Dikemas kini pada 6 Disember 2009. Lihat ulasan.
Kita dapat meninjau penulisan tajuk dari beberapa aspek. Antaranya termasuklah aspek ketepatan, keringkasan dan keindahan. Aspek lain yang tidak kurang pentingnya ialah penggunaan bahasa. Antara aspek penggunaan bahasa pula termasuklah penggunaan huruf.
Di bawah ini ialah 13 tajuk contoh yang dipetik daripada pelbagai sumber. Sumber utama ialah majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) seperti Dewan Bahasa, Pelita Bahasa dan Dewan Siswa.
1. Kembalinya ke Pangkuan Keluarga
2. Antara Bahasa Melayu dengan Bahasa Inggeris
3. Daripada SITC kepada UPSI
4. Quran: Buruk atau Lama?
5. Kerana Kasihan dan Kasih
6. Hampir Serupa tetapi Tidak Sama
7. Yang Manakah Satu? Kerana Budaya, Terpaut Bahasa? Kerana Bahasa, Terpaut Budaya?
8. Apabila Bayangan Berbisik
9. Singapura: Di Manakah Pasir?
10. Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor
11. Perkembangan Bahasa Melayu dalam Bidang Undang-undang
12. Bahasa Dolak-dalik Yahudi
13. Bahasa Melayu di Mana-mana
Kita perlu menggunakan huruf besar bagi huruf pertama setiap perkataan dalam sesuatu tajuk, kecuali untuk kata sendi dan kata hubung. Dalam tajuk contoh pertama, semua huruf pertama setiap perkataan menggunakan huruf besar, kecuali huruf pertama kata sendi ke. Demikian juga halnya dengan tajuk contoh keempat, semua huruf pertama setiap perkataan menggunakan huruf besar, kecuali kata hubung atau.
Dalam tajuk contoh yang di atas, kata sendi dengan, kepada, dalam dan di juga menggunakan huruf kecil. Demikian juga halnya dengan kata hubung dan dan tetapi. Huruf pertama kata hubung dalam kedua-dua contoh ini menggunakan huruf kecil.
Kita perlu menulis huruf pertama kata sendi dan kata hubung dengan menggunakan huruf besar apabila kata itu berada di awal tajuk seperti dalam tajuk contoh kedua, kelima, ketujuh dan kelapan. Kita juga perlu menulis huruf pertama kata sendi dan kata hubung dengan menggunakan huruf besar apabila kata sendi itu berada selepas tanda baca tertentu. Dalam tajuk contoh ketujuh, huruf pertama kata hubung kerana menggunakan huruf besar kerana kata itu berada selepas tanda tanya. Dalam tajuk contoh kesembilan pula, huruf pertama kata sendi di menggunakan huruf besar kerana kata itu berada selepas tanda titik bertindih.
Huruf pertama perkataan selepas kata sendi dan kata hubung juga menggunakan huruf besar. Dalam tajuk contoh pertama, huruf pangkal perkataan pangkuan ditulis dengan huruf besar menjadi ke Pangkuan. Silap sekiranya kita menulisnya ke *pangkuan. Perkara ini perlu diberikan perhatian kerana banyak pengguna bahasa Melayu menggunakan huruf kecil bagi kata pertama selepas kata sendi. Walaupun pengguna jarang melakukan kesilapan, namun elok ditegaskan bahawa huruf pertama perkataan selepas kata hubung juga menggunakan huruf besar. Hal ini dapat dilihat dalam tajuk contoh keempat, kelima dan keenam.
Bagi kata ulang, ada dua cara untuk menulisnya sebagai tajuk. Yang pertama, bagi kata nama khas, huruf pertama perkataan yang terletak selepas tanda sempang ditulis dengan huruf besar. Dalam tajuk contoh kesepuluh, perkataan undang selepas tanda sempang ditulis dengan huruf besar. Yang kedua, bagi kata nama am, huruf pertama perkataan yang terletak selepas tanda sempang ditulis dengan huruf kecil. Hal ini dapat dilihat dalam tajuk contoh kesebelas, kedua belas dan ketiga belas.
Penulisan tajuk dengan gabungan huruf kecil dan huruf besar berdasarkan peraturan ini memungkinkan tajuk itu kelihatan lebih kemas. Penulisan tajuk yang tidak berketentuan huruf besar dan huruf kecilnya pula mengurangkan kadar kebolehbacaan.
Kita boleh juga menggunakan huruf besar keseluruhannya bagi tajuk, terutamanya pada kulit bahan bercetak, latar pentas dan papan tanda. Namun, bagi penerbitan tertentu seperti tajuk berita akhbar dan tajuk makalah dalam majalah, penggunaan huruf besar keseluruhannya dianggap "berat" dan dapat meletihkan mata pembaca, khususnya mereka yang sudah berumur. Oleh hal yang demikian, secara umumnya, penggunaan gabungan huruf kecil dan huruf besar masih menjadi pilihan banyak pihak. Diharap panduan ini ada manfaatnya.
Klik di sini untuk melihat lebih banyak tajuk contoh.
Pedoman Bahasa: | Semua | MIAR | DBP | DB | PB | DS | KNB | JPEG || Kesantunan | Salam || Jawi || Pautan: | Scribd | Cikgu | Jawi | IPGMKgu | KBBI | Munsyi || Profil Penulis | Hak Cipta || Puisi: Sambung-menyambung | Hanya Sulap | Kebun Kecil Bahasa || Kembali ke Laman Terkini || Pautan Istimewa: | Soal Jawab Bahasa | Pendidik | Persatuan Pendidik BM |
3 ulasan:
Assalamualaikum En Mohd Isa.
Apa khabar? Membaca catatan encik dalam blog ini mengingatkan saya semasa menjadi guru pelatih, belajar Pengajian Melayu di bawah bimbingan encik dahulu.
Saya sering melayari blog ini untuk mendapatkan maklumat dan panduan terkini tentang bahasa Melayu, sebagai salah satu usaha memantapkan penggunaan bahasa ini.
Jika ada kesempatan, encik dijemput melayari blog dan laman web saya. Wassalam.
http://www.pangeranlee.blogspot.com
http;//www.membakut.info.
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh, Cikgu Suhailee.
Alhamdulillah, saya sihat. Saya doakan cikgu juga sihat sejahtera.
Dahulu, ada perkara yang saya terlepas pandang atau sesuatu yang saya sampaikan terlalu ringkas atau tidak kemas kini. Blog ini (diakui masih banyak kekurangannya) diharap dapat memanjangkan yang pendek, menjernihkan yang keruh dan mencerahkan yang kelam. Saya berusaha memaparkan sesuatu dengan cara yang mudah difahami, dengan rujukan yang termampu saya capai serta dengan tabik (penghormatan) kepada tokoh, pakar dan rakan-rakan. Saya memerlukan ulasan yang kritikal daripada pengunjung seperti cikgu. Ulasan yang sedikit pahit, insya-Allah, mampu menjadi ubat bagi mencairkan pemikiran yang kadang-kadang beku.
Insya-Allah, saya akan melayari blog cikgu dari semasa ke semasa.
Wallahuaklam.
Salam.
Dalam masukan asal, penggunaan huruf bagi kata hubung terabai. Jadi, masukan ini dikemas kini dan penulisan huruf bagi kata hubung juga dijelaskan. Jikalau pembaca mengetahui ada maklumat yang kurang lengkap atau bersalahan dengan pengalaman atau pembacaan masing-masing, mohon kongsikan di sini.
Terima kasih.
Catat Ulasan