19 Oktober 2009

Memperketat Syarat untuk Mengikuti Pengkhususan Pengajian Melayu

Mulai tahun hadapan, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan memperketat syarat untuk menjadi guru pelatih Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM). Antara aspek yang diperketat ialah keterampilan peribadi dan minat serta kefahaman terhadap kerjaya guru.

Akhbar Berita Harian Online melaporkan perkara ini pada 13 Oktober 2009. Dalam laporan itu tidak tercatat pengetatan syarat kelayakan akademik. KPM mungkin menganggap syarat kelayakan akademik yang ada sudah cukup ketat. Kita tidak menafikan hal ini.

Namun demikian, KPM masih perlu memperketat kelayakan akademik bagi pengkhususan tertentu. Antaranya termasuklah syarat kelayakan akademik bagi mengikuti bidang pengkhususan Pengajian Melayu (PPM) dan bidang yang berkaitan dengannya seperti Prasekolah dan Pemulihan Khas.

Pada masa yang lalu, calon yang memperoleh C5 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu (BM) dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) layak untuk memohon bidang PPM dan bidang yang berkaitan dengannya. Kelayakan minimum ini terpakai untuk program perguruan yang memerlukan kelayakan asas SPM. Syarat ini adalah antara yang terendah berbanding dengan pengkhususan lain.

Kita berharap syarat minimum ini sudah diperketat. Jika belum, kita berharap mulai tahun hadapan KPM memperketat syarat ini. Berdasarkan gred baharu SPM 2009, syarat minimum yang wajar bagi mata pelajaran BM ialah A-.

Jikalau beberapa pengkhususan lain ada syarat tambahan, PPM juga memerlukan syarat tambahan itu. Yang terpenting, calon PPM mesti mampu membaca dan menulis Jawi. Kemahiran calon membaca dan menulis Jawi mesti diuji dalam temu duga. Syarat ini hendaklah dikenakan juga kepada program yang memerlukan diploma atau ijazah.

Dua perkara yang ada kaitan dengan kelayakan akademik ini juga perlu diberikan perhatian. Yang pertama, perlu ada cara yang membolehkan calon yang cemerlang dalam mata pelajaran Kesusasteraan Melayu, Sejarah dan Pengetahuan Agama Islam mendapat keutamaan. Yang kedua, perlu ada cara untuk memastikan calon yang mempunyai pencapaian cemerlang dalam kedua-dua bidang, iaitu akademik dan gerko, mendapat keutamaan untuk mengikuti bidang PPM dan bidang yang berkaitan dengannya.

Kita yakin pihak KPM memahami rasional dan tujuan cadangan ini. Kita juga yakin pihak KPM mampu mencipta mekanisme pelaksanaannya.

Jikalau cadangan ini menjadi kenyataan, kita boleh mengharapkan sekurang-kurangnya tiga perkara daripada lepasan bidang PPM dan bidang yang berkaitan dengannya. Yang pertama, mereka mampu menjadi pembela bahasa kebangsaan jikalau ada lagi usaha untuk melenyapkannya melalui apa-apa dasar.

Yang kedua, mereka mampu menggunakan bahasa kebangsaan dengan perasaan bangga dan megah, sekali gus menolak penggunaan bahasa rojak dan yang sejenama dengannya. Yang ketiga, mereka lebih berketerampilan untuk mencelikhurufkan dan memandaikan anak bangsa dengan perantaraan bahasa kebangsaan.

Perlu diingat, hal ini hanya akan menjadi kenyataan apabila beberapa perkara lain juga diperketat. Antaranya termasuklah “memperketat” kandungan dan pelaksanaan kurikulum bidang PPM dan bidang yang berkaitan dengannya itu.

Lampiran
Syarat Masuk ke IPGM Diperketat
Oleh Mohammad Ishak bhkt@bharian.com.my
Berita Harian Online, 13 Oktober 2009

JERTIH: Syarat kemasukan ke Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) akan *diperketatkan, termasuk mensyaratkan semua pelatih menandatangani aku janji mulai tahun depan bagi mengelak mereka tidak menamatkan kursus apabila mendapat tawaran kerja.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata langkah itu bertujuan melahirkan lebih ramai guru berkualiti seiring dengan agenda pembangunan bidang perguruan supaya setaraf dengan standard antarabangsa.

Katanya, antara syarat lain yang akan diberi penekanan kepada calon guru ialah *ketrampilan peribadi, minat dan kefahaman mengenai kehendak kerjaya mereka.

"Ketiadaan penekanan terhadap aspek berkenaan menyebabkan ramai calon guru sebelum ini tidak menamatkan kursus apabila mendapat tawaran kerja lain dan tindakan itu merugikan kerajaan.

"Dengan adanya syarat baru terutama aku janji diharap tidak ada lagi masalah pelajar berhenti sebelum tamat pengajian," katanya selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun IPGM Kampus Sultan Mizan ke-10, di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr Abd Rahman Mokhtar dan Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Besut, Nawi Mohamad.

Mohd Fuad berkata, kerajaan akan menaik taraf semua IPGM seluruh negara supaya mempunyai kemudahan dan modul latihan bertaraf antarabangsa mulai tahun depan.

Katanya, kerajaan akan memanfaatkan peruntukan sebanyak RM5 juta daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) sejajar dengan pengiktirafan badan dunia itu mengenai usaha Malaysia untuk memajukan IPGM supaya menjadi antara yang terbaik di rantau Asia.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sudah dimaklumkan mengenai peruntukan yang diterima daripada Unesco itu.

Mohd Puad berkata, kini ada 27 IPGM di seluruh negara membabitkan 3,129 pensyarah dan 28,755 pelajar.

Tiada ulasan: