02 Julai 2011

Ting! Sudah Bersih

Atuk tidak berasa pasti tarikh peristiwa itu berlaku. Tahun berlakunya pun atuk sudah lupa. Namun kejadian itu berlaku tidak lewat daripada akhir tahun 1981. Kemungkinan besar kejadian itu berlaku antara bulan Jun 1980 hingga bulan Jun 1981.

Pada sesetengah orang, peristiwa itu biasa sahaja. Namun, atuk yakin ada orang menganggap peristiwa itu sangat penting. Masakan tidak, sekiranya atuk akur dengan kehendak ketua pada masa itu, atuk mempunyai tabungan yang banyak semasa bersara. Jumlahnya mungkin seratus ribu ringgit dan mungkin juga dua hingga lima kali ganda. Atuk dapat digelar orang kaya!

Atuk berkata begitu dengan berdasarkan baki pada 16 Disember 2004 sebanyak RM198.54 sen. Tanpa penambahan dan pengeluaran, pada 15 Jun 2011 baki buku semasa meningkat 377.67 sen. Ertinya dalam tempoh enam tahun dan enam bulan, atuk memperoleh faedah berjumlah RM179.13 sen. Jumlah ini hampir 100 peratus daripada pelaburan asal.

Bayangkan atuk melabur RM1,000.00 sahaja pada tahun 1981. Dua puluh tujuh tahun kemudian faedahnya mungkin lebih lima kali ganda. Sekiranya atuk terus menambah pelaburan lebih kurang lima ribu sahaja setahun, memang tidak mustahil atuk menjadi orang kaya apabila bersara.

Hakikatnya, setelah tiga tahun atuk bersara, baki akaun hanya RM377.67 sen. Pada 16 Jun 2011, baki bersihnya ialah RM0.00. Atuk berasa sungguh gembira kerana akaun atuk sudah bersih. Dengan perkataan lain, mulai tarikh itu atuk tidak mempunyai sebarang akaun pelaburan. Jikalau kegembiraan atuk mahu diiklankan, ungkapan “Ting! Sudah Bersih” bolehlah digunakan.

Ketika ketua memaksa atuk membuka akaun pada awal 80-an itu, beliau atau mana-mana pihak gagal meyakinkan atuk bahawa pelaburan itu bersih. Yang mendukacitakan, ketua mengugut atuk. Katanya, atuk boleh diminta untuk menjawab surat tunjuk sebab sekiranya atuk tidak membuka buku akaun pelaburan itu. Atuk boleh dikenakan tindakan tatatertib kerana ingkar perintah.

Pada masa itu atuk masih bujang. Atuk masih terlalu muda. Darah muda atuk panas. Atuk baru setahun bergelar siswazah. Atuk baru mengalami Bulan Dakwah Se-Malaysia pada hujung tahun 1978.

Pada hujung tahun 1978 itu, sebulan atuk tinggal di surau. Atuk sibuk menaip, memperbanyak dan mengedarkan kertas kerja, risalah dan sebagainya. Atuk juga menulis teks ucapan, berita dan rencana. Selain itu atuk memasang kain rentang, mengedarkan poster dan sebagainya. Hal itu berlaku ketika atuk berada dalam tahun akhir di universiti.

Kesibukan, gaya hidup dan cara berfikir di universiti, khususnya sesudah menggerakkan bulan dakwah itu, membentuk diri atuk. Apabila atuk berkhidmat semula pada tahun 1979, atuk terus berdampingan dengan al-Quran, buku agama, ceramah dan sebagainya. Atuk mahu terus membersihkan diri. Usrah yang atuk hadiri sejak awal tahun 1980 pula memantapkan gaya hidup dan cara berfikir atuk.

Pada awal tahun 80-an itu dapatlah dikatakan bahawa atuk sudah mempunyai watak dan pemikiran yang sukar untuk diganggu-gugat. Atuk tidak berminat untuk mencicip gula-gula yang manisnya bernama kekayaan. Ugutan akan dikenakan tindakan pentadbiran, apalagi tanpa asas, memang atuk tidak gentar.

Atuk tidak pernah menerima surat tunjuk sebab untuk dijawab. Atuk tidak pernah dikenakan tindakan tatatertib. Ketua juga tidak mengulangi ugutan itu. Namun, 17 tahun selepas ugutan itu, atuk membuka akaun pelaburan RM10.00 pada 22 Mei 1998.

Atuk perlu membuka akaun itu untuk memperoleh RM600.00 sebagai hadiah sampingan selain hadiah sebulan gaji kerana atuk terpilih sebagai penerima anugerah perkhidmatan cemerlang. RM300.00 hanya diberi dalam bentuk pelaburan dan RM300.00 lagi ialah ganti cenderamata yang tidak dapat dibekalkan oleh majikan.

Atuk berniat akan mengeluarkan kesemua pelaburan itu. RM600.00 dimasukkan ke dalam akaun atuk pada 30 Mei 1999, iaitu hampir setahun setelah akaun itu dibuka. Pada 10 Julai 1999 atuk cuba menutup akaun itu. Sayangnya, pihak pejabat pos tidak berkuasa untuk menutup akaun itu. Atuk hanya dibenarkan untuk mengeluarkan RM600.00. RM10.00 kekal dalam buku pelaburan.

RM10.00 itu membiak. Pada akhir tahun 2004, jumlahnya ialah RM48.54. Pada tahun itu atuk menerima anugerah sekali lagi. Kali ini RM300.00 sahaja dimasukkan ke dalam akaun kerana cenderamata berupa jam tangan sudah atuk terima semasa menerima cek sebulan gaji.

Rupa-rupanya Iman, atuk mulai lalai. Atuk hanya mengeluarkan RM150.00 daripada akaun itu pada 6 Disember 2004, sehari selepas RM300.00 itu dikreditkan. Baki RM150.00, ditambah dengan faedah RM48.54 terus berada dalam akaun. Ertinya atuk terus menjadi orang yang lalai hingga 15 Jun 2011 apabila kedengaran bunyi “Ting! Sudah Bersih”.

Kini atuk bertambah tenang. Faedah yang melebihi pokok itu atuk gunakan untuk membeli barangan pencuci kotoran, termasuk untuk kegunaan awam. Atuk bertambah senang hati apabila mengingat bahawa atuk mempunyai seorang pengikut. Pengikut atuk itu tidak lain dan tidak bukan ialah moyangmu, iaitu bonda yang atuk sayangi. Dia tidak membuka akaun setelah mendengar penerangan atuk pada awal tahun 80-an. Atuk berdoa, mudah-mudahan ada anak dan cucu atuk mengikut jejak langkah atuk.

Tiada ulasan: