangat dialu-alukan.

Wassalam.