23 Julai 2009

Kaedah Campuran-Cerakinan PPK

Siri Kaedah Pengajaran Bacaan Asas
Membaca: Satu Renungan
Konsep Kesediaan Membaca
Pengajaran Kemahiran Mengeja: Konsep Ejaan
Kaedah Pengajaran Bacaan Asas: Kaedah Abjad
Tinjauan Mudah Kaedah Pengajaran Bacaan Permulaan
Kaedah Gabungan Bunyi-Kata: Bicara Permulaan
Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK): Versi Asal
Kaedah Yong (Kaedah Cepat Membaca)

Nama kaedah ini dalam Buku Panduan Am Kurikulum Baru Sekolah Rendah terbitan tahun 1981 dan Buku Panduan Khas Bahasa Malaysia Tahun 1, cetakan ketiga tahun 1987 ialah “Pendekatan A”. Pihak yang mengetengahkan kaedah ini ialah Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) atau Bahagian Pembangunan Kurikulum, iaitu nama baharu PPK mulai tahun 2008. Menurut PPK, “Pendekatan A” ialah kaedah campuran yang memberatkan cerakinan. Oleh itu, kita dapat menamakan kaedah ini sebagai Kaedah Campuran-Cerakinan PPK.

Susunan kemahiran pengajaran bacaan asas dalam Buku Panduan Khas Tahun 1 terbitan tahun 1982 berdasarkan kaedah ini. Guru sekolah rendah mengajarkan bacaan asas berpandukan Buku Panduan Khas Tahun 1 itu. Hal ini bermakna Kaedah Campuran-Cerakinan ini merupakan kaedah yang penting pada tahun 1980-an. Namun, menurut Profesor Dr. Isahak Haron, penggunaan Kaedah Campuran-Cerakinan ini tidak bertahan lama. Guru sekolah rendah kembali menggunakan Kaedah Abjad, iaitu kaedah yang sudah sebati dengan diri mereka.

Berdasarkan ciri dan huraiannya, Kaedah Campuran-Cerakinan PPK dapat dianggap sebagai variasi Kaedah Seluruh Perkataan. Kaedah ini dikatakan sesuai untuk mengajarkan bacaan asas bahasa Inggeris. Ada pendapat mengatakan kaedah ini kurang sesuai untuk mengajarkan bacaan asas bahasa Melayu. Yang jelas kaedah ini pernah digunakan untuk mengajarkan bacaan asas bahasa Melayu. Oleh hal demikian, guru yang mengajarkan bacaan asas bahasa Melayu perlu mengetahui kaedah ini. Hal ini dikatakan demikian kerana pengetahuan itu berguna untuk berhujah bagi menerima atau menolak penggunaan sesuatu kaedah di bilik darjah.

Penggunaan kaedah ini bermula dengan aktiviti prabacaan atau kesediaan membaca. Guru meningkatkan kesediaan murid untuk belajar melalui aktiviti fizikal yang melibatkan pendengaran dan penglihatan. Selepas itu barulah guru mendedahkan perkataan atau ayat yang mudah kepada murid.

Pengelolaan contoh kaedah ini adalah seperti yang di bawah. Pengelolaan contoh ini bermula dengan perkataan.

1. Guru menunjukkan gambar baju dan meminta murid menyebut nama benda dalam gambar itu. (Pandang-sebut benda dalam gambar.) Kemudian guru berbual dengan murid tentang baju. (Aktiviti lisan.)

2. Guru menunjukkan kad perkataan baju dan meminta murid menyebut “baju”. (Pandang-sebut seluruh perkataan.)

3. Guru menggandingkan kad perkataan "baju" dengan gambar baju. Murid menyebut perkataan “baju”. (Pandang-sebut seluruh perkataan.)

4. Guru mengenyahkan kad gambar daripada pandangan murid. Kini tinggal kad perkataan "baju" sahaja. Guru meminta murid menyebut (“membaca”) seluruh perkataan pada kad perkataan itu. (Pandang-sebut seluruh perkataan.) Proses memandang dan menyebut perkataan baju ini boleh dilakukan secara latih tubi hingga murid berjaya (mengecam dan) menyebut perkataan “baju” setiap kali guru menunjukkan kad perkataan baju itu. Kemudian proses ini diulang untuk perkataan-perkataan yang lain seperti “buku” dan “batu”.

5. Seterusnya, guru hanya menunjukkan kad perkataan "baju", "buku" dan "batu" satu persatu. Murid “membaca” perkataan pada kad itu. (Pandang-sebut seluruh perkataan.) Guru boleh menggunakan teknik latih tubi yang bervariasi. Contohnya, murid mengangkat dan menayangkan kata perkataan “baju” apabila guru menyebut “baju”. Contoh lain, murid mencari kad perkataan "baju" di dalam kotak dan menayangkannya kepada kelas apabila guru menyebut “baju”.

6. Aktiviti seterusnya berfokus pada suku kata. Guru menunjukkan suku kata "ba" dan murid menyebutnya. Kemudian guru menunjukkan suku kata "ju" dan murid menyebutnya. (Pandang-sebut suku kata.) Teknik latih tubi yang bervariasi boleh digunakan untuk aktiviti ini.

7. Seterusnya, guru menggandingkan kad suku kata "ba" dengan "ju" pada kad perkataan "baju". Guru meminta murid meneliti persamaan kad suku kata dengan suku kata pada kad perkataan. Kemudian guru meminta murid menyebut perkataan "ba"-"ju". (Pandang-sebut suku kata.)

8. Kemudian, dengan pantas guru mengenyahkan kad perkataan "baju", mencantumkan kad suku kata "ba"-"ju" dan meminta murid membacanya. (Pandang-sebut suku kata.) Beberapa proses yang berkaitan dengan suku kata ini boleh diulang untuk perkataan lain.

9. Langkah seterusnya ialah guru menunjukkan kad huruf "b"-"a"-"j"-"u". Murid menyebut bunyi huruf berdasarkan sebutan guru: /b/ - /a/ - /j/ - /u/ (beh – a – jeh – u). Guru menggandingkan kad huruf "b"-"a" dan murid menyebut "ba". Guru menggandingkan "j"-"u" dan murid menyebut "ju". Sebagai peneguhan, akhirnya murid menyebut perkataan "baju" berdasarkan kad suku kata atau kad perkataan. Teknik latih tubi yang bervariasi hendaklah dimanfaatkan dalam proses ini.

Urutan kaedah ini seperti yang terdapat dalam Buku Panduan Khas Bahasa Malaysia Tahun 1, cetakan ketiga tahun 1987 pula adalah seperti yang di bawah. Urutan ini dapat dianggap variasi pengelolaan contoh di atas. Urutan ini bermula dengan ayat.

Kaedah Campuran-Cerakinan PPK



Ciri-ciri pendekatan ini adalah seperti yang berikut:

1. Sebutan yang betul diperdengarkan semasa aktiviti lisan dan bahan yang dibaca itu mesti difahami oleh murid.
2. Seluruh perkataan diperkenalkan dahulu agar murid dapat mengaitkan lambang (perkataan) itu dengan konsep.
3. Pada peringkat tertentu, pengecaman bentuk dititikberatkan dengan menggunakan teknik suku kata dan teknik huruf/bunyi.
4. Bahan bacaan diperingkatkan berdasarkan kerumitan grafik, iaitu yang mudah didahulukan.
5. Perkataan yang digunakan ialah perkataan yang objeknya dapat dilihat oleh murid di sekeliling mereka.
6. Aktiviti pengukuhan bacaan diadakan dengan menggunakan perkataan-perkataan yang hampir sama dengan perkataan-perkataan yang telah dipelajari.

Susunan bahan bacaan pendekatan ini ialah mendahulukan bahan yang senang dan diikuti bahan yang susah, atau secara umumnya berdasarkan kesukaran. Kesukaran bahan bacaan itu dilihat dari sudut bentuk grafik huruf, struktur perkataan, bunyi huruf, sebutan perkataan secara keseluruhan, dan maknanya. Dari segi struktur perkataan, susunan yang dicadangkan oleh Buku Panduan Khas Bahasa Malaysia Tahun 1 adalah seperti yang berikut:

1. V-KV seperti api dan ibu
2. KV-KV seperti buku dan baju
3. V-KVK seperti ikan dan ayam
4. KV-KVK seperti makan dan bulan
5. KVK-KV seperti pintu dan lampu
6. KVK-KVK seperti sampah dan tanduk
7. KV-KV-KV seperti kelapa dan kerusi
8. KV-KV dan KV-KVK yang menggunakan ng, ny, kh, sy dan gh seperti nganga, nyanyi, dan Khamis
9. VK-KVK seperti intan, empat, dan untung
10. Berimbuhan: berlari, melukis, membaca, menganga
11. Vokal berganding dan diftong: main, kain, laut, taat, buih, amboi

Tiada ulasan: