04 Jun 2012

Wajah Hati Redha, Novel Perjuangan Karya Sulung Peguam Muda

Novel Wajah Hati Redha terbitan Neverland Book tahun 2012, ialah novel sulung peguam muda, Zairudin Ashrafi. Novel setebal 164 halaman ini memaparkan secebis kisah perjuangan orang Melayu pada zaman pemerintahan Jepun. Keseluruhan peristiwa dalam novel ini berlaku di Kampung Kundang. Kebanyakan peristiwa itu berlaku pada tahun 1943. Ada sedikit peristiwa berlaku pada tahun 1940 dan sebelumnya.

Perjuangan orang Melayu menentang penindasan tentera Jepun dalam novel ini didukung oleh Ahmad Redha dan rakan-rakannya. Penulis memulakan kisah dengan gambaran tentang Ahmad Redha, iaitu seorang pemuda tampan, berkumis rapi, berjanggut kemas dan meminati puisi. Dalam bab-bab berikutnya kita mengetahui bahawa Ahmad Redha yang tampan dan berjanggut sejemput itu berusia 23 tahun tetapi sudah ada sedikit uban. Dia pernah menjadi guru pada zaman British dan sudah berumah tangga dengan rakan sekampungnya, iaitu Nurliah.

Kisah dalam bab pertama novel ini berlaku di dalam hutan di Kampung Kundang pada 28 September 1943, pukul 7.30 malam, iaitu malam pertama Ahmad Redha dan anak-anak buahnya berkumpul di hutan. Ketika itu, Ahmad Redha berdiri menghadap sungai. Tiba-tiba datang Shukor, iaitu orang kanannya. Shukor memberitahu bahawa tiga orang anggota kumpulan mereka sudah belot. Ahmad Redha menyambut perkhabaran itu dengan tenang.

Oleh sebab waktu Isyak sudah masuk, dia mengajak rakan-rakannya bersolat. Dia menjadi imam. Usai bersolat, berdoa dan bersalam-salaman, Ahmad Redha berdiri dan mengira rakan-rakannya. Jumlah makmumnya empat puluh orang, iaitu kurang tiga orang. Sesudah berbincang dengan Shukor, Ahmad Redha memberikan peluang kepada rakan-rakannya untuk mengundurkan diri tetapi mereka tidak mahu berganjak. Oleh sebab sudah ada tiga orang yang belot, mereka memutuskan untuk beralih ke satu tempat persembunyian yang lain.

Dua bab berikutnya menyorot zaman kanak-kanak Ahmad Redha, iaitu kisah dia membantu datuknya menyadap kelapa dan hubungannya dengan Nurliah. Tiga bab selepas itu menceritakan kisah pada tahun 1940, iaitu pada zaman British. Fokus ketiga-tiga bab ini ialah keakraban persahabatan Ahmad Redha dengan pengurus ladang berbangsa Inggeris, Tuan Harold Smith.

Kisah bab pertama bersambung dalam bab ketujuh. Ahmad Redha, Shukor dan dua orang rakan mereka terus berjaga hingga pukul empat pagi. Shukor menghisap rokok dan menawarkan rokoknya kepada Ahmad Redha. Ahmad Redha menolak pelawaan Shukor dan berkata, “Waktu aku menuntut dengan seorang alim, dia menegah aku merokok. Katanya, haram.” Apabila Shukor menyanggah dengan mengatakan bahawa pengharaman rokok itu sebagai karut, Ahmad Redha menyatakan bahawa rokok dicipta oleh orang Yahudi untuk membunuh bangsa lain.

Susunan bab seterusnya seakan-akan sama dengan bab-bab sebelumnya, iaitu peristiwa semasa diselangi atau disisipkan dengan peristiwa lama atau sejurus sebelum peristiwa semasa itu. Peristiwa dalam tiga bab yang berikutnya berlaku pada malam 26 September 1943. Ketiga-tiga bab ini menggambarkan hubungan Ahmad Redha dengan isterinya, Nurliah, yang sedang mengandung. Si suami memberitahu bahawa dia akan masuk ke hutan lusa, iaitu 28 September 1943. Nurliah hendak ikut tetapi dia mengundurkan hajatnya itu setelah dipujuk oleh si suami dengan alasan utama demi anak dalam kandungan si isteri.

Bab kesebelas kembali kepada peristiwa semasa. Dalam bab yang hanya dua halaman ini, kita mengetahui bahawa Ahmad Redha baru mengenali Shukor ketika pertemuan di rumah Tok Penghulu Haji Dali pada malam 22 September 1943, iaitu lima hari sebelum mereka berkumpul di hutan seperti yang diceritakan dalam bab pertama. Pertemuan di rumah Tok Penghulu itu diceritakan dalam bab kedua belas. Bab ini diselangi oleh tiga bab yang mengisahkan hubungan Ahmad Redha dengan Ah Kim, termasuk pembunuhan Ah Kim oleh tentera Jepun pada malam 21 September 1943, dan satu bab kisah pada malam pertama perkahwinan Ahmad Redha dengan Nurliah. Kisah pertemuan di rumah Tok Penghulu Haji Dali disambung dalam bab ketujuh belas dan kelapan belas.

Dalam pertemuan itu, Ahmad Redha sebagai bakal ketua pasukan pejuang, memulakan pidato. Fikiran dan semangatnya dipersenda oleh Bakar. Berlakulah pertikaman lidah. Bakar berang apabila Ahmad Redha menceritakan kematian Ah Kim. “Kau itu yang gila! Cina mati pun mahu dihebohkan.” Inilah antara lain luahan kemarahan Bakar. Bakar juga mengulangi pendiriannya bahawa “Jepun telah *memberikan kita kemerdekaan daripada penjajah British.”

Pergeseran pendapat dan pertikaman lidah itu memuncak apabila Ahmad Redha mendapatkan maklumat tentang harga belacan daripada Hasan Belacan. Menurut Hassan Belacan, harga sekati belacan pada masa itu ialah dua ratus lima puluh ringgit. Berdasarkan fakta ini, Ahmad Redha menyambung pidatonya tentang soal duit yang menjadi masalah besar pada masa itu. Bakar bertambah marah. Dia dan empat orang pengikutnya meninggalkan majlis itu.

Ahmad Redha meneruskan pidatonya. Kata-katanya diperli oleh Shukor pula. Antara ungkapan kasar yang keluar daripada mulut Shukor ialah “merdeka tahi kucing”. Bahkan Shukor memperolok diri Ahmad Redha dengan berkata, “Muka macam tahi kucing, ada hati hendak melawan Jepun!” Ahmad Redha berlembut dan cuba memujuk Shukor. Selaku guru silat yang diiringi oleh sepuluh orang muridnya, Shukor tetap berdegil. Dia berkata, “Ah, sudahlah! Sesiapa yang ada asas bertarung dan berpencak, esok petang datang ke rumah aku. Aku ajar cara anak jantan berpencak. Biar aku dan anak-anak muridku sahaja yang lawan Jepun keparat itu!” Ini kata-kata Shukor sebelum dia dan murid-muridnya meninggalkan majlis itu.

Majlis itu diteruskan. Pasukan pejuang Melayu untuk menentang tentera Jepun terbentuk pada malam itu. Lima hari kemudian ternyata Shukor menyertai pasukan itu. Dalam bab pertama diceritakan Shukor menyampaikan khabar bahawa tiga orang anggota pasukan itu sudah belot. Persoalannya, siapakah yang pembelot itu? Mengapakah mereka membelot? Persoalan lain ialah mengapakah Shukor menyertai perjuangan Ahmad Redha? Mungkinkah Shukor bagai api dalam sekam? Apakah pula tindakan Bakar terhadap Ahmad Redha dan rakan-rakannya setelah dia mendapat kuasa sebagai perisik Jepun? Pembaca wajar mengesan jawapan persoalan-persoalan ini dan persoalan lain seperti kaitan pembunuhan Ah Kim dengan Ahmad Redha dengan membaca novel ini.

Tiga bab terakhir berlaku pada 30 September 1943. Kisah bermula setelah hari mulai gelap pada pukul 6.50 petang. Pada masa itu pergerakan orang kelihatan samar-samar. Dari dalam hutan, Ahmad Redha dan rakan-rakannya memerhati orang Kampung Kundang berkumpul di satu tempat. Tidak lama kemudian sebuah trak dan sebuah kereta yang membawa tentera Jepun tiba. Seorang pegawai tentera Jepun berpidato. Selepas itu mereka menunggu mayat Ahmad Redha. Sebenarnya mereka sudah ditipu oleh Mat Piah, iaitu orang Ahmad Redha yang berpura-pura bekerjasama dengan Jepun.

Tiba-tiba, Mat Piah mengangkat tangannya ke atas, menuding jari ke arah langit dan menghempaskan topinya ke tanah. Jepun terpinga-pinga. Ahmad Redha menyambut isyarat Mat Piah. Sau, dua, tiga, Allahuakbar! Serangan oleh pejuang Melayu bermula. Enam orang Jepun tumbang. Ahmad Redha mengejar pegawai tentera Jepun. Pegawai itu sempat menembak lengannya. “Darah mengalir keluar dari tubuh. Semangat masuk ke dalam diri!” Ahmad Redha menendang tangan pegawai itu. Pistolnya terpelanting. Ahmad Redha sempat melihat muka pegawai itu. Dia ialah Fujiwara. Kemudian berlakulah pertarungan satu lawan satu. Siapakah yang tewas? Adakah Shukor dan rakan-rakannya juga tewas? Apakah pula yang berlaku di rumah Nurliah pada malam yang sama? Jawapan terhadap soalan-soalan ini terdapat dalam dua bab terakhir novel ini.

Teknik penyusunan bab novel ini mungkin menyukarkan kita untuk mengikuti aliran peristiwa walaupun tarikh dan masa peristiwa itu dicatatkan pada setiap bab. Ada bab seperti bab kesebelas tentang Ahmad Redha berjaga pada 4.45 pagi dan bab kelima belas tentang malam pertama perkahwinan Ahmad Redha dengan Nurliah dapat dianggap sebagai selitan yang tidak menjejaskan plot apabila dikesampingkan. Dengan perkataan lain, plot novel ini dapat diperkemas sekiranya penyusunan bab dimurnikan. Walau bagaimanapun, sekiranya bab tertentu seperti bab kesebelas dikesampingkan, hakikat bahawa Ahmad Redha baru mengenali Shukor di rumah Tok Penghulu Kampung Kundang pada malam pertemuan itu mesti diselitkan di tempat yang sesuai.

Novel ini ialah novel perjuangan. Watak penting yang ditonjolkan ialah pemuda Melayu yang sanggup mati demi mempertahankan maruah bangsa dan demi kemerdekaan tanah air daripada penjajahan Jepun. Tentera Jepun ganas dan biadab. Mereka menyeksa orang kampung. Antaranya termasuklah memaksa orang kampung minum air sabun. Mereka memperkosa gadis dan membunuh penduduk seperti Ah Kim. Pendudukan mereka yang dipropagandakan sebagai kemerdekaan daripada British merupakan kemerdekaan palsu. Mereka memperhamba penduduk tempatan. Kehidupan pada masa itu sangat susah. Wang tidak bernilai. Harga barang pula mahal. Hal-hal inilah yang menggerakkan Ahmad Redha dan rakan-rakannya menentang tentera Jepun.

Sesebuah novel memang memerlukan berbagai-bagai ramuan bagi mempelbagaikan cita rasa hidangan. Penulis memahami hal ini dan memanfaatkan hubungan cinta Ahmad Redha dengan Nurliah. Gambaran cinta mereka semasa kanak-kanak dan sesudah bernikah dinukilkan secara terkawal agar tidak melanggar panduan Islam. Walaupun ada bab yang menggambarkan malam pertama perkahwinan mereka, gambaran penulis terhadap peristiwa itu Islamik dan diperkukuh dengan ayat al-Quran. Antara kisah lain yang menarik dan ada unsur lucu termasuklah perihal Ahmad Redha menyorok dalam reban ayam, Wak Dogol terlupa bahawa tuannya belum menaiki kereta dan dia memandu kereta itu ke tempat yang dituju, juga pemerian watak Hassan Belacan dengan ketelorannya.

Zairudin Ashrafi menggunakan bahasa yang mudah difahami. Secara umum, gaya bahasanya baik. Susunan ayatnya kemas dan teknik perbualannya berkesan. Antara ungkapan menarik yang beliau gunakan termasuklah “seludangnya mestilah disunatkan”, “mengangguk-angguk itik” dan “menghadiahkan panahan petir”. Sayangnya, mutu penyuntingan novel ini dapat dianggap sederhana. Hal ini dikatakan demikian kerana pada zaman penyemak ejaan dan autobetul mudah diperoleh pun masih ditemukan kesilapan ejaan dan frasa. Satu hal yang sukar diterima sebagai kesilapan ialah percakapan sebagai petikan langsung dianggap sebagai ayat lengkap. Petikan langsung yang sepatutnya diakhiri dengan tanda koma, digantikan dengan noktah. Semua huruf pertama selepas petikan langsung itu ditulis dengan huruf besar. Antara contoh petikan adalah seperti yang di bawah:

1. “Alhamdulillah.Ucap Nurliah sambil tersenyum sendiri. (halaman 5)

2. “Untuk buat gula.” Jawab datuknya, ringkas. (halaman 19)

3. “Yalah, aku.Kata Shukor. (halaman 57)

4. “Hah, kau ini Shukor!” Ujar Redha sambil memerhati sahaja pelawaan Shukor itu.

5. “Di manakah dia?” Tanya Tok Penghulu. (halaman 81)

6. “Janji apa pula ini, Shukor?” Tanya Redha, kehairanan. (halaman 132)

Adakah ini gaya penerbitan penerbit novel ini? Jikalau benar, gaya ini wajar diubah. Gaya ini, pengetengahan ayat tergantung yang tidak sesuai dengan konteks dan penggunaan istilah “epilog” dan “monolog” yang dapat dianggap silap, mesti dimurnikan sebelum cetakan atau edisi kedua dilakukan.

Sebagai kesimpulannya, dapatlah dikatakan bahawa novel ini termasuk dalam golongan novel yang baik, khususnya dari segi tema. Sebagai novel sulung karya penulis muda, kendala yang dinyatakan dapatlah dianggap sebagai lumrah. Namun, kendala penyuntingan atau gaya penerbitan mesti dibaiki sekiranya cetakan atau edisi kedua novel ini ditujukan kepada golongan remaja, khususnya pelajar.

2 ulasan:

Che Din berkata...

Salam 'alaik.

Terima kasih, Tuan Mohd Isa Abd Razak, kerana sudi menegur dan mengupas sedikit-sebanyak novel saya yang sederhana.

Wajah Hati Redha ditulis dengan sasarannya adalah kanak-kanak dan remaja. Kerana itu bahasanya mudah.

In sya ALLAH, akan saya jadikan bekalan dan pedoman untuk karya seterusnya kelak. Terima kasih. :)

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Sama-sama, Tuan Che Din.