Saya tertarik dengan satu laporan Harakahdaily kelmarin. Laporan itu menjelaskan pandangan Sasterawan Negara (SN) A. Samad Said, 75 tahun, tentang pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Sarinya, SN kita itu tidak berpuas hati dengan pemansuhan PPSMI secara berperingkat mulai tahun 2012.
“Jika mereka boleh melaksanakan dasar PPSMI dalam masa enam bulan, kenapa mengambil masa tiga tahun untuk memansuhkannya?” soal SN A. Samad Said dalam satu sidang media pada 21 Ogos 2009 di Permatang Pasir, Pulau Pinang.
Harakahdaily melaporkan, SN A. Samad Said menyifatkan keputusan kerajaan menangguhkan pemansuhan PPSMI di semua peringkat sehingga tahun 2017 sebagai penghinaan berterusan terhadap bahasa kebangsaan kita, iaitu bahasa Melayu.
SN A. Samad Said menyatakan rasa kesalnya tentang layanan pemerintah terhadap bahasa Melayu. Beliau menyatakan, pemerintah membelanjakan RM5 billion untuk PPSMI. “Tetapi tidak pernah saya dengar ada dana sebanyak itu untuk bahasa Melayu," katanya.
Kelmarin juga, Prof. Dr. Abdullah Hassan menyatakan perkara yang hampir sama. “Kami mengutuk keputusan tidak mahu mengajarkan semula Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda dengan serta-merta,” tulis beliau dalam blognya.
Prof. Dr. Abdullah menganggap keputusan memansuhkan PPSMI sebagai “suatu keputusan yang tidak menunjukkan sebarang keprihatinan terhadap kanak-kanak yang menjadi mangsa PPSMI”.
Beberapa orang penulis blog pernah mengeluarkan kenyataan yang senada dengan kenyataan SN A. Samad Said dan Prof. Abdullah. Antara mereka termasuklah Baha Zain. Beliau pernah mengingatkan kita agar “berwaspadalah terus, dan jangan lalai dan berasa selesa seperti pada masa lalu.”
Peringatan seperti ini amat penting. Jika pencinta dan pejuang bahasa Melayu lalai, tidak mustahil PPSMI akan kembali dalam bentuk baharu. Sekarang pun sudah ada tanda yang menunjukkan bahasa penjajah dijunjung, bahasa sendiri dikelek. Kita khuatir, jikalau kita lalai, bahasa kita akan dipijak dan diludahi semula.
Satu hal lagi yang mesti kita berikan perhatian ialah pemansuhan itu sekerat jalan. Pemansuhan itu terhenti di tingkatan lima. Hal ini bermakna PPSMI berjaya merampas peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di peringkat prauniversiti dan universiti. Bahasa Melayu telah memainkan peranan itu berpuluh-puluh tahun. Selagi perkara ini tidak berubah, penghinaan terhadap bahasa kebangsaan kita nyata berterusan.
Pautan yang berkaitan: Kenyataan Media Persatuan Linguistik Malaysia 15 Ogos 2009.
Pedoman Bahasa: | Semua | MIAR | DBP | DB | PB | DS | KNB | JPEG || Kesantunan | Salam || Jawi || Pautan: | Scribd | Cikgu | Jawi | IPGMKgu | KBBI | Munsyi || Profil Penulis | Hak Cipta || Puisi: Sambung-menyambung | Hanya Sulap | Kebun Kecil Bahasa || Kembali ke Laman Terkini || Pautan Istimewa: | Soal Jawab Bahasa | Pendidik | Persatuan Pendidik BM |
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
6 ulasan:
Salam.
Benar kata tuan itu. Bahasa Melayu bukan setakat dihina, malah sudah diinjak di tapak kaki mereka. Mekanisma 'soft landing' yang diutarakan oleh KPM adalah satu helah bagi meneruskan PPSMI untuk 3 tahun lagi.
Benar kata cikgu. Saya beranggapan bahawa 2012 PPSMI dilaksanakan dalam bahasa melayu. Namun, ini semua campur tangan politik.
Di bawah aadalah pelaksanaan MBMMBI sdi SK, SJK, dan Sekolah Menengah.
http://www.moe.gov.my/upload/galeri_awam/kenyataan_media/2009/1250823933.jpg
Secara jujurnya saya tidak yakin pun dengan pengumuman pemansuhan PPSMI. Ketika itu, saya lebih cenderung menganggapnya sebagai gimik KPM sahaja.
Masakan tidak, setelah pelbagai pihak mendedahkan kelemahan PPSMI, pihak berwajib pula endah tidak endah sahaja reaksinya. Tidak pun bersegera menyelesaikannya.
Kemudiannya mengumumkan pula pemansuhan PPSMI menjelang 2012. Alasannya mengakui kelemahan dan kerugian yang dialami oleh pelajar dengan pelaksanaan PPSMI. Kelemahan dan kekurangan PPSMI yang dikemukakan oleh pejuang-pejuang bahasa digunapakai semula sebagai hujah. Tidakkah menampakkan sikap kurang bijak dan tidak seriusnya mereka dalam menangani isu sebenar PPSMI ini.
Persoalan yang dikupas oleh puan Marniyati dalam blognya membuktikan hakikat bahawa penyelesaian PPSMI hanyalah sekadar meredakan isu sahaja. Tidak pun menampakkan kesungguhan mereka dan rasa tanggungjawab menyelesaikan segera nasib 3 juta murid yang menjadi mangsa PPSMI.
Jelas demi 'suara kelompok tertentu', bahasa Melayu masih dipinggirkan begitu sahaja.
Kalau dulu pada 2003 PM dengan mudah mengarahkan Kementerian Pelajaran mencampak bahasa Melayu ke longkang dengan tak bertangguh-tangguh lagi, kenapa hendak memperbetulkan balik kesalahan besar itu sampai memakan banyak tahun? Berapa ratus ribu lagi pelajar mahu dibiarkan menjadi mangsa sistem yang kucar kacir ini?
- Baha Zain, 25 Ogos 2008.
Catatan tuan ini sudah saya paparkan dalam laman Pendidik. Harap diizinkan.
Terima kasih, semoga semua pejuang yang berusaha memartabatkan bahasa Melayu diberi kekuatan dan kesabaran dalam meneruskan perjuangan tanpa akhirnya ini.
Salam.
Penyebarluasan bahan di blog ini memang sentiasa diizinkan. Saya mengucapkan terima kasih kepada tuan dan sesiapa sahaja yang sudi menyiarkan bahan (di blog ini) di blog atau media lain.
Wassalam.
Catat Ulasan