26 Mei 2011

1 Bahasa, 1 Bangsa, 1 Negara dalam Bil

Citra ini adalah sebahagian daripada lembar bil yang saya terima setiap bulan sejak beberapa tahun yang lalu. Dalam bil ini terselit bahasa kebangsaan kita. Dalam bil ini juga tersisip cogan kata “1 Bahasa, 1 Bangsa, 1 Negara”.

Pedoman Bahasa (JPEG) 073. Martabat.

Citra ini adalah sebahagian daripada lembar bil yang saya terima setiap bulan sejak beberapa tahun yang lalu. Dalam bil ini terselit bahasa kebangsaan kita. Dalam bil ini juga tersisip cogan kata “1 Bahasa, 1 Bangsa, 1 Negara”.

Dengan berdasarkan beberapa bil tahun 2009, 2010 dan 2011, pengebil menamakan cogan kata ini sebagai Pesanan Khidmat Awam (PKA). PKA mula digunakan dalam bil tahun 2009. PKA “1 Bahasa, 1 Bangsa, 1 Negara” mula digunakan dalam bil bulan Disember 2010 dan digunakan lagi dalam bil bulan Mac, April dan Mei 2011. PKA dalam bil bulan Januari dan Februari 2011 ialah “*1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

Selain itu, pada tahun 2009 dan 2010 PKA yang pernah digunakan ialah “Perpaduan Teras Kejayaan”, “Perpaduan Rakyat Teras Kejayaan Bersama”, “Elakkan Pembaziran Tenaga Elektrik – Cekap Tenaga Amalan Kita”, “Bahasa Jiwa Bangsa”, dan “Bangsa Membaca Bangsa Berjaya”.

Cogan kata “Bahasa Jiwa Bangsa”, yang tercipta pada tahun 1952, sudah cukup popular. Cogan kata ini menjadi tema Bulan Bahasa Kebangsaan 2009. Cogan kata “1 Bahasa, 1 Bangsa, 1 Negara” pula muncul sebagai salah satu cabang pohon Satu Malaysia. Cogan kata ini menjadi tema Bulan Bahasa Kebangsaan 2010.

Warganegara Malaysia perlu menggunakan cogan kata ini pada tempat yang sesuai. Hal ini dikatakan demikian kerana kedua-dua cogan kata ini ada kaitan dengan prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang yang terdapat dalam Rukun Negara. Perbuatan menyisipkannya dalam bil yang sekadar menyelitkan bahasa kebangsaan dapat dianggap sebagai memperlekeh maksudnya.

Penyelesaiannya mudah. Terjemahkan bahasa Inggeris dalam bil ini kepada bahasa kebangsaan. Terjemahan pula bahasa kebangsaan dalam bil ini kepada bahasa Inggeris. Jenis dan saiz fon dikekalkan. Kekalkan juga huruf italik dan hitam tebal. Kekalkanlah cogan kata itu. Jikalau tidak, pengebil terus memperlekeh bahasa kebangsaan yang termaktub dalam Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan dan memperlekeh prinsip Rukun Negara yang sudah dinyatakan.

Tambahan

1. Adakah bil ini menggambarkan bahasa yang menepati konsep Satu Malaysia? Rasanya tidak. Televisyen pernah mengulang-ulang satu iklan yang ditujukan kepada rakyat Malaysia. Ikan itu menggunakan empat bahasa, iaitu bahasa kebangsaan kita, bahasa Inggeris, bahasa Mandarin dan bahasa Tamil. Bil ini cuma menggunakan dua bahasa.

2. 1Malaysia atau “Satu Malaysia” adalah satu gagasan peribadi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2 April 2009. - Wikipedia http://ms.wikipedia.org/wiki/1Malaysia.

Pedoman Bahasa (JPEG) 073. Martabat.

Tiada ulasan: