14 November 2009

Resolusi Utama Konvensyen Pedagogi Bahasa Melayu Serantau

"Memastikan hanya guru opsyen Bahasa Melayu yang mengajarkan mata pelajaran Bahasa Melayu.” Inilah resolusi utama Konvensyen Pedagogi Bahasa Melayu Serantau Pertama di Seremban pada 3 – 5 November 2009.

Saya percaya, penganjur konvensyen ini, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur (KBMKL), akan memurnikan resolusi ini dan berapa resolusi yang lain. Saya juga percaya resolusi yang sudah dimurnikan itu akan dihantar kepada pihak yang berkenaan.

Selain itu, penghantaran resolusi yang berkenaan perlulah dengan cara yang istimewa. Kita perlu belajar daripada usaha untuk memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Dalam kes PPSMI, sidang media dan penerbitan buku nampaknya kurang berkesan. Malah, saman pun tertangguh begitu lama dan senyap hingga kini. Yang berkesan ialah penyerahan memorandum, iaitu kepada ahli parlimen di parlimen, kepada Menteri Pelajaran di pejabatnya dan kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Berdasarkan pengalaman ini, IPGM KBMKL wajar menyampaikan resolusi itu terus kepada pihak yang berkenaan. Pihak media wajar bersama-sama dalam acara penyerahan itu. Baik juga sekiranya individu seperti sasterawan negara ikut serta.

Seterusnya, penganjur konvensyen juga wajar melakukan tindakan susulan tentang pelaksanaan resolusi itu. Belajarlah juga daripada kes PPSMI. “Dulu tidak komplen pun!” Inilah maksud satu suara. Kita tidak mahu suara seperti ini berulang.

Seperkara lagi, peringatan mesra perlu disampaikan kepada orang baharu yang menduduki kerusi yang berkenaan. Jikalau tidak, kita akan mendengar ucapan seperti ini, “Kami tidak tahu pun!”

Resolusi utama ini memang baik. Untuk memastikan perkara yang baik ini terlaksana, banyak pihak terlibat. Yang terpenting IPGM perlu mengeluarkan guru opsyen Bahasa Melayu yang mencukupi. Kurikulum dan sistem latihan Bahasa/Pengajian Melayu juga perlu dimantapkan agar guru yang dihasilkan mampu mengendalikan program celik huruf dengan berkesan.

Kita perlu merenungi maksud ungkapan “guru opsyen Bahasa Melayu” dalam resolusi ini. Kita perlu memastikan sama ada opsyen Prasekolah, Pemulihan Khas dan yang seumpamanya (jika ada) wajar dijenamakan semula supaya kelihatan “serumpun” dengan opsyen Bahasa Melayu. Perkara ini penting kita tangani ketika bakal guru yang berkenaan berasa di IPGM. Jikalau tidak, tembok pemisah opsyen mungkin wujud di sekolah. Hal ini menjadikan usaha mencelikhurufkan pelajar menjadi berliku-liku.

Kita perlu memberikan perhatian yang lebih bersungguh-sungguh terhadap program celik huruf seperti Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA2M). Program celik huruf yang berkesan dapat membantu kerajaan mengangkat martabat pendidikan negara ke tahap yang lebih tinggi. Hal ini dikatakan demikian kerana pelaksanaan program ini merupakan akar umbi kejayaan seterusnya. Oleh hal yang demikian, resolusi ini juga hendaklah meliputi apa-apa program celik huruf.

Dalam masukan blog ini yang bertajuk “Celik Huruf: Semua Pihak Perlu Lebih Bersungguh-sungguh Menanganinya” ada pandangan saya yang berkaitan dengan resolusi ini. Saya menyatakan, baik juga jikalau pihak IPGM meninjau dan menyemak kurikulum pengkhususan Pengajian/Bahasa Melayu, Prasekolah, dan Pemulihan Khas. IPGM wajar mengetengahkan kandungan kursus dan strategi pelaksanaan yang lebih bersepadu.

Antara maksud bersepadu di sini ialah memungkinkan ketiga-tiga program itu menghasilkan guru yang berkemahiran untuk melaksanakan program celik huruf sama ada kepada murid prasekolah, tahun satu atau pemulihan. Tembok pemisah pengkhususan, sekiranya ada, mesti dipecahkan. Selain itu, aspek perkaedahan bacaan asas juga dimantapkan.

Resolusi kedua kongres itu ialah “Pemilihan calon guru untuk mengikuti Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) dalam bidang pengajaran Bahasa Melayu hendaklah didasarkan kepada kelayakan yang sesuai dengan bidang tersebut”. Saya menyokong resolusi ini. Saya sudah mengemukakan fikiran saya tentang perkara ini seperti dalam lampiran yang di bawah.

Lampiran
Memperketat Syarat untuk Mengikuti Pengkhususan Pengajian Melayu

Mulai tahun hadapan, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan memperketat syarat untuk menjadi guru pelatih Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM). Antara aspek yang diperketat ialah keterampilan peribadi dan minat serta kefahaman terhadap kerjaya guru.

Akhbar Berita Harian Online melaporkan perkara ini pada 13 Oktober 2009. Dalam laporan itu tidak tercatat pengetatan syarat kelayakan akademik. KPM mungkin menganggap syarat kelayakan akademik yang ada sudah cukup ketat. Kita tidak menafikan hal ini.

Namun demikian, KPM masih perlu memperketat kelayakan akademik bagi pengkhususan tertentu. Antaranya termasuklah syarat kelayakan akademik bagi mengikuti bidang pengkhususan Pengajian Melayu (PPM) dan bidang yang berkaitan dengannya seperti Prasekolah dan Pemulihan Khas.

Pada masa yang lalu, calon yang memperoleh C5 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu (BM) dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) layak untuk memohon bidang PPM dan bidang yang berkaitan dengannya. Kelayakan minimum ini terpakai untuk program perguruan yang memerlukan kelayakan asas SPM. Syarat ini adalah antara yang terendah berbanding dengan pengkhususan lain.

Kita berharap syarat minimum ini sudah diperketat. Jika belum, kita berharap mulai tahun hadapan KPM memperketat syarat ini. Berdasarkan gred baharu SPM 2009, syarat minimum yang wajar bagi mata pelajaran BM ialah A-.

Jikalau beberapa pengkhususan lain ada syarat tambahan, PPM juga memerlukan syarat tambahan itu. Yang terpenting, calon PPM mesti mampu membaca dan menulis Jawi. Kemahiran calon membaca dan menulis Jawi mesti diuji dalam temu duga. Syarat ini hendaklah dikenakan juga kepada program yang memerlukan diploma atau ijazah.

Dua perkara yang ada kaitan dengan kelayakan akademik ini juga perlu diberikan perhatian. Yang pertama, perlu ada cara yang membolehkan calon yang cemerlang dalam mata pelajaran Kesusasteraan Melayu, Sejarah dan Pengetahuan Agama Islam mendapat keutamaan. Yang kedua, perlu ada cara untuk memastikan calon yang mempunyai pencapaian cemerlang dalam kedua-dua bidang, iaitu akademik dan gerko, mendapat keutamaan untuk mengikuti bidang PPM dan bidang yang berkaitan dengannya.

Kita yakin pihak KPM memahami rasional dan tujuan cadangan ini. Kita juga yakin pihak KPM mampu mencipta mekanisme pelaksanaannya.

Jikalau cadangan ini menjadi kenyataan, kita boleh mengharapkan sekurang-kurangnya tiga perkara daripada lepasan bidang PPM dan bidang yang berkaitan dengannya. Yang pertama, mereka mampu menjadi pembela bahasa kebangsaan jikalau ada lagi usaha untuk melenyapkannya melalui apa-apa dasar.

Yang kedua, mereka mampu menggunakan bahasa kebangsaan dengan perasaan bangga dan megah, sekali gus menolak penggunaan bahasa rojak dan yang sejenama dengannya. Yang ketiga, mereka lebih berketerampilan untuk mencelikhurufkan dan memandaikan anak bangsa dengan perantaraan bahasa kebangsaan.

Perlu diingat, hal ini hanya akan menjadi kenyataan apabila beberapa perkara lain juga diperketat. Antaranya termasuklah “memperketat” kandungan dan pelaksanaan kurikulum bidang PPM dan bidang yang berkaitan dengannya itu.

Tiada ulasan: