02 Julai 2011

Pencuri Biskut Berkemeja Kuning


Seorang wanita muda sedang menunggu waktu penerbangannya. Dia memanfaatkan masa dengan membaca buku. Sesekali dia mengambil biskut di sebelah kanannya. Dia mengunyah biskut perasa pisang itu sambil meneruskan bacaannya.

Ada seorang pemuda berkemeja kuning di sebelahnya. Wanita itu berasa aneh kerana si pemuda turut mengambil biskut yang terletak di antara mereka berdua. Setiap kali dia mencapai biskut, pemuda itu turut mengambil sekeping biskut pula.

Pemuda berkemeja kuning itu segak dan ceria. Namun kesegakan dan keceriaannya gagal menambat hati si wanita. Malah dia meluat melihat kemeja kuning dan muka tembok pemuda itu.

Wanita itu berkata-kata dalam hati, “Pemuda ini betul-betul tidak tahu malu. Dia makan biskut aku tanpa izin. Dia ini pencuri dan pengganggu ketenteraman orang!”

Pemuda berkemeja kuning itu terus mengunyah biskut sambil melihat orang lalu-lalang. Kini biskut itu tinggal sekeping. Si wanita menunggu tindakan si pemuda. Si pemuda mengambil biskut yang terakhir itu dengan tenang sambil tersenyum. Dipatahkannya biskut itu menjadi dua. Satu patahan diberikannya kepada si wanita dan patahan yang satu lagi menjadi miliknya.

Wanita itu gagal mengawal amarah. Dengan muka yang masam mencuka, dirampasnya patahan biskut yang dihulurkan oleh si pemuda. Si pemuda berkemeja kuning tetap tenang dan senyum.

“Berani sungguh pemuda ini. Memang muka tembok jati; pencuri dan pengganggu ketenteraman orang!” rungutnya dalam hati.

Sebentar kemudian kedengaran pengumuman bahawa pesawat si wanita akan berangkat. Para penumpang diminta menaiki pesawat. Wanita itu menarik nafas lega bagai baru terlepas daripada ancaman ngeri. Dia bangun dan bergegas ke ruangan untuk menaiki pesawat.

Kini dia sudah berada di tempat duduknya di dalam pesawat. Dia membuka beg kecilnya untuk mengambil barang. Dia terkejut kerana di dalam beg itu ada sebungkus biskut perasa pisang. Bungkusan berwarna kuning itu masih berbalut dengan plastik nipis.

Dia berkata dalam hati, “Ah, biskut yang aku makan tadi kepunyaan pemuda itu!"

Dia sudah menggelari pemuda berkemeja kuning itu sebagai pencuri dan pengganggu ketenteraman orang. Dia ingin memohon maaf tetapi sudah terlambat. Dia menyesal.

Tamat.

Tajuk asal kisah ini ialah “Pencuri Biskut” oleh Kakak-kakak99 dan terbit dalam e-grup Usrah Cyber pada 13 Februari 1999. Kisah itu saya sunting dan terbit dalam beberapa e-grup pada tahun 1999 dan 2000. Kisah itu saya olah semula dan saya beri tajuk “Pencuri Biskut Berkemeja Kuning”. Terima kasih saya ucapkan kepada Kakak-kakak99. Sekiranya beliau bukan penulis asalnya, terima kasih saya ucapkan kepada penulis asalnya. Saya doakan Kakak-kakak99 dan penulis asalnya mendapat rahmat dan inayat Ilahi.

Tiada ulasan: