25 Februari 2011

Beberapa Sisi Masyarakat dan Alam Sabah Pra dan Pascaperang

Tajuk: Memoir Anak Sisa Peperangan
Penulis: R.M. Jasni
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun Terbit: 2006
Pengulas: Mohd Isa bin Abd Razak

Memoir Anak Sisa Peperangan menggambarkan kesukaran hidup yang dihadapi oleh R.M. Jasni sebelum, semasa dan selepas peperangan. Dia memulakan siri gambaran kesukaran hidup itu dengan mengimbas keperitan hidup ayahnya, seorang pemuda kampung, etnik Kadazan, dari Papar. Semasa remaja, pemuda kampung itu membanting tulang di sawah, di bawah panas terik mentari. Kemudian, pemuda kampung itu mendapat kerja sebagai boy dengan satu keluarga Inggeris. Dalam satu lawatan kerja ke Keningau, pemuda kampung itu berkenan dengan seorang gadis Murut. Mereka berkahwin dan wanita Murut itu mengikut suaminya berhijrah ke Jesselton. Hasil perkahwinan mereka, pada 4 Mei 1936 lahirlah seorang bayi lelaki. Bayi itu diberi nama Rasan Majanun Jasni – kemudiannya terkenal dengan nama R.M. Jasni. Jasnilah satu-satunya zuriat pasangan itu.

24 Februari 2011

Ilmu Mengarang Melayu

Kulit buku terbitan 1965 sudah hilang. Saya membuangnya kerana sebahagian besar kulit buku itu dimakan oleh Momot (arnab Si Ati).
Ilmu Mengarang Melayu (IMM) adalah antara karya agung Za‘ba (1895 – 1973). Buku ini terbit pada tahun 1934 dengan menggunakan tulisan Jawi. Versi Jawi itu dicetak ulang sebanyak lima kali, iaitu pada tahun 1947, 1949, 1951, 1952 dan 1956.

Pada tahun 1962, Za‘ba meminda dan membaiki IMM. Versi yang sudah dipinda itu menggunakan tulisan Rumi dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Saya memiliki IMM versi Rumi cetakan tahun 1965. Saya memperolehnya di Kedai Buku K Bali di Tanjung Aru, Kota Kinabalu pada tahun 1972. Sejak tahun 1972 itu, saya belum berasa bosan membelek dan merujuki IMM.

Profesor Dr. Asmah Haji Omar mengusahakan IMM Edisi Ejaan Rumi Baharu dan diterbitkan oleh DBP pada tahun 2002. Dalam edisi ini terdapat juga esei pengenalan tentang IMM oleh Profesor Dr. Asmah.

IMM menghuraikan peraturan karang-mengarang. Za‘ba membicarakannya dalam dua bahagian, iaitu “Pokok-pokok Besar dalam Latihan Mengarang” dan “Cabang-cabang yang Tinggi”.

Dalam bahagian pertama, beliau menghuraikan hal-hal yang perlu diketahui oleh pengarang untuk menghasilkan karangan. Bahagian ini terdiri daripada “permulaan” dan lapan bab. Pada hemat saya, panduan yang terdapat dalam bahagian ini masih wajar menjadi renungan dan panduan kita.

Sebagai contoh, Za‘ba menyatakan, “yang dikatakan karangan sebenar-benarnya ialah yang tersusun daripada beberapa ayat dengan betul.”

Petikan pendek ini dapat menjadi bahan renungan dan perbincangan kita, malah berkemungkinan menjadi bahan polemik apabila dikaitkan dengan kecenderungan pengguna bahasa Melayu menghasilkan ayat yang “tidak berapa betul” atau cacamarba dalam komunikasi bertulis.

Dalam bahagian kedua, beliau mengetengahkan unsur penting yang perlu dikuasai oleh pengarang. Bahagian ini terdiri daripada lapan bab juga. Antara perkara yang beliau huraikan ialah peribahasa, ragam bahasa dan karangan berangkap seperti pantun dan syair.

Seperti bahagian pertama, butiran yang terdapat dalam bahagian kedua ini juga masih wajar menjadi renungan dan panduan kita, khususnya generasi muda. Sekadar contoh, generasi muda wajar meneliti huraian Za‘ba tentang pantun. Hal ini dikatakan demikian kerana pengguna bahasa Melayu, termasuklah generasi muda, sangat meminati pantun. Pada hemat saya, huraian tentang pantun yang terdapat dalam buku ini dapat membantu peminat pantun untuk mempertingkatkan mutu pantun masing-masing.

Saya mendapati penulis-penulis buku, khususnya yang berkaitan dengan karang-mengarang, merujuki buku IMM. Sebagai pencinta bahasa Melayu, pendidik dan pelajar, kita juga wajar merujuki buku ini. Jadi, elok benarlah buku ini berada di rak buku di rumah kita.

18 Februari 2011

Si Bongsu, Anak Dagang

video
Memandu Kancil dari Kimanis,
Melalui Papar menuju ke Libang;
Masa kecil semuanya manis,
Pabila besar dialun gelombang.

12 Februari 2011

Bahasa Jiwa Bangsa


“Bahasa Jiwa Bangsa” bermaksud bahasa sebagai milik mutlak sesuatu bangsa yang menjadi identiti kebangsaan. Sesungguhnya bahasa itu menunjukkan jati diri sesuatu bangsa. Bahasa melambangkan bagaimana sesuatu bangsa itu menggunakan bahasa sebagai alat komunikasi, perpaduan untuk saling memahami dan bahasa itu digunakan sebagai bahasa ilmu sesuatu bangs. Kekuatan bahasa itu juga menunjukkan kuatnya sesuatu bangsa.

Slogan “Bahasa Jiwa Bangsa” dicipta pada tahun 1952, di Kuala Kangsar, Perak oleh empat orang Ahli Lembaga Pembangun Sastera Perak (LEPAS) iaitu Encik Khalid Abas, Penolong Setiausaha LEPAS, Encik Omar Nordin Setiausaha Penerbitan LEPAS, Encik Fadhil Khalik dan Encik Zulkifli Muhammad. (Sumber rujukan: majalah Dewan Bahasa, Jun 2006)

Kedua-dua perenggan yang di atas dipetik daripada nota Facebook Bulan Bahasa Kebangsaan bertarikh 31 Januari 2011.


10 Februari 2011

Langit Terbelah

084 Al-Insyiqaq
Surah ini menerangkan peristiwa kehancuran alam pada hari kiamat.

Di dunia ini, manusia bertungkus-lumus menjalani kehidupan. Semua perlakuan mereka tercatat dalam buku amal masing-masing. Di akhirat, mereka akan mengetahui apa-apa yang tercatat dalam buku itu.

Sesiapa yang menerima buku amalnya dengan tangan kanan akan berhadapan dengan hisab yang mudah. Kemudian, dia menemui keluarganya (yang beriman) dengan gembira.

Sebaliknya, sesiapa yang menerima buku amalnya dari sebelah belakang (kiri), akan meraung. Dia akan menanggung azab. Itulah akibat kekufuran dan ketidakpercayaannya pada hari akhirat dan hari pembalasan.

video