01 September 2009

Kisah Menjemput dan Mengundang

Ada satu kisah tentang "menjemput" dan “mengundang”. Kisah itu tersiar dalam akhbar Berita Harian pada 28 Mac 2009. Penulis kisah itu ialah Profesor Madya Dr. Nor Hisham Osman. Beliau ialah pensyarah di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Dr. Nor Hisham menukilkan, warga Indonesia yang bernama Pak Cahyo baru bertukar dari Jakarta ke cawangan syarikatnya di Kuala Lumpur. Pada suatu hari, seorang rakan sekerjanya menjemput beliau untuk menghadiri kenduri. Nama rakannya itu Mislan. Sesudah bersiap, mulai pukul lapan malam, dia dan isterinya menunggu Mislan untuk menjemput mereka. Namun, setelah dua jam, Mislan tetap tidak muncul. Mereka pun menaiki teksi untuk makan di luar.

Keesokannya, berlaku dialog antara Pak Cahyo dengan Mislan. Antara lain, Pak Cahyo berkata, “Kamu bilang kamu menjemput saya. Itu maknanya kamu datang ambil saya di rumah. Jika kamu bilang kamu mengundang saya, saya bisa datang sendiri dengan taksi.”

Mislan mengaku bahawa perkara itu terjadi kerana salah faham tentang perkataan “menjemput” dan “mengundang”. Antara lain Mislan berkata, “Saya rasa eloklah bapak belajar bahasa Melayu cara Malaysia. Walaupun bahasa kita nampak macam serupa, tetapi sebenarnya tidak sama.”

Ada satu kisah lagi tentang “menjemput” dan "mengundang". Watak utama kisah ini ialah pensyarah linguistik yang memiliki ijazah sarjana dalam bidang semantik. Namanya Lokman. Dia anak jati Kuala Lumpur. Dia sudah menjelaskan perbezaan maksud “menjemput” dengan “mengundang” kepada para pelajarnya.

Pada suatu hari, seorang pelajar menghulurkan sampul surat. Lokman mendapati dalam sampul surat itu ada kad jemputan. Satu kumpulan pelajar menjemput beliau untuk menghadiri satu majlis. Lokman segera mendapatkan pengesahan daripada pelajar itu. Dia bertanya, “Kumpulan kamu menjemput saya untuk menghadiri majlis itu?”

“Ya, tuan,” jawab pelajar itu ringkas.

“Terima kasih,” kata Lokman sambil tersenyum.

Acara pada malam itu berlangsung tanpa kehadiran Lokman. Ketua kumpulan pelajar memaklumkan ketidakhadiran Lokman kepada Ketua Jabatan Linguistik. Diringkaskan cerita, Lokman mempertahankan tindakannya. Ketua Jabatan Linguistik mengarahkan semua pelajar meminta maaf kepada Lokman.

Kisah ini menunjukkan bahawa pendapat Mislan tidak tepat. Mislan beranggapan hanya warga Indonesia yang ambil peduli tentang perbezaan maksud “menjemput” dengan “mengundang”. Kisah Lokman menunjukkan bahawa orang Malaysia juga ambil berat tentang penggunaan kedua-dua perkataan itu.

Profesor Dr. Haji Awang Sariyan ada membincangkan perkara ini dalam bukunya Tuntunan Bahasa: Asas Pegangan Pelajar. Buku ini terbit pada tahun 2004. Menurut beliau, kata “jemput” lebih tepat digunakan untuk menunjukkan “perbuatan pergi menyambut, menyongsong, atau mengambil seseorang”. Antara ayat contohnya ialah Kami sekeluarga akan menjemput kakak di lapangan terbang dan Saudara tidak usah ke mana-mana kerana kami akan menjemput saudara di hotel petang nanti.

Kata "undang" pula lebih tepat digunakan untuk menunjukkan “perbuatan memanggil atau mempersilakan orang menghadiri majlis, perayaan, pertemuan, dan sebagainya”. Antara ayat contohnya termasuklah Saya akan mengundang teman-teman berbuka puasa di rumah saya dan Kad undangan perkahwinan saudara telah saya terima.

Menurut Dr. Awang, petani pada zaman dahulu ada menggunakan ungkapan menjemput kerbau. Maksudnya, petani itu mengambil kerbau dari sawah atau pinggir hutan untuk dibawa pulang ke kawasan rumah.

Penjelasan Dr. Awang dalam buku itu ada kesannya. Mulai tahun 2005, kad yang saya terima daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menggunakan ungkapan “kad undangan”. Ungkapan “kad jemputan" dianggap silap, kecuali memang benar-benar kita akan menjemput orang itu. Amalan ini menjadi ikutan berbagai-bagai pihak, termasuk institut pendidikan guru.

Saya berusaha menyampaikan perkara ini kepada beberapa orang rakan. Ada rakan menerima pandangan ini. Ada juga rakan tidak ambil kisah. Ungkapan “kad undangan” masih mereka gunakan.

Dalam komunikasi lisan pula, saya dan rakan-rakan kerap tersasul menyebut “kad jemputan" walaupun kami faham bahawa ungkapan yang persis ialah “kad undangan”. Kami menjadi segan apabila ada pelajar menyatakan ketersasulan kami itu. Pendeknya, rebung mudah dilentur berbanding kami yang sudah menjadi buluh.

Saya memang cukup faham bahawa tiada sesiapa yang akan menjemput saya apabila saya menerima sesuatu jemputan. Saya akan hadir ke majlis itu walaupun pengundang menggunakan perkataan “menjemput”. Sejak kecil, saya mendapati datuk, nenek, ayah dan ibu saya tetap hadir ke sesuatu majlis apabila mendapat “jemputan”, khususnya jemputan secara bersemuka oleh pihak penganjur. Pada masa saya kecil, seingat saya, tidak ada penganjur yang menggunakan perkataan “mengundang”. Agaknya, saya sekategori dengan Mislan.

Pada suatu hari, saya menempah kad undangan perkahwinan di sebuah kedai. Tuan kedai menunjukkan beberapa banyak kad contoh. Semua kad contoh itu menggunakan perkataan “undang”, “mengundang”, “diundang” dan “undangan”. Saya bertanya, “Tauke, adakah kad jemputan atau yang menggunakan perkataan menjemput dalam kad itu?”

Tauke itu merenung saya. Wajahnya membayangkan rasa hairan. Dia berkata, “Haji tidak tahu, ha. Perkataan jemput itu tidak betul. Semua kad jemputan sudah kami buang. Sekarang kita gunakan perkataan baharu – kad undangan.”

Tauke itu menjadi guru saya. Sejak itu, saya mula ambil berat tentang penggunaan perkataan “undang”. Maafkan saya jikalau (secara lisan atau dalam tulisan) masih terdapat perkataan “jemput” dan terbitannya sedangkan yang saya maksudkan ialah “undang” dan terbitannya.

2 ulasan:

HBM Consultant berkata...

Salam, Tuan.

Kisah menjemput dan mengundang ini pernah saya baca dalam buku teks Bahasa Melayu ketika saya berada di Tingkatan 3. Ada satu kisah pendek yang menceritakan berlaku beberapa salah faham antara seorang pelancong dari Indonesia dengan sahabatnya (rakyat Malaysia). Catatan tuan ini mengingatkan saya pada buku teks tersebut yang tidak lagi digunakan sekarang. Rindu pula rasanya kepada cikgu bahasa Melayu saya pada ketika itu, hehehe..

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Waalaikumussalam.

Saya mungkin mengolah tulisan ini untuk tujuan yang lain. Jadi, maklumat yang puan catatkan dapat saya manfaatkan. Mungkin saya dapat temukan buku itu di Pusat Dokumentasi Melayu (PDM) DBP. Saya ke PDM sekurang-kurangnya sebulan sekali.

Wassalam.