07 Mac 2012

Keputusan Hakim Muktamad

Soalan


Keputusan hakim adalah muktamad.

Ayat ini sering digunakan di hujung senarai syarat sebarang pertandingan. Adakah susunan ayat ini betul?

Jawapan

Susunan ayat “Keputusan hakim adalah muktamad” menepati tatabahasa bahasa Melayu. Hal ini dikatakan demikian kerana buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (halaman 264) menyatakan “Kata pemeri ‘adalah’ pula hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama, seperti yang terdapat dalam ayat yang berikut: ‘Sumbangan besar beliau adalah dari segi peningkatan ekonomi rakyat luar bandar’; ‘Makanan seimbang adalah baik untuk kesihatan badan. Dalam ayat contoh ini perkataan/frasa “dari” ialah kata sendi nama dan “baik” ialah kata adjektif. Perkataan/frasa “muktamad” ialah kata adjektif. Frasa “adalah muktamad” sama susunannya dengan frasa “adalah baik”.

Walau bagaimanapun, kekeliruan mungkin timbul kerana perkataan “muktamad” kelihatannya seolah-kata-kata kerja. Jikalau benar perkataan “muktamad” kata kerja, kata pemeri “adalah” tidak boleh berada di hadapannya. Jadi, mungkin ada rakan kita beranggapan susunan ayat ini bertentangan dengan peraturan tatabahasa. Hal ini dikatakan demikian kerana Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, di halaman yang sama, ada menyatakan bahawa “kata pemeri tidak boleh hadir di hadapan frasa kerja atau kata kerja”.

Apabila kita merujuki kamus, kita dapati perkataan “muktamad” seerti dengan “tetap”. Oleh sebab kita faham bahawa “tetap” bermaksud, rasanya rakan-rakan kita tidak mempersoalkan bahawa “tetap” ialah kata adjektif. Namun, elok juga kita semak maksud perkataan “tetap”. Tesaurus bahasa Melayu di Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) mencatatkan “tetap” seerti dengan beberapa perkataan lain; antaranya termasuklah “kekal”, “abadi” dan “baqa”. “Baqa” itu adalah antara sifat 20. Jadi, semakin jelas bahawa “muktamad” yang seerti dengan “tetap” itu ialah kata adjektif (sifat).

Guru dan pelajar wajar merujuki kamus, khususnya Kamus Pelajar terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Beberapa orang rakan saya yang dapat dianggap sangat tinggi pengetahuannya dalam bidang tatabahasa menyatakan bahawa pengertian dan ayat contoh dalam Kamus Pelajar terpilih dan wajar kita contohi. Saya mendapati Kamus Pelajar Edisi Kedua memberikan ayat contoh “Keputusan para pengadil adalah muktamad”. Kita dapat mengesan ayat contoh ini di bawah kata masukan muktamad, di halaman 532.

Elok juga kita sematkan dalam ingatan bahawa ada ahli bahasa kurang berkenan dengan peraturan penggunaan “ialah” dan “adalah” yang diberikan oleh Tatabahasa Dewan. Hal ini memerlukan huraian yang tersendiri dan tidak wajar kita bincangkan dalam soal jawab ringkas ini. Juga, ditegaskan, penggunaan “adalah” terhad. Ayat “Keputusan hakim muktamad” juga utuh, bahkan ada ahli tatabahasa mengatakan ayat tanpa “adalah” inilah yang lebih baik.

Saya sengaja memberikan huraian yang agak lengkap terhadap kemusykilan cikgu. Hal ini saya lakukan agar cikgu dan rakan-rakan dapat membuat keputusan sendiri untuk kes lain dengan berpandukan jawapan saya ini.

Tiada ulasan: