10 Januari 2010

“Habislah Semua Rahsia Kita, Adik!”

Di rumah ustaz.

Ustaz: Mengapakah kamu lambat datang hari ini, Abu?

Abu: Saya menunggu adik saya si Saerah. Katanya, dia tertidur di dalam bilik.

Ustaz: Saerah, benarkah kamu tertidur di dalam bilik?

Saerah: B… benar, ustaz.

Ustaz: Saerah, kamu lupakah bahawa ustaz juga menyertai Facebook? Bukankah kamu sudah menjadikan ustaz sebagai kawan kamu di Facebook?

Saerah: Y… ya, ustaz. J... jadi, tadi ustaz online?

Ustaz: Ya. Sekarang pun saya masih online. Tadi, saya menerima berpuluh-puluh hantaran permainan daripada kamu.

Abu: Permainan, ustaz? Saerah beritahu emak bahawa dia berbincang dengan kawan di Facebook, termasuk dengan ustaz, katanya. Emak tidak mahu Saerah terlalu leka bermain sehingga melalaikan urusan membantu emak, pelajaran dan urusan agama.

Ustaz: Betul, Saerah?

Saerah: Benar, ustaz. Saya ingat hanya rakan saya yang tahu saya bermain di Facebook. Rupa-rupanya ustaz juga tahu.

Ustaz: Itu secara kebetulan sahaja, Saerah. Tetapi Allah sentiasa melihat apa-apa sahaja yang kita lakukan, bila-bila sahaja dan di mana-mana sahaja. Malaikat pula sentiasa mencatat perbuatan kita. Kamu masih ingat, Saerah?

Serah: Ya, ustaz. Saya minta maaf dan berjanji tidak terlampau bermain di Facebook lagi.

Ustaz: Jangan asyik berjanji sahaja, Saerah. Kamu mesti kotakan janji kamu. Ustaz maafkan kamu. Selain itu, itu kamu mesti minta maaf kepada abang dan ibu bapa kamu. Kamu juga mesti minta ampun kepada Allah.

Saerah: Baiklah, ustaz.

Ustaz: Ingat, Saerah. Permainan di Facebook itu ialah perbuatan sia-sia atau lagha. Yang paling ustaz khuatir, kamu bermain permainan yang mungkin merosakkan akidah seperti ramalan jodoh kamu dan bila kamu akan mati.

Abu: Begitu sekali, ustaz?

Ustaz: Ya, Abu. Kamu juga mungkin sudah lupa bahawa si Mamat itu kawan Facebook kamu.

Abu: Benar, ustaz. Bagaimanakah ustaz tahu, sedangkan ustaz tidak menjadi rakan Facebook saya?

Ustaz: Mamat menjadi rakan saya. Setting hantaran Facebook kamu pasti “rakan kepada rakan”. Setting kamu itu membolehkan saya melihat semua hantaran kamu.

Abu: O… o, begitu, ustaz? J…jadi….

Ustaz: Ya. Jadi, saya tahu kamu juga bermain macam adik kamu. Sebelum kamu datang ke sini tadi, saya dapati kamu juga bermain permainan di Facebook. Sekarang ustaz hendak bertanya: Mengapakah kamu lambat datang hari ini, Abu?

Abu: S… saya minta maaf, ustaz. Saya lambat sebab s… saya bermain di Facebook.

Ustaz: Baiklah, ustaz maafkan kamu berdua. Jangan berbohong. Jikalau kamu masih hendak bermain, berpada-padalah dan mainlah permainan yang sesuai sahaja. Jangan sesekali kamu bermain sehingga lambat datang mengaji, melalaikan pelajaran dan tidak sempat menolong ibu dan bapa di rumah. Yang terpenting, jangan sesekali kamu bermain permainan yang boleh merosakkan akidah.

Abu dan Saerah: Baiklah, ustaz.

Di rumah.

Abu dan Saerah: Ibu, maafkan kami kerana berbohong kepada ibu.

Ibu: Berbohong? Bilakah pula kamu berbohong?

Abu: Facebook, ibu. Tadi kami lambat pergi mengaji kerana bermain di Facebook.

Ibu: Facebook? Apakah binatangnya Facebook itu?

Ayah: Hajah Nurul, mari ke sini saya berikan penerangan. Saya sedang dalam talian ini. Saya boleh “tunjukkan” sebab budak-budak itu minta maaf. Buktinya ada di sini. Saya tahu sebab saya menjadi rakan kepada rakan mereka.

Abu dan Saerah: Jadi, ayah juga tahu apa-apa yang kami lakukan di Facebook?

Ayah: Beberapa orang guru kamu juga tahu kamu terlampau bermain di Facebook. Mereka memberitahu ayah; juga melalui Facebook.

Abu: Habislah semua rahsia kita, adik!

3 ulasan:

erakita berkata...

Sebuah cerita pendek yang cukup berkesan. Ia cerita yang hidup dan hebat. Barangkali, inilah realiti yang berlaku saat ini. Cuba kita periksa diri masing2. Apakah kita sebahagian daripada watak-watak yang terdapat dalam cerita pendek ini?

Tahniah & Terimakasih tak terhingga.

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Salam.

Terima kasih dan syabas kepada tuan juga kerana menghasilkan masukan yang bermutu di Erakita. Antara masukan yang menarik ialah "Surat Izin Ibu Bapa: Sekolah Boleh Terlepas?" Mudah-mudahan kita dapat bersama-sama memberikan sumbangan yang bersesuaian dengan kemampuan kita kepada khalayak maya yang kita kasihi.

Wassalam.

MumMe berkata...

baik untuk tatapan masyarakat kita hari ini...sy juga antara yg telah sedar Facebook itu lebih byk keburukan dari kebaikan...mahu tutup akaun bimbang rakan2 fikir yg bukan2 pula...